Thursday, September 07, 2006

Kompleks Imam Al Bukhari

Dihadapan Kompleks Makam Imam Al Bukhari


Di bawah bangunan inilah jasad Imam Al Bukhari disemadikan


Mengintai Kompleks Imam Al Bukhari dari jendela bas


Kami meninggalkan Hotel Afrosiyob dalam keheningan pagi yang damai. Perjalanan diteruskan ke bandar Tashkent dengan menaiki bas. Lebih kurang 12 kilometer dari bandar Samarkand kami berhenti sebentar untuk menziarahi Makam Imam A l Bukhari. Beliau merupakan Ulama Islam yang terkemuka di kurun ke sembilan. Dilahirkan sebagai Muhammad Ibn Ismail Al Bukhari di Bukhara pada 20 Julai 810 CE (13Syawal 194 AH). Beliau telah menghabiskan masa remajanya di kota Mekah selama 12 tahun sebelum merantau ke Basrah, Hijaz, Mesir, Kufah, Baghdad, Syria, Arab dan Iraq untuk mendalami dan memperkukuhkan pengetahuannya dalam Ilmu hadis. Dikatakan sebanyak 3000 Hadis Sahih telah berjaya di bukukan dan antara yang tersohor adalah Al Jami As Sahih dan Al Adab Al Mufrad yang diakui sebagai antara himpunan hadis yang teragong. Beliau meninggal dunia ketika berusia 60 tahun pada 870 CE (256 AH) semasa dalam buangan di sebuah perkampungan berhampiran Samarkand bernama Khartank dan dikuburkan di tempat kelahirannya. Sehingga kehari ini Makam beliau terus dikunjungi jutaan muslim dan muslimah seluruh dunia untuk memberi penghargaan kepada ulama yang amat berjasa kepada dunia Islam itu.

Kami disambut oleh hamparan taman yang indah, kelihatan beberapa pokok teduhan masih berbalut dengan jerami mungkin untuk melindunginya dari salji kerana musin sejuk baru beranjak. Masuk saja ke pintu utama terdapat beberapa buah kedai menjual cenderamata. Di dalam kompleks ini terdapat sebuah madrasah dan sebuah lagi taman yang terjaga sedang menghijau, begitu nyaman dan mempesonakan. Menurut khabarnya pasangan pengantin akan datang ke taman ini untuk meminum air dari sebuah matair yang masih mengalir untuk mengambil berkat.

Makam Imam Al Bukhari dibina dengan indahnya, ada binaan baru nisan dari batu marmar akan tetapi jasad beliau disemadikan betul-betul di bawah binaan ini. Kami bersyukur kerana dibenarkan menuruni tingkat bawah tanah itu untuk memberi penghormatan kepada beliau. Pelawat lain tidak dibenarkan kerana kebanyakan mereka khususnya wanita datang dengan pakaian yang tidak sesuai, tidak menutup aurat.

Selepas bertahlil dan membaca doa yang diketuai oleh Mufti Kerajaan Negeri Perak, Dato' Seri Haji Harussani itu, kami beredar meneruskan tujuan perjalanan.

1 comment:

Abd Razak said...

Sahabat..

Alhamdulillah dapat juga saya ziarah makan Imam Bukhari, sebelum meneruskan perjalanan ke Makkah menunaikan ibadah umrah...