Friday, December 31, 2010

Selamat datang Tahun 2011



Lip lap lip lap Tahun Masehi 2010 akan mengundur diri dan mahu tidak mahu kita akan menerima kedatangan 2011. Kedatangan tahun baru yang bermakna pertambahan usia dan semakin dekat kita kepada kematian. Semakin renggang kita dengan kehidupan dunia ini. Justeru apa sangatlah sebenarnya mengejar-ngejar kebendaan kalau akhirnya semua akan ditinggalkan. Namun takkanlah pulak nak hidup papa kedana sampai meminta-minta menyusahkan kerabat dan rakan taulan, hidup tak bertujuan dan bergelandangan. Maka itulah Islam menyarankan kesederhanaan dalan kehidupan dalam apa hal sekalipun agar kita tidak merasa sengsara dan dukacita semata-mata nak jadi kayaraya an berkuasa. Penyudahnya matlamat menghalalkan cara asalkan dapat apa dicita, musuh bertambah dan rakan menjauh.
Tahun 2010 tentu banyak meninggalkan kesan di hati, yang baik dipertingkatkan yang jelek diperbaiki. Tak perlu dikesali sebab setiap apa yang terjadi tanpa kita sedar memang ada hikmahnya. Kepada yang menang pada tahun ini beringatlah kita bahawa untuk menang itu tidaklah susah asalkan berusaha gigih dan dengan kehendakNYA tiada yang mustahil tapi untuk mempertahankan kemenangan tentulah lebih getir kerana banyak pihak yang usahanya berganda untuk merampas tahta. Maka waspadalah dalam berkata dan bertindak dan sentiasa berusaha menjadi yang terbaik.

Semoga persaudaraan kita semua saudara seblog akan lebih akrab!

Tuesday, December 14, 2010

Biar buruk kain dipakai


Biar buruk kain dipakai, asal pandai mengambil hati
- Biar miskin asalkan berbudi bahasa dan berhati mulia

Tapi apakah masyarakat di zaman ini akur dengan pernyataan itu. Berapa keratkah antara kita yang menghargai perilaku yang baik berbanding dengan kekayaan dan status seseorang. Terkadang terfikir betapa tidak adilnya kita kepada mereka yang tak punya harta tapi amat baik pekerti. Seringkali mereka dipinggirkan dan kehadiran seakan tidak disenangi atau dipedulikan. Sedangkan tanpa kita duga dalam keadaan tertentu merekalah yg akan segera datang membantu berbanding dengan mereka yang kononnya setaraf dengan kita.

Friday, December 10, 2010

Kerana nila setitik


Orang bijak pandai dulu-dulu pernah menyatakan Kerana Nila Setitik Rosak Susu Sebelanga. Namun wajarkah disalahkan nila yang setitik jika susu yang sebelanga besar tu masih tak terusik manis rasa dan putih rupanya. Kenapa yang setik itu juga diungkit-ungkit. Lagipun takkanlah sebab yang setitik tu susu bertukar menjadi biru seluruhnya.
Begitulah dalam kehidupan ini, segala kebaikan yang selama ini kita lakukan akan mudah terhakis dari ingatan hanya kerana kesilapan atau kesalahan yang sedikit. Adilkah itu?
Atau justeru sorang dua dari kaum kerabat yang berperangai buruk habis seluruh ahlinya kita hukumi.

Monday, December 06, 2010

Maal Hijrah 1432


Selamat menyambut Tahun Hijrah 1432. Mudah-mudahan hari-hari mendatang kita akan lebih matang dan berhati-hati dalam menjalani kehidupan seharian. Mudah-mudahan segala urusan kita dipermudahkan Allah S.WT. Mudah-mudahan hidup kita akan lebih berkasihsayang yang ikhlas dan murni. Mudah-mudahan kita sentiasa dalam RAHMAT, REDHA dan KEAMPUNANNYA.

Thursday, November 11, 2010

Dunia dalam punya cerita


Selagi ada sifat berlumba-lumba, tamak, takbur dan riak selagi itu manusia tidak akan berhenti untuk mendabik dada dan berkata bahawa "akulah yang terbaik"






Survival






Yang terbaik mestilah yang asli dan suci

Sunday, November 07, 2010

Filem & drama Melayu


Sejak akhir-akhir ini rasa malas nak tonton rancangan drama Melayu, bukan apa hanya agak bosan dengan cerita yang disogokkan, fasal cinta cintun, kisah hantu, pergolakan keluarga, hasad dengki dlam dunia perniagaan dan banyak lagi cerita yang memualkan. Kebanyakan yang dipaparkan adalah kepincangan dalam masyarakat kita sehingga boleh memberi kesan negatif kepada bangsa lain.

Bukan tiada tapi amat jarang ditemukan cerita yang membangun minda, meniup semangat juang, memupuk jati diri atau motivasi dalam dunia perniagaan kecil-kecilan yang akhirnya membawa kepada kejayaan. Cerita yang realistik bukan yang ekstrim hingga sukar dipercaya. Mengkritik tak semudah membuatnya. Mereka yang berada diindustri tersebut saja yang tahu betapa sukar memerah otak untuk mencari cerita yang boleh boom. Masalahnya bila berlumba-lumba buat filem atau drama dengan matlamat utama adalah "Box Office" atau meletup maka cerita yang terpaksa kita tonton tinggi kualiti dari segi teknik penggambaran dan teknologi yang digunakan tapi rendah dari sudut moral.

Thursday, October 21, 2010

Di persimpangan


Sahabat blogger semua,
Ini adalah kisah benar, saya mengharapkan pandangan yang ikhlas bagi membantu insan ini menyelesaikan masalahnya. Saya telah memberikan pandangan dari sudut kaunseling dan saudara / saudari semua bebas dalam memberi pandangan.



Lelaki ini seorang pegawai polis berpangkat DSP dan 3 tahun lagi akan berpencen. Beliau telah mendirikan rumahtangga dengan seorang guru yang 3 tahun lebih tua darinya dan baru pencen pada jawatan Pengetua. Pada 8 tahun pertama perkahwinan mereka amat bahagia hingga dikurniakan beberapa 4 orang anak termasuk seorang lelaki. Selepas dari itu hubungan mereka menjadi amat dingin. Walaupun beliau telah cuba sedaya upaya untuk menghangatkan kembali cinta mereka seperti memberi jambangan bunga dan hadiah setiap kali ulangtahun kelahiran / perkahwinan dan membawa isteri melancong dalam dan luar negara namun ternyata ia sia-sia.

Sejak 14 tagun sedah mereka telah tidak menjalani kehidupan seperti suamisteri yg lain, tidur berasing dan tidak bertegur sapa. Beliau mendakwa tidak dipedulikan isteri. Beliau juga menafikan ada membuat sesuatu yg menjadikan isteri amat marah dan berdendam seperti curang dan sebagainya.

Baru-baru ini isteri belia telah mendapat kanser payudara dan telah menjalani pembedahan. Beliau mendakwa telah menjaga isteri dan tetap sayangkan isterinya tapi sekarang perasaan itu hanyalah setakat sayang abang kepada adik.

Beliau tidak boleh berpoligami tetapi mesti dengan izin isteri pertama kerana itu adalah peraturan jabatan Polis. Isteri beliau membantah sejak lama dulu dan telah membuat aduan kepada jabatannya dengan menfitnahkan beliau. Akibatnya beliau tidak mendapat kenaikan pangkat seperti sepatutnya. Saya sarankan agar mendapatkan sokongan ketua jabatan tetapi beliau mendakwa telah mencuba dan ditolak.

Ketiga-tiga anak perempuan beliau memahami kecuali anak yg lelaki, masalahnya sekarang beliau sudah tidak sanggup menahan sabar dan menanggung kesepian, beliau mahu merasa kebahagian hidup sebagai seorang suami. Permintaan beliau untuk bernikah telah dijawab dengan perbagai ancaman dari isteri. Beliau tidak pernah mengabaikan isteri walaupun tidak mendapat layanan lansung, beliau bimbang akan menjadi sasau dan tidak dapat fokus kepada kerja.

Justeru beliau ingin bernikah lagi, ada halangan isteri, anak lelaki dan jabatannya. Jadi apakah nasihat sahabat blogger semua agar beliau tidak terseksa lagi? Kami suamisteri kenal baik dengan beliau dan memang ada perubahan sikap dan keterampilan beliau yg drastik tak seperti dulu, kini nampak kacau, serabut dan pendiam. 14 tahun merupakan hukuman yg tak sepatutnya beliau tanggung.

Tuesday, October 05, 2010

Assalamualaikum


Tadi pagi turun dari kereta aku melangkah dengan wajah ceria menuju ke lif. Tanpa perlu menunggu rupa-rupanya telah sedia terbuka salah satu dari pintu lif di situ. Mendahulukan kaki kanan melangkah masuk ke dalam lif dengan ucapan "Assalamualaikum" sambil memandang sepintas lalu mereka yang sedia berada didalam lif tersebut. Wajah-wajah orang kita lelaki kemas berkemeja lengan panjang dan wanita yang manis bertudung berbaju kurung adalah kira-kira 7 ke 8 orang. Huhhhh malangnya tak seorangpun yang menjawab salam yang ku hulurkan macam tak dengar lansung, sertamerta naik angin satu badan kesal dan kecewa. Tak tahulah kalau mereka bukan Islam, tak tahulah kalau mereka semua ada masalah pendengaran dan tak tahulah kalau mereka itu bisu belaka.

Ini bukan masalah baru dah selalu dibangkitkan, sejak di bangunan pejabat lama sampailah ke bangunan baru yang lebih indah dan agam ini, nampaknya sikap orang kita sama sahaja. Amat sukar nak bertegur sapa walaupun sering bersua muka berkali-kali dalam sehari. Bukan tiada yang mesra dan ikhlas tapi jumlahnya satu dalam sepuluhpun susah, tak percaya?

Salam adalah antara kekuatan kita umat Islam, salam bisa melembutkan hati dan menjalin silaturrahim. Jjanganlah disalah anggap bila menerima salam. Bukankah kita telah dipesan untuk saling hormat menghormati, yang muda dulu memberi salam kepada yang lebih tua, kalau kita di atas hulurkan salam dahulu kepada yang di bawah, hatta sebelum masuk rumahpun kita dianjurkan agar memberi salam. Salam adalah alat komunikasi paling berkesan dan penuh hikmah. Janganlah diabaikan fungsi salam kerana salam itu ucap selamat kita sesama ISLAM

Monday, September 20, 2010

Bersama berusaha membina bahagia

Terasa buntu tak jumpa jalan penyelesaian atau sebab sama-sama ego tak mahu mengalah dan mementingkan diri sendiri. Bukan tak sayang tapi yakin dengan keptusan yang diambil adalah yang terbaik tanpa memikirkan risikonya.


Apa salahnya bawa berbincang, tak cuba tak tahu kalau dicuba ada peluang 50 - 50, untung sabut timbul untung batu tenggelam (mana ada batu yang timbulpun. Jangan dianggap perhubungan itu satu perjudian sebaliknya ia adalah perkongsian.

Pantai mana tak pernah dilanda ombak laut mana yang tak pernah bergelora?


Bersama berusaha Insyaallah kita akan sampai ke pulau impian dan menemukan bahagia.Pokoknya yakin dan tawakkal kepadaNYA.

Tuesday, September 14, 2010

Jumpa Lagi Ramadhan Al Mubarak, Insyaallah


Diam tak diam dah dah 5 hari Syawal bertandang. Sebulan bergelumang dengan Ramadhan saat sedang asyik serta ghairah mengutip pahala dan redha ia pergi tanpa dapat ditahan. Syawal disambut meriah, berbelanja lebih untuk membeli persalinan baru, menghias rumah dan menyediakan juadah. Ramai yang melepaskan keberangkatan ramadhan tanpa rasa sedih dan resah. Namun ramai juga yang pilu dan gundah manalah tahu kalau ini pertemuan yang terakhir bukankah Ramadhan setahun sekali saja. Apakah kekangan diri dari melakukan yang engkar dan mungkar akan terus diamalkan. Apapun mudah-mudahan ibadah berganda yang dilaksana itu akan diteruskan sampai bila-bila kalau tidak semuanya sebahagianpun Alhamdulillah.
Syawal juga sepurnama, apakah kita akan leka berkunjung untuk berpesta makanan sehinggakan memperbaharui tali silaturrahim bukan tujuan utama, cukup sekadar bersalaman dan mengucap selamat sedangkan pohon maaf sepatutnya diucapkan penuh ikhlas dengan harapan dari dasar hati nan murni. Semoga kita semua kembali kepada fitrah dengan keadaan yang lebih baik dan bererti dari sebelumnya.

Wednesday, September 08, 2010

Salam Eidul Fitri


SALAM EIDUL FITRI KEPADA SEMUA SAHABAT BLOGGER, SAYA POHON MAAF ATAS SEGALA KEKASARAN BAHASA DAN KETERLANJURAN KATA SEKIRANYA DALAM BERKARYA ADA ENTRY YANG MENYINGGUNG PERASAAN TANPA SAYA SEDARI. SEMOGA IBADAH PUASA KITA DITERIMA ALLAH SERTA PERSIAPAN MENYAMBUT RAYA DIBUAT TANPA PEMBAZIRAN YANG MELAMPAU. SELAMAT BERGEMBIRA DAN BERBAHAGIA BERSAMA MEREKA YANG TERSAYANG. JANGAN LUPA PUASA SUNAT DI BULAN SYAWAL AGAR IBADAH DAN HIDUP KITA BERTAMBAH BERKAT.

BARAKALLAHULIWALIWALIKUM

NOORLARA NOOR

Thursday, September 02, 2010

Bahagiakan ayah ibu di hari raya


Sudahkah kita memberi peruntukan kepada ibu di kampung untuk perbelanjaan menyambut eidul Fitri. Kalau tak banyak sedikitpun tidak mengapa asalkan membuat ibu merasa lega dan bahagia. Kalaupun tidak dapat balik beraya sekurang-kurangnya keperluan mereka tidak terabai. Apalah gunanya kita beraya sakan bersama isteri, suami dan anak-anak tetapi ibu merasa disingkirkan dari ingatan dan tanggungjawaban.


















Masih ada ayah, bersyukurlah kerana kita lebih bertuah dari yang lain. Bagaimana sepersalinan baju melayu, songkok dan capal. Amboi bergaya megah ayah, abah, bapak atau apa saja yang kita panggili mereka. Belanja tak seberapa, setahun sekali pula, takkan masih berkira- kira.









Sanggupkah kita membiarkan ibubapa menunggu sehingga mati, ingatlah mengembirakan hati ibu dan ayah hasilnya doa yang membawa ke surga.

Wednesday, August 25, 2010

Ayah yang bahaya

Minggu-minggu kebelakangan ini kita dikejutkan dengan berita yang tak pernah terfikirkan sebelumnya. Kisah-kisah benar anak-anak yang didera, disimpah dengan asid, dipaksa minum racun malah dibunuh oleh ayah sendiri. Nilai kasihsayang seorang ayah semakin rapuh. Kerapkali suami isteri yang menghadapi konflik rumahtangga menjadikan anak sebagai bahan melepaskan geram. Justeru mengikutkan kata hati mereka melakukan perbuatan kebinatangan yang melupakan hakikat bahawa anak-anak yang menjadi mangsa itu adalah darah daging sendiri yang lahir dari rasa cinta kasih. Malah binatang pun hanya sedikit cuma yang tidak mengenal anak.



Pada hakikatnya adalah mustahil seseorang ayah sanggup berbuat demikian. Di sana ada sebab musabab yang mendorong terjadinya musibah tersebut. Perasaan cemburu, kegagalan menyara anak isteri dan sakit mental antara faktor yang membuat seseorang ayah hilang pertimbangan. Bertindak untuk melepaskan perasaan marah atau kecewa demi kepuasan hati sendiri sehingga terlupa bahawa yang disiksa itu anak yang suatu masa jangankan dijentik, digigit nyamukpun tidak direlakan.
Apakah tuntutan kehidupan hari ini pantas membuat kita menjadi cepat resah dan marah. Siapakah sebenarnya sepatutnya bertanggungjawab akan kejadian-kejadian yang menyebakkan dada ini. Salah kitakah sebagai ahli masyarakat yang tidak peka dan ambil peduli kepada keperluan mereka yang tidak punya. Atau semua ini terjadi kerana pelaku tidak berpegang kepada agama, tidak yakin bahawa Allah adalah tempat mengadu dan sebaik-baik tempat untuk berlindung.

Saturday, August 21, 2010

Kerana mulut


Pepatah Melayu ada mengatakan "Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya" justeru "Kerana pulut santan binasa kerana mulut badan binasa".

Seringkali pertengkaran, pertelingkahan dan pergaduhan bermula dari kata-kata yang keluar dari mulut kita. Bercakap ikut sedap mulut tanpa mengkaji buruk baiknya. Berapa banyak kes kes perceraian berlaku hanya kerana perkataan yg dihamburkan telah menyakiti atau mengecilkan hati pasangan. Akibatnya pasangan melancarkan perang dingin atau lebih teruk lagi pergi menjauhkan diri.

Anihnya semakin lama perhubungan maka semakin sensitif perasaan suami atau isteri. Kekadang kata-kata yang mulanya adalah gurauan tiba-tiba menyebabkan keduanya bertegang urat atau berperang mulut. Oleh kerana itu berhati-hatilah bila bercakap. Katakan yang indah,menegur dengan berhemah dan jangan dilayan pertelingkahan pendapat sehingga menjadi pergaduhan yang mengujudkan permusuhan yang tidak perlu. Kata-kata kesat, menghina dan memperkecilkan pasangan hanya akan menghakis rasa kasih dan sayang. Apalah maknanya hidup bersuami isteri jika api cinta dan kasih sayang kian terpadam.

Kata orang "Mulut nak manis, hati nak baik".

Wednesday, August 18, 2010

Keliru


Pada suatu ketika hubungan itu amat rapat bagaikan isi dengan kuku, aku adalah engkau dan engkau adalah aku. Begitu masa berlalu hangatnya percintaan membakar jiwa dan asmara. Setiap detik wajahmu terbayang dan namamu meniti di bibir. Tiada apa yang lebih penting selain engkau, engkau dan engkau. Ikatan yang berlandaskan perasaan kasihsayang yang melimpahruah memeriahkan hari hari kita.

Masa terus berlalu biasalah alangkan lidah lagikan tergigit inikan pula kita manusia. Namun sentiasa ada pengertian dan kemaafan. Apa yang penting adalah keikhlasan dan kejujuran dalam perhubungan.

Entah kenapa kini tiba-tiba sahaja kita saling menjauhkan diri, engkau dengan hal engkau dan aku dengan hal ku. Aku masih amat merinduimu tapi tak pasti kalau kau juga begitu. Aku masih menantikan tibanya detik indah seperti dulu tapi apakah ia akan berulang kembali. Memang aku terluka dengan perbuatanmu dan kau juga tersayat dengan perlakuan ku tapi tidak bolehkah kita melupakannya dan memulakan kehidupan baru di penghujung usia ini. Kalau kau kembali aku akan sentiasa menerimamu seperti dulu.

Cuma aku bimbang kalau tahap kesabaranku semakin luntur, aku bimbang kalau cinta dan kasih sayangku kian lebur dan paling aku bimbang kalau aku terjebak dalam perangkap cinta yang ternganga luas menanti mangsanya iaitu aku! Justeru aku hanya seorang lelaki yang tidak ingin terbelenggu dalam deraan rasa sepi, kecewa dan resah yg berpanjangan.

Aku semakin keliru...haruskah aku membiarkan kau terus bebuat suka hati... atau aku lepaskan kau pergi...

(Coretan ini khas untuk sahabatku Z sering ditinggalkan...)

Saturday, August 14, 2010

Puasa oh puasa

Bagaikan suatu kemestian setiap tahun datang Ramadhan bagi yang berpuasa untuk mengunjungi Bazar Ramadhan berbelanja. Setiap petang kita akan berpusu-pusu ke bazar-bazar tersebut.

Bermacam-macam jenis kuih-muih dan lauk-pauk yang dijual oleh peniaga yang bagai cendawan tumbuh lepas hujan mengambil peluang untuk menjana pendapatan sebanyak mungkin.






Kadang-kadang kita membeli lebih dari keperluan. Membeli mengikut nafsu mata. Penyudahnya banyak yang terbuang, sayang sayang!


Antara tujuan berpuasa adalah untuk merasai sama keperitan berlapar golongan fakir miskin. Realitinya kita lebih banyak berbelanja untuk makanan. Membazir setiap hari. Ini sudah tentu menjejaskan fadhilat puasa itu sendiri.

Tuesday, August 03, 2010

Syukur Alhamdulillah



Tiada apa yang kita sayang maka sayangilah apa yang kita ada.
Janganlah cepat berputus asa kerana orang yang berputus asa sebenarnya telah mati sebelum masanya.

Kalau rumah kita jauh lebih baik dari ini kenapa nak yang besar macam istana.
Yang penting bahagia.

Friday, July 30, 2010

Sayangi diri

"Memang payah nak marah pada orang yang kita sayang. Jangan kata nak jumpa dengar suarapun hati jadi sejuk serta merta. Macamana nak bagitahu dia yang aku tahu dia telah menipu aku selama ini. Mereka cerita-cerita duka lara hanya untuk memenangi hatiku. Kenapa tiba-tiba saja aku tak sampai hati menyatakan yang sebenar dan menegaskan kepadanya yang aku nak hubungan kami diputuskan"

Aku biarkan seseorang itu meluahkan perasaan geramnya pagi tadi. Tanpa memberi sebarang komen aku senyum dan berkata "Itulah cinta".

Itulah sebabnya keskes penderaan mental dan fizilkal dikalangan pasangan kekasih dan suami isteri sukar dibendung sebab mangsa gagal membebaskan diri dari pautan cinta. Memang benar pelaku kebanyakannya juga cinta kepada mangsa namun bukan cinta sebenar jika membawa derita, bukan cinta suci kalau membuat pasangan merana.

Sekali kita memberi peluang kepada cinta yang tidak setia dan berdolakdalik, kita akan terus tertipu. Sayangi diri kita sebelum kita menyanyangi orang lain. Memang sukar untuk melupakan tapi percayalah suatu hari bernama esok pasti ada sidia yang akan menyintai kita sepnuh hati. Bila sudah mengambil keputusan bertindaklah dan bersedia menerima risikonya. Jangan terus memendam rasa kerana ia barah yang akan memakan diri. Janganlah bimbang, sesungguhnya Allah bersama kita di mana-mana setiap masa.

Tuesday, July 27, 2010

Cinta Suci


Kasihsayang yang sejati adalah suci. Bebas dari tipudaya dan pura-pura. Sentiasa sedia menerima kenyataan dan tidak mengada-ngadakan cerita hanya untuk mengambil kesempatan serta mendapatkan simpati dan cinta. Kalau ia terjadi maka percayalah lambat laun yang benar akan diketahui juga. Ketika itu kemaafan tidak berguna lagi.
Yakinlah pada diri dan percayalah jika sudah namanya cinta dia akan menerima kita seadanya.

Friday, July 23, 2010

Kurang upaya tapi berupaya


Dulu pokok ini macam yang lain juga pasunya menadah langit tapi disebabkan kesibukan aku lupa untuk mencantasnya, akibat dari itu pokok ini tumbang mendakap bumi. Bertahun menanamnya sayang pulak nak dibuang lalu ku biarkan ia terus tumbuh walaupun dalam keadaan terbalik. Ada menganggap pokok ini telah cacat tapi aku melihatnya penuh seni dan luar biasa indah.

Demikian juga dalam kehidupan sehari-hari seringkali kita memandang remeh keupayaan mereka yang kurang upaya. Tanpa memberi ruang dan peluang mereka segera diketepikan sedangkan yang cacat mungkin tubuh badan sahaja bukannya keupayaan akal fikiran. Kehebatan mereka kekadang diluar jangka.

Wednesday, July 21, 2010

Orang kita...

Semalam sebaik keluar dari rumah untuk ke Kuala Lumpur sesampai dipersimpang ke Changkat Larang kami dapati kenderaan macet tanpa diduga. Tidak pernah ianya berlaku sebelum ini, tentu ada sesuatu yang terjadi. Tepat dugaan kami, rupa-rupanya ada sebuah kereta Proton Saga merah rosak betul-betul di pertengahan simpang tiga. Kelihatan pemandunya terkial-kial membelik injin kereta namun jelas beliau tidak tahu apa sebenarnya punca kerosakan kereta itu.

Tiada seorangpun yang turun untuk membantu malah ada yang tanpa rasa bersalah dengan sombong bernada marah membunyikan hon. Masing-masing berlumba-lumba meloloskan kereta dari kesesakan itu untuk ke tempat kerja.

Kesihan dia! Kami mengambil keputusan untuk memberi bantuan suamiku A turun menolong menolak kereta itu ke seberang jalan bagi mengelakkan kesesakan berterusan.. Nampaknya pemandu lain masih membutakan mata. Malah A dimaklumkan telah hampir 10 minit beliau di situ mengharap pertolongan.

A menolak seorang diri tanpa bantuan pemandu lain




Kereta berjaya ditolak ke seberang jalan. Pemandu itu mengucap syukur berulang kali dan terimakasih yang tidak terhingga. kami meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur dengan perasaan lega dan rasa puas yang sukar digambarkan.

Inilah antara kelemahan sikap kebanyakan orang kita. Sukar menghulurkan bantuan kepada kecuali diminta berulangkali. Tidak pernah terfiki bahawa suatu hari bernama esok mungkin kita juga akan ditimpa musibah seumpama itu. Jadikanlah amalan setiap hari dengan memasang niat untuk membuat kebajikan sebaik saja keluar dari rumah hingga kembali. Hidup ini amat singkat jadi berbuatlah bakti sebanyak mungkin agar usia kita tidak terbuang begitu saja.

Thursday, July 15, 2010


Sukarnya untuk meninggalkan seseorang yang disayang, keterpaksaan amat menyiksakan namun kalau ia merupakan jalan yang terbaik maka jangan menoleh lagi. Demi mengembalikan hak dan kepentingan orang lain, agar terhindar dari dosa yang mengejar.
Sedih dan pilu bagai tersayat sembilu, dunia rasa gelap, langit kelabu dan mentari entah ke mana.

Semoga tuhan menambah kekuatan jiwa dan ketabahan hati. Percayalah luka itu akan beransur sembuh kalaupun parutnya akan kekal sampai kemati kita tidak akan menyesal kerana berjihad melawan nafsu. Sesekali mungkin kita akan tertewas oleh rasa rindu, belajarlah untuk menepis resah, berkorbanlah untuk kebahagiaan orang lain.
Cerita itu akan jadi sejarah cubalah untuk tidak membuka lipatannya agar hati tidak menjadi rawan dan gundah gulana. Cinta dan kasih sayang itu? Serahkan kepada Allah untuk menentu.

Wednesday, July 14, 2010

Kenangan


Ada ketikanya kita mahu lari dari keriuhan yang mengganggu fikiran dan membingitkan telinga. Bersendirian, tanpa sesiapapun. Mengintai jendela masa yang telah berlalu, memungut butiran peristiwa yang terdampar di pantai kenangan, yang indah dan yang pahit. Terkadang tanpa sedar kita tersenyum dan tanpa paksa kita menangis. Kita terantai oleh sejarah silam, kalaupun ianya telah berlalu anehnya tanpa diundang ia tetap datang menerjah sesuka hati. Tanpa bantahan kita melayaninya selagi-lagi.

Friday, July 09, 2010

Kepercayaan


Kadangkala kita jadi keliru dan terkilan bila kepercayaan atau keyakinan yang kita berikan kepada seseorang itu dikhianati. Seseorang yang pada fikiran kita adalah pilihan paling tepat dan terbaik pada masa itu. Seseorang kononnya yang amat rapat dan mengerti tentang diri dan perasaan kita. Lalu tanpa berfikir berulang kali lagi kita dengan putih hati menyerahkan rahsia diri untuk berkongsi cerita dan melepaskan tekanan jiwa. Tanpa curiga penuh percaya.

Justeru jadilah kita yang sebagaimana kita mahu seseorang itu berperilaku. Menyimpan amanah rahsia diri siapa saja yang menagihnya dari kita. Ia adalah satu penghormatan yang bukan semua dapat memilikinya. Kepercayaan dan keyakinan yang menuntut kepada keikhlasan hati dan menjaganya selagi hayat dikandung badan. Agar tiada sesiapa merasa betapa sakitnya dikhianati apatahlagi oleh kawan sendiri.

Wednesday, June 23, 2010

Luangkan masa...




Luangkan masa untuk berfikir
ia merupakan sumber kepada kekuatan
luangkan masa untuk bermain
ia merupakan rahsia keremajaan yang abadi
luangkan masa untuk membaca
ia adalah sumber kebijaksanaan
luangkan masa untuk sembahyang dan berdoa
ia adalah ketenangan yang paling besar di dunia
luangkan masa untuk bercinta dan dicintai
ia adalah perasaan anugerah Tuhan
luangkan masa untuk beramahmesra
ia adalah jalan menuju kegembiraan
luangkan masa untuk ketawa
ia adalah irama untuk jiwa
luangkan masa untuk memberi
ia mengurangkan sikap mementingkan diri
luangkan masa untuk bekerja
ia adalah harga sebuah kejayaan
luangkan masa untuk beramal jariah
ia adalah kunci jalan ke syurga


***************************************

Petikan dari Buku Matlamat Hidup
terima kasih kepada penulis ini yang tidak diketahui siapa kerana aku hanya mendapat helaian ini sahaja.

Thursday, June 03, 2010

Asam Pedas...

Tetiba saja teringatkan asam pedas ikan parang yang selalu mak masak, orang Melaka katakan. Sedapnya tak terkata malah aku mengaku tak pernah merasa masakan asam pedas sesedap masakan mak. Malahan asam pedas buatanku sendiri tak pernah dapat menandingi keenakan air tangan mak tu.






Ini asam tumis atau asam rebus yang selalu dihidangkan oleh keluarga sebelah abah bila kami berkunjung balik ke Air Hitam, Keluang, Johor. Udah lebih sepuluh tahun aku tak merasainya lagi kerana di Perak ini manalah ada orang menjual sulur keladi, malah setiap kali aku bercakap fasal sulur keladi kebanyakan mereka akan kehairanan kerana tak pernah lihat sulur keladi.

Friday, May 28, 2010

Bagaimana harusku katakan...

Jalan buntu atau membuntukan jalan?


Seseorang yang terjebak dalam cinta terlarang, berharap agar perangkap perasaan itu hanyalah mimpi ngeri atau ingauan di siang hari. Namun hakikatnya setiap kali dia membuka mata kenyataan mengejarnya dengan penuh rasa bersalah dan kesal.

Betapapun dia cuba untuk menghindari, cuba menjauhkan diri, cuba membuat kerenah agar terbit rasa benci, semuanya sia-sia belaka. Perasaan cinta itu semakin mendalam dan merantainya, memenjaranya hingga dirasakan tiada ruang untuk keluar. Atau dia sengaja tidak ingin melihat pintu keluar yang masih terbuka itu.

Aku katakan padanya, tiada masalah yang tidak ada jalan penyelesaian. Macam malam akan mencerah bila datangnya siang dan macam duka akan sirna bila datang suka. Pokoknya mahu atau tidak, sanggup atau tidak, rela atau tidak. Fikirkan tentang dia dan diri sendiri sahaja ke? Bagaimana tentang mereka yang rapat dengan kita yang telah menjadi mangsa akibat kedangkalan kita? Berapa lama sanggup menghimpun dosa?
Sanggupkah menghakis pahala yang tentunya tak sebanyak mana.

Erm tentu bercakap memang senang, menuduh memang mudah sebab kita tidak berada di tempat mereka. Cinta sesuatu yang datang tanpa diundang tanpa dirancang macam yang selalu diperkatakan. Perpisahan akan membuat hati luka dan kecewa, tangis dan airmata serta derita jiwa. Akan tetapi seperti menelan ubat tentulah pahit, biarlah salkan semboh penyakit. Macam luka lama-lama kan hilang pedihnya biarpun parut kan kekal selama.

Kuatkan semangat dan tekad, katakanlah yang benar biarpun ia amat menyakitkan. Pulangkanlah hati yang cedera itu kepada Allah untuk merawatnya. Sebaik keluar dari perangkap itu berjalanlah terus jangan menoleh lagi, sebab rasa cinta akan membunuh niat sucimu, rasa kasih akan melimpahkan kasihan belas dan rasa sayang kan membuat keinginanmu terhalang. Jangan terus terbelenggu oleh nafsu nanti kita semakin keliru. Jangan sampai rahsia terbongkar dan ada yang terbakar.

Seseorang itu terus merenungku dan bertanya " Bagaimana harusku katakan...."
Nampaknya masalah seseorang itu takkan pernah usai!

Monday, May 24, 2010

Katakan...


Katakan cepat
sebelum terlambat
nanti tak sempat

katakan jangan malu
biarku tahu
agar tak keliru

katakan saja
apa kau rasa
aku kan terima

katakan
atau kau ku tinggalkan...

23/05/2010 Ahad
10.00 mlm

Sunday, May 16, 2010

Harum Subur Di hati


Dilingkaran diamku termanggu
terkenangkan kembali
saat indah aku bersamamu
dibelai cinta suci

sewaktu kelukaan hatiku
kau datang dan memberi
Taburan bunga cinta sucimu
Harum subur di hati

Tapi kini kau pergi
tinggalkan aku sendiri
mengusir sepi mengusir rindu
terpisah selama-lamanya
kau pergi dariku
Titisan airmata di pipiku
memanjat doa suci
Saat indah aku bersamamu
Masih tetap di hati

Cintaku masih untukmu
Rinduku masih padamu
Biarpun kita terpisah jiwa
Namamu tetap di kalbu

ku semadikan cintaku
di dalam doa kudusku
Kepada Tuhan aku meminta
damailah engkau di sana
menghadap Tuhan YANG MAHA ESA

Nyanyian Kumpulan BPR (Bumi Putera Rockers)

Friday, May 07, 2010

Allah selamatkan kamu...



Masih ingatkah kalian kepada saudara Naim Noordin yang pernah ku ceritakan mengenai kanser pankereas tahap 4 namun masih gigih dan tabah melawan serangan ganas sel sel kanser yang sudahpun mula menguasai paru-parunya. Terbaru doktor yang merawat beliau menyarankan supaya "Open Scull Operation" dijalankan sebagai ikhtiar untuk memperlahankan pertumbuhan sel-sel tersebut ke organ dalam yang lain. Keengganan itu akan menyebabkan umur beliau mungkin berkurang sebanyak 3 tahun mengikut makluman pakar yang merawat beliau. Namun beliau menolak kerana tidak mahu tubuhnya dalam keadaan yang cacat sekiranya beliau ditakdirkan "pergi". Justeru sebagai alternatif mulai minggu lepas dan 5 minggu akan datang dia sekali lagi harus menjalani rawatan kimoterapi dengan dos yang tinggi.

Anihnya saudara Naim masih terus bekerja seperti biasa kesokan harinya sebaik sahaja habis rawatan tersebut. Sesekali bila kami berbual melalui telefon aku dapat mengesan penderitaan yang ditanggung oleh tubuhnya dari keserakan suaranya yang agak lemah. Seringkali bila aku mempersoalkannya beliau akan segera mengubah rentak suaranya seakan cuba menyembunyikan kesakitan yang terpaksa ditanggung.
nya.

Itulah saudara Naim sahabatku yang amat kuat semangat dan kemahuan untuk terus hidup. Mereka yang arif dalam perubatan ada menegaskan bahawa hanya kekuatan semangat dan kasihsayang keluarga serta mereka yang di sekeliling dapat membantu pesakit kanser menjalani kehidupan dengan lebih yakin dan tenang. Doa yang penuh pengharapan dan usaha yang istiqomah juga antara elemen penting bagi mereka.

Entry ini khas untuk sahabatku Naim Noordin yang malam ini akan terbang ke London untuk menjayakan promosi bersama Perbadanan Pelancongan Malaysia. Insyaallah dengan izinNYA beliau akan selamat dalam perjalanan, sampai ke destinasi dan kembali. Semoga Allah S.W.T permudahkan urusan rawatan beliau dan dilanjutkan usia. Bersamalah kita mendoakan beliau.

07 Mei 2010
Jumaat 10.50 mlm

Tuesday, April 20, 2010

Berakhir cerita berakhir derita.....Innalillahi wainni Ilaihirajiun


Sejak pagi Sabtu 17 April mingu lepas ada menerima "miss call" da dan panggilan penting dari harida di Melaka dan Naim di KL. Sebaik usai Majlis Penyampaian Sijil kehadiran aku bergegas bilik penginapanku di No. 445 bersiap untuk meninggalkan Hotel Awana Kijal Beach and Golf Resort, Kemaman, Trengganu.

Memandangkan panggilan dan smsku sebelum ini tidak pernah dibalas oleh Haridah jadi aku menganggap itu panggilan balas darinya. Namun sebelum sempat aku membuat panggilan, sms Harida terlebih dahulu memeranjatkanku pagi itu dengan memberitahu
"sahabat karib kita telah kembali ke Rahmatullah pagi tadi, mayat akan dikebumi selepas zohor" - singkat perbualan kami, sebak dan suara ku tersekat-sekat. Akan tetapi sesudah itu perasaanku amat sedih dan tanpa dapat ku kawal aku menangis dan meraung sekuat hati, tetiba saja aku merasa kehilangan yang amat sangat, kisah-kisah suka duka waktu kami bersama waktu di sekolah rendah, menengah rendah dan di kolej datang silih berganti. Aku tak tahu apa harus aku lakukan, untuk balik ke Melaka tidak sempat seaba penerbanganku ke KLIA hanyalah jam 19.15 mlm malah tiadapuala penerbangan terus ke Melaka. Dalam kedukaan itu aku hanya telefon Naim, mendengar raung dan tangisku dia dah tahu yang aku memang dah tau. Pelan-pelan dia nasihatkan aku agar bersabar dan memberitahu akan menziarahi arwah dengan seorang lagi kawan kami tapi tak sempat menghadiri upacara pengebumian. Aku masih menangis tersedu-sedu hingga merah dan bengkak mata.

Sahabat blogger!

Masih ingatkan entry bulan Oktober 2009. Cerita dukaku ini adalah mengenai Esah Abu yang mengidap Kanser Servik sejak tahun 2006. Rupa-rupanya benarlah kata-katanya bahawa pertemuan 22 Oktober itu adalah yabg terakhir. Patutlah terasa amat berat untuk aku melangkah pergi hari itu, dua kali akSejal itu aku tidak pernah culas untuk berdoa biat mereka berdua setiap kali lepas sembahyang dan ketika hendak tidur. Malangnya aku tidak sempat menziarahinya lagi sesudah itu kerana hambatan masa dan kerja atau aku yang sebenarnya tidak serius. Siapakah yang dapat menghalang takdir yang sudah tentu lebih baik untuk arwah. Kesedihanku belum sirna, airmata ini mudah saja menitis membuat dadaku sebak dan hatiku pilu.

Arwah bukan saja seorang sahabat yang terbaik antara kami bertiga, dia, Harida dan aku malah dia lebih warak dan ikhlas dalam bersahabat. Sedikit lepas cakap tapi penyayang dan tidak nakal seperti aku. Kami sering bergurau dan dia paling ikhlas kalau memuji. Kami bertiga sering berbincang bersam bila tiba musim peperiksaan dan keputusan kami biasannya tidak jauh beza.

Kini aku telah kehilangan seorang sahabat, pergi dan tidak mungkin aku berjumpanya di dunia ini lagi. Namun aku tidak akan berhenti berdoa untuk kesejahteraan rohnya di alam kubur. Insyaallah dengan Alfatihan dan Al Ikhlas setiap hari dan Surah Yasin setiap minggu bila keadaanku mengizinkan, agar Allah memberikan aku kekuatan dan tidak menjadikan aku lupa malakukan semua ini hingga akhir hayantku. Sudah tentu doaku tidak sebaik doa anak yang soleh namun aku tetap percaya sedikit sebanyak doaku akan diperkenankan Allah.

YA ALLAH KAU MASUKKANLAH ROH ALLAHYARHAM ESAH ABU DALAM GOLONGAN ROH ROH YANG KAU KASIHANI DAN RAHMATI, ROH ROH GOLONGAN MUSLIMAT YANG BERIMAN. KAU AMPUNI DIA . LAPANGKANLAH DAN TERANGKANLAH RUANG KUBURNYA. AMIN YARABBAL A'LAMIN

AL FATIHAH.

Wednesday, April 14, 2010

Janganlah marah sayang...


Baru baru ini kita dikejutkan dengan berita bagaimana seorang suami sanggup menyimbah asid ke muka dan tubuh isteri yg telah dinikahi sejak 16 tahun sudah hanya kerana isteri malang itu tidak memenuhi kehendaknya. Akibatnya sang suami akan merengkok dalam penjara dan si isteri menjadi cacat serta dikejar ingauan ngeri seumur hidup. Selain dari itu kuntum kasihsayang turut sama terkulai layu dan gugur. Semua ini terjadi gara-gara kegagalan suami menangani kemarahan dan keengganan isteri melaksanakan tanggungjawabnya.

Sebenarnya masih ramai lagi suami di luar sana yang menhadapi masalah yang serupa tapi masih boleh bersabar. Meraka adalah lelaki yang punya tahap kesabaran yang tinggi dan patut diberi pujian. Namun kalau boleh janganlah kita sebagai isteri mengambil kesempatan dan memandang remeh perkara tersebut. Melayan kehendak suami adalah wajib dalam apa hal sekalipun suami harus diutamakan, jangan sampai kesabaran mereka tidak terbendung lagi. Justeru lelaki itu hanyalah seorang manusia.

Kemarahan mengubah kehidupan yang indah kepada tragedi. Kemarahan akan membunuh impian dan kemarahan membuat hidup jadi kelamkabut. Setiap kali kita marah ada saja orang yang akan menjadi mangsa termasuk diri kita sendiri. Betapa banyak kemusnahan dan porakperanda terjadi gara-gara kita gagal membendung perasaan marah. Sehebatmanapun kita mencuba kita pada hakikatnya kita tidak dapat lari dari perasaan marah tapi kita boleh mengawalnya. Bayangkan betapa indah dan bahagianya hidup ini jika kita dapat menghindarkan diri dari marah. Cubalah jangan marah kerana marah hanya akan mengurangkan rasa cinta kasih dan sayang.


KLIA 14 April 2010 (Rabu) 4.09 ptg
Dalam perjalanan ke Kuantan

Wednesday, April 07, 2010

Alkisah binatang...

Sehebat hebat Pak tompok ni dia masih tidak dapat lari dari rasa penat. Dia perlu juga merehatkan badan untuk melepaskan lelah. Atau mungkinkah dia tengah kelaparan yang amat sangat? Oleh itu jangan mudah terpedaya nanti menjadi mangsa.



Memandangkan ayam ni binatang jadi tak bolehlah nak kata apa tapi sekurang-kurangnya siibu ini tidak membunuh dan membuang anaknya.



Tangan yang memberi lebih baik dari tangan yang menerima walaupun sebiji kacang tanah sudah cukup untuk menjinakkan sang tupai . Atau si tupai baru jatuh dari dahan pokok akibat dari lompatan yang tidak berhati-hati.