Sunday, July 05, 2009

Masalah kita...


Masalah kita yang paling utama adalah
kita lebih suka menjadi orang lain dari menjadi diri sendiri
kita lebih suka menjadi pengikut dari menjadi pemimpin


ini bukan masalah peribadi, generasi yang tiada jatidiri
tiada perancangan dan matlamat hidup yang jelas bukan saja menjadi ancaman kepada dirinya sendiri tetapi kepada keluarga, masyarakat dan negara.



Sepakat membawa berkat
satu matlamat satu tekad
jadi ringan beban yang berat
barulah selamat dunia akhirat

Tuesday, June 30, 2009

Berikanku kekuatan


Dalam sunyi
aku mengerti
hakikat diri
tiada apa yang abadi
kerana aku akan kembali
mengadapMU YA RABBI

berikan ku kekuatan
agar aku bisa bertahan
mengumpul sebanyak bekalan

kerana
ku masih ragu
ku masih takut
menerima sebuah kematian
seorang aku

30 Jun 2009 (Selasa)
4.50 ptg

Sunday, June 28, 2009

Kasihnya seorang bapa


Dengan mengetepikan kes-kes terpencil, maka tiada seorangpun antara kita yang dapat menolak hakikat bertapa agungnya kasih seorang bapa setanding dengan kasihnya ibu.
Sedari bayi hinggalah kita melangkah ke sekolah rendah kemudian sekolah menengah seterusnya memasuki pusat pengajian tinggi, bapalah yang memikul beban mencari wang untuk mempastikan kebajikan isteri dan anak-anak sentiasa terjaga.

Melainkan bapa yang mempunyai kedudukan yang tinggi dan pekerjaan yang terjamin, kedapatan bapa yang sanggup berbuat apa saja hatta mencuri dan merompak demi mendapatkan wang untuk menggembirakan hati anak-anak. Alangkah beratnya tanggungjawab seorang bapa.

Kebanyakan bapa tidak pandai atau terlalu ego untuk melahirkan rasa kasihsayang kepada anak-anak namun mereka juga seperti ibu kita yang sering dihimpit rindu kepada anak-anak bila lama tidak mendengar suara atau menatap wajah kita.

Lahirkankan rasa kasih kita selagi bapa masih hidup dan tunaikanlah hajatnya jika ada agar kita tidak dilanda rasa terkilan dan kesal seumur hidup ditakdirkan bapa pergi nanti. Bukan saja pada hari bapa tetapi kalau boleh setiap hari atau sekerap yang mungkin. Biar bapa merasa betapa hangatnya kasihsayang kita terhadapnya.

Friday, June 26, 2009

Bila marah...


pernahkah anda ditimpa perasaan marah hingga diluar kawalan membuatkan wajah anda yang cantik jelita atau tampan macho tu tiba-tiba berubah ala-ala kucing kat atas ni



marah hingga rasa nak tembak dia biar bersepai otak dia!


atau rasa nak telan dia hidup hidup?

kalau ade apa le pulak sebab musababnye?

Sunday, June 21, 2009

Jeli oh jeli


Proses pembancuhan bahan-bahan. Peralatan yang digunakan agak-agaknya bila terakhir kali dicuci dan bahan-bahan tu halalke?








memasukkan jeli kedalam acuan, lihat kebersihan persekitaran atau tutup mata je

lihat kat dinding dan lantai









Buruh di negara Cina memang murah dan tiada had usia. Jeli yang siap dicawan dikutip untuk dikotakkan.





























Kalau kita suka sangat makan jeli atau sering menjadikan buahtangan untuk anak-anak, cuba lihat sendiri dan fikir-fikirkan. Tu belum lagi kita lihat macamana kuaci yang menjadi kegilaan kebanyakan kita diproses. Kebanyakan makanan segera dibuat secara kecil-kecilan bukannya di kilang, ia diluar kawalan pihak-pihak penguatkuasaan yang berkaitan. Kesimpulannya banyak lagi kudapan dan makanan snek buatan Malaysia yang enak dan terbuat dari bahan yang halal serta terjamin kebersihan proses penyediaannya jadi kenapa masih pilih yang lain?

Thursday, June 11, 2009

Rindu


Terkadang
ku kutip semula
serpihan kenangan
dari pantai silam

terkadang
ku kelemasan
dihempas ombas rindu
yang mencengkam






110609
Khamis
9.55 pagi

Tuesday, June 09, 2009

Alkisah.......


Peritnya panahan matahari musim panas dah mula terasa. Terpaksalah mencari ruang santai yang teduh untuk merehatkan badan.





Rupa nan garang, tanpa senyum ramah penuh ego. Siapa peduli!







Benarkah menjaga sekawan haiwan itu lebih mudah dari menjaga seorang mamalia bernama manusia?

Friday, June 05, 2009

Seraga makanan buatan Malaysia



Balik dari menziarahi sahabat A di Bangi kami dibekalkan seraga makanan buatan Malaysia, ada kerepek, kuih ros, kuih bakar, popiah mini, kuih karas, rempeyek dan keropok. Ditambah pula dengan minuman jus buah Melaka, jus mangga, sos
papa cili (papaya + cili), kopi dan teh, menjadikan ia satu pemberian yang lengkap.

Semua makanan tersebut dibungkus cantik seperti barangan yang biasa kita temui di pasaraya. Pembungkusan berkualiti dan saiz kuih-kuih tradisional Melayu yang lebih kecil dan mudah pantas menggamit selera pembeli. Tentu sekali barangan tersebut ada yang telah menembusi pasaran luar negara. Sudah tiba masanya kita memberi keutamaan kepada barangan buatan Malaysia untuk keperluan harian mahupun sebagai cenderahati.

Sunday, May 31, 2009

Bila makan...



Bukan mudah untuk mengenal hatibudi seseorang. Kita memerlukan sekurang-kurangnya seminggu atau lebih untuk bergaul sambil mengamati tingkahlakunya dari percakapan dan tindaktanduk yang berlainan pada situasi yang berasingan. Itupun kalau kita berjumpa dengan mereka yang bebas dari sikap hipokrit sedangkan ramai antara kita yang pandai berlakon atau berpura-pura demi menjaga imej diri. Apapun dalam keadaan tertentu yang mengujakan keperibadian seseorang yang sebenarnya akan terserlah. Justeru jangan terkejut kalau sidia yang kita sangka pemalu dan santun tiba-tiba saja bertukar menjadi amat terbuka dan lepas laku.

Memerhatikan perlakuan seseorang di dewan makan dengan jamuan secara "buffet" pantas memberitahu kita serba sedikit perangai sidia. Mengambil makanan ikut selera bukan ikut keperluan sehingga penuh sepinggan menunjukkan betapa sidia tidak pedulikan orang lain yang terkemudian disamping membuat sesuatu perkara tanpa perancangan dan diluar keperluan. Makan terlalu cepat, bercakap ketika mulut penuh makanan dan garfusudu menari nari ke atas ke bawah tentu akan menjejaskan imej seseorang tidak kira bagaimana tampan atau jelitanya dia. Tentu kita akan tertnya-tanya kemana perginya adab atau etiket. Justeru berhati-hati di meja makan jangan sampai orang terbeliak biji mata dan terlopong gara-gara kita yang buruk makan...malu ahh

Thursday, May 21, 2009

Perbilangan bahasa


Pesan bijak bistari

Penakek pisau seraut
Ambil galah batang lintubong
Seludang ambil ke nyiru
Setitis jadikan laut
Sekepal jadikan gunung
Alam terbentang jadikan guru.

agak-agaknya kalau perbilangan ini kita panjangkan pula kepada anak-anak sekarang apakah mereka faham apa yang tersirat pada yang tersurat di atas?
tak hairan kalau nanti jawab mereka buat pe nak jadikan laut kalau yang ada dah lama tercemar, gunung pula dah banyak ditarah rata dan alam ini sedang menuju kemusnahannya.

Monday, May 18, 2009

Chamistry


Pernahkah kita bertemu seseorang buat pertama kali tapi sebaik mula berbual kita terus mesra dan terasa macam dah bertahun kenal. Al musykillah bila kita dah bertahun- tahun kenal seseorang tapi masih susah nak mesra macam ada sesuatu yang menghalang, nampak ketidaktelusan dan kepalsuan. Kata orang sekarang ia ada kaitan dengan "Chamistry" atau takde keserasian cakap orang dedulu. Puncanya dia atau kita?
Apapun alangkah baiknya kalau semua kita sentiasa berusaha menjadi sahabat yang menyenangkan kepada semua.

Friday, May 15, 2009

Sayang anakku sayang



Akhbar hari ini menceritakan betapa seorang gadis (masih boleh dipanggil gadiske?)telah melahirkan anak luar nikah, membungkus bayi lelaki itu dengan surat khabar serta dimasukkan dalam plastik hitam sebelum disorokkan di bawah katil selama tiga (3) hari. Kalaupun ini bukan kes pembunuhan bayi yang pertama malah sudah terlalu kerap didengari namun kes ini amat mengerikan, bayangkanlah sekiranya bayi yang tidak berdosa itu dibungkus ketika dia masih bernyawa, alangkah kejamnya manusia. Suatu tahap manusia sanggup melakukan apa saja demi untuk menutup malu.

Saat bertarung nyawa dan menanggung kesakitan yang tak tergambarkan tidak cukup untuk menumpahkan kasihsayang seorang ibu kepada bayi yang sekian lama dikandung itu.
Suatu hari bernama esok wanita ini pasti akan menyesali perbuatannya.
Betapa kecewa dan hancurnya hati ibubapa wanita tersebut. Tidak wajar meletakkan kesalahan dibahu mereka saja

Ini adalah antara cabaran kita sebagai ibubapa dalam menjaga perilaku anak-anak sementelah sekarang kebanyakan mereka meninggalkan rumah seawal umur tiga belas tahun (13)
masuk asrama untuk belajar. Berjauhan akan membataskan peluang kita membesarkan mereka dengan tunjukajar tatasusila dan bimbingan agama yang secukupnya.

Pemantauan melalui telefon bertanya khabar dan diselitkan dengan nasihat dan peringatan sekerap mungkin perlu dilakukan untuk mmberitahu anak-anak yang di perantauan kerana belajar atau sudah bekerja bahawa kita sentiasa memerhatikan mereka dari jauh. Selebihnya doa kepada Allah Taala semoga mereka sentiasa dalam perlindunganNYA



Binatangpun tahu sayangkan anak...

Monday, May 11, 2009

Terbanglah..


Terbanglah
lepas bebas
tanpa prasangka
kerana rezeki di mana mana

Saturday, May 09, 2009

Kuasa


Manusia sanggup melakukan apa saja untuk mencapai cita-cita. Sampai satu ketika dimana matlamat menghalalkan cara. Lumrah naluri manusia nak jadi kaya, sudah kaya mahu pula berkuasa dan yang telah beberapa lama seronok memegang tampuk kuasa dengan sanjungan dan kemewahan yang datang menggolek kerana kuasa yang dipegang akhirnya akan berusaha untuk kekal berkuasa walaupun menyedari mereka tidak diperlukan lagi atau orang sudah menyampah dan meluat.

Sebenarnya kita yang disekeliling yang memberi ruang dan peluang untuk golongan tersebut bermaharajalela. Akibatnya mereka yang gila kuasa akan terus dengan agenda yang hanya berpihak kepada mereka dan lebih mendukacita tindaktanduk itu menjejaskan kesejahteraan kita. Inilah masalahnya bila kuasa yang diberi tidak dilaksanakan berlandaskan Al Quran dan Sunnah Nabi, sedangkan kuasa yang dipinjamkan itu adalah satu amanah yang akan dipertanggungjawabkan kemudian hari kelak.

Wednesday, May 06, 2009

Selimut Putih



Selimut Putih

Bila Izrail datang memanggil
Jasad terbujur di pembaringan
( 2X )
Seluruh tubuh akan menggigil
Terbujur badan dan kedinginan
( 2X )

Tak ada lagi gunanya harta
Kawan karib sanak saudara
( 2X )

Jikalau ada amal di dunia
Itulah hanya pembela diri
( 2X )

Janganlah mahu disanjung-sanjung
Engkau digelar manusia agung
( 2X )

Sedarlah diri tahu diuntung
Sebelum masa lkerenda diusung
( 2X )

Datang masanya insaflah diri
Selimut putih pembalut badan
( 2X )

Tinggal semua yang dikasihi
Berbaktilah hidup sepanjang zaman
( 2X )

( ulang 2 )

Atiqah Rahman / Orkes Nur El Suraya

Lagu ini amat ku sukai dan hafal sedari kecil hingga kini. Liriknya saja tentu akan membuat kita insaf dan aedar bahawa dunia ini adalah persinggahan untuk mengumpul bekal ke SANA. Membayangkan diri dimandi, dikafan dan dikebumikan......erm justeru berbaloikah jika ada antara kita yang masih sombong dan angkuh dengan kekayaan, pangkat dan status sedangkan semua itu pinjaman dan ujian semata-mata.

Monday, May 04, 2009

Kerana mulut


Bijak pandai ada menyatakan bahawa yang paling berat ditanggung dalam kehidupan ini adalah amanah. Ia merupakan kepercayaan dan hasrat seseorang yang diberi kepada kita samada untuk dilaksana atau disimpan sebagai rahsia. Seringkali kita mendengar diungkapan "Ingat! Biar pecah diperut jangan pecah dimulut" Amanah yang dikhianati bukan saja mengecewakan orang yang selama ini yakin akan kehebatan peribadi kita tapi akan mengakibatkan perkara yang tidak diingini terjadi.




Bibir yang terbaik adalah yang tidak lekang dengan zikir kepada Allah tapi kalau tidak dapatpun berbuat demikian jangan pula menggunakannya untuk menyakiti hati orang lain. Menyebarkan fitnah, menghamburkan kata-kata yang kasar dan hina hanya akan menyerlah karektor kita yang sebenarnya. ""Bahasa menunjukkan bangsa". Gaya percakapan dan perkataan yang digunakan pantas memperlihatkan asal usul keturunan. jadi janganlah sebab keterlanjuran kita berbicara menyebabkan ayah ibu yang mendapat cerca. Kalau tidak ada yang hendak dicakapkan lebih baik diam saja. Ditakuti "Sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa"

Saturday, May 02, 2009

Sembahyang Jumaat

kalaupun terlena sekejap ketika imam membaca khutbah tapi keikhlasan anak muda ini mengunjungi rumah Allah saban minggu harus dipuji


Jumaat lalu waktu tengahari tu singgah makan di Restoran Jatayu di Medan Gopeng yang terkenal dengan masakan Minang. Sendirian sebab A di Alor Setar menghadiri seminar sejak semalam. Kembung panggang cecah air asam, sayur nangka masak lemak dan daging dendeng dengan sirap limau tanpa gula ermmm...tv di restoran tu sedang menyiarkan lintas lansung sembahyang jumaat dari Masjid Negara dan serentak pula kedengaran azan dari masjid yang jauhnya tidak sampai 500 meter dari situ.

Namun aku agak terkejut dan hairan kerana kelihatan beberapa orang lelaki yang dengan selamba kodok masih berbual santai sambil menjamu selera, malah beberapa minit pula muncul makin ramai nak-nak muda melayu yang pada dasarnya tentulah beragama Islam untuk makan tengahari di situ. Ringan rasanya mulut ni nak menegur atau mengingatkan mereka pergi mengerjakan sembahyang ke masjid. Logiknya kalaulah sembahyang jumaat yang seminggu sekalipun dipandang ringan apatah lagi sembahyang waktu, mudah-mudahan perkara ini tidak berlaku. Rasa sedih, marah dan kesal....inilah antara kelemahan umat islam ketika ini mengabaikan perintah Allah dengan mendahulukan urusan dunia, meninggalkan ibadah tanpa rasa malu dan takut dosa!

Wednesday, April 22, 2009

Tenang-tenang air...


Kita biasa mendengar pepatah lama berbunyi air tenang jangan disangka tiada buaya. Persoalannya adake buaya yang tinggal di air yang berombak dan berarus deras. Kurang arifle pulak mengenai habitat sang bedal tu.

Begitulah indah khazanah bahasa datuk nenek kita dahulu sehinggakan peringatan dan amaran yang diberi dilafazkan dalam ayat yang amat bersahaja namun maksud yang tersirat nyata tegas. Maka sudah tentu akal yang jernih dan cerdik sahaja dapat mengerti akan maknanya.

Justeru sehingga sekarang turun temurun atau dari generasi ke generasi ungkapan itu terus subur dalam kehidupan masyarakat. Ingat, air tenang jangan disangka tiada buaya kerana hakikat kejadian manusia itu seandainya berjaya mempertingkatkan harkat, darjat dan martabat diri maka sering dia digelar malaikat hidup sedangkan jika perlakuan sentiasa menyalahi hukum agama dan peraturan sudah tentu pantas dia lebih mirip kepada perangainya haiwan.

Terpulang kepada kita mendefinisikan ungkapan tersebut secara positif atau sebaliknya. Namun apa yang lebih penting ialah kalau sudah tahu kemungkinan ada buaya di air yang tenang maka janganlah terlalu mendekat-dekatkan diri kerana ditakuti akan kena baham.

Tuesday, April 21, 2009

Biarkan.......


Kalau kebencian itu disebabkan perlakuan kita yang bersalahan dengan hukum agama atau undang-undang negara tidak boleh diterima kerana kita adalah memegang amanah di muka bumi ini sebagai khalifah, membantu dan membetulkan yang salah, dengan bimbingan atau hukuman yang setimpal. Apatahlagi sekiranya kebencian itu hanya kerana kebolehan atau kelebihan yang ada pada kita.

Segelintir dari kita kurang senang menerima khabar gembira orang lain, penuh cemburu dan rasa benci, mencari-cari kelemahan dan kekurangan mereka untuk meremehkan kehebatan yang tersersah. Puas hati bila rencana terlaksana sedangkan tiada apa untungnya melainkan bertambah rugi dan berkurang pahala yang ada.

Kepada kita yang pernah dan akan menerima nasib seperti ini, bersabarlah dan terimalah dengan senyum dan pohon pertolongan dariNYA kalaupun jauh di sudut hati terasa nak diterajang atau disepak aje makhluk itu. Kesianlah kepada mereka yang menderita sakit jiwa, jiwa yang tidak tenteram justeru terlalu memikirkan kebahagiaan orang lain sehingga terlupa untuk mempertingkat kualiti diri dan kehidupan. Kalaupun ada peluang untuk membalas dendam, biarkan saja kerana setelah ianya berlalu kita masih kan tersenyum sedangkan dia akan terus dibakar oleh kesumat seumpama api yang membakar sekam.

Sunday, April 19, 2009

Lupakan...


Ada sms respon dari seorang sahabat yang pernah terperangkap dalam kancah cinta terlarang dengan beberapa orang wanita yang jauh lebih muda darinya. Lelaki yang punya kedudukan, bijak dan masih gigih menjalankan perniagaannya. Dalam komen yang ringkas dia pohon aku beri jalan penyelesaian kepada mereka yang sewaktu dengannya. Apapun dia cepat sedar dan berjaya keluar dari penjara asmara duka namun ku kira masih gagal melupa kenangan lama.

Aku bukan seorang kaunselor atau pakar psikologi yang dapat memberi cadangan jalan keluar, apapun yang aku catatkan disini hanyalah pendapatku yang bisa dipertikaikan oleh sesiapa saja. Aku tidak akan menyalahkan sesiapa dalam soal cinta sebab siapapun kita perasaan untuk dicinta dan menyinta adalah lumrah.

Pertama bila kita telah mengambil keputusan untuk mengakhiri sebuah perhubungan, langkah selanjutnya adalah membuang segala sesuatu yang ada kaitan dan nastolgia dengan sidia. Surat-surat, hadiah dan gambar wajib dimusnah sebab dengan membaca dan membelek benda-benda itu kita hanya akan menggamit kenangan lama.

Kedua jangan sesekali berjumpa atau bercakap dengan telefon sebab dengan memandang dan mendengar suara dia hanya akan menggetarkan semula rasa cinta.

Ketiga if you are strong enough than change the relaetionship dari kekasih kepada seorang sahabat tapi masih tertakluk kepada larangan kedua cukup sekadar sms. Perhubungan tidak membicarakan kisah lama.

Keempat sentiasa pohon keampunan dan kekuatan dari Allah SWT agar kita tidak akan terpengaruh kepada bisikan syaitan yang menggoda. Lakukanlah dengan ikhlas Insyaallah semua perbuatan yang baik tu akan mendapat pertolonganNYA. Kalau sebaliknya yang terjadi itu hanyalah dugaan untuk menguji sejauh mana keimanan mengatasi kejahilan dan kelemahan kita. Hanya kita yang dapat membantu diri sendiri, hendak seribu daya tak hendak seribu dalih. Justeru kita yang membina penjara asmara lara maka sudah pasti kita ada kunci pintu keluarnya. Kalau tak bisa memadam kenangan lama jangan sesekali diselak lembaran itu. Biar ia semakin usang diarus masa.

Akhirnya percayalah bila kita ditakdirkan berpisah itu bermakna Allah SWT telah membuat keputusan yang terbaik untuk kita. Sayangilah isteri dan keluarga kita kerana mereka adalah dunia kita, bahagiakanlah mereka hingga kita menutup mata.

Aku harap sahabatku nan budiman lagi bijaksana bisa menerima pandangan ini dengan hati terbuka. memanglah mudah untuk bekata namun tiada yang mustahil dilakukan jika kita bersungguh. Bagai pepohon di musim luruh, biar semua daun-daun kering jatuh bertaburan...lupakanlah!

Thursday, April 16, 2009

Jangan menyanyi di dapur...

Dapat isteri muda, makan kat kedai hari-haripun takpe!


Kata rang tua
anak dara menyanyi di dapur
kalau dapat suami
boleh dipanggil ayah

Teringat di zaman remaja setiap kali ke dapur aku akan terlalak-lalak menynyikan lagu-lagu yang sedang top pada ketika itu. Biasanya nyanyian yang aku perasan begitu merdu mendayu akan terhenti tiba-tiba bila nenek mula menyergah "ooi anak dara jangan menyanyi kat dapur nanti dapat laki tua" Alahai punyalah takut kalau-kalau dapat suami begitu macam senikata lagu yg didendangkan oleh Allahyarham Datin Rafeah Buang tu.

Lama selepas itu baru aku faham apa sebenarnya hikmah dari tegahan orang tua-tua dahulu supaya tidak menyanyi ketika memasak antaranya supaya kita lebih fokus kalau dah terlalu menjiwai lagu yang dilaungkan tu dibimbangi akan rentunglah nasi yang dimasak atau ikan yang digoreng sebab masa tu manalah ada periok nasi elektrik kebanyakannya masih menggunakan dapur minyak tanah malah ada lagi yang menggunakan kayu atau arang.

Masa terus berjalan dan pandangan serta penerimaan masyarakat telah berubah. Mendapat menantu yang sebaya umur atau lebih tua bukanlah satu perkara yang pelik dan agak memalukan. Selain dari itu ada juga (segelintir) anak dara yang sengaja mencari suami yang berusia untuk jaminan masa depan terutama lelaki tua dari kalangan yang berkedudukan dan berduit. Lelaki-lelaki tua dahulu menganggap anak-anak dara seperti anak sendiri yang perlu dikasihi dan dibimbingi. Sedangkan (segelintir) dari mereka di zaman ini sengaja mengambil kesempatan terhadap remaja-remaja itu untuk kepentingan diri. Apapun kita tiada hak untuk menyalahkan sesiapa sementelah seperti yang pernah diperkatakan cinta itu tidak boleh dipaksa, ia datang tanpa diundang, kalau sudah terperangkap pandai-pandailah meloloskan diri kerana ia akan hanya melukakan perasaan insan lain yang dekat dengan kita - isteri dan anak-anak.

Tuesday, April 14, 2009

Pilihan

Agaknya berapa lamalah masa yang diambil untuk memilih glu yang terbaik. Lagi banyak pilihan menambah pening kepala sampai tak pasti mana yang hendak dipilih.














Samada kita suka atau tidak, sedar atau tidak sebenarnya kita tidak dapat lari dari terpaksa membuat pilihan untuk kelansungan hidup. Hatta memilih jenis beras yang sesuai dan terbaikpun sudah cukup membuat kita terdera kerana pilihan yang ada terlalu banyak sedangkan kita tidak pasti apakah kualiti dan kebaikan yang didakwa itu sesuatu yang benar.

Kebanyakan kita mudah terpedaya kepada pandangan mata, yang cantik, yang indah dan yang mahal seringkali dilabelkan sebagai pilihan terbaik. Hakikatnya bila dibawa pulang, diguna barulah kita tahu bahawa kita telah tertipu oleh kesilapan yang kita lakukan sendiri.

Begitulah juga dalam memilih teman hidup (suami atau isteri). Kita menyangka kita telah mendapat intan terpilih tatapi setelah habis musim asmara yang mengasyikkan barulah kita perasan bahawa dia tidak seperti yang kita harapkan. Namun terimalah hakikat jika pasangan kita berfikiran yang sama terhadap kita. Sebenarnya pasangan kita adalah pilihan terbaik yang ditentukan Allah SWT kepada kita. Kitalah sebagai suami / isteri wajib bekerjasama untuk membina sebuah perkongsian hidup yang bahagia tanpa rasa terkilan dan sesalan. Kata orang tak dapat apa yang dicinta maka cintailah apa yang kita dapat.

Friday, April 10, 2009

Sakat


Alangkah indahnya, beberapa jambak pokok sakat yang menumpang pada pokok induk yang tinggi menjulang langit. Seni taman semula jadi yang mengkagumkan. Pun begitu percayalah dalam beberapa tahun akan datang sudah barang tentu pokok induk itu akan merana sedikit demi sedikit sehinggalah ia jatuh menyembah bumi kerana jambak pokok sakat akan terus berkembang biak sehingga membunuh pokok itu.

Dalam alam manusiapun ada mereka yang macam pokok sakat, diberi muka nak kepala, diberi betis nakkan peha. Justeru berhati-hatilah dalam kehidupan. Akan tetapi apa yang lebih utama ialah jangan sampai kita sendiri berperangai macam pokok sakat!

Thursday, April 09, 2009

susu susu


Alangkah nikmatnya meneguk susu lembu atau susu kambing segar yang masih panas. Pagi atau petang segelas susu dengan sesudu kecil gula (jika suka) nikmatnya sukar digambarkan. Malangnya minuman ini hanya terjual di kedai India mungkin disebabkan budaya mereka yang gemar minum susu sejak dari kecil. Namun kalau sudah dimulakan meneguknya, percayalah kita akan merindui minuman penuh khasiat terutamanya kalsian dam protin itu jika tidak mendapatkan sekurang-kurangnya tiga gelas seminggu. Cuba dan rasailah keenakannya! Ia lebih baik dari minuman teh tarik atau teh susu yang bakal mengundang penyakit kencing manis jika diamalkan pada jangka panjang lantaran kandungan gulanya yang amat tinggi. Pengambilan susu sepatutnya diamalkan sepanjang hayat.

Monday, April 06, 2009

Pantun lama


Kelip-kelip kusangka api
kalau api mana sumbunya
hilang ghaib kusangka mati
kalau mati mana kuburnya

Apa merayap di tengah sawah
anak kepiting di celah batu
apa diharap kepada saya
saya yang miskin lagi piatu

Thursday, April 02, 2009

Kenapa...


Ikatan persahabatan amat unik dan sukar dimengertikan. Pengaruh seorang kawan dalam kehidupan kita jauh lebih kuat dari ibubapa, suamisteri dan adik beradik.


Kebanyakan suami akan mengetepikan permintaan pertolongan dari isteri dengan pelbagai alasan tapi sanggup berkorban demi kawan

Kita akan dengan mudah memaafkan kesalahan kawan tapi ada yang mengambil masa paling minima seminggu bagi memberi kemaafan kepada pasangan

Kebanyakan dari kita akan dengan murahhati menghamburkan kata pujian kepada kawan tapi jarang-jarang sekali memuji pasangan walaupun kita perasan ada hari-hari tertentu dia nampak lebih menawan atau masakannya amat sedap dan menyelerakan

Kenapa terlalu berkira untuk mengembirakan hati pasangan, bukankah perkahwinan itu suatu perkongsian perasaan, bahagiakah kita kalau pasangan terdera jiwanya?

Kenapa sukar benar berterusterang dengan pasangan tentang perasaan dan masalah sedangkan kita bisa berbicara berjam-jam meluahkan rasa hati kepada kawan

Kenapa amat berhati-hati dan komited untuk menjaga perasaan kawan sedangkan jarang sekali kita mengambil peduli perasaan pasangan

Kenapa ini harus terjadi?

Tidak adil kalau kebanyakan kita memandang remeh perkera ini kerana apa saja yang berkaitan dengan perasaan impaknya amat besar kepada kualiti hidup pasangan kita. Rasa terpenggir dan kecilhati lambat laun akan memaksa pasangan mengintai pintu keluar yang sudah barang tentu tidak kita sukai dan kalau itu terjadi...jangan salahkan orang lain!

Tuesday, March 31, 2009

Betulke cinta itu buta?


Bila seorang lelaki warga emas beristerikan perawan seusia umur cucunya, kita akan menganggap itu adalah biasa. Akan tetapi bila anak teruna yang tampan muda belia beristeri seorang wanita sebaya neneknya, kita akan mencemuh dan membuat berbagai-bagai andaian antaranya:

Budak lelaki tu mesti kahwin sebab nakkan harta pompuan tua tu

Budak lelaki tu dah kena ubat guna-guna

Budak lelaki tu dah gila agaknya

Pompuan tua tak sedar diri dah nak mati masih menggatal lagi

dan lagi dan lagi.....

Siapakah kita untuk membuat tohmahan dan menjatuhi hukuman terhadap mereka. Kekadang kita lupa hakikat cinta bahawa ia datang tanpa diundang. Bila cinta hadir tiada apa yang dapat menghalang, semua yang ada pada sidia amat indah dan mengasyikkan. Itu sebab orang kata cinta itu buta sedangkan realitinya kita yang menjadi buta dan pekak kerana cinta. Alangkah hebatnya penangan cinta.

Betapalah bila kita bisa mencinta Allah SWT melebihi dari segala seuatu sehingga rasa takut kepada neraka akan mengekang kita dari berbuat dosa supaya kita bisa bertemu Dia di surga. BertemuNYA yang sewajarnya amat dicinta!

Friday, March 27, 2009

kenapa ketam?


Sejak dua menjak ni kedengaran orang membicarakan mengenai ketam yang mengajar anaknya berjalan. Sendiripun jalah tak betul nak ajar anak pulak, hahahahhaa. Persoalannya di sini benarke ketam tu jalannya tak betul, atau dia dianggap jalan tak betul sebab cara berjalannya tak sama macam kita, menghala ke depan sedangkan ketam mengereng atau menyenget. Jangan-jangan dalam dunia ketam meraka pulak berkata "jangan jadi macam manusia nak mengajar anaknya berjalan senget" hahahahahah sekali lagi.

Kalaulah ketam tu sedar betapa kita manusia telah melanggar hak asasi mereka dengan memburuk-burukkan generasi mereka sejak dulu dah tentu mereka atau memberontak dan menyepit kita. Tentu mereka akan berkata "tahukah engkau wahai manusia bahawa aku inipun makhluk Allah yang indah kejadiannya dan banyak manfaat kepada kamu, selain sedap dimakan yang penting sekali aku tidak seperti manusia yang sentiasa berbuat dosa dan angkara di muka dunia ini. Tentu ada hikmahnya kenapa kami diciptakan berjalan mereng, jadi jangan nak menghina ketam lagi. Ingat!"

Betulle pulak, kanke yang berbuat jahat itu kita kenapa pulak nak disamakan dengan ketam, apa salah mereka?

Thursday, March 26, 2009

Kepercayaan

Antara ciri utama dalam persahabatan yang tulin adalah saling percaya. Apabila seseorang dengan rela menceritakan rahsia peribadinya kepada kita itu bermakna pintu kepercayaannya sudah terbuka. Masuklah dengan segala hormat dan tutuplah segera kerana pintu itu dibuka hanya untuk kita tanpa memberi haq membukanya semula kepada orang lain




Kepercayaan adalah jaminan keselamatan yang melimpahkan rasa kasih dan sayang secara berterusan tanpa mengira siapa.

Wednesday, March 25, 2009

Berdoalah agar Malaysia kekal sejahtera


Perhimpunan Agung UMNO 2008 telah bermula. Kita berharap para perwakilan akan mengambil keputusan yang betul dan pilihan yang tepat demi masa depan generasi kita dan negara ini. Semoga musim rawan dan gawat sejak 10 tahun akan segera berlalu...atau taufan kekecewaan dan kemarahan kan terus menyala dan membakar kesetiaan kita?

Tuesday, March 24, 2009

Alahai sotong goreng tepung


Tadi pagi seorang pendengar sinar.fm telah meluahkan rasa geramnya terhadap apa yang dianggap sebagai telah tertipu. Dimaklumkan keseronokkan percutian beliau ke Pualau Pangkor bersama keluarga terjejas gara-gara sepinggan sotong goreng tepung. Dengan suara terkilan dan musykil beliau mempertikaikan bagaimana tiga ekor sotong berukuran kurang lebih 4 inci panjang itu dijual dengan harga RM75.00. Mak ooi mahal tu, malah bila dipersoalkan kepada tuan punya kedai makan, pekedai itu dengan sombong menegaskan "kalau nak bayar bayar, kalau taknak bayar dah" itupun melalui pekerjanya.

Bagi lara sebagai seorang pengguna terutama di tempat-tempat peranginan apapun yang hendak dibeli jadikanlah suatu tabiat untuk bertanya dan mengambiltahu harga sebenar sesuatu barang atau makanan sebelum kejadian seperti di atas terjadi. Biarlah orang nak kata apapun asalkan kita tak rugi apa-apa lagipun itulah hak kita sebagai pelanggan.

Peniaga lak janganlah mengambil kesempatan atas pengunjung luar, kemarahan dan sumpah seranah pembeli sedikit sebanyak akan menjejaskan kemurnian hasil jualan, konsep berniaga untuk mencari rezeki yang halal dan keuntungan yang sewajarnya janganlah diabaikan.

Thursday, March 19, 2009

Sakitle tak sihat...


Keadaan cuaca yang tidak menentu panas, dingin, panas, dingin pantas menjejaskan kesihatan tubuhku. Pertambahan usia nampaknya telah meragut sedikit demi sedikit kekuatan sistem pertahanan badan.

Sakit kepala, selsema dan perit tekak sejak malam tadi kian bertambah teruk. Mahu atau tidak esok terpaksalah mendapatkan pemeriksaan dokter dan ubat yang bersesuaian.
Bila dah macam ni baru tahu betapa mahalnya harga "sihat" yang seringkali diabaikan penjagaannya. Mudah-mudahan sakit ini akan segera semboh agar dapat menjalani hidup seperti biasa disamping terus menjalankan tugas di pejabat. Anihnya aku tetap menggagahkan diri membuka blog ini demi mengintai rakan-rakan yang udah seminggu kutinggalkan......rindu!

Thursday, March 12, 2009


Berapa lama mesti ku nanti
sinar cahaya matamu
gemerlap bagai bintang menyinari malam
malam yang menutup diriku

Berapa lama perlu ku tunggu
lontaran suara dari bibirmu
memecah hening taman
taman surgawi
pada sebuah hati nan sepi

penantian suatu siksa yang tidak tertanggung
oleh tubuhku yang kering dan layu
kepastian satu penawar dalam suka dan duka
yang meniti hidupku

(Lagu ini ciptaan Allahyarham Zubir Ali - Al fatihah buatnya)

Memang siksa menanti macam rakyat Perak le ni dalam keliru dan kesamaran, semuanya tidak keruan tanpa ketentuan.

Dalam banyak hal janganle buang masa menunggu..........zaman le ni kalau tak pandai mengambil kesempatan dan rebut peluang kita akan ketinggalan. Pun begitu dalam mencapai matlamat jangan sampai menidakkan haq orang lain dengan menindas dan aniaya. Pendek kata kalau Islam dijadikan landasan udah barang tentu kita tak akan tergelincir...... ni le pesan orang bijak pandai!

Monday, March 09, 2009

Wahai lelaki jadikanlah Rasulullah sebagai idola


Setiap tahun kita menyambut ulangtahun kelahiran Rasul Junjungan Nabi Muhammad S.A.W dengan berbagai-bagai majlis dan acara, perarakan, cermah agama dan anugerah. Namun setakat manakah kita mengambil teladan akan perilaku, ketabahan dan perjuangan baginda.

Kebanyakan lelaki zaman ini berebut-rebut nak berpoligami konon nak ikut jejak rasul sedangkan yang lebih utama sebenarnya adalah menghayati bagaimana baginda menjalani hidup berumahtangga. Umum mengetahui betapa romantik dan penyayang serta sabarnya baginda dalam melayani karenah isteri-isteri, belum lagi diperkatakan akan berhemah dan bijaksananya baginda dalam menangani masalah perkahwinannya.

Baginda berkahwin lebih adalah atas sebab kepentingan masyarakat dan agama Islam sedangkan lelaki sekarang pasang dua tiga hampir semuanya bermula dengan hubungan sulit yang terlarang disamping rata-rata mengabaikan kebajikan isteri dan anak-anak dari perkahwinan terdahulu. itulah sebabnya wanita sekarang sukar untuk bersetuju juka sang suami meluahkan hasrat untuk menambah istei. Wanita tidak menolak hukum yang membolehkan tetapi kecewa dengan kegagalan suami terbabit dalam menjalankan tugas sebagai suami berpoligami yang adil dan bertanggungjawab.

Bagindalah sepatutnya dijadikan idola oleh semua umat manusia di muka bumi ini. Semoga akan bertambah kasih dan sayang serta rindu kita kepada baginda Rarullah. Justeru bersamalah berusahalah agar kita menjadi muslim / muslimah yang kamil berpandukan Al Quran dan Sunnah tinggalan baginda agar kita dapat berjumpa baginda di jannah. Insyaallah.

Wednesday, March 04, 2009

Bayangkan ...


Bayangkan tetiba je tanpa alasan seseorang yang tidak kita kenal memberikan sebungkusan hadiah yang indah siap ade bunga lagi. Patutke diterima atau ditolak mentah-mentah?



Bayangkan tetiba je kita disisihkan, tidak dipeduli solah-olah kehadiran kita tidak diperlukan atau dalam bahasa mudahnya "menyibuk" je. Apa harus kita lakukan , buat muka keian macam kucing tu (alahai cianle dia tu) atau angkat kaki tanda protes sambil pasang niat akan membalas dendam (siap kau).

Monday, March 02, 2009

Pisang oh pisang



Semalam pagi dalam perjalanan ke Jawi, Pulau Pinang kami singgah di kawasan Rawat Rehat Bukit gantang yang terkenal dengan gerai-gerai yang menjual beranika jenis buah-buahan tempatan yang menggamit selera. Sementelah menjadi tabiatku memlakan sarapan dengan buah-buahan jadi aku pohon encik anak yang menjaga gerai tu membahagi dua seikat pisang berangan kerana kalau kami membeli kesemua sudah tentu tidak akan habis dimakan. Apa yang mmeranjatkan kami, dia begitu kebneratan dan menolak mentah-mentah permintaan kami tanpa alasan yang menasabah. Justeru aku terus angkat kaki malas nak mencemarkan keceriaan pagi yang nyaman tu.
Apapun entah apa yang A cakapkan kepadanya, sikat pisang itu akhirnya dibahagi dua dan dapatlah aku menikmati keenakan pisang dengan hati yang sedikit mengkal.


Kalau diikutkan hati mahu saja aku duduk didekat dia dan berceramah bagaimana menjadi peniaga yang cerdik dan lebih berjaya dengan mengamalkan konsep pelanggan selalu betul (bukan sentiasa betul sebab ada gak pelanggan yang banyak tak betulnya). Aku percaya sepertinya kami, ramai lagi pelanggan lain yang singgah tidak mahu membeli buah-buahan di sana lebih dari keperluan tapi kalau sudah ditetapkan peraturan yang kurang bijak siapa sebenarnya yang rugi. Inilah antara kelemahan sikap peniaga-peniaga yang bersepah di seluruh negara.




Lihat betapa hebatnya strategi perniagaan sebuah "Convenience Store" di Ermita Area, Manila. Bukan saja membolehkan sesipa menikmati pisang tu ikut pekerluan tetapi peniaga tersebut sebenarnya mendapat pulangan yang lebih dibandingkan dengan menjualnya sesikat penuh.



Lihat bagaimana sebiji pisang yang dijual dalam bungkusan yang menarik dan mudah.

Ok, lega rasanya dapat lepaskan geram, hahahahahahaha
Pisang, pisang, pisang murah-murah sebiji RM0.50 je