Wednesday, August 25, 2010

Ayah yang bahaya

Minggu-minggu kebelakangan ini kita dikejutkan dengan berita yang tak pernah terfikirkan sebelumnya. Kisah-kisah benar anak-anak yang didera, disimpah dengan asid, dipaksa minum racun malah dibunuh oleh ayah sendiri. Nilai kasihsayang seorang ayah semakin rapuh. Kerapkali suami isteri yang menghadapi konflik rumahtangga menjadikan anak sebagai bahan melepaskan geram. Justeru mengikutkan kata hati mereka melakukan perbuatan kebinatangan yang melupakan hakikat bahawa anak-anak yang menjadi mangsa itu adalah darah daging sendiri yang lahir dari rasa cinta kasih. Malah binatang pun hanya sedikit cuma yang tidak mengenal anak.



Pada hakikatnya adalah mustahil seseorang ayah sanggup berbuat demikian. Di sana ada sebab musabab yang mendorong terjadinya musibah tersebut. Perasaan cemburu, kegagalan menyara anak isteri dan sakit mental antara faktor yang membuat seseorang ayah hilang pertimbangan. Bertindak untuk melepaskan perasaan marah atau kecewa demi kepuasan hati sendiri sehingga terlupa bahawa yang disiksa itu anak yang suatu masa jangankan dijentik, digigit nyamukpun tidak direlakan.
Apakah tuntutan kehidupan hari ini pantas membuat kita menjadi cepat resah dan marah. Siapakah sebenarnya sepatutnya bertanggungjawab akan kejadian-kejadian yang menyebakkan dada ini. Salah kitakah sebagai ahli masyarakat yang tidak peka dan ambil peduli kepada keperluan mereka yang tidak punya. Atau semua ini terjadi kerana pelaku tidak berpegang kepada agama, tidak yakin bahawa Allah adalah tempat mengadu dan sebaik-baik tempat untuk berlindung.

Saturday, August 21, 2010

Kerana mulut


Pepatah Melayu ada mengatakan "Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya" justeru "Kerana pulut santan binasa kerana mulut badan binasa".

Seringkali pertengkaran, pertelingkahan dan pergaduhan bermula dari kata-kata yang keluar dari mulut kita. Bercakap ikut sedap mulut tanpa mengkaji buruk baiknya. Berapa banyak kes kes perceraian berlaku hanya kerana perkataan yg dihamburkan telah menyakiti atau mengecilkan hati pasangan. Akibatnya pasangan melancarkan perang dingin atau lebih teruk lagi pergi menjauhkan diri.

Anihnya semakin lama perhubungan maka semakin sensitif perasaan suami atau isteri. Kekadang kata-kata yang mulanya adalah gurauan tiba-tiba menyebabkan keduanya bertegang urat atau berperang mulut. Oleh kerana itu berhati-hatilah bila bercakap. Katakan yang indah,menegur dengan berhemah dan jangan dilayan pertelingkahan pendapat sehingga menjadi pergaduhan yang mengujudkan permusuhan yang tidak perlu. Kata-kata kesat, menghina dan memperkecilkan pasangan hanya akan menghakis rasa kasih dan sayang. Apalah maknanya hidup bersuami isteri jika api cinta dan kasih sayang kian terpadam.

Kata orang "Mulut nak manis, hati nak baik".

Wednesday, August 18, 2010

Keliru


Pada suatu ketika hubungan itu amat rapat bagaikan isi dengan kuku, aku adalah engkau dan engkau adalah aku. Begitu masa berlalu hangatnya percintaan membakar jiwa dan asmara. Setiap detik wajahmu terbayang dan namamu meniti di bibir. Tiada apa yang lebih penting selain engkau, engkau dan engkau. Ikatan yang berlandaskan perasaan kasihsayang yang melimpahruah memeriahkan hari hari kita.

Masa terus berlalu biasalah alangkan lidah lagikan tergigit inikan pula kita manusia. Namun sentiasa ada pengertian dan kemaafan. Apa yang penting adalah keikhlasan dan kejujuran dalam perhubungan.

Entah kenapa kini tiba-tiba sahaja kita saling menjauhkan diri, engkau dengan hal engkau dan aku dengan hal ku. Aku masih amat merinduimu tapi tak pasti kalau kau juga begitu. Aku masih menantikan tibanya detik indah seperti dulu tapi apakah ia akan berulang kembali. Memang aku terluka dengan perbuatanmu dan kau juga tersayat dengan perlakuan ku tapi tidak bolehkah kita melupakannya dan memulakan kehidupan baru di penghujung usia ini. Kalau kau kembali aku akan sentiasa menerimamu seperti dulu.

Cuma aku bimbang kalau tahap kesabaranku semakin luntur, aku bimbang kalau cinta dan kasih sayangku kian lebur dan paling aku bimbang kalau aku terjebak dalam perangkap cinta yang ternganga luas menanti mangsanya iaitu aku! Justeru aku hanya seorang lelaki yang tidak ingin terbelenggu dalam deraan rasa sepi, kecewa dan resah yg berpanjangan.

Aku semakin keliru...haruskah aku membiarkan kau terus bebuat suka hati... atau aku lepaskan kau pergi...

(Coretan ini khas untuk sahabatku Z sering ditinggalkan...)

Saturday, August 14, 2010

Puasa oh puasa

Bagaikan suatu kemestian setiap tahun datang Ramadhan bagi yang berpuasa untuk mengunjungi Bazar Ramadhan berbelanja. Setiap petang kita akan berpusu-pusu ke bazar-bazar tersebut.

Bermacam-macam jenis kuih-muih dan lauk-pauk yang dijual oleh peniaga yang bagai cendawan tumbuh lepas hujan mengambil peluang untuk menjana pendapatan sebanyak mungkin.






Kadang-kadang kita membeli lebih dari keperluan. Membeli mengikut nafsu mata. Penyudahnya banyak yang terbuang, sayang sayang!


Antara tujuan berpuasa adalah untuk merasai sama keperitan berlapar golongan fakir miskin. Realitinya kita lebih banyak berbelanja untuk makanan. Membazir setiap hari. Ini sudah tentu menjejaskan fadhilat puasa itu sendiri.

Tuesday, August 03, 2010

Syukur Alhamdulillah



Tiada apa yang kita sayang maka sayangilah apa yang kita ada.
Janganlah cepat berputus asa kerana orang yang berputus asa sebenarnya telah mati sebelum masanya.

Kalau rumah kita jauh lebih baik dari ini kenapa nak yang besar macam istana.
Yang penting bahagia.