Thursday, December 10, 2009

Sepi seorang ayah...


Maka gemparlah seluruh desa berita seorang suami yang kematian isteri sejak 2 tahun lalu telah bernikah lagi. Jodoh keduanya anak dara umur 55 tahun 25 tahun lebih muda darinya. Berbagai pendapat dan pandangan pro dan kontra silih berganti, ada yang cakap perempuan itu adalah pilihan anaknya yang berkerja di Kuala Lumpur itu, ada juga yang memberitahu kononnya perempuan pilihan itu diperkenalkan oleh teman-teman yang sama bersembahyang di masjid kariahnya saban Subuh, Magrib dan Isya'

Yang tidak mengerti, marah dan mencaci, mencari pelbagai alasan bagi menyalahkan tindakan lelaki itu. Tidak mahu meletak diri di situasi lelaki itu.

Akan tetapi seorang lelaki yang terbiasa dimanjai oleh isteri, hampir segalanya diuruskan terutamanya makan minum, pakaian dan sakit pening. Pemergian isteri bukan saja telah meninggalkan dia kesorangan dalam sepi yang tidak siapa pun bisa mengerti kecuali yang pernah mengalaminya, tapi kehidupan yang dulu terurus tiba-tiba menjadi tidak karuan, hatinya rawan, jiwanya resah. Sudah tentu kesedihan menjenguknya dengan ramah sekali. Mengharapkan anak-anak, masing-masing dah besar dan ada tangungjawab serta bekerja dan tinggal jauh darinya. Kalau duduk serumahpun masih tidak akan dapat memenuhi keperluannya. Hari, minggu dan bulan pertama mungkin mereka akan cuba menemani dan menghiburkan hati bapa itu tetapi hidup harus diteruskan. Selepas itu lelaki yang kematian isteri akhirnya tinggal sendirian meneruskan hidup dalam kepayahan yang menyiksakan. Pilu hatinya bertambah parah bila malam menutup pintu siang, sukar melelapkan mata justeru tiada teman bicara sementara terlena. Duka seorang lelaki yang kematian isteri tak siapa bisa memahami.

Pernikahan baru sudah tentu sedikit demi sedikit akan menutup tirai kesedihan, memanaskan semangat yang hampir suam kuku dan hidupnya akan kembali ceria dan bermakna. Berbahagialah hendaknya.

Monday, December 07, 2009

Cerita anak dara ku yang manja...


Tiba-tiba saja anak daraku yang manja tu telefon mengadu sakit kepala dan bengang. Lama ku cuba mendapatkan jawapan sebelum dia memberitahu semua disebabkab rasa terkilan kecilhati dan sedih atas perbuatan kawan baik dia si K. K yang selama 3 tahun duduk serumah semasa di Medan Indonesia, K yang selama ini bersama berkongsi suka duka. K yang dulunya tidak pernah ssepatahpun anak dara ku bercakap buruk mengenainya. K yang kini tiba-tiba menjadikan anak dara ku yang manja tu sebagai seteru hanya sebab yang amat kecil iaitu terlambat mengambilnya untuk pergi kuliah, perkhidmatan yang diberi secara percuma sebab mereka tidak tinggal serumah lagi.

Dalam tangis anak dara ku yang manja terus menceritakan betapa pengorbanan yang dilakukan sejak mereka kembali belajar di Kepala Batas, Pulau Pinang. Aku melarang dia dari membebel menyenaraikan kebaikan yang telah diperbuat, aku minta dia menganggap semua itu sebagai suatu sumbangan dan tanggungjawab sosial yang mesti ditunaikan. Aku minta dia menghalalkan semuanya. Aku bagitau anak dara ku yang manja tu bahawa semua yang dilakukan mesti ikhlas agar hati tidak merasa kesal. Aku beritahu dia yang penting Allah tahu dia telah perbuat baik malah K juga tahu akan perbuatan yang baik-baik itu. Aku minta dia tetap menegur sapa K kalaupun dia akan bermasam muka sebab yang manis wajah dan baik tuturkata itu amat disukai Allah. Aku minta dia tetap bukakan pintu persahabatan andai K datang kembali mengetuknya. Aku ingatkan dia agar buat baik berpada-pada buat jahat sekalipun jangan. Aku katakan ia anak daraku yang manja anugerah Allah yang terbaik pernah ku miliki di dunia ini.
Di akhir perbualan anak dara ku yang manja itu memberitahu sakit kepala dan hilang dan perasaannya dah lega.

Lega sebab dia dah melepaskan beban yang tidak sepatutnya digalas oleh fikiran. Lega sebab dia telah memaafkan K walaupun hatinya luka. Dia lega sebab telah berbuat baik walaupun dibalas dengan demikian rupa.

Begitulah kehidupan ini kerapkali kita seperti melepaskan anjing yang tersepit, beri susu dibalas tuba malah ramai yang membuang tongkat setelah selamat sampai ke seberang. Mencari kawan bila-bila di manapun jua boleh namun mencari seorang sahabat kita mungkin memerlukan masa seumur hidup untuk menemukannya.

Monday, November 30, 2009

Cinta


Cinta memang hebat, kuasa cinta mengatasi segala. Lihatlah pasangan suami isteri ini, siisteri dilahirkan tidak berkaki sedangkan suaminya pula tiada bertangan. Kekurangan masing-masing itu melengkapkan antara satu sama lain. Disebalik kecacatan mereka saling berusaha mencipta kesempurnaan. Ternyata bahagia itu milik sesiapa saja di dunia ini asalkan saling bekerjasama mencapai satu matlamat.

Akan tetapi kenapakah ramai pasangan suami isteri yang sempurna sifatnya dan punya segala masih gagal menemukan kebahagiaan dalam rumahtangga mereka?

Wednesday, November 25, 2009

Selamat Hari Raya Qurban



Semoga pengorbanan mereka terdahulu yang taat, sabar, istiqamah dan tidak berputus asa kepada ketentuan Allah S.W.T menjadi landasan utama bagi kita meneruskan perjuangan hidup

Tuesday, November 17, 2009

Yang dulu yang baru


Aku baru saja bertukar ke pejabat baru mulai 29 Oktober 2009 yang lalu. Setelah kurang lebih dua setengah tahun menimba pengalaman bertugas di pejabat di bawah kerajaan negeri Perak kini aku kembali bekerja di bawah naungan Persekutuan.

Setiap kali bertemu rakan taulan yang tahu akan pertukaran ini pertanyaan pertama adalah samada aku seronok bertugas di tempat baru. Masih terlalu awal dan tidak adil bagiku memberi sebarang komen. Aku hanya berdoa yang aku telah membuat pilihan yang terbaik.

Kata orang tua tua yang lama sudah diketahui sepak terajangnya sedangkan yang baru entahkan baik entahkan tidak. Apapun ke mana kita pergi dengan siapapun kita bergaul, kita yang mesti pandai membawa diri, kita yang mesti sesuaikan diri dengan masyarakat dan persekitaran bukan memaksa orang lain mengikut rentak tari kita yang entah entah sememangnya sumbang.

Semua pengalaman pahit manis di tempat lama akan aku simpan dalam lipatan sejarah, menjadi kenangan seumur hidup, akan ku buka tatkala hati di gamit rindu. Kalau ada yang pernah menyakiti hatiku telah ku maafkan, begitu juga harapanku. Namun ikatan persahabatan yang telah terjalin akan terus dibajai agar terus subur mekar. Macam senikata sebuah lagu , kasih yang dulu simpan dalam mimpi kasih yang baru simpan di hati

Sunday, November 08, 2009

Gagasan 1 Malaysia Rakyat didahulukan Pencapaian diutamakan



Nampaknya harapan kakitangan awam untuk mendapat bonus hujung tahun hancur berkecai. Ini disebabkan kedudukan kewangan negara yang didakwa oleh kerajaan dalam keadaan yang tidak mengizinkan. Justeru kita yang berkenaan hendaklah bersyukur dengan wang ikhsan sebanyak RM500.00 yang telah diluluskan. Kalau boleh tidaklah perlu lagi meminta-minta seperti pengemis setiap menjelang pembentangan bajet tahunan untuk mendapatkan bonus sebulan gaji. Sedarlah bahawa Malaysia yang serba boleh dan punya satu-satunya menara berkembar tertinggi di dunia masih belum cukup makmur dan mewah untuk memenuhi permintaan kita itu. Kenalah cari jalan lain untuk menambah pendapatan asalkan jangan merompak, menyamun dan melakukan rasuah. Doa-doalah agar ekonomi negara terus berkembang dan bajet pada tahun 2011 ada habuan untuk kita.

Tuesday, October 27, 2009

Kasih ibu


Kebelakangan ini hampir setiap hari berita mengenai kegagalan wanita menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu semakin menjadi-jadi. Cerita bayi-bayi, mayat bayi serta janin dibuang merata-rata keluar didada akhbar dan di layar televisyen. Ada pula kisah sang ibu yang sanggup membiarkan anak didera sehingga mati semata-mata dikelabui oleh perasaan cinta membabi buta kepada teman lelaki.

Aduhai ke manakah perginya keagungan kasih ibu kepada anak-anak seperti yang telah kita dengar sejak zaman silam. Siapakah yang harus dipersalahkan? keluarga, masyarakat atau sistem yang diamalkan oleh negara! Agaknya memang benar ungkapan yang menyatakan kasih ibu membawa ke surga tapi si ibu nanti ke mana pula halanya? Sudah tentu keterlanjuran dan kesilapan yang dilakukan akan menghantui mereka hingga ke akhir hayat.

Thursday, October 22, 2009

Takdir


Ini adalah sahabat karibku sejak zaman kanak-kanak hingga menginjak remaja (sekolah rendah dan menengah) Esah Abu, seorang guru yang bercuti sakit barah sejak setahun sudah. Selasa lalu aku balik ke Melaka untuk menziarahinya. Esah mengidap barah rahim sejak tahun 2006 dan kini di tahap empat. Walaupun rahimnya telah dibuang, sel kanser datang kembali. Doktor mendapati organ dalamannya membengkak pembedahan tidak boleh dilakaukan lagi melainkan mengulangi rawatan kemotrapi. Kesakitan yang teramat sangat tatkala menjalani rawatan chemotherapy sebanyak 12 kali dulu menyebabkan dia enggan untuk mengulanginya lagi. Doktor memberi kata dua, tanpa chemotherapy sel kanser semakin mengganas sedangkan rawatan itu bukan saja membunuh sel kanser tetapi sel badan yang sihat. Jelas dia menahan sakit teramat walaupun untuk berkata-kata, sakit di bahagian abdomen ke bawah. Aku berdoa agar Allah akan meringankan tanggungan kesakitan itu dan dia dapat bertahan lebih lama.



Dan ini sahabatku semasa di tingkatan 4 dan 5. Naim Nordin yang mengidap barah hati sejak bertahun-tahun di tahap empat. Kehendak untuk terus hidup dan usaha melawan sel kanser membenarkan dia masih bertahan sehingga kini. Kalaupun sel kanser sudah mula menjalar menuju ke otaknya dia masih tabah dan beraksi seakan-akan tiada apa yang berlaku namun mata yang memandang dapat melihat penderitaan yang ditanggung. Kekuatan mental dan ketabahan hatinya mengagumkan. Mudah-mudahan dia akan terus cekal menerima ketentuan ini.

Jelas betapa berharganya nilai kesihatan. Harta benda dan kekayaan tidak pernah dapat membeli kesihatan atau usia. Bila mengenangkan takdir yang diterima kedua-dua sahabat aku ni, aku amat bersyukur dan sedar betapa hidup ini hanyalah sebuah persinggahan, betapa perlu berbuat kebajikan dan kebaikan sebanyak mungkin untuk mereka yang disekeliling kita sementara ada hayat yang dipinjamkan.

Sunday, October 18, 2009

Wajah


Perlukah dikorbankan rupa nan asli
kerana mahu menunjuk kehebatan seni

Meski yang dipersembah memukau mata
tak seindah ciptaan yang Maha Kuasa

Thursday, October 08, 2009

Muslim sejati


Sejak lama dulu aku perhatikan bila ada kenduri atau jamuan yang penajanya tidak menyediakan pembaca doa secara khusus maka akan terjadilah drama tolak menolak, saling mempersilakan dengan hormat dan sopan atau sebenarnya untuk melepaskan diri supaya tak kena membaca doa tu.

Payah sangatke nak hafal doa selamat,ada buku, makalah malah himpunan doa tatacara dan adabnya boleh didapatkan dengan mudah di laman sesawang. Lebih menghairankan bab menghafal lagu termasuk lagi inggeris boleh pula. Kalau sehari satu ayat dihafal cuba bayangkan dalam setahun berapa banyak yang boleh kita amal dan manfaatkan.

Antara ciri-ciri muslim sejati dan macho bukan saja bergantung kepada rupa tampan menawan, berpelajaran dan berkedudukan. Jauh lebih penting adalah mereka yang sentiasa bersedia apabila diminta memimpin bacaan doa walaupun sekadar doa selamat. Bayangkan lagi kalau semua lelaki Islam punya kemampuan yang sama maka akan bertambah kuatlah ikatan persadaraan kita dalam masyarakat.

Apakah yang boleh diharapkan kepada lelaki dalam perjuangan Islam kalau setakat disuruh membaca doapun dah menggeletar satu badan. Semoga teguran dan saranan ini akan menjadi titik tolak saudara-saudara yang berkenaan dalam mempertingkatkan jati diri sebagai muslim sejati.

Thursday, October 01, 2009

Disebalik topeng



Disebalik topeng
aku mengintaimu
terharu dan rindu

Di sebalik topeng
kau merenungku
bisu dan keliru

Disebalik topeng
ku kutip masa lalu
yang memisahkan kau dan aku
dekat tapi jauh


Ku dedikasikan sajak ini untuk seorang sahabat yang tidak mengenaliku ketika aku masuk bertopeng ke tempatnya. Lu kena beb!

Monday, September 28, 2009

Penyakit raya

Seminggu bercuti raya, ada yang masih malas nak mulakan kerja












Masih terasakan keenakan juadah raya, lemang, ketupat, rendang serta biskut-biskut anika rupa dan rasa. Syawal sebulan masih banyak hari lagi untuk menjamu selera sepuas-puasnya


Jangan pula lepas sebulan kena kerja kuat kuruskan badan selama setahun

Selamat berpuasa kepada yang sedang berpuasa sunat Syawal bukannye lama hanya enam hari sahaja!

Wednesday, September 23, 2009

Cerita Hariraya

Hariraya kedua berhenti di Rawat Rehat Air Keroh sebelum teruskan perjalanan ke Melaka untuk beraya. Anak teruna, anak dara dan ayah mereka


Hariraya ketiga dalam perjalanan balik ke Ipoh, kenderaan di sepanjang lebuhraya Utara Selatan (Melaka hingga Seremban) tak begitu sesak mungkin disebabkan ramai yang menyambung cuti hingga hujung minggu



Inilah antara nikmat Hari Raya, bukan selalu dapat berkumpul seisi keluarga dalam satu kenderaan begini. Rasa seronok tak terhingga

Thursday, September 17, 2009

Kemaafan


Kalau dalam diam
ada dendam yang belum padam
kalau dalam ramah
ada marah yang masih merah

Berkat Ramadhan
yang penuh barakah,
keampunan dan menggamit surga

Demi Eid Ulfitri
yang mulia

hapuskan rasa mencuka
yang menjeruk jiwa
dimaaf dan dilupa
barulah sempurna
fitrah manusia

Sunday, September 13, 2009

Salam Eid Ul Fitr






Kepada semua sahabat blogspot.com dan muslimin wal muslimat yang mengunjungi blog in dan telah menjalani ibadah puasa Ramadhan dengan jayanya.

Wednesday, September 09, 2009

Menu desa menggamit selera

Nasi putih
Terubuk bakar


Sambal belacan
sambal tempoyak
Cencaluk

Budu

Ulam-ulaman
dan buah-buahan dari dusun kita













Hidangan tradisional tinggalan bonda
cantik dimata sedap diselera
mudah disaji murah harganya
mudah didapati khasiat tak terkira

Tuesday, September 01, 2009

Dah 52 tahun!


Sambutan ulangtahun kemerdekaan negara kita yang ke 52 tahun ini jatuh dalam bulan Ramadhan. Oleh kerana itu acara majlis sambutan diadakan dengan sederhana tapi tetap meriah. Nampaknya ada rahmatnya juga sebab sudah tentu semua negeri dalam Malaysia dapat berjimat bukan saja dari segi perbelanjaan tetapi tenaga dan masa.

Semoga dalam usia 52 tahun ini kita semakin matang dan bijak dalam bertindak, bukan masih diera mengkaji atau baru nak buat "postmortem". Apapun kita wajib cintakan negara dan berjuang untuk kesejahteraannya walau dengan apa sekali cara.

Thursday, August 27, 2009

Berkat Ramadhan...

Hendaknya tiada sesiapa mencemari kemuliaan Ramadhan dengan berbuat maksiat di tempat-tempat sunyi dan penuh godaan seperti ini




Tanpa disedari sedikit sebanyak Ramadhan telah mengekang kita dari berbuat mungkar. Berhati-hati bila berbicara agar tidak terkeluar perkataan yang menyakitkan hati sesiapa, mengelak dari mengucap perkataan yang tidak baik dan yang paling penting tidak mengumpat. Masing-masing saling ingat-mengingati. Mudah-mudahan ia akan berterusan walaupun selepas puasa. Itulah berkat Ramadhan, bulan yang lebih baik dari seribu bulan.

Tuesday, August 25, 2009

Ramadhan bukan pesta makanan


Sejak bertahun-tahun lamanya membeli-belah di Bazar Ramadhan seakan telah menjadi satu kemestian atau tradisi di bulan puasa. Bukan sahaja kita yang bekerja, surirumahtanggapun ramai yang akan keluar berbelanja di sana. Melihat longgokan makanan pelbagai jenis dan rasa memanglah menggoda selera, kalau boleh semua nak dibeli sebab semua nampak sedap.

Persolannya adakah ia sesuatu yang betul-betul perlu, membeli lauk-pauk yg kaya dengan kolesterol serta tinggi kalori dan kuih-muih juga pelbagai jenis minuman
yang tepu kandungan gulanya, adakah ia menepati antara matlamat puasa iaitu untuk merasai betapa peritnya berlapar kerana kemiskinan. Sebaliknya kita seakan berpesta makanan setiap kali datang Ramadhan. Penyudahnya sistem penghadhaman bekerja lebih teruk dari biasa dengan sumbatan makanan yang melebihi keperluan badan dan akhirnya membawa kepada kemudaratan.

Justeru alangkan baiknya bulan ini kita belajar untuk mengamalkan cara pemakanan yang sihat dan amat sederhana kerana bukan saja ia baik untuk tubuh badan tapi juga kita dapat lebih berjimat. Wang itu bolehlah kita gunakan untuk bersedekah lebih kerap dibulan penuh barakah ini.

Friday, August 21, 2009

Tuesday, August 18, 2009

Marhaban Ya Ramadhan Al Mubarak


Akhir Ramadhan yang lalu ku lepaskan dengan berat hati. Sedih dan gembira bercampur-baur. Sedih kerana Ramadhan akan meninggalkan kita, bagaimana kalau ia adalah yang terakhir kali? Gembira kerana telah melaksanakan ibadah puasa seperti yang dituntut dan akan menyambut kedatangan Syawal yang mulia..

Alhamdulillah, syukur atas nikmat Allah S.W.T kerana kalau panjang umur dengan izinNYA kita akan menyambut kedatangan Ramadhan Al Mubarak lagi. Semoga kita akan dapat melaksanakannya dengan lebih baik.

Memandangkan negara sedang teruk dilanda H1NI, kenalah kita bertopeng mulut dan hidung kalau hendak mana-mana tempat tumpuan ramai terutama ke Bazar Ramadhan bagi mengelakkan sebarang jangkitan. jalan terbaik adalah dengan hadkan kunjungan ke tempat awam. Bukankah mencegah itu lebih baik dari mengubati.

Selamat berpuasa Ramadhan!

Wednesday, August 12, 2009

Jeling je ke!


Apa riaksi anda tatkala bertemu dengan seseorang juga tidak kita kenali tapi kita perasan zip seluarnye terbuka, butang baju yang dikenakan tidak selari, tepi bibirnya bersememeh dengan sisa makanan atau apa saja yang akan membuatkan dia menjadi perhatian yang tidak sepatutnya.

Adakah anda akan menjeling , ketawakan, cukup setakat tumpang malu atau segera maklumkan kepadanya?

Sunday, August 09, 2009

Nak tegur atau tidak


Semasa berbelanja di Kompleks membelibelah atau menjamu selera di restoran atau di warung tetiba anda ternampak seseorang atau beberapa orang membuang sampah merata-rata, memotong barisan semasa membayar bil, bersembang kuat macam nak rak siap dengan ketawa mengilai lagi atau memarahi anaknya dengan garang sampai budak tu menangis sakan teresak-esak atau apa saja perlakuan yang menyakitkan hati dan menyampah mata melihatnya.
Sanggupkah anda menegur? Atau terus berlalu dengan alasan tak nak campur urusan mereka biarje le takut kena penampar Jepunle pulak!

Wednesday, August 05, 2009

Dedaun



Bagai dedaun
tika dipuncak dahan
melambai meninggi diri

Bila jatuh ke bumi
tiada siapa yang peduli

Sunday, August 02, 2009

Janji


Pantun Melayu ada berkata:

Buah jering di atas para
Diambil budak sambil berlari
Kalau kering Selat melaka
Barulah saya mungkiri janji


Malah pepatah lama yang masih terpakai sehingga kini:

Kerbau dipegang pada tali,
Manusia dipegang pada janji

Malah dalam Islam jelas mengingatkan kepada kita bahawa antara sifat orang yang munafik itu ialah apabila dia berjanji dia mungkiri. Begitlah hebatnya dan beratnya penangan janji, justeru jangan mudah membuat janji kalau kita masih ragu-ragu akan dapat menepatinya.

Inilah yang membuat aku terkilan bila ada yang mungkir janji tanpa sebarang alasan atau pemberitahuan...ikutkan hati nak marah tapi taknaklah meminjam perangai syaitan laknatullah tu. jadi apa boleh buat sabar je le...sabar!

Thursday, July 30, 2009

Adat menepung tawar pengantin


Ahad lalu aku menghadiri majlis walimah di Sime Darby Convention Centre di Kuala Lumpur. Apa yang menarik perhatianku bukanlah kepada hiasan dalaman yang indah dan bertaraf lima bintang atau hidangan makanan yang enak menggamit selera hingga menjejaskan dietku, tapi yang lebih penting adalah ketiadaan upacara menepung tawar yang telah menjadi adat kemestian disetiap majlis perkahwinan bangsa Melayu.

Tatkala bersembang dengan tetamu semeja, aku dimaklumkan betapa kini sudah ada golongan tertentu di ibunegara yang mula mengabaikan adat iatiadat yang tidak islamik dan membazir itu. Lagipun adat menepung tawar sebenarnya ditiru dari adat India semata-mata. Ketiadaannya tidak akan mencacatkan majlis malah memberi kesedaran kepada masyarakat untuk berani membetulkan perbuatan yang salah yang telah mendarah daging sejak lama dulu.

Ada beberapa lagi upacara dalam majlis perkahwinan yang harus diketepikan supaya benar-benar menepati tuntutan agama Islam antaranya adat bersanding dan berinai. dalam hal ini mesti ada yang berani dan sanggup merubah tanpa menghiraukan umpatan dan kata nista mereka yang hanya pandai berkata-kata sahaja. Sudah sampai masa kita melakukan perkara yang praktikal kerana ia bukan saja mengurangkan dosa tetapi menjimatkan belanja. Adalah terlebih baik peruntukan tersebut diberikan kepada pasangan pengantin untuk memulakan hidup baru dengan lebih yakin tanpa menggalas beban hutang.


Antara peralatan menepung tawar yang bukan murah harganya

Friday, July 24, 2009

Friendship


true friendship means-

to help without hesitation
to give without expectation
to love without limitations
&
even to remember without
communication...




ihsan dari blog lain

Tuesday, July 21, 2009

Cenderamata perkahwinan


Cenderamata di atas adalah sebahagian kecil dari pemberian dari majlis perkahwinan anak rakan taulan malah masih banyak lagi yang disusun cantik didalam almari dan tak kurang juga yang tersimpan elok sejak beberapa lama didalam kotak. Serba salah dibuatnya hendak dibuang teramatlah sayang kerana harganya bukanlah sesen dua tambahan pula pemberian itu penuh dengan keihklasan.

Semasa memunggah, membersih dan menyisih cenderamata yang comel dan cantik, anak daraku selamba saja membayangkan supaya memberi barangan yang lebih bermanfaat pada majlis perkahwinannya kelak seperti sepasang garfu dan sudu, pengetip kuku, bekas tisu, bekas kunci atau apa saja yang munasabah serta dapat digunakan bukan disimpan begitu saja. Atau ada cadangan lain yang lebih praktikal dari segi kegunaan dan berpatutan harganya.

Sunday, July 05, 2009

Masalah kita...


Masalah kita yang paling utama adalah
kita lebih suka menjadi orang lain dari menjadi diri sendiri
kita lebih suka menjadi pengikut dari menjadi pemimpin


ini bukan masalah peribadi, generasi yang tiada jatidiri
tiada perancangan dan matlamat hidup yang jelas bukan saja menjadi ancaman kepada dirinya sendiri tetapi kepada keluarga, masyarakat dan negara.



Sepakat membawa berkat
satu matlamat satu tekad
jadi ringan beban yang berat
barulah selamat dunia akhirat