Friday, September 29, 2006

Masuklah


Masuklah segera
sebelum kukunci
pintu itu!

5.00 ptg Jumaat

Thursday, September 28, 2006

Kalau boleh...



Pagi tadi bersahur dengan 2 ketul pegedil daging,segelas air ribena suam dan beberapa butir kurma. Alhamdulillah

Petang ni kalau boleh nak berbuka ala kadar saja barulah menepati salah satu matlamat puasa iaitu untuk merasakan keperitan mereka yang terpaksa berlapar kerana tidak mampu hatta untuk membeli makanan mengalas perut. Kalau masa berbuka bermewah-mewah dengan berjenis-jenis juadah yang lazat dan menggoda selera, kuranglah nikmat puasa jadinya. Insyaallah

Singgah Pasar Ramadhan kalau boleh nak beli seketul dua kuih je, seekor ikan panggang dan sayur cukuplah tu. Kalau rajin, balik nanti goring ikan selar garing-garing, masak sayur kobis lemak campur udang dan sambal belacan, sedap juga. Air suam dan buah kurma. Cukuplah tu.

Bulan puasa ni bukan makanan yang penting tapi melipatgandakan ibadah, menjaga percakapan dan perlakuan itu yang lebih utama. Tapi taklah dibulan ni saja kan!

Monday, September 25, 2006

Bukan kau


Kau yang hangus terbakar
oleh panahan mata
bukan salahku
kerana aku hanya memandang
tanpa rasa

Kau yang tenggelam lemas
dalam mesra pesona
bukan salahku
kerana aku hanya bicara
tanpa cinta

kau yang mudah terbakar
kau yang mudah lemas

bukan salahku

11.30 pagi Selasa

Sunday, September 24, 2006

Jangan Menoleh



Jangan menoleh
nanti langkahmu terhenti
sedang aku tidak akan menanti

teruslah melangkah
tinggalkan aku di sini

kerana tanpaku
mimpimu akan pergi
anganmu pasti mati

2.42 ptg Isnin

Friday, September 22, 2006

Ramadhan datang lagi



REJAB telah lama meninggalkan kita, SYA'BAN sudah mendekati muka pintu dan RAMADHAN kelihatan melambai-lambai, kian hampir untuk memberi salam pertemuan yang kesekian kalinya. Berbahagialah bagi kita yang masih diberi peluang untuk menjalani ibadah puasa sekali lagi tahun ini.

Semoga tahun ini bukan terakhir kali kita berpuasa Ramadhan. Semoga kita dapat melakukan ibadat berlipatganda, sempurna dan diterima. Semoga kita dianugerahkan dengan ditemukan LAILATUL QADAR. Malam yang lebih baik dari seribu bulan.

Mudah-mudahan kita diberi kekuatan untuk mempertingkatkan kualiti diri. Menjauhi segala yang HARAM, MAKRUH maupun SYUBHAH. Mudah-mudahan Ramadhan ini menambah kecintaan kepadaNYA. Mudah-mudahan Ramadhan ini menyedarkan kita bahawa perjalanan kehidupan semakin pendik, tiada yang lebih abadi dari kehidupan setelah dibangkitkan dari kematian.

"Ya ALLAH, sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untukmu Tuhan sekelian Alam"
Aamiiiiiin

Tuesday, September 19, 2006

Samarkand oh Samarkand

Samarkand merupakan bandar kedua besar di Uzbekistan, sebuah kota yang damai tapi amat ketara dengan pengaruh Soviet terutama pada tugu-tugu dan rekaan senitamannya. Hari cerah dengan tiupan angin yang amat dingin tidak menghalang aktiviti harian penduduk di sini. Dikejauhan kelihatan deretan beberapa buah bas pelancong dari negara-negara lain. Nampaknya kota ini telah mula menarik perhatian dunia luar.


Longgokan buah delima merah yang ranum di Dehoq Siyob Bozori

Selepas makan tengahari kami meneruskan penerokaan di bumi Samarkand ini dengan mengunjungi beberapa buah lagi binaan tinggalan sejarah sebelum singgah di pasar kering yang menjual segala macam jenis buah-buahan segar dan kering , kismis, kacang dan manisan buatan tempatan dan juga yang diimpot dari China. Pasar Dehoq Siyob Bozori. Sebelum lewat petang kami berangkat balik ke hotel untuk menunaikan solat.

Cuaca yang terlalu dingin menyebabkan pada malamnya kami hanya terkurung di dalam bilik sambil menonton siaran televisyen yang rata-rata dialih suara ke bahasa uzbek bagi rancangan yang diimpot. Selepas makan malam kami bergegas mengemas pakaian untuk persediaan bagi perjalanan balik ke Tashkent pada keesokan hari.



Sajian makan malam terbaik di sini


Menu yang dihidangkan hampir di semua tempat bagi makan tengahari dan malam. Kebanyakannya menggunakan bahan yang sama kecuali pada nisbah dan cara ianya disediakan. Sajian yang amat sihat kerana kaya dengan sayuran segar, keju, susu, roti keras dan bermacam jenis sos. Apapun justeru ia bukan selera orang Malaysia, hampir kesemua kami kehilangan berat badan selama berada di Uzbek. Dah lapar sangat kami makanlah juga. Jangan mimpikan makanan istimewa di hotel atau di pasaraya kerana itulah realitinya "sama rata sama rasa". Kalaupun ada disediakan nasi rasanya tidaklah seenak di tempat kita. Di sini nasi merupakan makanan orang kelas atasan adanya.

Thursday, September 07, 2006

Kompleks Imam Al Bukhari

Dihadapan Kompleks Makam Imam Al Bukhari


Di bawah bangunan inilah jasad Imam Al Bukhari disemadikan


Mengintai Kompleks Imam Al Bukhari dari jendela bas


Kami meninggalkan Hotel Afrosiyob dalam keheningan pagi yang damai. Perjalanan diteruskan ke bandar Tashkent dengan menaiki bas. Lebih kurang 12 kilometer dari bandar Samarkand kami berhenti sebentar untuk menziarahi Makam Imam A l Bukhari. Beliau merupakan Ulama Islam yang terkemuka di kurun ke sembilan. Dilahirkan sebagai Muhammad Ibn Ismail Al Bukhari di Bukhara pada 20 Julai 810 CE (13Syawal 194 AH). Beliau telah menghabiskan masa remajanya di kota Mekah selama 12 tahun sebelum merantau ke Basrah, Hijaz, Mesir, Kufah, Baghdad, Syria, Arab dan Iraq untuk mendalami dan memperkukuhkan pengetahuannya dalam Ilmu hadis. Dikatakan sebanyak 3000 Hadis Sahih telah berjaya di bukukan dan antara yang tersohor adalah Al Jami As Sahih dan Al Adab Al Mufrad yang diakui sebagai antara himpunan hadis yang teragong. Beliau meninggal dunia ketika berusia 60 tahun pada 870 CE (256 AH) semasa dalam buangan di sebuah perkampungan berhampiran Samarkand bernama Khartank dan dikuburkan di tempat kelahirannya. Sehingga kehari ini Makam beliau terus dikunjungi jutaan muslim dan muslimah seluruh dunia untuk memberi penghargaan kepada ulama yang amat berjasa kepada dunia Islam itu.

Kami disambut oleh hamparan taman yang indah, kelihatan beberapa pokok teduhan masih berbalut dengan jerami mungkin untuk melindunginya dari salji kerana musin sejuk baru beranjak. Masuk saja ke pintu utama terdapat beberapa buah kedai menjual cenderamata. Di dalam kompleks ini terdapat sebuah madrasah dan sebuah lagi taman yang terjaga sedang menghijau, begitu nyaman dan mempesonakan. Menurut khabarnya pasangan pengantin akan datang ke taman ini untuk meminum air dari sebuah matair yang masih mengalir untuk mengambil berkat.

Makam Imam Al Bukhari dibina dengan indahnya, ada binaan baru nisan dari batu marmar akan tetapi jasad beliau disemadikan betul-betul di bawah binaan ini. Kami bersyukur kerana dibenarkan menuruni tingkat bawah tanah itu untuk memberi penghormatan kepada beliau. Pelawat lain tidak dibenarkan kerana kebanyakan mereka khususnya wanita datang dengan pakaian yang tidak sesuai, tidak menutup aurat.

Selepas bertahlil dan membaca doa yang diketuai oleh Mufti Kerajaan Negeri Perak, Dato' Seri Haji Harussani itu, kami beredar meneruskan tujuan perjalanan.

Wednesday, September 06, 2006

Sepagi di Dataran Registan



Puas menikmati keindahan bangunan Makam Gur Emir kami meneruskan penerokaan di Kota Samarkand ke Dataran Registan yang merupakan sebuah kompleks terdiri dari tiga (3) buah bangunan binaan kurun yang berlainan yang membentuk struktur berbentuk "U", masing-masing menggabungkan Madrasah UlugbekPusat (1417-1420) di tengah diapit sebelah kanannya Madrasah Sher-Dor (1619-1636) dan Madrasah Tilya-Kori (1646-1660) di kirinya.

Registan bermakna "Sandy Place"" konon ceritanya "The sand was strewn on the ground to soak up the blood from the public executions that were held there until early in the 20th century. The Registan is where Tamerlane stuck his victim's heads on spikes and is where people gathered to hear royal proclamations, heralded by blasts on enormous copper pipes called dzarchis. But is also obviously could be only before the first of charming historical buildings had been constructed because Tamarlane died in 1405"


Masyaallah! Tidak puas mata memandang, kagum dan hairan, walaupun struktur dan bentuk binaannya tidak banyak berbeza dengan yang pernah kami temui sebelum ini tapi Dataran Registan memang menakjubkan. Pelik memikirkan bagaimana mereka di kurun ke 14 dan 15 dulu dapat membina bangunan segah itu, tidakkah ini juga antara keajaiban dunia yang dipinggirkan. Khazanah sejarah dunia yang tidak ternilai harganya.



Madrasah Sher-Dor
Bangunan ditutup kepada khalayak kerana merupakan pusat pembelajaran



Madrasah Ulugbeg
Semasa zamannya merupakan sebuah universiti Sains Sekular yang ulung tetapi kini yang kami temui selain dari tempat berjualan hasil kraftangan kelihatan artis yang memainkan lagu tradisi dengan menggunakan alatmuzik tradisional mereka


Madrasah Tilya Kori
Memasuki ke dalam bangunan ini suasana menjadi riuh dan meriah dengan suara tawar menawar barangan kraftangan penduduk setempat


Hasil seni yang halus dan mewah tidak dapat digambarkan dengan kata-kata di siling Madrasah Ulugbeg

Mata merenung jauh meratah keindahan segenap ruang Dataran Registan ini, bagaikan bintang di langit tidak mungkin tercapai tangan. Ia akan kekal sebagai tarikan pelancong entah untuk berapa ratus atau mungkin ribuan tahun lagi. Jauh tersasar dari fungsinya yang sebenar, beginilah nasib islam di bumi Samarkand. Kehebatan yang tinggal hanya dalam kenangan sahaja..