Wednesday, January 27, 2010

Cerita anak daraku


Wajah nakal ceria anak daraku Nabilah dihari graduasi yang menabalkannya sebagai Doktor Muda pada tanggal 25 Januari 2010 (Isnin) di Universiti Sumatera Utara (USU). Tahniah sayang!

Nanti pada 01 Februari pula dia akan memulakan latihan klinikal di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, Perlis. Semoga Allah pertingkatkan iman, permudahkan urusan pembelajaran dan kehidupannya serta menjaga keselamatan dan kesihatan. Amin.




Semasa bercuti semester bulan lalu anak daraku mengingatkan supaya menjalani pemeriksaan Pap Smear sebagai langkah pencegahan kancer rahim.

Nabilah : Ibu jangan lupa buat Pap Smear tahun ni ye, adikpun dah ingatkan kewan-kawan adik yang lain.

Aku : (Terkesima) biar betul adik (panggilan manja anak daraku) setahu ibu Pap Smear hanya untuk mereka yang telah berkahwin, anak dara mana boleh

Nabilah : Laaa ibu, kawan perempuan adik ramai yang takde dara lagi

Aku : Ibubapa mereka tahu ke dik?

Nabilah : Mestile tak tahu bu, sejak di Medan lagi ramai yang dah lepas bebas macam suami isteri, tiada sape yang nak marah atau ambil tahu

Aku : Ibu doa agar adik jangan sampai jadi macam tu, diri kalau dah tercemar satu senpun tak guna

Nabilah : Insyaallah bu, takkanlah adik nak buat macam tu, adik ingat semua pesan ibu dan ayah, janganlah bimbang

Aku : Alhamdulillah (Aku mengucap syukur kepada Allah)

Alangkah sukarnya menjaga anak dara di zaman ini, apa yang diperkatakan oleh anak daraku amat menakutkan, kalau dulu hanya gadis-gadis kilang yang dikaitkan dengan keruntuhan akhlak dan sex bebas, kini pelajar-pelajar di pusat pengajian tinggi tidak terkecuali. Anak-anak bangsa yang cerdikpandai tapi mudah tewas dengan hambatan nafsu serakah. Tidak adil menyalahkan ibubapa yang rata-rata telah memberi bekalan ilmu agama dan nasihat berguna kerana pengaruh kawan-kawan ternyata lebih berbisa. Di manakah punca sebenar perkara ini sehinggakan ia menjadi semakin parah.
Ini MASALAH kita semua SATU MALAYSIA!

Wednesday, January 20, 2010

Cinta Terlarang



Tika nafsu menjadi raja
api asmarapun menyala

Iman nan terbakar
malu yang tercalar
tanpa sedar
kau tiduri malam
dengan dosa
atas nama cinta


4.35 ptg (Rabu)
Ipoh

Sunday, January 17, 2010

Perkongsian


Petang tu aku biarkan A meluahkan resah hatinya. Aku hanya mendengar dengan tengan sambil sesekali mencelah bila perlu.
A : Lara, aku rasa selama ini aku hanya bertepuk sebelah tangan, aku hanya
mengejar bayang dan aku hanya menanti cinta yang takkan kunjung tiba.

Aku : Kenapa kau cakap macam tu pula, selama ni kan hubungan kau dengan dia takde
masalah apapun aku tenguk. Nampak loving je.

A : Memang le kami nampak loving takde masalah, dia baik dan romantik.

Aku : Jadi apa pula yang jadi masalahnya?

A : Entahlah Lara, tapi bila aku renungkan dalam dalam aku jadi keliru dan resah
Setiap hari aku saje yang akan "call" dan sms dia dulu . Kredit hp dia aku
yang "top-up"kan tapi tak pernah pulak dia "call" aku. Kalau gi makan
mana-mana aku yang tanggung semua, tak pernah sekalipun dia nak bayar. Kalau dia kerja "out station" ke mana mana tak pernah sekalipun dia teringat nak belikan cenderamata walau sekecil rantai kunci untuk aku. Bukannya dia takde duit, gaji besar dan kerjaya dah kukuh.

Aku : ooit kau ngunkit tu, kalau dah belanja dengan ikhlas halalkan je.

A : Bukanlah camtu tapi aku terfikir kalau masa berkawan dia dah kedekut
ngalahkan tangkai jering bila dah jadi bini nanti terukle aku nak
tanggung semua.

Bila A meminta nasihatku, aku hanya sarankan dia menguji sejauh mana keikhlasan lelaki itu dengan memberhentikan semua perbelanjaan yang sekian lama dia berikan, kalau lelaki itu mahu mengeluarkan belanja tanpa sebarang komplen dan hubungan berjalan lancar seperti biasa maka takde masalah A bertepuk sebelah tangan. Akan tetapi bila lelaki itu mula mempersoalkannya dan menjauhkan diri maka pandai-pandailah A membuat keputusan sendiri.

Persahabatan apatahlagi perkahwinan adalah suatu perkongsian, susah senang wajib ditanggung bersama agar tidak timbul masalah pihak yang lagi satu terasa diperguna atau dianiaya.

Tuesday, January 12, 2010

Kasih sayang

Awal tahun 2010 ini kita digemparkan dengan berita pembunuhan empat sekeluarga. Apa yang lebih mengerikan adalah kepala salah seorang mangsa telah ditanam jauh dari tempat kejadian. Apa yang tidak kena hanya pelaku dan Allah sahaja yang mengetahui punca terjadinya perkara itu. Entah kerana dendam yang amat dalam atau entah kerana rasa benci yang teramat sehingga ia diterjemahkan dengan perlakuan yang melewati batas kewarasan manusia biasa.

Tadi pagi berita di Metro Hatian melaporkan seorang ayah yang ditinggalkan dengan bungkusan pakaian oleh anak lelakinya di perhentian bas depan sebuah sekolah. Khabarnya anak lelaki ayah malang itu terpaksa berbuat demikian kerana tekanan atau paksaan dari isterinya. Hanya Allah jua jugalah yang tahu rahsia antara lelaki itu dengan menantunya sehingga perasaan benci telah menguasai diri dan menghakis rasa kasih sayang dan hormat kepada bapa mentuanya. Akan tetapi apa yang amat diksesal bilamana seorang lelaki sanggup membuang seorang ayah (satu satunya ayah di dunia ini) hanya kerana terlalu menyayangi isteri secara membabi buta. Bukankah sepatutnya suami itu memimpin isteri untuk menjadi isteri solehah dan menantu yang terpuji.

Kemanakah perginya kasih sayang dan kasihan belas. Sudah kian terhakis dan terpadamkah?. Dunia ini akan semakin kacau dan musnah tanpa kasihsayang sesama insan. Jangankan manusia hatta binatangpun mempunyai hak untuk dilayan dengan baik dan berperi kamanusiaan. Betul kata-kata bijak pandai bahawa "Dalam dunia binatang tiada manusia tapi dalam dunia manusia ada binatang"


Kekadang haiwan lebih mengerti erti kasihsayang


Haiwan juga tahu menzahirkan rasa kasih

Sunday, January 03, 2010

Awal tahun yang tenang


Tidak seperti bahagian-bahagian lain, Bahagian Kewangan agak kurang kerja-kerja yang hendak dilaksanakan selepas penutupan akaun penghujung bulan Disember 2009 lalu. Melainkan menyelesaikan urusan pembayaran bil-bil tertunggak jika ada belum 8 Januari depan dan menyediakan gaji kakitangan selebihnya kenalah pandai-panai menyibukkan diri mencari kerja seperti mengemaskini susunatur dan maklumat dokumen yang terbengkalai bagi mengelakkan melangut macam burung nuri. Sabarlah hendaknya menanti peruntukan tahun 2010 yang dijangka sewal-awalnya penghujung bulan ini.

Thursday, December 10, 2009

Sepi seorang ayah...


Maka gemparlah seluruh desa berita seorang suami yang kematian isteri sejak 2 tahun lalu telah bernikah lagi. Jodoh keduanya anak dara umur 55 tahun 25 tahun lebih muda darinya. Berbagai pendapat dan pandangan pro dan kontra silih berganti, ada yang cakap perempuan itu adalah pilihan anaknya yang berkerja di Kuala Lumpur itu, ada juga yang memberitahu kononnya perempuan pilihan itu diperkenalkan oleh teman-teman yang sama bersembahyang di masjid kariahnya saban Subuh, Magrib dan Isya'

Yang tidak mengerti, marah dan mencaci, mencari pelbagai alasan bagi menyalahkan tindakan lelaki itu. Tidak mahu meletak diri di situasi lelaki itu.

Akan tetapi seorang lelaki yang terbiasa dimanjai oleh isteri, hampir segalanya diuruskan terutamanya makan minum, pakaian dan sakit pening. Pemergian isteri bukan saja telah meninggalkan dia kesorangan dalam sepi yang tidak siapa pun bisa mengerti kecuali yang pernah mengalaminya, tapi kehidupan yang dulu terurus tiba-tiba menjadi tidak karuan, hatinya rawan, jiwanya resah. Sudah tentu kesedihan menjenguknya dengan ramah sekali. Mengharapkan anak-anak, masing-masing dah besar dan ada tangungjawab serta bekerja dan tinggal jauh darinya. Kalau duduk serumahpun masih tidak akan dapat memenuhi keperluannya. Hari, minggu dan bulan pertama mungkin mereka akan cuba menemani dan menghiburkan hati bapa itu tetapi hidup harus diteruskan. Selepas itu lelaki yang kematian isteri akhirnya tinggal sendirian meneruskan hidup dalam kepayahan yang menyiksakan. Pilu hatinya bertambah parah bila malam menutup pintu siang, sukar melelapkan mata justeru tiada teman bicara sementara terlena. Duka seorang lelaki yang kematian isteri tak siapa bisa memahami.

Pernikahan baru sudah tentu sedikit demi sedikit akan menutup tirai kesedihan, memanaskan semangat yang hampir suam kuku dan hidupnya akan kembali ceria dan bermakna. Berbahagialah hendaknya.

Monday, December 07, 2009

Cerita anak dara ku yang manja...


Tiba-tiba saja anak daraku yang manja tu telefon mengadu sakit kepala dan bengang. Lama ku cuba mendapatkan jawapan sebelum dia memberitahu semua disebabkab rasa terkilan kecilhati dan sedih atas perbuatan kawan baik dia si K. K yang selama 3 tahun duduk serumah semasa di Medan Indonesia, K yang selama ini bersama berkongsi suka duka. K yang dulunya tidak pernah ssepatahpun anak dara ku bercakap buruk mengenainya. K yang kini tiba-tiba menjadikan anak dara ku yang manja tu sebagai seteru hanya sebab yang amat kecil iaitu terlambat mengambilnya untuk pergi kuliah, perkhidmatan yang diberi secara percuma sebab mereka tidak tinggal serumah lagi.

Dalam tangis anak dara ku yang manja terus menceritakan betapa pengorbanan yang dilakukan sejak mereka kembali belajar di Kepala Batas, Pulau Pinang. Aku melarang dia dari membebel menyenaraikan kebaikan yang telah diperbuat, aku minta dia menganggap semua itu sebagai suatu sumbangan dan tanggungjawab sosial yang mesti ditunaikan. Aku minta dia menghalalkan semuanya. Aku bagitau anak dara ku yang manja tu bahawa semua yang dilakukan mesti ikhlas agar hati tidak merasa kesal. Aku beritahu dia yang penting Allah tahu dia telah perbuat baik malah K juga tahu akan perbuatan yang baik-baik itu. Aku minta dia tetap menegur sapa K kalaupun dia akan bermasam muka sebab yang manis wajah dan baik tuturkata itu amat disukai Allah. Aku minta dia tetap bukakan pintu persahabatan andai K datang kembali mengetuknya. Aku ingatkan dia agar buat baik berpada-pada buat jahat sekalipun jangan. Aku katakan ia anak daraku yang manja anugerah Allah yang terbaik pernah ku miliki di dunia ini.
Di akhir perbualan anak dara ku yang manja itu memberitahu sakit kepala dan hilang dan perasaannya dah lega.

Lega sebab dia dah melepaskan beban yang tidak sepatutnya digalas oleh fikiran. Lega sebab dia telah memaafkan K walaupun hatinya luka. Dia lega sebab telah berbuat baik walaupun dibalas dengan demikian rupa.

Begitulah kehidupan ini kerapkali kita seperti melepaskan anjing yang tersepit, beri susu dibalas tuba malah ramai yang membuang tongkat setelah selamat sampai ke seberang. Mencari kawan bila-bila di manapun jua boleh namun mencari seorang sahabat kita mungkin memerlukan masa seumur hidup untuk menemukannya.

Monday, November 30, 2009

Cinta


Cinta memang hebat, kuasa cinta mengatasi segala. Lihatlah pasangan suami isteri ini, siisteri dilahirkan tidak berkaki sedangkan suaminya pula tiada bertangan. Kekurangan masing-masing itu melengkapkan antara satu sama lain. Disebalik kecacatan mereka saling berusaha mencipta kesempurnaan. Ternyata bahagia itu milik sesiapa saja di dunia ini asalkan saling bekerjasama mencapai satu matlamat.

Akan tetapi kenapakah ramai pasangan suami isteri yang sempurna sifatnya dan punya segala masih gagal menemukan kebahagiaan dalam rumahtangga mereka?

Wednesday, November 25, 2009

Selamat Hari Raya Qurban



Semoga pengorbanan mereka terdahulu yang taat, sabar, istiqamah dan tidak berputus asa kepada ketentuan Allah S.W.T menjadi landasan utama bagi kita meneruskan perjuangan hidup

Tuesday, November 17, 2009

Yang dulu yang baru


Aku baru saja bertukar ke pejabat baru mulai 29 Oktober 2009 yang lalu. Setelah kurang lebih dua setengah tahun menimba pengalaman bertugas di pejabat di bawah kerajaan negeri Perak kini aku kembali bekerja di bawah naungan Persekutuan.

Setiap kali bertemu rakan taulan yang tahu akan pertukaran ini pertanyaan pertama adalah samada aku seronok bertugas di tempat baru. Masih terlalu awal dan tidak adil bagiku memberi sebarang komen. Aku hanya berdoa yang aku telah membuat pilihan yang terbaik.

Kata orang tua tua yang lama sudah diketahui sepak terajangnya sedangkan yang baru entahkan baik entahkan tidak. Apapun ke mana kita pergi dengan siapapun kita bergaul, kita yang mesti pandai membawa diri, kita yang mesti sesuaikan diri dengan masyarakat dan persekitaran bukan memaksa orang lain mengikut rentak tari kita yang entah entah sememangnya sumbang.

Semua pengalaman pahit manis di tempat lama akan aku simpan dalam lipatan sejarah, menjadi kenangan seumur hidup, akan ku buka tatkala hati di gamit rindu. Kalau ada yang pernah menyakiti hatiku telah ku maafkan, begitu juga harapanku. Namun ikatan persahabatan yang telah terjalin akan terus dibajai agar terus subur mekar. Macam senikata sebuah lagu , kasih yang dulu simpan dalam mimpi kasih yang baru simpan di hati

Sunday, November 08, 2009

Gagasan 1 Malaysia Rakyat didahulukan Pencapaian diutamakan



Nampaknya harapan kakitangan awam untuk mendapat bonus hujung tahun hancur berkecai. Ini disebabkan kedudukan kewangan negara yang didakwa oleh kerajaan dalam keadaan yang tidak mengizinkan. Justeru kita yang berkenaan hendaklah bersyukur dengan wang ikhsan sebanyak RM500.00 yang telah diluluskan. Kalau boleh tidaklah perlu lagi meminta-minta seperti pengemis setiap menjelang pembentangan bajet tahunan untuk mendapatkan bonus sebulan gaji. Sedarlah bahawa Malaysia yang serba boleh dan punya satu-satunya menara berkembar tertinggi di dunia masih belum cukup makmur dan mewah untuk memenuhi permintaan kita itu. Kenalah cari jalan lain untuk menambah pendapatan asalkan jangan merompak, menyamun dan melakukan rasuah. Doa-doalah agar ekonomi negara terus berkembang dan bajet pada tahun 2011 ada habuan untuk kita.

Tuesday, October 27, 2009

Kasih ibu


Kebelakangan ini hampir setiap hari berita mengenai kegagalan wanita menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu semakin menjadi-jadi. Cerita bayi-bayi, mayat bayi serta janin dibuang merata-rata keluar didada akhbar dan di layar televisyen. Ada pula kisah sang ibu yang sanggup membiarkan anak didera sehingga mati semata-mata dikelabui oleh perasaan cinta membabi buta kepada teman lelaki.

Aduhai ke manakah perginya keagungan kasih ibu kepada anak-anak seperti yang telah kita dengar sejak zaman silam. Siapakah yang harus dipersalahkan? keluarga, masyarakat atau sistem yang diamalkan oleh negara! Agaknya memang benar ungkapan yang menyatakan kasih ibu membawa ke surga tapi si ibu nanti ke mana pula halanya? Sudah tentu keterlanjuran dan kesilapan yang dilakukan akan menghantui mereka hingga ke akhir hayat.

Thursday, October 22, 2009

Takdir


Ini adalah sahabat karibku sejak zaman kanak-kanak hingga menginjak remaja (sekolah rendah dan menengah) Esah Abu, seorang guru yang bercuti sakit barah sejak setahun sudah. Selasa lalu aku balik ke Melaka untuk menziarahinya. Esah mengidap barah rahim sejak tahun 2006 dan kini di tahap empat. Walaupun rahimnya telah dibuang, sel kanser datang kembali. Doktor mendapati organ dalamannya membengkak pembedahan tidak boleh dilakaukan lagi melainkan mengulangi rawatan kemotrapi. Kesakitan yang teramat sangat tatkala menjalani rawatan chemotherapy sebanyak 12 kali dulu menyebabkan dia enggan untuk mengulanginya lagi. Doktor memberi kata dua, tanpa chemotherapy sel kanser semakin mengganas sedangkan rawatan itu bukan saja membunuh sel kanser tetapi sel badan yang sihat. Jelas dia menahan sakit teramat walaupun untuk berkata-kata, sakit di bahagian abdomen ke bawah. Aku berdoa agar Allah akan meringankan tanggungan kesakitan itu dan dia dapat bertahan lebih lama.



Dan ini sahabatku semasa di tingkatan 4 dan 5. Naim Nordin yang mengidap barah hati sejak bertahun-tahun di tahap empat. Kehendak untuk terus hidup dan usaha melawan sel kanser membenarkan dia masih bertahan sehingga kini. Kalaupun sel kanser sudah mula menjalar menuju ke otaknya dia masih tabah dan beraksi seakan-akan tiada apa yang berlaku namun mata yang memandang dapat melihat penderitaan yang ditanggung. Kekuatan mental dan ketabahan hatinya mengagumkan. Mudah-mudahan dia akan terus cekal menerima ketentuan ini.

Jelas betapa berharganya nilai kesihatan. Harta benda dan kekayaan tidak pernah dapat membeli kesihatan atau usia. Bila mengenangkan takdir yang diterima kedua-dua sahabat aku ni, aku amat bersyukur dan sedar betapa hidup ini hanyalah sebuah persinggahan, betapa perlu berbuat kebajikan dan kebaikan sebanyak mungkin untuk mereka yang disekeliling kita sementara ada hayat yang dipinjamkan.

Sunday, October 18, 2009

Wajah


Perlukah dikorbankan rupa nan asli
kerana mahu menunjuk kehebatan seni

Meski yang dipersembah memukau mata
tak seindah ciptaan yang Maha Kuasa

Thursday, October 08, 2009

Muslim sejati


Sejak lama dulu aku perhatikan bila ada kenduri atau jamuan yang penajanya tidak menyediakan pembaca doa secara khusus maka akan terjadilah drama tolak menolak, saling mempersilakan dengan hormat dan sopan atau sebenarnya untuk melepaskan diri supaya tak kena membaca doa tu.

Payah sangatke nak hafal doa selamat,ada buku, makalah malah himpunan doa tatacara dan adabnya boleh didapatkan dengan mudah di laman sesawang. Lebih menghairankan bab menghafal lagu termasuk lagi inggeris boleh pula. Kalau sehari satu ayat dihafal cuba bayangkan dalam setahun berapa banyak yang boleh kita amal dan manfaatkan.

Antara ciri-ciri muslim sejati dan macho bukan saja bergantung kepada rupa tampan menawan, berpelajaran dan berkedudukan. Jauh lebih penting adalah mereka yang sentiasa bersedia apabila diminta memimpin bacaan doa walaupun sekadar doa selamat. Bayangkan lagi kalau semua lelaki Islam punya kemampuan yang sama maka akan bertambah kuatlah ikatan persadaraan kita dalam masyarakat.

Apakah yang boleh diharapkan kepada lelaki dalam perjuangan Islam kalau setakat disuruh membaca doapun dah menggeletar satu badan. Semoga teguran dan saranan ini akan menjadi titik tolak saudara-saudara yang berkenaan dalam mempertingkatkan jati diri sebagai muslim sejati.

Thursday, October 01, 2009

Disebalik topeng



Disebalik topeng
aku mengintaimu
terharu dan rindu

Di sebalik topeng
kau merenungku
bisu dan keliru

Disebalik topeng
ku kutip masa lalu
yang memisahkan kau dan aku
dekat tapi jauh


Ku dedikasikan sajak ini untuk seorang sahabat yang tidak mengenaliku ketika aku masuk bertopeng ke tempatnya. Lu kena beb!

Monday, September 28, 2009

Penyakit raya

Seminggu bercuti raya, ada yang masih malas nak mulakan kerja












Masih terasakan keenakan juadah raya, lemang, ketupat, rendang serta biskut-biskut anika rupa dan rasa. Syawal sebulan masih banyak hari lagi untuk menjamu selera sepuas-puasnya


Jangan pula lepas sebulan kena kerja kuat kuruskan badan selama setahun

Selamat berpuasa kepada yang sedang berpuasa sunat Syawal bukannye lama hanya enam hari sahaja!

Wednesday, September 23, 2009

Cerita Hariraya

Hariraya kedua berhenti di Rawat Rehat Air Keroh sebelum teruskan perjalanan ke Melaka untuk beraya. Anak teruna, anak dara dan ayah mereka


Hariraya ketiga dalam perjalanan balik ke Ipoh, kenderaan di sepanjang lebuhraya Utara Selatan (Melaka hingga Seremban) tak begitu sesak mungkin disebabkan ramai yang menyambung cuti hingga hujung minggu



Inilah antara nikmat Hari Raya, bukan selalu dapat berkumpul seisi keluarga dalam satu kenderaan begini. Rasa seronok tak terhingga

Thursday, September 17, 2009

Kemaafan


Kalau dalam diam
ada dendam yang belum padam
kalau dalam ramah
ada marah yang masih merah

Berkat Ramadhan
yang penuh barakah,
keampunan dan menggamit surga

Demi Eid Ulfitri
yang mulia

hapuskan rasa mencuka
yang menjeruk jiwa
dimaaf dan dilupa
barulah sempurna
fitrah manusia