Monday, July 25, 2005

Setinggi-tinggi Terbang Bangau


Sehari dua ini aku sering terjerempak dengan kawanan bangau dengan sekumpulan kerbau. Kawanan bangau yang putih melepak tu kelihatannya mengekori dan mengganggu kerbau-kerbau yang sedang asyik meragut rumput di tengah bendang. Lebih menghairankan lagi kerbau-kerbau tersebut tidak pula menyepak atau menentang bangau-bangau itu. Sang bangau menemani sang kerbau dengan sabar, sesekali terbang ke sana sini dan kembali semula. Betullah pepatah rangtua bahwa setinggi-tinggi terbang bangau akhirnya pulang ke belakang kerbau juga akhirnya. Bangau dan kerbau, antara mereka terjalin hubungan yang amat akrab. Di mana ada kerbau di situ pasti ada bangau. Dan sawah bendang adalah dunia mereka yang amat indah.

Bangau-bangau itu lazimnya memagut kutu dan parasit yang bermastautin di badan kerbau dan berpuashati dengan cara begitu. Patutlah sehingga ke hari ini kita masih bertanya dan melagukan "bangau oh bangau kenapa engkau kurus". Rumput panjang kerbau yang baham, tapi bila rumput tu dah pendek kenapa bangau tak mencari ikan atau udang di dasar paya tersebut.

Bangau adalah perlambangan segelintir kita yang malas berusaha dan tidak nampak potensi diri.

Thursday, July 21, 2005

Lelaki itu...


Lelaki itu...
sesuatu di matanya menyatakan kepadaku
harapan adalah bintang yang tinggi
tak mungkin tergapai tangan

Lelaki itu...
masih dikejar mimpi silam
terperangkap dalam kenangan
terdera oleh perasaan

Lelaki itu...
dalam kekeliruan
resah dan rawan
tak ketentuan

Lelaki itu..
telah ku tinggalkan
telah ku lupakan
kerana dia
bukan lelaki pilihan

Wednesday, July 20, 2005

Sekeras-keras kerak nasi....


Dedulu aku marah le juga bila ada kaum Adam yang mempermainkan kami kaum Hawa kununnya kami ni taklah setabah dan setegas mereka. Kena pujuk, kena ugut dan kena provok habis berderai, mengalah dan menangis.

Namun sejak melihat Datuk Seri Rafidah Aziz menangis kesedihan sesangat hari tu dalam tv, aku kenalah menerima kenyataan tu dengan berat hati. Ye le kita semua tahu Rafidah Aziz adalah lambang kehebatan wanita Malaysia juga terkenal dengan jolokan "Iron Lady", aku tahulah sebab pernah kerja di bawah naungan dia, sikap ketegasan dan berani sukar ditandingi. Tapi hari tu dia benar-benar menjadi seorang wanita...., hati dia amat terluka....

Apapun sebagai manusia mana bisa kita lari dari sifat yang dibekalkan sejak lahir. Kita ni sekuat manapun mesti ada kelemahannya dan sebaik manapun mesti ada nakal / jahatnya. Justeru kita adalah manusia, kejadian paling indah, unik dan terbaik pernah dicipta oleh Allah S.W.T di alam ini.

noorlara: Tingat masa kekecik makan kerak nasi ngan air panas campur gula, seeeedaaap - cubalah

Monday, July 18, 2005

Perjalanan ini




Perjalanan ini
atas bara merah dan duri ranjau
yang dulu
selalu ku ragukan
destinasinya

Namun...
akukan terus melangkah
biar luka mendarah
biar peluh membasah
kerana ku yakini
janjimu pasti

posted by noorlara at 1:07 AM July 19

Friday, July 15, 2005

Di mana ada kemahuan ....



Benarlah kata orang tetua "Manakan dapat sagunya kalau tidak dipecahkan ruyung:. Semalam aku benar-benar mengerah otak dan keringat untuk memperbaiki setting blogs ku ini, cemburu le juga bila lihat blog adik,kakak dan abang bermacam-macam rupa dan ragam, naik geram dan seram pun ada.

Alhamdulillah setelah menemui berpuluh-puluh kesilapan dan membuat pembetulan tanpa rasa jemu maka dapatlah aku menambah "links" dan "counter" dalam blog ini walaupun masih amat minima tapi sekurang-kurangnya dah ada peningkatan.

Dan betullah sekali lagi kata orang tetua bahawa dimana ada kemahuan di situ sentiasa ada jalan. Betulle jugak pendapat ahli sains dan cerdikpandai bahawa kebanyakan kita hanya menggunakan sedikit saja dari keupayaan dan potensi otak. Kita masih malas untuk mengerah otak untuk melakar dan mencipta sesuatu yang hebat.

Wednesday, July 13, 2005

Kitakah itu


Kitakah itu
yang tersesat
dibelantara kenangan
dihanyutkan arus rindu
di sungai lara

Kitakah itu
yang memegang obor cinta
nan kian malap
lalu teraba-raba
menjejak jalan pulang
ke mahligai percintaan
yang usang

Kitakah itu
yang terperangkap
oleh mimpi indah
mengayam harapan
yang sirna

23052002 khamis

Tuesday, July 12, 2005

Lorong Sepi


Di lorong sepi itu
kita sendirian mencari cari
sesuatu yang hilang
lewat perpisahan
yang tak dirancang

Di lorong sepi itu
kita ketemukan
erti sebuah cinta
lewat pertemuan yang
yang tak diundang

noorlara