Thursday, September 07, 2006

Kompleks Imam Al Bukhari

Dihadapan Kompleks Makam Imam Al Bukhari


Di bawah bangunan inilah jasad Imam Al Bukhari disemadikan


Mengintai Kompleks Imam Al Bukhari dari jendela bas


Kami meninggalkan Hotel Afrosiyob dalam keheningan pagi yang damai. Perjalanan diteruskan ke bandar Tashkent dengan menaiki bas. Lebih kurang 12 kilometer dari bandar Samarkand kami berhenti sebentar untuk menziarahi Makam Imam A l Bukhari. Beliau merupakan Ulama Islam yang terkemuka di kurun ke sembilan. Dilahirkan sebagai Muhammad Ibn Ismail Al Bukhari di Bukhara pada 20 Julai 810 CE (13Syawal 194 AH). Beliau telah menghabiskan masa remajanya di kota Mekah selama 12 tahun sebelum merantau ke Basrah, Hijaz, Mesir, Kufah, Baghdad, Syria, Arab dan Iraq untuk mendalami dan memperkukuhkan pengetahuannya dalam Ilmu hadis. Dikatakan sebanyak 3000 Hadis Sahih telah berjaya di bukukan dan antara yang tersohor adalah Al Jami As Sahih dan Al Adab Al Mufrad yang diakui sebagai antara himpunan hadis yang teragong. Beliau meninggal dunia ketika berusia 60 tahun pada 870 CE (256 AH) semasa dalam buangan di sebuah perkampungan berhampiran Samarkand bernama Khartank dan dikuburkan di tempat kelahirannya. Sehingga kehari ini Makam beliau terus dikunjungi jutaan muslim dan muslimah seluruh dunia untuk memberi penghargaan kepada ulama yang amat berjasa kepada dunia Islam itu.

Kami disambut oleh hamparan taman yang indah, kelihatan beberapa pokok teduhan masih berbalut dengan jerami mungkin untuk melindunginya dari salji kerana musin sejuk baru beranjak. Masuk saja ke pintu utama terdapat beberapa buah kedai menjual cenderamata. Di dalam kompleks ini terdapat sebuah madrasah dan sebuah lagi taman yang terjaga sedang menghijau, begitu nyaman dan mempesonakan. Menurut khabarnya pasangan pengantin akan datang ke taman ini untuk meminum air dari sebuah matair yang masih mengalir untuk mengambil berkat.

Makam Imam Al Bukhari dibina dengan indahnya, ada binaan baru nisan dari batu marmar akan tetapi jasad beliau disemadikan betul-betul di bawah binaan ini. Kami bersyukur kerana dibenarkan menuruni tingkat bawah tanah itu untuk memberi penghormatan kepada beliau. Pelawat lain tidak dibenarkan kerana kebanyakan mereka khususnya wanita datang dengan pakaian yang tidak sesuai, tidak menutup aurat.

Selepas bertahlil dan membaca doa yang diketuai oleh Mufti Kerajaan Negeri Perak, Dato' Seri Haji Harussani itu, kami beredar meneruskan tujuan perjalanan.

Wednesday, September 06, 2006

Sepagi di Dataran Registan



Puas menikmati keindahan bangunan Makam Gur Emir kami meneruskan penerokaan di Kota Samarkand ke Dataran Registan yang merupakan sebuah kompleks terdiri dari tiga (3) buah bangunan binaan kurun yang berlainan yang membentuk struktur berbentuk "U", masing-masing menggabungkan Madrasah UlugbekPusat (1417-1420) di tengah diapit sebelah kanannya Madrasah Sher-Dor (1619-1636) dan Madrasah Tilya-Kori (1646-1660) di kirinya.

Registan bermakna "Sandy Place"" konon ceritanya "The sand was strewn on the ground to soak up the blood from the public executions that were held there until early in the 20th century. The Registan is where Tamerlane stuck his victim's heads on spikes and is where people gathered to hear royal proclamations, heralded by blasts on enormous copper pipes called dzarchis. But is also obviously could be only before the first of charming historical buildings had been constructed because Tamarlane died in 1405"


Masyaallah! Tidak puas mata memandang, kagum dan hairan, walaupun struktur dan bentuk binaannya tidak banyak berbeza dengan yang pernah kami temui sebelum ini tapi Dataran Registan memang menakjubkan. Pelik memikirkan bagaimana mereka di kurun ke 14 dan 15 dulu dapat membina bangunan segah itu, tidakkah ini juga antara keajaiban dunia yang dipinggirkan. Khazanah sejarah dunia yang tidak ternilai harganya.



Madrasah Sher-Dor
Bangunan ditutup kepada khalayak kerana merupakan pusat pembelajaran



Madrasah Ulugbeg
Semasa zamannya merupakan sebuah universiti Sains Sekular yang ulung tetapi kini yang kami temui selain dari tempat berjualan hasil kraftangan kelihatan artis yang memainkan lagu tradisi dengan menggunakan alatmuzik tradisional mereka


Madrasah Tilya Kori
Memasuki ke dalam bangunan ini suasana menjadi riuh dan meriah dengan suara tawar menawar barangan kraftangan penduduk setempat


Hasil seni yang halus dan mewah tidak dapat digambarkan dengan kata-kata di siling Madrasah Ulugbeg

Mata merenung jauh meratah keindahan segenap ruang Dataran Registan ini, bagaikan bintang di langit tidak mungkin tercapai tangan. Ia akan kekal sebagai tarikan pelancong entah untuk berapa ratus atau mungkin ribuan tahun lagi. Jauh tersasar dari fungsinya yang sebenar, beginilah nasib islam di bumi Samarkand. Kehebatan yang tinggal hanya dalam kenangan sahaja..

Monday, August 14, 2006

Meneroka Kota Samarkand


Tanggal 25 Mac 2006 Sabtu

Gerbang Xush Kelibsiz atau Selamat Datang menyambut kami masuk ke kota Samarkand. Justeru hari sudah menjelang senja maka kami terus "check in" ke "Hotel Afrosiyob Palace".


Hotel Afrosiyob Palace"


Pandangan kota Samarkand dari sebelah kiri pintu masuk hotel



Lepas sarapan pagi kami menaiki bas ke lokasi lawatan yang terletak begitu hampir dengan Hotel Afrosiyob iaitu Makam Gur Amir cucu kepada Temerlain yang dibina sekitar Abad XIV - XV. Pada dasarnya reka bentuk binaan bangunan tinggalan silam di sini lebihkurang saja dari segi fizikal dan bahan yang digunakan begitu juga tona warna marmarnya yang rata-rata lebih suka menggunakan warna biru firus.

Anggota rombongan bergambar didepan Makam Gur Emir


Kubah bangunan Makam Gur Emir yang dikatakan mempunyai 63 lekukan mengambil sempena usia Nabi Muhammad S.A.W


Bahagian dalam makam yang diperbuat dari marmar bersadur emas tulin dan di belakang kami adalah Makam Gur Emir. Warna keemasan melimpah menyinari wajah. Sesuatu yang amat menakjubkan bila memikirkan betapa hebatnya tamaddun silam kaya dengan rekabentuk yg artistik dan mewah.

Tuesday, August 01, 2006

Perjalanan ke Samarkand

Cuaca diluar masih sejuk namun udaranya segar dan bersih kerana pencemaran yang amat minima, tiada asap kenderaan yang menyesakkan nafas, tiada bunyi bising yang menggigit telinga yang ada hanyalah manusia yang lalulang menuju ke tempat kerja dan pelajar yang berpusu-pusu berjalan dengan riang ke Universiti Bukhara yang secara kebetulan letaknya amat dekat dengan hotel penginapan. Lepas sarapan kami bertolak dengan bas ke kota Samarkand.

Sesungguhnya perjalanan ini amatlah jauh kerana memakan masa melebihi delapan jam. Dari balik langsir jendela bas aku mengintai pemandangan kiri kanan jalan yang kaya dengan tanah yang kontang, namun kelihatan pohon-pohon epal dan anggur yang dengan ramah menjamah mata kami dengan pucuk-pucuknya yang hijau. Nampaknya melepaslah peluang kami untuk memetik dan menikmati epal dan anggur di bawah pohonnya.

Pemandangan ke Samarkand

Kurang lebih tiga jam perjalanan kami singgah ke sebuah rumah yang terletak perkampungan di tengah-tengah lembah yang saujana mata memandang beratapkan langit yang membiru serta desiran angin yang nyaman. Kami menyerbu sebuah rumah yang terletak di atas sebuah bukit. Di sana telah sedia menunggu penghuninya dengan mesra menghidangkan seteko teh hijau yang panas serta roti gandum yang keras tapi enak itu. Mereka juga mempamerkan hasil kraftangan seperti ambal, sarung kusyen dan alas meja untuk dibeli. Anehnya kami saling tidak memahami bahasa pertuturan masing-masing tetapi pertemuan itu berlansung dengan sangat harmoni dan kasihsayang sesama insan. Sesungguhnya Islam telah merapatkan hubungan kami secara semula jadi. Satu anugerah Ilahi yang jarang kita sedari!


Mendaki ke perkampungan


Surirumah Uzbek yang manis menawan


kanak-kanak Uzbek


Seronok melayan karenah mereka


Dipinggir bukit menghala rumah yang kami singgahi

Sempat bergambar dengan petani dengan keldainya



Hampir sejam kami di situ sebelum meneruskan perjalanan, kami sempat menjamu sekumpulan kanak-kanak Uzbek dengan makanan berupa biskut, roti dan buah-buahan kering yang dibeli di Bukhara. Semasa berbalas lambaian hatiku merasa sayu dan kesian, betapa kanak-kanak yang masih mentah itu akan terus terpenjara dalam dunia mereka yang tersendiri, benar-benar terasing dan tertinggal.

Thursday, July 06, 2006

Ak Sarai Palace di Shahrisabz

160 km menghampiri Samarkand kami singgah sebentar di kota Shahrisabz pekan kecil di kaki banjaran Gunung Pamir.
Sepanjang perjalanan kami terpaksa melalui beberapa buat sekatan jalan yang oleh pihak tentera, walaupun bilangan kenderaan yang kami temui amat sedikit namun sikap berjaga-jaga dan waspada ternyata amat kental di sini.


Rekabentuk rumah penduduk di alah sebuah kampung




Perkampungan yang agak padat

Selepas bersembahyang Jumaat di Shahrizabs, kami sempat singgah menjengah-jengah jualan kraftangan disebuah bangunan bekas sebuah masjid. Sama seperti di Bukhara barangan yang dijual berupa bekas telefon bimbit, bekas botol air, "tote bag" alas meja, sarung kusyen dan sebagainya hasil sulaman wanita tempatan.


Kenangan dengan sicilik yg membantu ibunya berniaga


Barangan jualan hasil kraftangan penduduk tempatan

Ak Sarai Palace yang menakjubkan

Selesai menikmati makan tengahari kami dibawa melawat
sakibaki binaan tinggalan zaman silam yang amat menakjubkan iaitu apa yang dinamakan Ak Sarai Palace. Inilah saja bahagian yang terselamat semasa peperangan dan dibangunkan oleh Timur Tamerlane . Malah tidak keterlaluan kalau binaan ini dianggap sebagai salah satu keajaiban dunia.

Bangunan ini dibina pada tahun 1380 - 1404 . Kalaulah tidak disebabkan dibom oleh pihak Rusia sudah tentu kita dapat melihat bahagian atas kedua-dua menara bercantum dan membentuk sebuah "arch". Dengan baki ketinggian 38 meter binaan dinding menggunakan tanah liat dan susunan indah batu mozek berwarna biru dengan berbagai-bagai bentuk memukau mata dan sukar mempercayai bahawa ini adalah hasil buahtangan manusia zaman silam. Ak Sarai palace adalah menara berkembar yang lebih menghairankan dari bangunan KLCC di Kuala Lumpur.


Taman Erofah yang indah dibina oleh pihak Soviet yang menghala ke Ak Sarai Palace dan monumen di tengahnya itu adalah patung Timur Tamerlane yang bertanggungjawab kepada keujudan dan kemakmuran Shahrisabz pada waktu kegemilangannya dahulu.


Ukiran indah disalah sebuah pintu Ak Sarai Palace yang berusia ratusan tahun.

Bayu sejuk tengahari itu meniup lembut, kaki terasa malas untuk melangkah pergi namun kota ini tetap kami tinggalkan dan membiarkan ia terus didakap kenangan masa lampau yang mengusik jiwa.

Tuesday, May 23, 2006

Agenda yang tergendala



Nampaknya hasrat untuk menghabiskan catatan kembara ke Uzbekistan (Bukhara, Samarkand, Shahrizabz dan Tashkent) terpaksa ditingalkan sementara, tuntutan kerja dan masa yang mesti mengutamakan perkara lain yang lebih afdhal menentukan segala.

Khamis ini 25 Mei 2006 aku akan berlepas ke Australia (Sydney dan Brisbane) sehingga 01 Jun 2006. Lepas tu kerja mesti melambak menunggu, konklusinya entah bilale pulak catatan itu akan sempurna...

Dan akupun termanggu
tahu tak tahu
mencari ruang mengejar waktu
yang hilang belum ditemu
yang ditemu ada yang perlu

Terhenti sebuah bicara
catatan suatu kembara
bagai agenda yang tergendala
entah sampai bila

Akupun merenung diri
pasrah dan patuhi
ketentuanmu Rabbi !

Monday, May 22, 2006

Istana sepi di kota Bukhara


Sejak dari mula-mula tiba di Bukhara, binaan yang satu ini menimbulkan tandatanya bukan sebab keindahan rekabentuknya tetapi kelainannya dari bangunan yang lain, ia nampak terasing namun jelas berdiri gagah dan sombong. Rupa-rupanya binaan seakan-akan sebuah kota itu adalah Istana Hinggap bernama Sitora I Mokhi Khoza milik Emir Bukhara yang terakhir iaitu Alim Khan. Baginda dan keluarga hanya akan ke sini untuk menikmati keseronokan musim panas sahaja.



Pandangan diserambi istana




Namun kini istana ini telah ditinggalkan, semakin usang dan menjadi tempat berjualan barangan kraftangan tembikar, sulaman, tembaga, ukiran kayu dan sebagainya oleh penduduk tempatan. Kami dikenakan membayar sebanyak 1000 sum (RM3.00) jika ingin mengambil gambar keadaan dalaman istana. Nampaknya kemiskinan memaksa mereka menggunakan apa saja peluang bagi mendapatkan wang.


Merakam kenangan di perkarangan istana yang sepi

Istana usang binaan penghujung kurun ke 19 itu kami tinggalkan untuk meneruskan kembara di kota Bukhara yang menyimpan kisah sukaduka masa silam, namun kota ini tidak peramah, penuh curiga dan sesekali seakan-akan menjeling kami dengan penuh rasa keliru.

Thursday, May 18, 2006

Bukhara Oh Bukhara


Kami meninggalkan masjid usang itu untuk meneruskan lawatan dengan melalui sekitar bandar Bukhara. Terasa seakan berada di kurun ke 18 kerana keadaan di sini amatlah jauh berbeza dengan di Malaysia. Jumlah kenderaan yang sedikit, deretan bangunan dan kedai dengan bentuk binaan lama serta pokok-pokok yang tidak bermaya jelas menunjukkan negeri ini masih dicengkam kemiskinan dan jauh ketinggalan dari segi kemajuan teknologi dan prasarana. Bersyukur kerana aku dilahirkan di bumi bernama Malaysia yang sentiasa menghijau, makmur dan mewah, kalaupun masih terdapat masalah namun tetap beratus kali baik jika dibandingkan dengan Uzbekistan ini. Di sini tidak ada kompleks membeli belah, tidak ada restoran makanan segera "KFC", "MD", Fizza Hut" dan berpuluh-puluh jenama macam di tempat kita, yang hanya hanya bazar-bazar yang bertempat di luar dan dalam bangunan yang suatu ketika dulu adalah sebuah masjid. Di sini hanya tinggal kenangan zaman kegemilangan Islam suatu ketika dulu...itu saja.

Leka melayan perasaan hingga tak perasan kami dahpun sampai di depan "Poi Kalon" atau "Foot of Great Minaret" yang merupakan kompleks yang merangkumi Madrasah dan tempat berjualan hasil tangan masyarakat Bukhara. Ia adalah tinggalan rekabentuk senibina kurun ke 16. Terkesima dengan kehebatan binaan kompleks ini terutama menara yang amat tinggi itu, satu keajaiban kerana dalam serba kekurangan bagaimana mereka dapat membinanya. apakah mereka dulunya lebih tinggi, gagah dan besar atau mereka mempunyai teknologi yang lebih canggih? namun pertanyaan tetap tinggal pertanyaan kerana pemuda pemandu pelancong kamipun tidak dapat memberi sebarang jawapan. Hanya Allah S.W.T jua yang Maha Mengetahui



Pandangan Menara Utama dan gerbang sebelah kanan
"Foot OF Great Minaret" waktu senja







Panorama bahagian dalam gerbang sebelah kanan




Rombongan kami di perkarangan Madrasah yang mempunyai 2 pintu gerbang, ini gerbang yang sebelah kiri



Di depan gerbang sebelah kiri yang juga pintu masuk ke madrasah

Monday, May 15, 2006

Kembara di bumi Bukhara

22 Mac 2006 (Rabu)

Bunyi alarm telefon bimbit menyentap diri yang asyik dibuai mimpi. Selepas bersarapan kami membelah dingin pagi yang mengigit tulang menaiki bas untuk memulakan kembara di bumi Bukhara yang amat terkenal sebagai pusat pengembangan agama Islam sebelum pemerintahan komunis dulu. Deretan bangunan lama serta pokok-pokok yang masih gondol baru mengeluarkan pucuk menghiasi kiri kanan jalan. Keadaan tanah yang kontang berpasir jelas menggambarkan bahawa Bukhara merupakan sebahagian dari padang pasir. Tiada apa yang menarik pandangan melainkan sebuah binaan lama yang menjadi fokus lawatan pertama kami hari ini iaitu Makam Ismail Samanty Maabarasi salah seorang ulama Islam yang terkenal di Bukhara. Apapun beliau tidaklah dikebumikan di situ melainkan pernah singgah sahaja. Didalam binaan ini terdapat aliran matair yang dipercayai boleh menyembuhkan pelbagai penyakit disamping sejarah ulama tersebut dan barangan peninggalan kurun ke 17.


Makam Ismail Samanty Maabarasi

Bedekatan dengannya pula adalah bangunan yang dinamakan Chashma Ayub iaitu berupa perpustakaan yang menyimpan khazanah lama terutamanya yang berkaitan dengan Nabi Ayyub Alaihissalam. Gambar tidak dapat disertakan kerana masalah laptop yang telah diberitahu terdahulu.

Kembara diteruskan sehingga sampai di hadapan sebuah binaan usang yang terdiri dari deretan sebanyak 18 batang tiang yang tinggi dan indah berukir hasil kerjatangan kurun ke 17 iaitu masjid yang dikenali sebagai Poi Kolon atau "Foot of Great Manaret" yang merupakan salah satu masjid dari dua buah sahaja yang masih digunakan di sini. Itupun hanya golongan warga emas yang tidak sampaipun 20 orang datang bersembahyang sedangkan golongan muda amat sedikit yang dapat dilihat. Malah Pemandu Pelancong kami dan 2 pembantunya lebih selesa menanti kami di dalam bas sambil bersembang dari turut sama menunaikan rukun kelima itu dengan penuh selamba tanpa rasa bersalah.

Sesuatu yang amat menyedihkan dan diluar dugaan, masyarakat di sini yang 90% berugama Islam rupa-rupanya hanya Islam pada nama saja, selain dari golongan tua (yang amat tua) yang masih mendirikan sembahyang, yang muda tidak menganggap sembahyang sebagai satu kewajipan. Namun bukanlah salah mereka semata-mata, dasar pemerintahan komunis yang mengharamkan semua amalan agama dan membunuh semua ulama dan ahli agama yang dikenalpasti telah mengakibatkan ajaran Islam semakin jauh dan terhakis terutama di kalangan generasi baru.

Kami merasa amat kasihan namun berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Selepas 18 tahun kemerdekaan dari cengkaman penjajah, kami diberitahu usaha untuk menyemarakkan api keislaman telahpun bermula sejak bebepara tahun kebelakangan ini. Sekali fikir di Malaysia yang mewah dengan segala macam maklumat mengenai Islampun berlambak muda mudi tua muda lelaki perempuan yang dengan sombong membelakangkan ajaran agama maka apatahlagi mereka di sini yang memang daif mengenainya.



Keistimewaan masjid ini terletak pada deretan tiang berukirnya yang indah



Pandangan dari pintu masuk masjid



Tulisan di tepi pintu masuk masjid, yang merah tu Wirid Muhasabah Diri tapi yang sebelah kiri tu kurang pasti le pula

Friday, May 12, 2006

Uzbek Citra Kembara II

Nampaknya hasrat untuk mencoretkan citra kembara ku ke Uzbekistan bukanlah sesuatu yang mudah, berbagai rintangan dan halangan silih berganti sehinggakan masa berlalu terlalu lama namun masih banyak yang belum ditulisi.

Ingattak janjiku untuk memberitahu sesuatu yang memeranjatkan pada malam pertama kami menjamu selera di salah sebuah restoran tempatan di Tashkent. Malangnya semua gambar-gambar yang dirakam tidak dapatku gunakan pada ketika ini kerana sebaik saja ianya dipindahkan dari telefon bimbitku tetiba jek "Laptop" tu tak buat hal, jadi kenalah tunggu dengan sabar. Apapun malam tu kami tidur dengan nyenyak sekali dengan harapan pengalaman perjalanan yang amat indah pada keesokan harinya.

Tanggal 22 Mac 2006


Aku di depan Lapangan Terbang Bukhara

Sekitar jam 6.15 pagi waktu Tashkent, kami minum pagi di hotel penginapan sebelum bertolak ke Lapangan Terbang semula untuk ke Bukhara dengan pesawat Uzbek 757 / 200.
Perjalan sejauh kurang lebih 300 km itu memakan masa sejam saja. Sesampai di Bukhara kami terus dibawa ke Hotel Semurg (sebut Simur) yang sengaja direka bentuk dalaman seperti kediaman penduduk tempatan.



Hotel Semurg di Bukhara

Lepas makan tengahari nanti baru kami akan dibawa melawat tempat-tempat bersejarah yang menjadi kebanggaan dan sumber pendapatan penduduk Bukhara, sesuatu yang juga diluar jangka namun itulah hakikatnya yang terpaksa diterima, pahit dan amat dikesali.

Thursday, May 04, 2006

Uzbekistan sebuah catatan kembara



Tanggal 21 Mac 2006 (Selasa)

Bermula dengan lafaz Bismillah serta doa Menaiki Kenderaan dan berbekalkan kamera digital Sony dan telefon bimbit jenama
Nokia 6600 aku terbang ke bumi Uzbekistan dengan separuh hati (kekadang tak reti-reti nak bersyukur). Pesawat Penerbangan MAS yang kami naiki meninggalkan landasan KLIA tepat jam 10.50 pagi. Setelah puas tertidur bangun dan tidur semula serta lenguh segala anggota badan akhirnya kami selamat mendarat jam 3.10 ptg waktu tempatan (lewat tiga (3) jam dari waktu Malaysia) di lapangan Terbang Tashkent, Uzbekistan. Alhamdulillah

Sebaik keluar dari pintu pesawat pipiku ditampar oleh hembusan angin Tashket yang amat dingin. Disinilah citra kembaraku bermula...

Mata kami liar memandang sekeliling, dikiri kanan depan dan belakang tiada sesiapa melainkan wajah-wajah tampan bergaya dan cantik jelita yang sesekali menjeling kearah kami tanpa senyum apatah lagi ucap selamat. Ternyata pengaruh semasa dibawah pemerintahan kerajaan Rusia masih tebal memenjara mentaliti rakyat Uzbek, penuh curiga jelas nampak kesombongan mereka. Di sini kami macam itik bercakap dengan ayam sebab kami tak reti bahasa mereka dan yang amat malang sukar sekali menemui kalangan mereka yang boleh berbahasa Inggeris, ermmmm tariknafas panjang, sabar je leee

Hampir sejam melangut di kaunter imigresen sebelum kami dibenarkan keluar menaiki bas. Kelelahan berjam-jam dalam pesawat membuatkan aku kurang memberi perhatian kepada pemandangan di kanan kiri jalan , namun aku perasan bahawa apa yang ku lihat adalah deretan bangunan-bangunan lama dan pokok pokok yang masih gondol kerana musin sejuk baru berlalu. Warna putih dan coklat cair menjadi pilihan utama di Tashkent ini. Kurang setengah jam kami telah berada di depan Hotel Grand Mir untuk bermalam sebelum berlepas ke Bukhara keesokan harinya.



Badan yang letih dan perut yang dah lama kelaparan membuatkan kami tak sabar-sabar untuk menikmati hidangan masyarakat Uzbek tapi apa yang terjadi adalah diluar dugaan dan semua kami terkejut kodok, terpinga-pinga tapi ada mata yang dah terbeliak tak berkelip-kelip. Ah! Tashkent, Uzbekistan...aku melihat Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Perak Dato' Seri Harussani menepuk dahi tapi dia tetap tenang...ada yang mengucap panjang, nak tau kenapa? Tunggukan Catatan Kembara II

Friday, March 17, 2006

Uzbekistan, nantikan kedatanganku


Tanpa perancangan dan harapan tetiba je diberi peluang untuk mengikuti Rombongan Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan untuk melawat Uzbekistan. Memula tu rasa tak berapa seronok sebab tempat tu tak kedengaran begitu gah, tapi bila dah melayari laman web mereka aku rasa terpukul dengan kebodohan sendiri. Rupa-rupanya banyak lagi yang harus ku pelajari bukan saja mengenai negara-negara di dunia ni malah ratusan tempat di malaysia ini yang harus ku lawati dan nikmati keindahannya

Insyaallah lawatan 7 malam 8 hari akan bermula di Tashkent ibu negara Uzbekistan kemudian ke Bukhara dan Samarkand sebelum berpatah balik ke Tashkent untuk acara rasmi dan terus berlepas balik ke tanahair. Mengikut perancangan asal kami akan berlepas dari KLIA jam 10.20 pagi 21 Mac 2006 (Isnin) dan kembali pada 28 mac 2006 (Selasa)

Mudah-mudahan perjalanan kami sentiasa dalam pemeliharaan dan keberkatan Allah S.W.T hendaknya. Aamiiiiiin

Thursday, February 23, 2006

How to be in love


Be consistent but not persistent
Share and never be unfair
Understanding and try not to demand
and get hurt but never keep the pain

My wish for you whose love is

HONEST
STRONG
MATURE
NEVER CHANGE
PROTECTIVE
ENCOURAGING
REWARDING and
UNSELFISH

Naive

Legaaaaaa


Setelah 3 minggu menumpukan kepada penyediaan Anggaran Belanjaan Mengurus 2007 akhirnya siap juga kerja tu. Nampaknya hari ni dapatlah relax sikit disamping kerja kerja rutin yang lain tu.

Ahad ni "drive" pulak ke INTAN jalan Ilmu nak ikuti kursus lagi, selagi hidup kenalah menimba ilmu sebanyak yang mungkin sebab bagi aku "know something about every and know everything about something" amat penting dalam membantu mempertingkat kualiti hidup dan pencapaiannya. Berkursus ni untungnya, ilmu bertambah, kenalan atau networking melebar dan dapat pula membebaskan diri sebentar dari beban kerja dan suasana pejabat yang melemaskan. Legaaaaa...

Monday, February 20, 2006

Terasing


Kegelisahan didalam kedinginan
meniti sepi keseorangan
sebuah kematian yang tiada bernisan
sendu mengiringi perpisahan

Ruang yang luas
diri bergerak bebas
namun keupayaanku terbatas
segala mimpi menjadi api
perit membakar diri

Sebuah cinta dan harapan
menjadi debu berterbangan
tersekat nafasku
kabur pandangan mataku
amat tersiksa diriku
kerna kehilanganmu

ohh mengapakah
terus mengharap menanti
walau telah ku sedari
kau takkan kembali

Pemergianku mengisi permintaan
biarpun dikau masihku perlukan
kita dikatakan pasangan bahagia
kini terasing luka


Lagu ini dendangan Allahyarham Sudirman Hj Arshad
ku tujukan pada seorang sahabat yang baru menyedari betapa dia sebenarnya amat menyintai suaminya hanya setelah berpisah. Namun segalanya sudah terlewat...

Thursday, February 09, 2006

Kerja Oh kerja


Sejak dua menjak ni beban kerja di pejabat makin bertambah, awal tahun katakan biasalah mana nak siapkan Laporan Nilaian Prestasi kakitangan, mana nak siapakan Anggaran belanjaan Tahun 2007, mana nak bereskan kerja-kerja rutin.

Justeru kerja-kerja itu satu amanah dan masa terluang semakin menipis lalu terpaksalah dilupakan sebentar sahabat handai adik-adik di laman blogger ni, petang ni banyak sasaran kerja dah dicapai jadi sempatlah menjengah sekejap ke sini untuk memberitahu bahawa aku masih hidup dan masih bersemangat untuk meneruskan aktiviti di blog ni bila saja perkara yang wajib tidak menuntut untuk didahulu.

Nampaknya untuk tempoh seminggu lagi aku akan terus terpenjara di bilik ini meneruskan kerja-kerja itu. Lalu selama itu aku harus menelan rindu bercanda mesra dengan semua yang tersayang di sini.
Selamat bertemu lagi.....tungguuuuuuuuuuu

Wednesday, February 01, 2006

Mulut oh mulut


Cuti panjang 5 hari sempat aku menghadiri kenduri kahwin anak kenalan. hari tu aku pergi dengan B, hari panas terik rasa nak terbakar kulit muka dan bahang seluruh badan. Lepas makan dan bersalaman dengan tuan rumah dan memberi sumbangan ikhlas kami balik terus.

Dalam kereta muka B masam mencuka dan merungut macam baung.
"Apalah nasi dahle lembik sejuk keras lak tu, kerabu perut lembu tu bau lembupun tak ilang tak lalu nak telan, daging rendang tok dia rasa tah apa-apa, ayam goreng tu garing sangat macam mana nak cecah air asam, patutnya panggang ayam tu, bodohnye caterer, gulai tadi isi sikit sangat tak nampak ape pun, nasib baik air asam dia sedap, kalau tak lansung tak lunch le aku ari ni" bebel B. Patutle dia makan sikit je tadi.

"Laa awak ni tak baik camtu, tak boleh makan banyak makan sikit, lain kali makanle dulu kat rumah, ni kau ngutuk tuan rumah habis pahala kita untuk sama raikan pernikahan anak dia" Aku cuba sejukkan hati B.

"Ello sedari kita bukan makan free tau kita bayarle, kau tahu berapa aku bagi dia" B menjegilkan biji mata dia ke aku, bebelnya lagi tak habis lagi.

"Tu yang salah B, kita beri sumbangan untuk melahirkan rasa gembira bukan untuk harga makanan yang dia hidangkan, kalau kita tak bagi apapun tuan rumah tetap berbesar hati ngan kehadiran kita tau, kau ni buat dosa je, kalau nak makan sedap pergi je ke hotel tu dah tentu banyak pilihan dan beraniaka rasa, dahlah tu, kalau dengar ke tuan rumah tentu dia kecil hati atau kalau nasib tak baik mau kena pelempang kau ni" Aku tempelak B

Ini baru si B orang lain macamana le pulak agaknya, ni le masalahnya mengadakan majlis macamana hebat dirancangpun pasti ada tetamu yang mencari cacatnya, tu belum lagi perihal pengantin, bilik pengantin dan pelamin. Kalau tak tahu menggunakan mata, telinga dan mulut dengan betul dan tak pernah nak bersyukur akibatnya manapun kita pergi tak sudah-sudah menghimpun dosa, alangkah, alangkah.