Thursday, November 30, 2006

Monday, November 27, 2006

Masakan nenek


Teringat masa kecilku dulu rasa rindu membuak-buak. Rindu pada jerit pekik nenek setiap petang dia nak menanak nasi maka akulah yang kena mencari antah dan bahan terbuang dalam beras. Kalau nak masak sambal tumis atau asam pedas, akulah yang kena menggiling cili dengan batu penggiling yang besar dan berat tu, lepas tu habis hangat pijar kedua-dua tangan ni. Paling aku tak suka kalau nenek teragak nak masak gulai lemak, tentu aku yang kena parut kelapa, dengan muka masam mencuka, kelapa tu ku parut dengan kasar, tau-tau jari dah terluka kena gigi pemarut yang tajam tu. Malangnya, nenek tak akan memujuk sebaliknya menambah bengangku dengan kata-kata " tulah buat kerja tak ikhlas kan tuhan dah balas" .

Betapa senangnya anak-anak sekarang sebab beras terus dicuci bila nak masak, cili boh berlambak di pasaraya atau di mana-mana kedai runcit begitu juga dengan kepala parut malah santanpun dah ada terjual. Alangkah mudahnya!. Namun mereka tidak akan merasai pengalaman yang amat berguna itu, pengalaman yang menjadikan aku lebih teliti dan agak cerewet dalam hal menyediakan makanan keluarga, aku lebih mengutamakan yang asli dan buatan sendiri kerana kebersihan dan kemurniannya terjamin. Biarlah penat sedikit tapi berbaloi, macam masakan arwah nenek sedap dan menyelerakan.

Friday, November 24, 2006

Tuhanku



Tuhanku
Dalam termanggu
Ku sebut nama-Mu
Biar susah sungguh
Mengingati Kau
Penuh seluruh

Tuhanku cahaya-Mu panas suci
Bagai kerdip lilin
Di kelam sunyi

Tuhanku
Aku hilang bentuk
Kembara di negeri asing
Tuhanku
Pintu-Mu ku ketuk
Aku tak bisa berpaling




Lagu ini pernah dinyanyikan oleh Aisha dan beberapa penyanyi lain sebelum beliau

Tuesday, November 21, 2006

Yesterday Once More


When i was young i’d listen to the radio
Waiting for my favorite songs
When they played i'd sing along
It make me smile

Those were such happy times and not so long ago
How i wondered where they'd gone
But they're back again just like a long lost friend
All the songs i love so well

Every shalala
every wo'wo still shines
Every shing-a-ling-a-ling
that they're starting to sing so fine


When they get to the part
where he's breaking her heart
It can really make me cry just like before
It's yesterday once more.

Every shalala
every wo'wo still shines
Every shing-a-ling-a-ling
that they're starting to sing so fine

Monday, November 20, 2006

Musim menjamu selera


Nampaknya dalam tempuh 3 bulan ini kita sibuk menjamu selera. Semasa bulan Ramadhan sibuk memenuhi jemputan Majlis Berbuka Puasa, lepas tu datang Syawal sibuk menghadiri Majlis Jamuan Hari Raya dan sekarang sibuk lagi dengan undangan Majlis Doa Selamat bakal-bakal haji dan jemputan Majlis Perkahwinan sempena cuti sekolah sehinggalah penghujung Disember nanti. maka tiada ruang untuk perut beristirehat. Alangkah mewahnya kita dengan makanan sehinggakan makan seakan menjadi agenda utama. Sana makan sini makan, makan yang betul betul makan!

Thursday, October 19, 2006

Selamat Menyambut Eidul Fitr Tahun Hijrah 1427




Sayu hati melepaskan Ramadhan
namun Syawal amat dialukan
agar diterima segala amalan
mendapat berkat, ampun dan Aljannah

Sebulan lamanya membersih jiwa
pertingkat ibadat dan kekuatan hati
agar pahala berlipat ganda
sempurna sebagai muslim sejati

Eidul Fitr hari kemenangan
saling bermaafan bersuci hati
kemarahan dan dendam disimpan jangan
semoga persaudaraan sentiasa diberkati

Minal Eidil wa alfaizin alMaqbulin
Kullu Amin wa antum bi Khair
Barakallahuli wa liwalikum

Monday, October 16, 2006

Jerubu datang lagi



Nampaknya jerubu atau kabut asap istilah orang Indonesia kembali lagi. Sejak beberapa minggu ni jangkauan pandangan mata terbatas dan terasa tidak puas menikmati keindahan alam. Masalah jerubu sudah menjadi masalah tahunan yang datang, pergi dan pasti datang lagi. Entah bila agaknya musibah ini akan berakhir, bukanlah marah tapi kalau kita terpaksa menanggung risiko akibat sekelompok manusia koporat yang keparat nak menjimatkan kos pembersihan serta pembajaan hutan mereka, patutke itu?

Mudah-mudahan jerubu ini akan berkurangan menjelang Eidul Fitri, agar kemeriahannya tidak terjejas. Dibimbangi jerubu yang pekat sarat akan menyumbang kepada meningkatnya bilangan kemalangan jalanraya. Bersamalah berdoa demi kesejahteraan semua justeru itu sahaja yang mampu kita lakukan.

Thursday, October 12, 2006

Seni dan kreativiti



Ada sesuatu yang menarik tentang gambar di atas. Pasti orang yang merekabentuk landskap ini ada sebab tertentu kenapa arca seorang wanita yang sedang berbaring diciptakan. Mungkin untuk didedikasikan kepada seorang wanita yang dia cintai atau itu adalah luahan hatinya sendiri. Hati yang penuh walang dan rawan. Sendirian tak keruan atau mungkin dalam penantian yang tiada berkesudahan. Mungkin, mungkin dan mungkin...


Namun apapun yang lebih bererti dari itu bila dia berani mencipta sesuatu yang lain dari kebiasaan, keluar dari kotak fikiran, berani mencuba dan sanggup menerima risiko. Dia telah menggunakan keupayaan otaknya secara maksima kerana dia tahu otak kurniaan Allah S.W.T itu terlalu hebat jika digunakan sepenuhnya. Rata-rata kita tidak sedar bahawa kita mampu perbuat apapun lebih dari apa yang kita fikirkan. Seringkali kita yang tidak suka menjadi pak turut dan hanya meniru adalah merupakan seorang pemula, model, punya keyakinan diri yang tinggi dan seorang pemimpin yang hebat.

Tuesday, October 03, 2006

Adakah...



Macam hari hari selalu pepagi begini jalan sibuk dengan kenderaan, bunyi injin menderam dan sesekali kedengaran hon menjerit menghampur rasa marah. Dan macam selalu juga aku duduk sebelah dia yang sedang memandu.

Aku: Sempatke ni

Dia: Insyaallah sempat, doa je bebanyak

Aku: Nape tak potong je kereta tu, ish terkedek-kedek macam kekura

Dia: Sabar le dulu kan ke ada kereta disebelah kanan tu

Aku: Hon le cepat, lenggang kangkong lak dia, jejantas taknak guna

Dia: Janganle camtu, bukan lama sangat pun

Sepanjang jalan dia tenang, tiap kereta yang melintas atau memotong tetiba dia tak marah sebaliknya bibirnya tak henti-henti dengan Allah Hu Akbar, Subhanallah dan sabar je lah. Sesekali dia senyum sendirian.

Ayang: Sampai dah

Aku: Sampai dah, cepatnya

Ayang: Mestile tengok sape yang pandu

Aku termangu-mangu keliru, sambil melangkah ke mesin perakan waktu. Ah! rupa-rupanya aku bermimpi di pagi hari. sapelah agaknya memandu yang begitu budiman itu, adakah di dunia ini manusia sehebat itu atau dia hanya ujud di alam ilusi bernama mimpi.

Friday, September 29, 2006

Masuklah


Masuklah segera
sebelum kukunci
pintu itu!

5.00 ptg Jumaat

Thursday, September 28, 2006

Kalau boleh...



Pagi tadi bersahur dengan 2 ketul pegedil daging,segelas air ribena suam dan beberapa butir kurma. Alhamdulillah

Petang ni kalau boleh nak berbuka ala kadar saja barulah menepati salah satu matlamat puasa iaitu untuk merasakan keperitan mereka yang terpaksa berlapar kerana tidak mampu hatta untuk membeli makanan mengalas perut. Kalau masa berbuka bermewah-mewah dengan berjenis-jenis juadah yang lazat dan menggoda selera, kuranglah nikmat puasa jadinya. Insyaallah

Singgah Pasar Ramadhan kalau boleh nak beli seketul dua kuih je, seekor ikan panggang dan sayur cukuplah tu. Kalau rajin, balik nanti goring ikan selar garing-garing, masak sayur kobis lemak campur udang dan sambal belacan, sedap juga. Air suam dan buah kurma. Cukuplah tu.

Bulan puasa ni bukan makanan yang penting tapi melipatgandakan ibadah, menjaga percakapan dan perlakuan itu yang lebih utama. Tapi taklah dibulan ni saja kan!

Monday, September 25, 2006

Bukan kau


Kau yang hangus terbakar
oleh panahan mata
bukan salahku
kerana aku hanya memandang
tanpa rasa

Kau yang tenggelam lemas
dalam mesra pesona
bukan salahku
kerana aku hanya bicara
tanpa cinta

kau yang mudah terbakar
kau yang mudah lemas

bukan salahku

11.30 pagi Selasa

Sunday, September 24, 2006

Jangan Menoleh



Jangan menoleh
nanti langkahmu terhenti
sedang aku tidak akan menanti

teruslah melangkah
tinggalkan aku di sini

kerana tanpaku
mimpimu akan pergi
anganmu pasti mati

2.42 ptg Isnin

Friday, September 22, 2006

Ramadhan datang lagi



REJAB telah lama meninggalkan kita, SYA'BAN sudah mendekati muka pintu dan RAMADHAN kelihatan melambai-lambai, kian hampir untuk memberi salam pertemuan yang kesekian kalinya. Berbahagialah bagi kita yang masih diberi peluang untuk menjalani ibadah puasa sekali lagi tahun ini.

Semoga tahun ini bukan terakhir kali kita berpuasa Ramadhan. Semoga kita dapat melakukan ibadat berlipatganda, sempurna dan diterima. Semoga kita dianugerahkan dengan ditemukan LAILATUL QADAR. Malam yang lebih baik dari seribu bulan.

Mudah-mudahan kita diberi kekuatan untuk mempertingkatkan kualiti diri. Menjauhi segala yang HARAM, MAKRUH maupun SYUBHAH. Mudah-mudahan Ramadhan ini menambah kecintaan kepadaNYA. Mudah-mudahan Ramadhan ini menyedarkan kita bahawa perjalanan kehidupan semakin pendik, tiada yang lebih abadi dari kehidupan setelah dibangkitkan dari kematian.

"Ya ALLAH, sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untukmu Tuhan sekelian Alam"
Aamiiiiiin

Tuesday, September 19, 2006

Samarkand oh Samarkand

Samarkand merupakan bandar kedua besar di Uzbekistan, sebuah kota yang damai tapi amat ketara dengan pengaruh Soviet terutama pada tugu-tugu dan rekaan senitamannya. Hari cerah dengan tiupan angin yang amat dingin tidak menghalang aktiviti harian penduduk di sini. Dikejauhan kelihatan deretan beberapa buah bas pelancong dari negara-negara lain. Nampaknya kota ini telah mula menarik perhatian dunia luar.


Longgokan buah delima merah yang ranum di Dehoq Siyob Bozori

Selepas makan tengahari kami meneruskan penerokaan di bumi Samarkand ini dengan mengunjungi beberapa buah lagi binaan tinggalan sejarah sebelum singgah di pasar kering yang menjual segala macam jenis buah-buahan segar dan kering , kismis, kacang dan manisan buatan tempatan dan juga yang diimpot dari China. Pasar Dehoq Siyob Bozori. Sebelum lewat petang kami berangkat balik ke hotel untuk menunaikan solat.

Cuaca yang terlalu dingin menyebabkan pada malamnya kami hanya terkurung di dalam bilik sambil menonton siaran televisyen yang rata-rata dialih suara ke bahasa uzbek bagi rancangan yang diimpot. Selepas makan malam kami bergegas mengemas pakaian untuk persediaan bagi perjalanan balik ke Tashkent pada keesokan hari.



Sajian makan malam terbaik di sini


Menu yang dihidangkan hampir di semua tempat bagi makan tengahari dan malam. Kebanyakannya menggunakan bahan yang sama kecuali pada nisbah dan cara ianya disediakan. Sajian yang amat sihat kerana kaya dengan sayuran segar, keju, susu, roti keras dan bermacam jenis sos. Apapun justeru ia bukan selera orang Malaysia, hampir kesemua kami kehilangan berat badan selama berada di Uzbek. Dah lapar sangat kami makanlah juga. Jangan mimpikan makanan istimewa di hotel atau di pasaraya kerana itulah realitinya "sama rata sama rasa". Kalaupun ada disediakan nasi rasanya tidaklah seenak di tempat kita. Di sini nasi merupakan makanan orang kelas atasan adanya.

Thursday, September 07, 2006

Kompleks Imam Al Bukhari

Dihadapan Kompleks Makam Imam Al Bukhari


Di bawah bangunan inilah jasad Imam Al Bukhari disemadikan


Mengintai Kompleks Imam Al Bukhari dari jendela bas


Kami meninggalkan Hotel Afrosiyob dalam keheningan pagi yang damai. Perjalanan diteruskan ke bandar Tashkent dengan menaiki bas. Lebih kurang 12 kilometer dari bandar Samarkand kami berhenti sebentar untuk menziarahi Makam Imam A l Bukhari. Beliau merupakan Ulama Islam yang terkemuka di kurun ke sembilan. Dilahirkan sebagai Muhammad Ibn Ismail Al Bukhari di Bukhara pada 20 Julai 810 CE (13Syawal 194 AH). Beliau telah menghabiskan masa remajanya di kota Mekah selama 12 tahun sebelum merantau ke Basrah, Hijaz, Mesir, Kufah, Baghdad, Syria, Arab dan Iraq untuk mendalami dan memperkukuhkan pengetahuannya dalam Ilmu hadis. Dikatakan sebanyak 3000 Hadis Sahih telah berjaya di bukukan dan antara yang tersohor adalah Al Jami As Sahih dan Al Adab Al Mufrad yang diakui sebagai antara himpunan hadis yang teragong. Beliau meninggal dunia ketika berusia 60 tahun pada 870 CE (256 AH) semasa dalam buangan di sebuah perkampungan berhampiran Samarkand bernama Khartank dan dikuburkan di tempat kelahirannya. Sehingga kehari ini Makam beliau terus dikunjungi jutaan muslim dan muslimah seluruh dunia untuk memberi penghargaan kepada ulama yang amat berjasa kepada dunia Islam itu.

Kami disambut oleh hamparan taman yang indah, kelihatan beberapa pokok teduhan masih berbalut dengan jerami mungkin untuk melindunginya dari salji kerana musin sejuk baru beranjak. Masuk saja ke pintu utama terdapat beberapa buah kedai menjual cenderamata. Di dalam kompleks ini terdapat sebuah madrasah dan sebuah lagi taman yang terjaga sedang menghijau, begitu nyaman dan mempesonakan. Menurut khabarnya pasangan pengantin akan datang ke taman ini untuk meminum air dari sebuah matair yang masih mengalir untuk mengambil berkat.

Makam Imam Al Bukhari dibina dengan indahnya, ada binaan baru nisan dari batu marmar akan tetapi jasad beliau disemadikan betul-betul di bawah binaan ini. Kami bersyukur kerana dibenarkan menuruni tingkat bawah tanah itu untuk memberi penghormatan kepada beliau. Pelawat lain tidak dibenarkan kerana kebanyakan mereka khususnya wanita datang dengan pakaian yang tidak sesuai, tidak menutup aurat.

Selepas bertahlil dan membaca doa yang diketuai oleh Mufti Kerajaan Negeri Perak, Dato' Seri Haji Harussani itu, kami beredar meneruskan tujuan perjalanan.

Wednesday, September 06, 2006

Sepagi di Dataran Registan



Puas menikmati keindahan bangunan Makam Gur Emir kami meneruskan penerokaan di Kota Samarkand ke Dataran Registan yang merupakan sebuah kompleks terdiri dari tiga (3) buah bangunan binaan kurun yang berlainan yang membentuk struktur berbentuk "U", masing-masing menggabungkan Madrasah UlugbekPusat (1417-1420) di tengah diapit sebelah kanannya Madrasah Sher-Dor (1619-1636) dan Madrasah Tilya-Kori (1646-1660) di kirinya.

Registan bermakna "Sandy Place"" konon ceritanya "The sand was strewn on the ground to soak up the blood from the public executions that were held there until early in the 20th century. The Registan is where Tamerlane stuck his victim's heads on spikes and is where people gathered to hear royal proclamations, heralded by blasts on enormous copper pipes called dzarchis. But is also obviously could be only before the first of charming historical buildings had been constructed because Tamarlane died in 1405"


Masyaallah! Tidak puas mata memandang, kagum dan hairan, walaupun struktur dan bentuk binaannya tidak banyak berbeza dengan yang pernah kami temui sebelum ini tapi Dataran Registan memang menakjubkan. Pelik memikirkan bagaimana mereka di kurun ke 14 dan 15 dulu dapat membina bangunan segah itu, tidakkah ini juga antara keajaiban dunia yang dipinggirkan. Khazanah sejarah dunia yang tidak ternilai harganya.



Madrasah Sher-Dor
Bangunan ditutup kepada khalayak kerana merupakan pusat pembelajaran



Madrasah Ulugbeg
Semasa zamannya merupakan sebuah universiti Sains Sekular yang ulung tetapi kini yang kami temui selain dari tempat berjualan hasil kraftangan kelihatan artis yang memainkan lagu tradisi dengan menggunakan alatmuzik tradisional mereka


Madrasah Tilya Kori
Memasuki ke dalam bangunan ini suasana menjadi riuh dan meriah dengan suara tawar menawar barangan kraftangan penduduk setempat


Hasil seni yang halus dan mewah tidak dapat digambarkan dengan kata-kata di siling Madrasah Ulugbeg

Mata merenung jauh meratah keindahan segenap ruang Dataran Registan ini, bagaikan bintang di langit tidak mungkin tercapai tangan. Ia akan kekal sebagai tarikan pelancong entah untuk berapa ratus atau mungkin ribuan tahun lagi. Jauh tersasar dari fungsinya yang sebenar, beginilah nasib islam di bumi Samarkand. Kehebatan yang tinggal hanya dalam kenangan sahaja..

Monday, August 14, 2006

Meneroka Kota Samarkand


Tanggal 25 Mac 2006 Sabtu

Gerbang Xush Kelibsiz atau Selamat Datang menyambut kami masuk ke kota Samarkand. Justeru hari sudah menjelang senja maka kami terus "check in" ke "Hotel Afrosiyob Palace".


Hotel Afrosiyob Palace"


Pandangan kota Samarkand dari sebelah kiri pintu masuk hotel



Lepas sarapan pagi kami menaiki bas ke lokasi lawatan yang terletak begitu hampir dengan Hotel Afrosiyob iaitu Makam Gur Amir cucu kepada Temerlain yang dibina sekitar Abad XIV - XV. Pada dasarnya reka bentuk binaan bangunan tinggalan silam di sini lebihkurang saja dari segi fizikal dan bahan yang digunakan begitu juga tona warna marmarnya yang rata-rata lebih suka menggunakan warna biru firus.

Anggota rombongan bergambar didepan Makam Gur Emir


Kubah bangunan Makam Gur Emir yang dikatakan mempunyai 63 lekukan mengambil sempena usia Nabi Muhammad S.A.W


Bahagian dalam makam yang diperbuat dari marmar bersadur emas tulin dan di belakang kami adalah Makam Gur Emir. Warna keemasan melimpah menyinari wajah. Sesuatu yang amat menakjubkan bila memikirkan betapa hebatnya tamaddun silam kaya dengan rekabentuk yg artistik dan mewah.

Tuesday, August 01, 2006

Perjalanan ke Samarkand

Cuaca diluar masih sejuk namun udaranya segar dan bersih kerana pencemaran yang amat minima, tiada asap kenderaan yang menyesakkan nafas, tiada bunyi bising yang menggigit telinga yang ada hanyalah manusia yang lalulang menuju ke tempat kerja dan pelajar yang berpusu-pusu berjalan dengan riang ke Universiti Bukhara yang secara kebetulan letaknya amat dekat dengan hotel penginapan. Lepas sarapan kami bertolak dengan bas ke kota Samarkand.

Sesungguhnya perjalanan ini amatlah jauh kerana memakan masa melebihi delapan jam. Dari balik langsir jendela bas aku mengintai pemandangan kiri kanan jalan yang kaya dengan tanah yang kontang, namun kelihatan pohon-pohon epal dan anggur yang dengan ramah menjamah mata kami dengan pucuk-pucuknya yang hijau. Nampaknya melepaslah peluang kami untuk memetik dan menikmati epal dan anggur di bawah pohonnya.

Pemandangan ke Samarkand

Kurang lebih tiga jam perjalanan kami singgah ke sebuah rumah yang terletak perkampungan di tengah-tengah lembah yang saujana mata memandang beratapkan langit yang membiru serta desiran angin yang nyaman. Kami menyerbu sebuah rumah yang terletak di atas sebuah bukit. Di sana telah sedia menunggu penghuninya dengan mesra menghidangkan seteko teh hijau yang panas serta roti gandum yang keras tapi enak itu. Mereka juga mempamerkan hasil kraftangan seperti ambal, sarung kusyen dan alas meja untuk dibeli. Anehnya kami saling tidak memahami bahasa pertuturan masing-masing tetapi pertemuan itu berlansung dengan sangat harmoni dan kasihsayang sesama insan. Sesungguhnya Islam telah merapatkan hubungan kami secara semula jadi. Satu anugerah Ilahi yang jarang kita sedari!


Mendaki ke perkampungan


Surirumah Uzbek yang manis menawan


kanak-kanak Uzbek


Seronok melayan karenah mereka


Dipinggir bukit menghala rumah yang kami singgahi

Sempat bergambar dengan petani dengan keldainya



Hampir sejam kami di situ sebelum meneruskan perjalanan, kami sempat menjamu sekumpulan kanak-kanak Uzbek dengan makanan berupa biskut, roti dan buah-buahan kering yang dibeli di Bukhara. Semasa berbalas lambaian hatiku merasa sayu dan kesian, betapa kanak-kanak yang masih mentah itu akan terus terpenjara dalam dunia mereka yang tersendiri, benar-benar terasing dan tertinggal.

Thursday, July 06, 2006

Ak Sarai Palace di Shahrisabz

160 km menghampiri Samarkand kami singgah sebentar di kota Shahrisabz pekan kecil di kaki banjaran Gunung Pamir.
Sepanjang perjalanan kami terpaksa melalui beberapa buat sekatan jalan yang oleh pihak tentera, walaupun bilangan kenderaan yang kami temui amat sedikit namun sikap berjaga-jaga dan waspada ternyata amat kental di sini.


Rekabentuk rumah penduduk di alah sebuah kampung




Perkampungan yang agak padat

Selepas bersembahyang Jumaat di Shahrizabs, kami sempat singgah menjengah-jengah jualan kraftangan disebuah bangunan bekas sebuah masjid. Sama seperti di Bukhara barangan yang dijual berupa bekas telefon bimbit, bekas botol air, "tote bag" alas meja, sarung kusyen dan sebagainya hasil sulaman wanita tempatan.


Kenangan dengan sicilik yg membantu ibunya berniaga


Barangan jualan hasil kraftangan penduduk tempatan

Ak Sarai Palace yang menakjubkan

Selesai menikmati makan tengahari kami dibawa melawat
sakibaki binaan tinggalan zaman silam yang amat menakjubkan iaitu apa yang dinamakan Ak Sarai Palace. Inilah saja bahagian yang terselamat semasa peperangan dan dibangunkan oleh Timur Tamerlane . Malah tidak keterlaluan kalau binaan ini dianggap sebagai salah satu keajaiban dunia.

Bangunan ini dibina pada tahun 1380 - 1404 . Kalaulah tidak disebabkan dibom oleh pihak Rusia sudah tentu kita dapat melihat bahagian atas kedua-dua menara bercantum dan membentuk sebuah "arch". Dengan baki ketinggian 38 meter binaan dinding menggunakan tanah liat dan susunan indah batu mozek berwarna biru dengan berbagai-bagai bentuk memukau mata dan sukar mempercayai bahawa ini adalah hasil buahtangan manusia zaman silam. Ak Sarai palace adalah menara berkembar yang lebih menghairankan dari bangunan KLCC di Kuala Lumpur.


Taman Erofah yang indah dibina oleh pihak Soviet yang menghala ke Ak Sarai Palace dan monumen di tengahnya itu adalah patung Timur Tamerlane yang bertanggungjawab kepada keujudan dan kemakmuran Shahrisabz pada waktu kegemilangannya dahulu.


Ukiran indah disalah sebuah pintu Ak Sarai Palace yang berusia ratusan tahun.

Bayu sejuk tengahari itu meniup lembut, kaki terasa malas untuk melangkah pergi namun kota ini tetap kami tinggalkan dan membiarkan ia terus didakap kenangan masa lampau yang mengusik jiwa.

Tuesday, May 23, 2006

Agenda yang tergendala



Nampaknya hasrat untuk menghabiskan catatan kembara ke Uzbekistan (Bukhara, Samarkand, Shahrizabz dan Tashkent) terpaksa ditingalkan sementara, tuntutan kerja dan masa yang mesti mengutamakan perkara lain yang lebih afdhal menentukan segala.

Khamis ini 25 Mei 2006 aku akan berlepas ke Australia (Sydney dan Brisbane) sehingga 01 Jun 2006. Lepas tu kerja mesti melambak menunggu, konklusinya entah bilale pulak catatan itu akan sempurna...

Dan akupun termanggu
tahu tak tahu
mencari ruang mengejar waktu
yang hilang belum ditemu
yang ditemu ada yang perlu

Terhenti sebuah bicara
catatan suatu kembara
bagai agenda yang tergendala
entah sampai bila

Akupun merenung diri
pasrah dan patuhi
ketentuanmu Rabbi !