Monday, September 20, 2010

Bersama berusaha membina bahagia

Terasa buntu tak jumpa jalan penyelesaian atau sebab sama-sama ego tak mahu mengalah dan mementingkan diri sendiri. Bukan tak sayang tapi yakin dengan keptusan yang diambil adalah yang terbaik tanpa memikirkan risikonya.


Apa salahnya bawa berbincang, tak cuba tak tahu kalau dicuba ada peluang 50 - 50, untung sabut timbul untung batu tenggelam (mana ada batu yang timbulpun. Jangan dianggap perhubungan itu satu perjudian sebaliknya ia adalah perkongsian.

Pantai mana tak pernah dilanda ombak laut mana yang tak pernah bergelora?


Bersama berusaha Insyaallah kita akan sampai ke pulau impian dan menemukan bahagia.Pokoknya yakin dan tawakkal kepadaNYA.

Tuesday, September 14, 2010

Jumpa Lagi Ramadhan Al Mubarak, Insyaallah


Diam tak diam dah dah 5 hari Syawal bertandang. Sebulan bergelumang dengan Ramadhan saat sedang asyik serta ghairah mengutip pahala dan redha ia pergi tanpa dapat ditahan. Syawal disambut meriah, berbelanja lebih untuk membeli persalinan baru, menghias rumah dan menyediakan juadah. Ramai yang melepaskan keberangkatan ramadhan tanpa rasa sedih dan resah. Namun ramai juga yang pilu dan gundah manalah tahu kalau ini pertemuan yang terakhir bukankah Ramadhan setahun sekali saja. Apakah kekangan diri dari melakukan yang engkar dan mungkar akan terus diamalkan. Apapun mudah-mudahan ibadah berganda yang dilaksana itu akan diteruskan sampai bila-bila kalau tidak semuanya sebahagianpun Alhamdulillah.
Syawal juga sepurnama, apakah kita akan leka berkunjung untuk berpesta makanan sehinggakan memperbaharui tali silaturrahim bukan tujuan utama, cukup sekadar bersalaman dan mengucap selamat sedangkan pohon maaf sepatutnya diucapkan penuh ikhlas dengan harapan dari dasar hati nan murni. Semoga kita semua kembali kepada fitrah dengan keadaan yang lebih baik dan bererti dari sebelumnya.

Wednesday, September 08, 2010

Salam Eidul Fitri


SALAM EIDUL FITRI KEPADA SEMUA SAHABAT BLOGGER, SAYA POHON MAAF ATAS SEGALA KEKASARAN BAHASA DAN KETERLANJURAN KATA SEKIRANYA DALAM BERKARYA ADA ENTRY YANG MENYINGGUNG PERASAAN TANPA SAYA SEDARI. SEMOGA IBADAH PUASA KITA DITERIMA ALLAH SERTA PERSIAPAN MENYAMBUT RAYA DIBUAT TANPA PEMBAZIRAN YANG MELAMPAU. SELAMAT BERGEMBIRA DAN BERBAHAGIA BERSAMA MEREKA YANG TERSAYANG. JANGAN LUPA PUASA SUNAT DI BULAN SYAWAL AGAR IBADAH DAN HIDUP KITA BERTAMBAH BERKAT.

BARAKALLAHULIWALIWALIKUM

NOORLARA NOOR

Thursday, September 02, 2010

Bahagiakan ayah ibu di hari raya


Sudahkah kita memberi peruntukan kepada ibu di kampung untuk perbelanjaan menyambut eidul Fitri. Kalau tak banyak sedikitpun tidak mengapa asalkan membuat ibu merasa lega dan bahagia. Kalaupun tidak dapat balik beraya sekurang-kurangnya keperluan mereka tidak terabai. Apalah gunanya kita beraya sakan bersama isteri, suami dan anak-anak tetapi ibu merasa disingkirkan dari ingatan dan tanggungjawaban.


















Masih ada ayah, bersyukurlah kerana kita lebih bertuah dari yang lain. Bagaimana sepersalinan baju melayu, songkok dan capal. Amboi bergaya megah ayah, abah, bapak atau apa saja yang kita panggili mereka. Belanja tak seberapa, setahun sekali pula, takkan masih berkira- kira.









Sanggupkah kita membiarkan ibubapa menunggu sehingga mati, ingatlah mengembirakan hati ibu dan ayah hasilnya doa yang membawa ke surga.

Wednesday, August 25, 2010

Ayah yang bahaya

Minggu-minggu kebelakangan ini kita dikejutkan dengan berita yang tak pernah terfikirkan sebelumnya. Kisah-kisah benar anak-anak yang didera, disimpah dengan asid, dipaksa minum racun malah dibunuh oleh ayah sendiri. Nilai kasihsayang seorang ayah semakin rapuh. Kerapkali suami isteri yang menghadapi konflik rumahtangga menjadikan anak sebagai bahan melepaskan geram. Justeru mengikutkan kata hati mereka melakukan perbuatan kebinatangan yang melupakan hakikat bahawa anak-anak yang menjadi mangsa itu adalah darah daging sendiri yang lahir dari rasa cinta kasih. Malah binatang pun hanya sedikit cuma yang tidak mengenal anak.



Pada hakikatnya adalah mustahil seseorang ayah sanggup berbuat demikian. Di sana ada sebab musabab yang mendorong terjadinya musibah tersebut. Perasaan cemburu, kegagalan menyara anak isteri dan sakit mental antara faktor yang membuat seseorang ayah hilang pertimbangan. Bertindak untuk melepaskan perasaan marah atau kecewa demi kepuasan hati sendiri sehingga terlupa bahawa yang disiksa itu anak yang suatu masa jangankan dijentik, digigit nyamukpun tidak direlakan.
Apakah tuntutan kehidupan hari ini pantas membuat kita menjadi cepat resah dan marah. Siapakah sebenarnya sepatutnya bertanggungjawab akan kejadian-kejadian yang menyebakkan dada ini. Salah kitakah sebagai ahli masyarakat yang tidak peka dan ambil peduli kepada keperluan mereka yang tidak punya. Atau semua ini terjadi kerana pelaku tidak berpegang kepada agama, tidak yakin bahawa Allah adalah tempat mengadu dan sebaik-baik tempat untuk berlindung.

Saturday, August 21, 2010

Kerana mulut


Pepatah Melayu ada mengatakan "Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya" justeru "Kerana pulut santan binasa kerana mulut badan binasa".

Seringkali pertengkaran, pertelingkahan dan pergaduhan bermula dari kata-kata yang keluar dari mulut kita. Bercakap ikut sedap mulut tanpa mengkaji buruk baiknya. Berapa banyak kes kes perceraian berlaku hanya kerana perkataan yg dihamburkan telah menyakiti atau mengecilkan hati pasangan. Akibatnya pasangan melancarkan perang dingin atau lebih teruk lagi pergi menjauhkan diri.

Anihnya semakin lama perhubungan maka semakin sensitif perasaan suami atau isteri. Kekadang kata-kata yang mulanya adalah gurauan tiba-tiba menyebabkan keduanya bertegang urat atau berperang mulut. Oleh kerana itu berhati-hatilah bila bercakap. Katakan yang indah,menegur dengan berhemah dan jangan dilayan pertelingkahan pendapat sehingga menjadi pergaduhan yang mengujudkan permusuhan yang tidak perlu. Kata-kata kesat, menghina dan memperkecilkan pasangan hanya akan menghakis rasa kasih dan sayang. Apalah maknanya hidup bersuami isteri jika api cinta dan kasih sayang kian terpadam.

Kata orang "Mulut nak manis, hati nak baik".

Wednesday, August 18, 2010

Keliru


Pada suatu ketika hubungan itu amat rapat bagaikan isi dengan kuku, aku adalah engkau dan engkau adalah aku. Begitu masa berlalu hangatnya percintaan membakar jiwa dan asmara. Setiap detik wajahmu terbayang dan namamu meniti di bibir. Tiada apa yang lebih penting selain engkau, engkau dan engkau. Ikatan yang berlandaskan perasaan kasihsayang yang melimpahruah memeriahkan hari hari kita.

Masa terus berlalu biasalah alangkan lidah lagikan tergigit inikan pula kita manusia. Namun sentiasa ada pengertian dan kemaafan. Apa yang penting adalah keikhlasan dan kejujuran dalam perhubungan.

Entah kenapa kini tiba-tiba sahaja kita saling menjauhkan diri, engkau dengan hal engkau dan aku dengan hal ku. Aku masih amat merinduimu tapi tak pasti kalau kau juga begitu. Aku masih menantikan tibanya detik indah seperti dulu tapi apakah ia akan berulang kembali. Memang aku terluka dengan perbuatanmu dan kau juga tersayat dengan perlakuan ku tapi tidak bolehkah kita melupakannya dan memulakan kehidupan baru di penghujung usia ini. Kalau kau kembali aku akan sentiasa menerimamu seperti dulu.

Cuma aku bimbang kalau tahap kesabaranku semakin luntur, aku bimbang kalau cinta dan kasih sayangku kian lebur dan paling aku bimbang kalau aku terjebak dalam perangkap cinta yang ternganga luas menanti mangsanya iaitu aku! Justeru aku hanya seorang lelaki yang tidak ingin terbelenggu dalam deraan rasa sepi, kecewa dan resah yg berpanjangan.

Aku semakin keliru...haruskah aku membiarkan kau terus bebuat suka hati... atau aku lepaskan kau pergi...

(Coretan ini khas untuk sahabatku Z sering ditinggalkan...)

Saturday, August 14, 2010

Puasa oh puasa

Bagaikan suatu kemestian setiap tahun datang Ramadhan bagi yang berpuasa untuk mengunjungi Bazar Ramadhan berbelanja. Setiap petang kita akan berpusu-pusu ke bazar-bazar tersebut.

Bermacam-macam jenis kuih-muih dan lauk-pauk yang dijual oleh peniaga yang bagai cendawan tumbuh lepas hujan mengambil peluang untuk menjana pendapatan sebanyak mungkin.






Kadang-kadang kita membeli lebih dari keperluan. Membeli mengikut nafsu mata. Penyudahnya banyak yang terbuang, sayang sayang!


Antara tujuan berpuasa adalah untuk merasai sama keperitan berlapar golongan fakir miskin. Realitinya kita lebih banyak berbelanja untuk makanan. Membazir setiap hari. Ini sudah tentu menjejaskan fadhilat puasa itu sendiri.

Tuesday, August 03, 2010

Syukur Alhamdulillah



Tiada apa yang kita sayang maka sayangilah apa yang kita ada.
Janganlah cepat berputus asa kerana orang yang berputus asa sebenarnya telah mati sebelum masanya.

Kalau rumah kita jauh lebih baik dari ini kenapa nak yang besar macam istana.
Yang penting bahagia.

Friday, July 30, 2010

Sayangi diri

"Memang payah nak marah pada orang yang kita sayang. Jangan kata nak jumpa dengar suarapun hati jadi sejuk serta merta. Macamana nak bagitahu dia yang aku tahu dia telah menipu aku selama ini. Mereka cerita-cerita duka lara hanya untuk memenangi hatiku. Kenapa tiba-tiba saja aku tak sampai hati menyatakan yang sebenar dan menegaskan kepadanya yang aku nak hubungan kami diputuskan"

Aku biarkan seseorang itu meluahkan perasaan geramnya pagi tadi. Tanpa memberi sebarang komen aku senyum dan berkata "Itulah cinta".

Itulah sebabnya keskes penderaan mental dan fizilkal dikalangan pasangan kekasih dan suami isteri sukar dibendung sebab mangsa gagal membebaskan diri dari pautan cinta. Memang benar pelaku kebanyakannya juga cinta kepada mangsa namun bukan cinta sebenar jika membawa derita, bukan cinta suci kalau membuat pasangan merana.

Sekali kita memberi peluang kepada cinta yang tidak setia dan berdolakdalik, kita akan terus tertipu. Sayangi diri kita sebelum kita menyanyangi orang lain. Memang sukar untuk melupakan tapi percayalah suatu hari bernama esok pasti ada sidia yang akan menyintai kita sepnuh hati. Bila sudah mengambil keputusan bertindaklah dan bersedia menerima risikonya. Jangan terus memendam rasa kerana ia barah yang akan memakan diri. Janganlah bimbang, sesungguhnya Allah bersama kita di mana-mana setiap masa.

Tuesday, July 27, 2010

Cinta Suci


Kasihsayang yang sejati adalah suci. Bebas dari tipudaya dan pura-pura. Sentiasa sedia menerima kenyataan dan tidak mengada-ngadakan cerita hanya untuk mengambil kesempatan serta mendapatkan simpati dan cinta. Kalau ia terjadi maka percayalah lambat laun yang benar akan diketahui juga. Ketika itu kemaafan tidak berguna lagi.
Yakinlah pada diri dan percayalah jika sudah namanya cinta dia akan menerima kita seadanya.

Friday, July 23, 2010

Kurang upaya tapi berupaya


Dulu pokok ini macam yang lain juga pasunya menadah langit tapi disebabkan kesibukan aku lupa untuk mencantasnya, akibat dari itu pokok ini tumbang mendakap bumi. Bertahun menanamnya sayang pulak nak dibuang lalu ku biarkan ia terus tumbuh walaupun dalam keadaan terbalik. Ada menganggap pokok ini telah cacat tapi aku melihatnya penuh seni dan luar biasa indah.

Demikian juga dalam kehidupan sehari-hari seringkali kita memandang remeh keupayaan mereka yang kurang upaya. Tanpa memberi ruang dan peluang mereka segera diketepikan sedangkan yang cacat mungkin tubuh badan sahaja bukannya keupayaan akal fikiran. Kehebatan mereka kekadang diluar jangka.

Wednesday, July 21, 2010

Orang kita...

Semalam sebaik keluar dari rumah untuk ke Kuala Lumpur sesampai dipersimpang ke Changkat Larang kami dapati kenderaan macet tanpa diduga. Tidak pernah ianya berlaku sebelum ini, tentu ada sesuatu yang terjadi. Tepat dugaan kami, rupa-rupanya ada sebuah kereta Proton Saga merah rosak betul-betul di pertengahan simpang tiga. Kelihatan pemandunya terkial-kial membelik injin kereta namun jelas beliau tidak tahu apa sebenarnya punca kerosakan kereta itu.

Tiada seorangpun yang turun untuk membantu malah ada yang tanpa rasa bersalah dengan sombong bernada marah membunyikan hon. Masing-masing berlumba-lumba meloloskan kereta dari kesesakan itu untuk ke tempat kerja.

Kesihan dia! Kami mengambil keputusan untuk memberi bantuan suamiku A turun menolong menolak kereta itu ke seberang jalan bagi mengelakkan kesesakan berterusan.. Nampaknya pemandu lain masih membutakan mata. Malah A dimaklumkan telah hampir 10 minit beliau di situ mengharap pertolongan.

A menolak seorang diri tanpa bantuan pemandu lain




Kereta berjaya ditolak ke seberang jalan. Pemandu itu mengucap syukur berulang kali dan terimakasih yang tidak terhingga. kami meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur dengan perasaan lega dan rasa puas yang sukar digambarkan.

Inilah antara kelemahan sikap kebanyakan orang kita. Sukar menghulurkan bantuan kepada kecuali diminta berulangkali. Tidak pernah terfiki bahawa suatu hari bernama esok mungkin kita juga akan ditimpa musibah seumpama itu. Jadikanlah amalan setiap hari dengan memasang niat untuk membuat kebajikan sebaik saja keluar dari rumah hingga kembali. Hidup ini amat singkat jadi berbuatlah bakti sebanyak mungkin agar usia kita tidak terbuang begitu saja.

Thursday, July 15, 2010


Sukarnya untuk meninggalkan seseorang yang disayang, keterpaksaan amat menyiksakan namun kalau ia merupakan jalan yang terbaik maka jangan menoleh lagi. Demi mengembalikan hak dan kepentingan orang lain, agar terhindar dari dosa yang mengejar.
Sedih dan pilu bagai tersayat sembilu, dunia rasa gelap, langit kelabu dan mentari entah ke mana.

Semoga tuhan menambah kekuatan jiwa dan ketabahan hati. Percayalah luka itu akan beransur sembuh kalaupun parutnya akan kekal sampai kemati kita tidak akan menyesal kerana berjihad melawan nafsu. Sesekali mungkin kita akan tertewas oleh rasa rindu, belajarlah untuk menepis resah, berkorbanlah untuk kebahagiaan orang lain.
Cerita itu akan jadi sejarah cubalah untuk tidak membuka lipatannya agar hati tidak menjadi rawan dan gundah gulana. Cinta dan kasih sayang itu? Serahkan kepada Allah untuk menentu.

Wednesday, July 14, 2010

Kenangan


Ada ketikanya kita mahu lari dari keriuhan yang mengganggu fikiran dan membingitkan telinga. Bersendirian, tanpa sesiapapun. Mengintai jendela masa yang telah berlalu, memungut butiran peristiwa yang terdampar di pantai kenangan, yang indah dan yang pahit. Terkadang tanpa sedar kita tersenyum dan tanpa paksa kita menangis. Kita terantai oleh sejarah silam, kalaupun ianya telah berlalu anehnya tanpa diundang ia tetap datang menerjah sesuka hati. Tanpa bantahan kita melayaninya selagi-lagi.

Friday, July 09, 2010

Kepercayaan


Kadangkala kita jadi keliru dan terkilan bila kepercayaan atau keyakinan yang kita berikan kepada seseorang itu dikhianati. Seseorang yang pada fikiran kita adalah pilihan paling tepat dan terbaik pada masa itu. Seseorang kononnya yang amat rapat dan mengerti tentang diri dan perasaan kita. Lalu tanpa berfikir berulang kali lagi kita dengan putih hati menyerahkan rahsia diri untuk berkongsi cerita dan melepaskan tekanan jiwa. Tanpa curiga penuh percaya.

Justeru jadilah kita yang sebagaimana kita mahu seseorang itu berperilaku. Menyimpan amanah rahsia diri siapa saja yang menagihnya dari kita. Ia adalah satu penghormatan yang bukan semua dapat memilikinya. Kepercayaan dan keyakinan yang menuntut kepada keikhlasan hati dan menjaganya selagi hayat dikandung badan. Agar tiada sesiapa merasa betapa sakitnya dikhianati apatahlagi oleh kawan sendiri.

Wednesday, June 23, 2010

Luangkan masa...




Luangkan masa untuk berfikir
ia merupakan sumber kepada kekuatan
luangkan masa untuk bermain
ia merupakan rahsia keremajaan yang abadi
luangkan masa untuk membaca
ia adalah sumber kebijaksanaan
luangkan masa untuk sembahyang dan berdoa
ia adalah ketenangan yang paling besar di dunia
luangkan masa untuk bercinta dan dicintai
ia adalah perasaan anugerah Tuhan
luangkan masa untuk beramahmesra
ia adalah jalan menuju kegembiraan
luangkan masa untuk ketawa
ia adalah irama untuk jiwa
luangkan masa untuk memberi
ia mengurangkan sikap mementingkan diri
luangkan masa untuk bekerja
ia adalah harga sebuah kejayaan
luangkan masa untuk beramal jariah
ia adalah kunci jalan ke syurga


***************************************

Petikan dari Buku Matlamat Hidup
terima kasih kepada penulis ini yang tidak diketahui siapa kerana aku hanya mendapat helaian ini sahaja.

Thursday, June 03, 2010

Asam Pedas...

Tetiba saja teringatkan asam pedas ikan parang yang selalu mak masak, orang Melaka katakan. Sedapnya tak terkata malah aku mengaku tak pernah merasa masakan asam pedas sesedap masakan mak. Malahan asam pedas buatanku sendiri tak pernah dapat menandingi keenakan air tangan mak tu.






Ini asam tumis atau asam rebus yang selalu dihidangkan oleh keluarga sebelah abah bila kami berkunjung balik ke Air Hitam, Keluang, Johor. Udah lebih sepuluh tahun aku tak merasainya lagi kerana di Perak ini manalah ada orang menjual sulur keladi, malah setiap kali aku bercakap fasal sulur keladi kebanyakan mereka akan kehairanan kerana tak pernah lihat sulur keladi.

Friday, May 28, 2010

Bagaimana harusku katakan...

Jalan buntu atau membuntukan jalan?


Seseorang yang terjebak dalam cinta terlarang, berharap agar perangkap perasaan itu hanyalah mimpi ngeri atau ingauan di siang hari. Namun hakikatnya setiap kali dia membuka mata kenyataan mengejarnya dengan penuh rasa bersalah dan kesal.

Betapapun dia cuba untuk menghindari, cuba menjauhkan diri, cuba membuat kerenah agar terbit rasa benci, semuanya sia-sia belaka. Perasaan cinta itu semakin mendalam dan merantainya, memenjaranya hingga dirasakan tiada ruang untuk keluar. Atau dia sengaja tidak ingin melihat pintu keluar yang masih terbuka itu.

Aku katakan padanya, tiada masalah yang tidak ada jalan penyelesaian. Macam malam akan mencerah bila datangnya siang dan macam duka akan sirna bila datang suka. Pokoknya mahu atau tidak, sanggup atau tidak, rela atau tidak. Fikirkan tentang dia dan diri sendiri sahaja ke? Bagaimana tentang mereka yang rapat dengan kita yang telah menjadi mangsa akibat kedangkalan kita? Berapa lama sanggup menghimpun dosa?
Sanggupkah menghakis pahala yang tentunya tak sebanyak mana.

Erm tentu bercakap memang senang, menuduh memang mudah sebab kita tidak berada di tempat mereka. Cinta sesuatu yang datang tanpa diundang tanpa dirancang macam yang selalu diperkatakan. Perpisahan akan membuat hati luka dan kecewa, tangis dan airmata serta derita jiwa. Akan tetapi seperti menelan ubat tentulah pahit, biarlah salkan semboh penyakit. Macam luka lama-lama kan hilang pedihnya biarpun parut kan kekal selama.

Kuatkan semangat dan tekad, katakanlah yang benar biarpun ia amat menyakitkan. Pulangkanlah hati yang cedera itu kepada Allah untuk merawatnya. Sebaik keluar dari perangkap itu berjalanlah terus jangan menoleh lagi, sebab rasa cinta akan membunuh niat sucimu, rasa kasih akan melimpahkan kasihan belas dan rasa sayang kan membuat keinginanmu terhalang. Jangan terus terbelenggu oleh nafsu nanti kita semakin keliru. Jangan sampai rahsia terbongkar dan ada yang terbakar.

Seseorang itu terus merenungku dan bertanya " Bagaimana harusku katakan...."
Nampaknya masalah seseorang itu takkan pernah usai!