Saturday, September 29, 2007

Nuzul Al Quran


Diam tak diam dah 17 hari kita menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan yang mulia ini, semalam sambuatan Nuzul Al Quran diadakan bukan saja di seluruh Malaysia malah seantero dunia Islam. Muslimin bersyukur dan berbangga kerana dengan kedatangan Nabi Muhammad S.A.W yang dianugerahkan Al Quran yang juga merupakan mukjizat terbesar, baginda telah meninggalkan kitab panduan iaitu wahyu dari Allah S.W.T dan Sunnahnya sebagai panduan untuk kebahagiaan kita dunia dan akhirat.

Marilah kita mempertingkatkan lagi amalan kita dengan penuh ketaqwaan dan tulus ikhlas kita kepada Allah Subhanahu Wataala lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan yang mubarak ini, dengan mengerjakan segala suruhanNya dan menjauhi diri kita dari segala apa jua yang dilarang. Semoga kita mendapat Inayah dan Hidayah dari Allah Subhanahu Wataala jua di dunia dan di akhirat.

Bulan Ramadhan adalah bulan membawa rahmat, bulan Maghfirah ( keampunan ) bulan yang membawa berbagai-bagai hikmah dan rahsia di dalam bulan-bulan ini banyak peristiwa-peristiwa penting telah berlaku. Di antaranya peristiwa yang maha agung dalam sejarah umat Islam, umat Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam iaitu tidak lain peristiwa turunnya kitab suci atau dikatakan sebagai “Nuzul Al-Quran”. Dan peristiwa itu dirakamkan di dalam Al-Quran sebagai memperingati kita semua sebagaimana Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqarah ayat 185 :-

Tafsirnya :

“Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran,
menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan- keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan di antara yang benar dan yang salah”.

Kita sebagai umat Islam memang sewajarnya memperingati peristiwa ini dengan rasa penuh syukur kepada Allah Subhanahu Wataala, kerana telah memilih kita di kalangan umat Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam untuk diturunkan kitab suci Al-Quran.

Dengan turunnya Al-Quran ke atas Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bererti memancarnya cahaya sinar wahyu Allah Subhanahu Wataala ke alam ini yang menerangi kegelapan dunia Jahilliah.

Al-Quran diturunkan di antaranya bertujuan untuk memperbaiki keadaan manusia dan juga sebagai petunjuk ke jalan yang lurus yang diredhai Allah Subhanahu Wataala sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah Subhanahu Wataala dalam Al-Quran Surah Ibrahim ayat 1 :-

Tafsirnya :

“Alif, Lam, Raa, ini adalah kitab Al-Quran kami turunkan dia kepada mu wahai Muhammad, supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap gelita ( kufur ) kepada cahaya iman dengan izin Allah yang kuasa lagi Maha terpuji.

Muslimin yang diberkati Allah,

Untuk keselamatan dan kebahagiaan umat manusia di dunia dan di akhirat, Al-Quran telah cukup lengkap dan sempurna memberikan panduan, asal saja kita mahu mengamalkan isi yang terkandung di dalamnya. Disamping itu juga Al-
Quran menjadi ubat penawar, sesungguhnya menjadi rugi dan binasalah sesiapa yang tidak mahu berpegang kepada Al-Quran dan beramal dengan ajaran Al-Quran. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al Israa’ ayat 9:-

Tafsirnya :

"Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul ( Agama Islam ) dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal salih, bahawa mereka beroleh pahala yang besar".

Muslimin yang diberkati Allah,

Disamping memperingati Nuzul Al-Quran ini, maka selaku orang yang mengaku beriman dengan kitab Allah itu, kita hendaklah berazam bukan sahaja untuk sama-sama memelihara Al-Quran akan tetapi kita hendaklah juga memepertingkatkan keimanan kita dengan menjadikan diri kita sebagai ahli Al-Quran. Jangan ianya dijadikan sebagai perhiasan di rumah-rumah sedangkan ianya tidak pernah dibaca.

Di antara kelebihan ke atas orang yang membaca Al-Quran itu ialah :-

1. Ganjaran satu huruf yang dibaca ialah bidadari di syurga, dan juga dikatakan akan mendapat ganjaran sebatang pokok di syurga.

2. Akan selamat dari api neraka, mendapat kedudukan yang tinggi dan mulia bersama malaikat.

3. Pada hari kiamat Al-Quran menjadi pembela.

4. Pembaca akan memperolehi keamanan di dunia dan kemuliaan di syurga.

5. Membaca sebelum tidur akan mendapat kawalan malaikat.

6. Pembaca akan dimasukkan ke dalam golongan Siddiqin, Syuhada dan
Salihin.

7. Jika dibaca di dalam rumah akan memberi cahaya kepada rumah itu.

8. Seutama-utama manusia ialah mempelajari, mengajar dan menghayati
ajaran Al-Quran.

9. Mempelajari dan membaca Al-Quran akan mendapat keberkatan dan
keharmonian hidup.

Oleh itu jadikanlah amalan membaca Al-Quran bukan sahaja di bulan Ramadhan ini akan tetapi sebagai amalan harian kita selaku umat Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam mudah-mudahan kita mendapat ganjaran dan kelebihan dari Allah Subhanahu Wataala sebagaimana yang pernah dijanjikan.

Tafsirnya :

“Sesungguhnya orang-orang yang selalu mambaca kitab Allah dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan dari apa yang kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara berterang-terangan, mereka dengan amalan yang demikian mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian”.


Dengan Ehsan dari Jabatan Hal Ehwal Masjid Brunai Darul Salam

Sunday, September 23, 2007

Kenangan


Kepada kawan-kawan sewaktu di sekolah rendah dan menengah, Terlalu sukar untuk kita bertemu lagi. Namun kemanisan yang pernah kita lalui dulu tetap bersemadi diingatan. Sesekali tika waktu begini ku titipkan rindu yang hangat dan doa yang berpanjangan, agar kalian sentiasa dalam kebahagian dan berjaya dalam kerjaya dan hidup berkeluarga. Semoga suatu hari bernama esok siapa tahu berkat Ramadhan ini dengan izinNYA kita pasti bertemu. Salam kasih sayang yang luhur dariku!

Wednesday, September 19, 2007

"Tian An Men Square"

Hari kedua di Beijing dimurnikan dengan solat suboh jam 4.25 pagi, suatu pengalaman yang baru justeru kalau di Malaysia saat begini masih dibuai mimpi sedangkan di sini alam sekeliling telah cerah seakan jam 7.00 pagi. Memandangkan jadual lawatan bermula jam 8.30 pagi waktu tempatan, setelah menikmati keajaiban kekuasaan Allah aku menyambung tidur semula.

Sarapan di hotel bertaraf **** itu sungguh mendukacitakan kerana tidak menyediakan makanan halal. Penyudahnya aku hanya menjamah dua butir telur masak dan secawan teh panas yang dicatu. Hotel milik pemerintah komunis katakan, sabar sajalah jawabnya.
Tepat jam 8.30 kami bertolak ke "Tian An Men Square" (City Square) yang didakwa sebagai dataran yang terluas didunia. Oleh kerana jumlah pelancong yang sememangnya amat ramai kami terpaksa menapak kurang lebih satu kilometer dari tempat kami diturunkan untuk ke sana. Setelah melalui terowong bawah tanah kami membelah cuaca pagi yang cerah, nyaman tapi agak berjerubu menuju destinasi.


Laluan pejalan kaki menghala ke "Tian An Men Square"


Dikatakan hampir setiaphari beginilah ramainya pelancong yang datang ke sana

Lihatlah betapa luasnya dataran ini pandangan menghala ke "Forbidden City"
Tugu peringatan yang dibina untuk memperingati peristiwa berdarah di "Tian An Men Square" dan tanpa dijangka kini menjadi antara tarikan kepada pelancong seluruh dunia ke Beijing


Pandangan dari tengah dataran

Tuesday, September 18, 2007

Kungfu Theater


Bangun dari tidur yang amat pulas kami bergegas menaiki bas menuju ke Kungfu Theater.
Keluasan bandaraya yang dinamik dengan kepadatan penduduk 13 juta orang menjadikan perjalanan ke destinasi tersebut memakan masa hampir setengah jam.



Di luar panggung sudah sesak dengan bas-bas pelancong dari merata dunia dan dengan berasak-asak kami melalui pintu utama memasukinya. Oleh kerana kami memilih untuk tidak menyaksikan aksi ngeri kungfu, oleh itu kami disajikan dengan pertunjukan akrobatik Cina yang sememangnya tidak dapat dinafikan amat hebat dan mengkagumkan. Malangnya jarak tempat duduk yang agak jauh dari pentas menyukarkan usaha untuk merakamkan gambar yang jelas.


Aksi-aksi Tarian Singa, Tarian Payung, tarian atas meja, kecekapan melambung mangkok ke atas kepala, Tarian Bendera, berbasikal di atas seutas tali, lompat gelong dan akhirnya aksi berbasikal beramai-ramai tanpa disedari telah meragut masa 2 jam kami dengan begitu cepat sekali.


Keluar dari panggung hari sudah gelap walaupun jam baru menunjukkan pukul 7.00 mlm. Lantas rombongan kami terus ke Restoran Islam Judehuatlan untuk menikmati makan malam.


Berdiri di luar Restoran Judehuatlan adalah pemandu pelancong kami yang fasih berbahasa Indonesia Encik Alex yang lemahlembut tapi begitu tegas dengan jadual aturcara lawatan.


Keadaan dalam restoran sementara menunggu hidangan

Saturday, September 15, 2007

Bang Fu Chun Pearl Store

Keluar saja dari gerbang "Summer Palace" kami terus menyeberang jalan kesebelah kanan taman ke "Bang Fu Chun Pearl Store" sebuah kilang pengeluar mutiara milik pemerintah. Tiada apa yang menarik kecuali taklimat mengenai asal usul kejadian mutiara dan kaedah memprosesnya hingga menjadi barang hiasan wanita yang digilai.
Harga yang ditawarkan tidaklah semurah mana mungkin kerana hasil pendapatan dari jualan mutiara akan disalurkan kepada kerajaan.

Di depan kilang mutiara sebuah replika tiram gergasi


Kira-kira sejam kami di kilang mutiara, hari sudah semakin panas dam kami dibawa ke Rstoran muslim "Dong Lai Shen" untuk mengisi perut yang sememangnya sedang lapar dan membasahkan tekak yang dahaga.

Selepas menjamu selera dengan menu yang amat berbeza dengan juadah melayu, sudahlah tidak pedas malah tawar, kami dibawa ke hotel penginapan untuk "check in". Sebaik melepaskan lelah separuh hari berjalan tadi kami segera membersihkan diri untuk bersembahyang dan merehatkan tubuh sebelum tertidur keletihan.

Thursday, September 13, 2007

MARHABAN YA RAMADHAN

Alhamdulillah, akhirnya kita dapat bertemu lagi bulan Ramadhan Al Mubarak yang didalamnya ada malam yang lebih baik dari seribu bulan, bulan untuk kita mempertingkatkan amalan dan berbuat kebajikan. Bulan yang penuh dengan keredhaan, keampunan dan dijauhkan dari panasnya azab api neraka bilamana ibadat puasa kita sempurna.

Marilah bersama kita makmurkan Ramadhan ini dengan penuh keikhlasan dan kesedaran kerana siapa tahu tahun hadapan kita mungkin tidak dapat menjalankan ibadat ini, justeru berbuatlah yabg terbaik seolah-olah ini Ramadhan kita yang terakhir.

Alangkah seronoknya dapat bangun mendirikan sepertiga malam dengan sembahyang-sembahyang sunat, bersahur, bertadarrus, berbuka dan berterawih. Satu-satunya bulan yang menawarkan pakej ibadat yang terhebat. Justeru jom rebutlah peluang setahun sekali ini, rebutlah untuk meimarahkan RAMADHAN!

Monday, September 10, 2007

1 2 3 cubaan 1 2 3 cubaan

Syukur Alhamdulillah akhirnya setelah kurang lebih 4 bulan bersabar dan bergelut dengan komputer vision window 98 akhirnya hari ini dapat gak aku komputer baru dengan kapasiti yang lebih tinggi dan tentulah sepatutnya terlebih canggih.

1 2 3 cubaan 1 2 3 cubaan, testing testing testing