Monday, August 14, 2006

Meneroka Kota Samarkand


Tanggal 25 Mac 2006 Sabtu

Gerbang Xush Kelibsiz atau Selamat Datang menyambut kami masuk ke kota Samarkand. Justeru hari sudah menjelang senja maka kami terus "check in" ke "Hotel Afrosiyob Palace".


Hotel Afrosiyob Palace"


Pandangan kota Samarkand dari sebelah kiri pintu masuk hotel



Lepas sarapan pagi kami menaiki bas ke lokasi lawatan yang terletak begitu hampir dengan Hotel Afrosiyob iaitu Makam Gur Amir cucu kepada Temerlain yang dibina sekitar Abad XIV - XV. Pada dasarnya reka bentuk binaan bangunan tinggalan silam di sini lebihkurang saja dari segi fizikal dan bahan yang digunakan begitu juga tona warna marmarnya yang rata-rata lebih suka menggunakan warna biru firus.

Anggota rombongan bergambar didepan Makam Gur Emir


Kubah bangunan Makam Gur Emir yang dikatakan mempunyai 63 lekukan mengambil sempena usia Nabi Muhammad S.A.W


Bahagian dalam makam yang diperbuat dari marmar bersadur emas tulin dan di belakang kami adalah Makam Gur Emir. Warna keemasan melimpah menyinari wajah. Sesuatu yang amat menakjubkan bila memikirkan betapa hebatnya tamaddun silam kaya dengan rekabentuk yg artistik dan mewah.

Tuesday, August 01, 2006

Perjalanan ke Samarkand

Cuaca diluar masih sejuk namun udaranya segar dan bersih kerana pencemaran yang amat minima, tiada asap kenderaan yang menyesakkan nafas, tiada bunyi bising yang menggigit telinga yang ada hanyalah manusia yang lalulang menuju ke tempat kerja dan pelajar yang berpusu-pusu berjalan dengan riang ke Universiti Bukhara yang secara kebetulan letaknya amat dekat dengan hotel penginapan. Lepas sarapan kami bertolak dengan bas ke kota Samarkand.

Sesungguhnya perjalanan ini amatlah jauh kerana memakan masa melebihi delapan jam. Dari balik langsir jendela bas aku mengintai pemandangan kiri kanan jalan yang kaya dengan tanah yang kontang, namun kelihatan pohon-pohon epal dan anggur yang dengan ramah menjamah mata kami dengan pucuk-pucuknya yang hijau. Nampaknya melepaslah peluang kami untuk memetik dan menikmati epal dan anggur di bawah pohonnya.

Pemandangan ke Samarkand

Kurang lebih tiga jam perjalanan kami singgah ke sebuah rumah yang terletak perkampungan di tengah-tengah lembah yang saujana mata memandang beratapkan langit yang membiru serta desiran angin yang nyaman. Kami menyerbu sebuah rumah yang terletak di atas sebuah bukit. Di sana telah sedia menunggu penghuninya dengan mesra menghidangkan seteko teh hijau yang panas serta roti gandum yang keras tapi enak itu. Mereka juga mempamerkan hasil kraftangan seperti ambal, sarung kusyen dan alas meja untuk dibeli. Anehnya kami saling tidak memahami bahasa pertuturan masing-masing tetapi pertemuan itu berlansung dengan sangat harmoni dan kasihsayang sesama insan. Sesungguhnya Islam telah merapatkan hubungan kami secara semula jadi. Satu anugerah Ilahi yang jarang kita sedari!


Mendaki ke perkampungan


Surirumah Uzbek yang manis menawan


kanak-kanak Uzbek


Seronok melayan karenah mereka


Dipinggir bukit menghala rumah yang kami singgahi

Sempat bergambar dengan petani dengan keldainya



Hampir sejam kami di situ sebelum meneruskan perjalanan, kami sempat menjamu sekumpulan kanak-kanak Uzbek dengan makanan berupa biskut, roti dan buah-buahan kering yang dibeli di Bukhara. Semasa berbalas lambaian hatiku merasa sayu dan kesian, betapa kanak-kanak yang masih mentah itu akan terus terpenjara dalam dunia mereka yang tersendiri, benar-benar terasing dan tertinggal.