Tuesday, September 01, 2009

Dah 52 tahun!


Sambutan ulangtahun kemerdekaan negara kita yang ke 52 tahun ini jatuh dalam bulan Ramadhan. Oleh kerana itu acara majlis sambutan diadakan dengan sederhana tapi tetap meriah. Nampaknya ada rahmatnya juga sebab sudah tentu semua negeri dalam Malaysia dapat berjimat bukan saja dari segi perbelanjaan tetapi tenaga dan masa.

Semoga dalam usia 52 tahun ini kita semakin matang dan bijak dalam bertindak, bukan masih diera mengkaji atau baru nak buat "postmortem". Apapun kita wajib cintakan negara dan berjuang untuk kesejahteraannya walau dengan apa sekali cara.

Thursday, August 27, 2009

Berkat Ramadhan...

Hendaknya tiada sesiapa mencemari kemuliaan Ramadhan dengan berbuat maksiat di tempat-tempat sunyi dan penuh godaan seperti ini




Tanpa disedari sedikit sebanyak Ramadhan telah mengekang kita dari berbuat mungkar. Berhati-hati bila berbicara agar tidak terkeluar perkataan yang menyakitkan hati sesiapa, mengelak dari mengucap perkataan yang tidak baik dan yang paling penting tidak mengumpat. Masing-masing saling ingat-mengingati. Mudah-mudahan ia akan berterusan walaupun selepas puasa. Itulah berkat Ramadhan, bulan yang lebih baik dari seribu bulan.

Tuesday, August 25, 2009

Ramadhan bukan pesta makanan


Sejak bertahun-tahun lamanya membeli-belah di Bazar Ramadhan seakan telah menjadi satu kemestian atau tradisi di bulan puasa. Bukan sahaja kita yang bekerja, surirumahtanggapun ramai yang akan keluar berbelanja di sana. Melihat longgokan makanan pelbagai jenis dan rasa memanglah menggoda selera, kalau boleh semua nak dibeli sebab semua nampak sedap.

Persolannya adakah ia sesuatu yang betul-betul perlu, membeli lauk-pauk yg kaya dengan kolesterol serta tinggi kalori dan kuih-muih juga pelbagai jenis minuman
yang tepu kandungan gulanya, adakah ia menepati antara matlamat puasa iaitu untuk merasai betapa peritnya berlapar kerana kemiskinan. Sebaliknya kita seakan berpesta makanan setiap kali datang Ramadhan. Penyudahnya sistem penghadhaman bekerja lebih teruk dari biasa dengan sumbatan makanan yang melebihi keperluan badan dan akhirnya membawa kepada kemudaratan.

Justeru alangkan baiknya bulan ini kita belajar untuk mengamalkan cara pemakanan yang sihat dan amat sederhana kerana bukan saja ia baik untuk tubuh badan tapi juga kita dapat lebih berjimat. Wang itu bolehlah kita gunakan untuk bersedekah lebih kerap dibulan penuh barakah ini.

Friday, August 21, 2009

Tuesday, August 18, 2009

Marhaban Ya Ramadhan Al Mubarak


Akhir Ramadhan yang lalu ku lepaskan dengan berat hati. Sedih dan gembira bercampur-baur. Sedih kerana Ramadhan akan meninggalkan kita, bagaimana kalau ia adalah yang terakhir kali? Gembira kerana telah melaksanakan ibadah puasa seperti yang dituntut dan akan menyambut kedatangan Syawal yang mulia..

Alhamdulillah, syukur atas nikmat Allah S.W.T kerana kalau panjang umur dengan izinNYA kita akan menyambut kedatangan Ramadhan Al Mubarak lagi. Semoga kita akan dapat melaksanakannya dengan lebih baik.

Memandangkan negara sedang teruk dilanda H1NI, kenalah kita bertopeng mulut dan hidung kalau hendak mana-mana tempat tumpuan ramai terutama ke Bazar Ramadhan bagi mengelakkan sebarang jangkitan. jalan terbaik adalah dengan hadkan kunjungan ke tempat awam. Bukankah mencegah itu lebih baik dari mengubati.

Selamat berpuasa Ramadhan!

Wednesday, August 12, 2009

Jeling je ke!


Apa riaksi anda tatkala bertemu dengan seseorang juga tidak kita kenali tapi kita perasan zip seluarnye terbuka, butang baju yang dikenakan tidak selari, tepi bibirnya bersememeh dengan sisa makanan atau apa saja yang akan membuatkan dia menjadi perhatian yang tidak sepatutnya.

Adakah anda akan menjeling , ketawakan, cukup setakat tumpang malu atau segera maklumkan kepadanya?

Sunday, August 09, 2009

Nak tegur atau tidak


Semasa berbelanja di Kompleks membelibelah atau menjamu selera di restoran atau di warung tetiba anda ternampak seseorang atau beberapa orang membuang sampah merata-rata, memotong barisan semasa membayar bil, bersembang kuat macam nak rak siap dengan ketawa mengilai lagi atau memarahi anaknya dengan garang sampai budak tu menangis sakan teresak-esak atau apa saja perlakuan yang menyakitkan hati dan menyampah mata melihatnya.
Sanggupkah anda menegur? Atau terus berlalu dengan alasan tak nak campur urusan mereka biarje le takut kena penampar Jepunle pulak!

Wednesday, August 05, 2009

Dedaun



Bagai dedaun
tika dipuncak dahan
melambai meninggi diri

Bila jatuh ke bumi
tiada siapa yang peduli

Sunday, August 02, 2009

Janji


Pantun Melayu ada berkata:

Buah jering di atas para
Diambil budak sambil berlari
Kalau kering Selat melaka
Barulah saya mungkiri janji


Malah pepatah lama yang masih terpakai sehingga kini:

Kerbau dipegang pada tali,
Manusia dipegang pada janji

Malah dalam Islam jelas mengingatkan kepada kita bahawa antara sifat orang yang munafik itu ialah apabila dia berjanji dia mungkiri. Begitlah hebatnya dan beratnya penangan janji, justeru jangan mudah membuat janji kalau kita masih ragu-ragu akan dapat menepatinya.

Inilah yang membuat aku terkilan bila ada yang mungkir janji tanpa sebarang alasan atau pemberitahuan...ikutkan hati nak marah tapi taknaklah meminjam perangai syaitan laknatullah tu. jadi apa boleh buat sabar je le...sabar!

Thursday, July 30, 2009

Adat menepung tawar pengantin


Ahad lalu aku menghadiri majlis walimah di Sime Darby Convention Centre di Kuala Lumpur. Apa yang menarik perhatianku bukanlah kepada hiasan dalaman yang indah dan bertaraf lima bintang atau hidangan makanan yang enak menggamit selera hingga menjejaskan dietku, tapi yang lebih penting adalah ketiadaan upacara menepung tawar yang telah menjadi adat kemestian disetiap majlis perkahwinan bangsa Melayu.

Tatkala bersembang dengan tetamu semeja, aku dimaklumkan betapa kini sudah ada golongan tertentu di ibunegara yang mula mengabaikan adat iatiadat yang tidak islamik dan membazir itu. Lagipun adat menepung tawar sebenarnya ditiru dari adat India semata-mata. Ketiadaannya tidak akan mencacatkan majlis malah memberi kesedaran kepada masyarakat untuk berani membetulkan perbuatan yang salah yang telah mendarah daging sejak lama dulu.

Ada beberapa lagi upacara dalam majlis perkahwinan yang harus diketepikan supaya benar-benar menepati tuntutan agama Islam antaranya adat bersanding dan berinai. dalam hal ini mesti ada yang berani dan sanggup merubah tanpa menghiraukan umpatan dan kata nista mereka yang hanya pandai berkata-kata sahaja. Sudah sampai masa kita melakukan perkara yang praktikal kerana ia bukan saja mengurangkan dosa tetapi menjimatkan belanja. Adalah terlebih baik peruntukan tersebut diberikan kepada pasangan pengantin untuk memulakan hidup baru dengan lebih yakin tanpa menggalas beban hutang.


Antara peralatan menepung tawar yang bukan murah harganya

Friday, July 24, 2009

Friendship


true friendship means-

to help without hesitation
to give without expectation
to love without limitations
&
even to remember without
communication...




ihsan dari blog lain

Tuesday, July 21, 2009

Cenderamata perkahwinan


Cenderamata di atas adalah sebahagian kecil dari pemberian dari majlis perkahwinan anak rakan taulan malah masih banyak lagi yang disusun cantik didalam almari dan tak kurang juga yang tersimpan elok sejak beberapa lama didalam kotak. Serba salah dibuatnya hendak dibuang teramatlah sayang kerana harganya bukanlah sesen dua tambahan pula pemberian itu penuh dengan keihklasan.

Semasa memunggah, membersih dan menyisih cenderamata yang comel dan cantik, anak daraku selamba saja membayangkan supaya memberi barangan yang lebih bermanfaat pada majlis perkahwinannya kelak seperti sepasang garfu dan sudu, pengetip kuku, bekas tisu, bekas kunci atau apa saja yang munasabah serta dapat digunakan bukan disimpan begitu saja. Atau ada cadangan lain yang lebih praktikal dari segi kegunaan dan berpatutan harganya.

Sunday, July 05, 2009

Masalah kita...


Masalah kita yang paling utama adalah
kita lebih suka menjadi orang lain dari menjadi diri sendiri
kita lebih suka menjadi pengikut dari menjadi pemimpin


ini bukan masalah peribadi, generasi yang tiada jatidiri
tiada perancangan dan matlamat hidup yang jelas bukan saja menjadi ancaman kepada dirinya sendiri tetapi kepada keluarga, masyarakat dan negara.



Sepakat membawa berkat
satu matlamat satu tekad
jadi ringan beban yang berat
barulah selamat dunia akhirat

Tuesday, June 30, 2009

Berikanku kekuatan


Dalam sunyi
aku mengerti
hakikat diri
tiada apa yang abadi
kerana aku akan kembali
mengadapMU YA RABBI

berikan ku kekuatan
agar aku bisa bertahan
mengumpul sebanyak bekalan

kerana
ku masih ragu
ku masih takut
menerima sebuah kematian
seorang aku

30 Jun 2009 (Selasa)
4.50 ptg

Sunday, June 28, 2009

Kasihnya seorang bapa


Dengan mengetepikan kes-kes terpencil, maka tiada seorangpun antara kita yang dapat menolak hakikat bertapa agungnya kasih seorang bapa setanding dengan kasihnya ibu.
Sedari bayi hinggalah kita melangkah ke sekolah rendah kemudian sekolah menengah seterusnya memasuki pusat pengajian tinggi, bapalah yang memikul beban mencari wang untuk mempastikan kebajikan isteri dan anak-anak sentiasa terjaga.

Melainkan bapa yang mempunyai kedudukan yang tinggi dan pekerjaan yang terjamin, kedapatan bapa yang sanggup berbuat apa saja hatta mencuri dan merompak demi mendapatkan wang untuk menggembirakan hati anak-anak. Alangkah beratnya tanggungjawab seorang bapa.

Kebanyakan bapa tidak pandai atau terlalu ego untuk melahirkan rasa kasihsayang kepada anak-anak namun mereka juga seperti ibu kita yang sering dihimpit rindu kepada anak-anak bila lama tidak mendengar suara atau menatap wajah kita.

Lahirkankan rasa kasih kita selagi bapa masih hidup dan tunaikanlah hajatnya jika ada agar kita tidak dilanda rasa terkilan dan kesal seumur hidup ditakdirkan bapa pergi nanti. Bukan saja pada hari bapa tetapi kalau boleh setiap hari atau sekerap yang mungkin. Biar bapa merasa betapa hangatnya kasihsayang kita terhadapnya.

Friday, June 26, 2009

Bila marah...


pernahkah anda ditimpa perasaan marah hingga diluar kawalan membuatkan wajah anda yang cantik jelita atau tampan macho tu tiba-tiba berubah ala-ala kucing kat atas ni



marah hingga rasa nak tembak dia biar bersepai otak dia!


atau rasa nak telan dia hidup hidup?

kalau ade apa le pulak sebab musababnye?

Sunday, June 21, 2009

Jeli oh jeli


Proses pembancuhan bahan-bahan. Peralatan yang digunakan agak-agaknya bila terakhir kali dicuci dan bahan-bahan tu halalke?








memasukkan jeli kedalam acuan, lihat kebersihan persekitaran atau tutup mata je

lihat kat dinding dan lantai









Buruh di negara Cina memang murah dan tiada had usia. Jeli yang siap dicawan dikutip untuk dikotakkan.





























Kalau kita suka sangat makan jeli atau sering menjadikan buahtangan untuk anak-anak, cuba lihat sendiri dan fikir-fikirkan. Tu belum lagi kita lihat macamana kuaci yang menjadi kegilaan kebanyakan kita diproses. Kebanyakan makanan segera dibuat secara kecil-kecilan bukannya di kilang, ia diluar kawalan pihak-pihak penguatkuasaan yang berkaitan. Kesimpulannya banyak lagi kudapan dan makanan snek buatan Malaysia yang enak dan terbuat dari bahan yang halal serta terjamin kebersihan proses penyediaannya jadi kenapa masih pilih yang lain?

Thursday, June 11, 2009

Rindu


Terkadang
ku kutip semula
serpihan kenangan
dari pantai silam

terkadang
ku kelemasan
dihempas ombas rindu
yang mencengkam






110609
Khamis
9.55 pagi

Tuesday, June 09, 2009

Alkisah.......


Peritnya panahan matahari musim panas dah mula terasa. Terpaksalah mencari ruang santai yang teduh untuk merehatkan badan.





Rupa nan garang, tanpa senyum ramah penuh ego. Siapa peduli!







Benarkah menjaga sekawan haiwan itu lebih mudah dari menjaga seorang mamalia bernama manusia?

Friday, June 05, 2009

Seraga makanan buatan Malaysia



Balik dari menziarahi sahabat A di Bangi kami dibekalkan seraga makanan buatan Malaysia, ada kerepek, kuih ros, kuih bakar, popiah mini, kuih karas, rempeyek dan keropok. Ditambah pula dengan minuman jus buah Melaka, jus mangga, sos
papa cili (papaya + cili), kopi dan teh, menjadikan ia satu pemberian yang lengkap.

Semua makanan tersebut dibungkus cantik seperti barangan yang biasa kita temui di pasaraya. Pembungkusan berkualiti dan saiz kuih-kuih tradisional Melayu yang lebih kecil dan mudah pantas menggamit selera pembeli. Tentu sekali barangan tersebut ada yang telah menembusi pasaran luar negara. Sudah tiba masanya kita memberi keutamaan kepada barangan buatan Malaysia untuk keperluan harian mahupun sebagai cenderahati.

Sunday, May 31, 2009

Bila makan...



Bukan mudah untuk mengenal hatibudi seseorang. Kita memerlukan sekurang-kurangnya seminggu atau lebih untuk bergaul sambil mengamati tingkahlakunya dari percakapan dan tindaktanduk yang berlainan pada situasi yang berasingan. Itupun kalau kita berjumpa dengan mereka yang bebas dari sikap hipokrit sedangkan ramai antara kita yang pandai berlakon atau berpura-pura demi menjaga imej diri. Apapun dalam keadaan tertentu yang mengujakan keperibadian seseorang yang sebenarnya akan terserlah. Justeru jangan terkejut kalau sidia yang kita sangka pemalu dan santun tiba-tiba saja bertukar menjadi amat terbuka dan lepas laku.

Memerhatikan perlakuan seseorang di dewan makan dengan jamuan secara "buffet" pantas memberitahu kita serba sedikit perangai sidia. Mengambil makanan ikut selera bukan ikut keperluan sehingga penuh sepinggan menunjukkan betapa sidia tidak pedulikan orang lain yang terkemudian disamping membuat sesuatu perkara tanpa perancangan dan diluar keperluan. Makan terlalu cepat, bercakap ketika mulut penuh makanan dan garfusudu menari nari ke atas ke bawah tentu akan menjejaskan imej seseorang tidak kira bagaimana tampan atau jelitanya dia. Tentu kita akan tertnya-tanya kemana perginya adab atau etiket. Justeru berhati-hati di meja makan jangan sampai orang terbeliak biji mata dan terlopong gara-gara kita yang buruk makan...malu ahh

Thursday, May 21, 2009

Perbilangan bahasa


Pesan bijak bistari

Penakek pisau seraut
Ambil galah batang lintubong
Seludang ambil ke nyiru
Setitis jadikan laut
Sekepal jadikan gunung
Alam terbentang jadikan guru.

agak-agaknya kalau perbilangan ini kita panjangkan pula kepada anak-anak sekarang apakah mereka faham apa yang tersirat pada yang tersurat di atas?
tak hairan kalau nanti jawab mereka buat pe nak jadikan laut kalau yang ada dah lama tercemar, gunung pula dah banyak ditarah rata dan alam ini sedang menuju kemusnahannya.

Monday, May 18, 2009

Chamistry


Pernahkah kita bertemu seseorang buat pertama kali tapi sebaik mula berbual kita terus mesra dan terasa macam dah bertahun kenal. Al musykillah bila kita dah bertahun- tahun kenal seseorang tapi masih susah nak mesra macam ada sesuatu yang menghalang, nampak ketidaktelusan dan kepalsuan. Kata orang sekarang ia ada kaitan dengan "Chamistry" atau takde keserasian cakap orang dedulu. Puncanya dia atau kita?
Apapun alangkah baiknya kalau semua kita sentiasa berusaha menjadi sahabat yang menyenangkan kepada semua.

Friday, May 15, 2009

Sayang anakku sayang



Akhbar hari ini menceritakan betapa seorang gadis (masih boleh dipanggil gadiske?)telah melahirkan anak luar nikah, membungkus bayi lelaki itu dengan surat khabar serta dimasukkan dalam plastik hitam sebelum disorokkan di bawah katil selama tiga (3) hari. Kalaupun ini bukan kes pembunuhan bayi yang pertama malah sudah terlalu kerap didengari namun kes ini amat mengerikan, bayangkanlah sekiranya bayi yang tidak berdosa itu dibungkus ketika dia masih bernyawa, alangkah kejamnya manusia. Suatu tahap manusia sanggup melakukan apa saja demi untuk menutup malu.

Saat bertarung nyawa dan menanggung kesakitan yang tak tergambarkan tidak cukup untuk menumpahkan kasihsayang seorang ibu kepada bayi yang sekian lama dikandung itu.
Suatu hari bernama esok wanita ini pasti akan menyesali perbuatannya.
Betapa kecewa dan hancurnya hati ibubapa wanita tersebut. Tidak wajar meletakkan kesalahan dibahu mereka saja

Ini adalah antara cabaran kita sebagai ibubapa dalam menjaga perilaku anak-anak sementelah sekarang kebanyakan mereka meninggalkan rumah seawal umur tiga belas tahun (13)
masuk asrama untuk belajar. Berjauhan akan membataskan peluang kita membesarkan mereka dengan tunjukajar tatasusila dan bimbingan agama yang secukupnya.

Pemantauan melalui telefon bertanya khabar dan diselitkan dengan nasihat dan peringatan sekerap mungkin perlu dilakukan untuk mmberitahu anak-anak yang di perantauan kerana belajar atau sudah bekerja bahawa kita sentiasa memerhatikan mereka dari jauh. Selebihnya doa kepada Allah Taala semoga mereka sentiasa dalam perlindunganNYA



Binatangpun tahu sayangkan anak...

Monday, May 11, 2009

Terbanglah..


Terbanglah
lepas bebas
tanpa prasangka
kerana rezeki di mana mana

Saturday, May 09, 2009

Kuasa


Manusia sanggup melakukan apa saja untuk mencapai cita-cita. Sampai satu ketika dimana matlamat menghalalkan cara. Lumrah naluri manusia nak jadi kaya, sudah kaya mahu pula berkuasa dan yang telah beberapa lama seronok memegang tampuk kuasa dengan sanjungan dan kemewahan yang datang menggolek kerana kuasa yang dipegang akhirnya akan berusaha untuk kekal berkuasa walaupun menyedari mereka tidak diperlukan lagi atau orang sudah menyampah dan meluat.

Sebenarnya kita yang disekeliling yang memberi ruang dan peluang untuk golongan tersebut bermaharajalela. Akibatnya mereka yang gila kuasa akan terus dengan agenda yang hanya berpihak kepada mereka dan lebih mendukacita tindaktanduk itu menjejaskan kesejahteraan kita. Inilah masalahnya bila kuasa yang diberi tidak dilaksanakan berlandaskan Al Quran dan Sunnah Nabi, sedangkan kuasa yang dipinjamkan itu adalah satu amanah yang akan dipertanggungjawabkan kemudian hari kelak.

Wednesday, May 06, 2009

Selimut Putih



Selimut Putih

Bila Izrail datang memanggil
Jasad terbujur di pembaringan
( 2X )
Seluruh tubuh akan menggigil
Terbujur badan dan kedinginan
( 2X )

Tak ada lagi gunanya harta
Kawan karib sanak saudara
( 2X )

Jikalau ada amal di dunia
Itulah hanya pembela diri
( 2X )

Janganlah mahu disanjung-sanjung
Engkau digelar manusia agung
( 2X )

Sedarlah diri tahu diuntung
Sebelum masa lkerenda diusung
( 2X )

Datang masanya insaflah diri
Selimut putih pembalut badan
( 2X )

Tinggal semua yang dikasihi
Berbaktilah hidup sepanjang zaman
( 2X )

( ulang 2 )

Atiqah Rahman / Orkes Nur El Suraya

Lagu ini amat ku sukai dan hafal sedari kecil hingga kini. Liriknya saja tentu akan membuat kita insaf dan aedar bahawa dunia ini adalah persinggahan untuk mengumpul bekal ke SANA. Membayangkan diri dimandi, dikafan dan dikebumikan......erm justeru berbaloikah jika ada antara kita yang masih sombong dan angkuh dengan kekayaan, pangkat dan status sedangkan semua itu pinjaman dan ujian semata-mata.

Monday, May 04, 2009

Kerana mulut


Bijak pandai ada menyatakan bahawa yang paling berat ditanggung dalam kehidupan ini adalah amanah. Ia merupakan kepercayaan dan hasrat seseorang yang diberi kepada kita samada untuk dilaksana atau disimpan sebagai rahsia. Seringkali kita mendengar diungkapan "Ingat! Biar pecah diperut jangan pecah dimulut" Amanah yang dikhianati bukan saja mengecewakan orang yang selama ini yakin akan kehebatan peribadi kita tapi akan mengakibatkan perkara yang tidak diingini terjadi.




Bibir yang terbaik adalah yang tidak lekang dengan zikir kepada Allah tapi kalau tidak dapatpun berbuat demikian jangan pula menggunakannya untuk menyakiti hati orang lain. Menyebarkan fitnah, menghamburkan kata-kata yang kasar dan hina hanya akan menyerlah karektor kita yang sebenarnya. ""Bahasa menunjukkan bangsa". Gaya percakapan dan perkataan yang digunakan pantas memperlihatkan asal usul keturunan. jadi janganlah sebab keterlanjuran kita berbicara menyebabkan ayah ibu yang mendapat cerca. Kalau tidak ada yang hendak dicakapkan lebih baik diam saja. Ditakuti "Sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa"

Saturday, May 02, 2009

Sembahyang Jumaat

kalaupun terlena sekejap ketika imam membaca khutbah tapi keikhlasan anak muda ini mengunjungi rumah Allah saban minggu harus dipuji


Jumaat lalu waktu tengahari tu singgah makan di Restoran Jatayu di Medan Gopeng yang terkenal dengan masakan Minang. Sendirian sebab A di Alor Setar menghadiri seminar sejak semalam. Kembung panggang cecah air asam, sayur nangka masak lemak dan daging dendeng dengan sirap limau tanpa gula ermmm...tv di restoran tu sedang menyiarkan lintas lansung sembahyang jumaat dari Masjid Negara dan serentak pula kedengaran azan dari masjid yang jauhnya tidak sampai 500 meter dari situ.

Namun aku agak terkejut dan hairan kerana kelihatan beberapa orang lelaki yang dengan selamba kodok masih berbual santai sambil menjamu selera, malah beberapa minit pula muncul makin ramai nak-nak muda melayu yang pada dasarnya tentulah beragama Islam untuk makan tengahari di situ. Ringan rasanya mulut ni nak menegur atau mengingatkan mereka pergi mengerjakan sembahyang ke masjid. Logiknya kalaulah sembahyang jumaat yang seminggu sekalipun dipandang ringan apatah lagi sembahyang waktu, mudah-mudahan perkara ini tidak berlaku. Rasa sedih, marah dan kesal....inilah antara kelemahan umat islam ketika ini mengabaikan perintah Allah dengan mendahulukan urusan dunia, meninggalkan ibadah tanpa rasa malu dan takut dosa!

Wednesday, April 22, 2009

Tenang-tenang air...


Kita biasa mendengar pepatah lama berbunyi air tenang jangan disangka tiada buaya. Persoalannya adake buaya yang tinggal di air yang berombak dan berarus deras. Kurang arifle pulak mengenai habitat sang bedal tu.

Begitulah indah khazanah bahasa datuk nenek kita dahulu sehinggakan peringatan dan amaran yang diberi dilafazkan dalam ayat yang amat bersahaja namun maksud yang tersirat nyata tegas. Maka sudah tentu akal yang jernih dan cerdik sahaja dapat mengerti akan maknanya.

Justeru sehingga sekarang turun temurun atau dari generasi ke generasi ungkapan itu terus subur dalam kehidupan masyarakat. Ingat, air tenang jangan disangka tiada buaya kerana hakikat kejadian manusia itu seandainya berjaya mempertingkatkan harkat, darjat dan martabat diri maka sering dia digelar malaikat hidup sedangkan jika perlakuan sentiasa menyalahi hukum agama dan peraturan sudah tentu pantas dia lebih mirip kepada perangainya haiwan.

Terpulang kepada kita mendefinisikan ungkapan tersebut secara positif atau sebaliknya. Namun apa yang lebih penting ialah kalau sudah tahu kemungkinan ada buaya di air yang tenang maka janganlah terlalu mendekat-dekatkan diri kerana ditakuti akan kena baham.

Tuesday, April 21, 2009

Biarkan.......


Kalau kebencian itu disebabkan perlakuan kita yang bersalahan dengan hukum agama atau undang-undang negara tidak boleh diterima kerana kita adalah memegang amanah di muka bumi ini sebagai khalifah, membantu dan membetulkan yang salah, dengan bimbingan atau hukuman yang setimpal. Apatahlagi sekiranya kebencian itu hanya kerana kebolehan atau kelebihan yang ada pada kita.

Segelintir dari kita kurang senang menerima khabar gembira orang lain, penuh cemburu dan rasa benci, mencari-cari kelemahan dan kekurangan mereka untuk meremehkan kehebatan yang tersersah. Puas hati bila rencana terlaksana sedangkan tiada apa untungnya melainkan bertambah rugi dan berkurang pahala yang ada.

Kepada kita yang pernah dan akan menerima nasib seperti ini, bersabarlah dan terimalah dengan senyum dan pohon pertolongan dariNYA kalaupun jauh di sudut hati terasa nak diterajang atau disepak aje makhluk itu. Kesianlah kepada mereka yang menderita sakit jiwa, jiwa yang tidak tenteram justeru terlalu memikirkan kebahagiaan orang lain sehingga terlupa untuk mempertingkat kualiti diri dan kehidupan. Kalaupun ada peluang untuk membalas dendam, biarkan saja kerana setelah ianya berlalu kita masih kan tersenyum sedangkan dia akan terus dibakar oleh kesumat seumpama api yang membakar sekam.

Sunday, April 19, 2009

Lupakan...


Ada sms respon dari seorang sahabat yang pernah terperangkap dalam kancah cinta terlarang dengan beberapa orang wanita yang jauh lebih muda darinya. Lelaki yang punya kedudukan, bijak dan masih gigih menjalankan perniagaannya. Dalam komen yang ringkas dia pohon aku beri jalan penyelesaian kepada mereka yang sewaktu dengannya. Apapun dia cepat sedar dan berjaya keluar dari penjara asmara duka namun ku kira masih gagal melupa kenangan lama.

Aku bukan seorang kaunselor atau pakar psikologi yang dapat memberi cadangan jalan keluar, apapun yang aku catatkan disini hanyalah pendapatku yang bisa dipertikaikan oleh sesiapa saja. Aku tidak akan menyalahkan sesiapa dalam soal cinta sebab siapapun kita perasaan untuk dicinta dan menyinta adalah lumrah.

Pertama bila kita telah mengambil keputusan untuk mengakhiri sebuah perhubungan, langkah selanjutnya adalah membuang segala sesuatu yang ada kaitan dan nastolgia dengan sidia. Surat-surat, hadiah dan gambar wajib dimusnah sebab dengan membaca dan membelek benda-benda itu kita hanya akan menggamit kenangan lama.

Kedua jangan sesekali berjumpa atau bercakap dengan telefon sebab dengan memandang dan mendengar suara dia hanya akan menggetarkan semula rasa cinta.

Ketiga if you are strong enough than change the relaetionship dari kekasih kepada seorang sahabat tapi masih tertakluk kepada larangan kedua cukup sekadar sms. Perhubungan tidak membicarakan kisah lama.

Keempat sentiasa pohon keampunan dan kekuatan dari Allah SWT agar kita tidak akan terpengaruh kepada bisikan syaitan yang menggoda. Lakukanlah dengan ikhlas Insyaallah semua perbuatan yang baik tu akan mendapat pertolonganNYA. Kalau sebaliknya yang terjadi itu hanyalah dugaan untuk menguji sejauh mana keimanan mengatasi kejahilan dan kelemahan kita. Hanya kita yang dapat membantu diri sendiri, hendak seribu daya tak hendak seribu dalih. Justeru kita yang membina penjara asmara lara maka sudah pasti kita ada kunci pintu keluarnya. Kalau tak bisa memadam kenangan lama jangan sesekali diselak lembaran itu. Biar ia semakin usang diarus masa.

Akhirnya percayalah bila kita ditakdirkan berpisah itu bermakna Allah SWT telah membuat keputusan yang terbaik untuk kita. Sayangilah isteri dan keluarga kita kerana mereka adalah dunia kita, bahagiakanlah mereka hingga kita menutup mata.

Aku harap sahabatku nan budiman lagi bijaksana bisa menerima pandangan ini dengan hati terbuka. memanglah mudah untuk bekata namun tiada yang mustahil dilakukan jika kita bersungguh. Bagai pepohon di musim luruh, biar semua daun-daun kering jatuh bertaburan...lupakanlah!

Thursday, April 16, 2009

Jangan menyanyi di dapur...

Dapat isteri muda, makan kat kedai hari-haripun takpe!


Kata rang tua
anak dara menyanyi di dapur
kalau dapat suami
boleh dipanggil ayah

Teringat di zaman remaja setiap kali ke dapur aku akan terlalak-lalak menynyikan lagu-lagu yang sedang top pada ketika itu. Biasanya nyanyian yang aku perasan begitu merdu mendayu akan terhenti tiba-tiba bila nenek mula menyergah "ooi anak dara jangan menyanyi kat dapur nanti dapat laki tua" Alahai punyalah takut kalau-kalau dapat suami begitu macam senikata lagu yg didendangkan oleh Allahyarham Datin Rafeah Buang tu.

Lama selepas itu baru aku faham apa sebenarnya hikmah dari tegahan orang tua-tua dahulu supaya tidak menyanyi ketika memasak antaranya supaya kita lebih fokus kalau dah terlalu menjiwai lagu yang dilaungkan tu dibimbangi akan rentunglah nasi yang dimasak atau ikan yang digoreng sebab masa tu manalah ada periok nasi elektrik kebanyakannya masih menggunakan dapur minyak tanah malah ada lagi yang menggunakan kayu atau arang.

Masa terus berjalan dan pandangan serta penerimaan masyarakat telah berubah. Mendapat menantu yang sebaya umur atau lebih tua bukanlah satu perkara yang pelik dan agak memalukan. Selain dari itu ada juga (segelintir) anak dara yang sengaja mencari suami yang berusia untuk jaminan masa depan terutama lelaki tua dari kalangan yang berkedudukan dan berduit. Lelaki-lelaki tua dahulu menganggap anak-anak dara seperti anak sendiri yang perlu dikasihi dan dibimbingi. Sedangkan (segelintir) dari mereka di zaman ini sengaja mengambil kesempatan terhadap remaja-remaja itu untuk kepentingan diri. Apapun kita tiada hak untuk menyalahkan sesiapa sementelah seperti yang pernah diperkatakan cinta itu tidak boleh dipaksa, ia datang tanpa diundang, kalau sudah terperangkap pandai-pandailah meloloskan diri kerana ia akan hanya melukakan perasaan insan lain yang dekat dengan kita - isteri dan anak-anak.

Tuesday, April 14, 2009

Pilihan

Agaknya berapa lamalah masa yang diambil untuk memilih glu yang terbaik. Lagi banyak pilihan menambah pening kepala sampai tak pasti mana yang hendak dipilih.














Samada kita suka atau tidak, sedar atau tidak sebenarnya kita tidak dapat lari dari terpaksa membuat pilihan untuk kelansungan hidup. Hatta memilih jenis beras yang sesuai dan terbaikpun sudah cukup membuat kita terdera kerana pilihan yang ada terlalu banyak sedangkan kita tidak pasti apakah kualiti dan kebaikan yang didakwa itu sesuatu yang benar.

Kebanyakan kita mudah terpedaya kepada pandangan mata, yang cantik, yang indah dan yang mahal seringkali dilabelkan sebagai pilihan terbaik. Hakikatnya bila dibawa pulang, diguna barulah kita tahu bahawa kita telah tertipu oleh kesilapan yang kita lakukan sendiri.

Begitulah juga dalam memilih teman hidup (suami atau isteri). Kita menyangka kita telah mendapat intan terpilih tatapi setelah habis musim asmara yang mengasyikkan barulah kita perasan bahawa dia tidak seperti yang kita harapkan. Namun terimalah hakikat jika pasangan kita berfikiran yang sama terhadap kita. Sebenarnya pasangan kita adalah pilihan terbaik yang ditentukan Allah SWT kepada kita. Kitalah sebagai suami / isteri wajib bekerjasama untuk membina sebuah perkongsian hidup yang bahagia tanpa rasa terkilan dan sesalan. Kata orang tak dapat apa yang dicinta maka cintailah apa yang kita dapat.

Friday, April 10, 2009

Sakat


Alangkah indahnya, beberapa jambak pokok sakat yang menumpang pada pokok induk yang tinggi menjulang langit. Seni taman semula jadi yang mengkagumkan. Pun begitu percayalah dalam beberapa tahun akan datang sudah barang tentu pokok induk itu akan merana sedikit demi sedikit sehinggalah ia jatuh menyembah bumi kerana jambak pokok sakat akan terus berkembang biak sehingga membunuh pokok itu.

Dalam alam manusiapun ada mereka yang macam pokok sakat, diberi muka nak kepala, diberi betis nakkan peha. Justeru berhati-hatilah dalam kehidupan. Akan tetapi apa yang lebih utama ialah jangan sampai kita sendiri berperangai macam pokok sakat!

Thursday, April 09, 2009

susu susu


Alangkah nikmatnya meneguk susu lembu atau susu kambing segar yang masih panas. Pagi atau petang segelas susu dengan sesudu kecil gula (jika suka) nikmatnya sukar digambarkan. Malangnya minuman ini hanya terjual di kedai India mungkin disebabkan budaya mereka yang gemar minum susu sejak dari kecil. Namun kalau sudah dimulakan meneguknya, percayalah kita akan merindui minuman penuh khasiat terutamanya kalsian dam protin itu jika tidak mendapatkan sekurang-kurangnya tiga gelas seminggu. Cuba dan rasailah keenakannya! Ia lebih baik dari minuman teh tarik atau teh susu yang bakal mengundang penyakit kencing manis jika diamalkan pada jangka panjang lantaran kandungan gulanya yang amat tinggi. Pengambilan susu sepatutnya diamalkan sepanjang hayat.

Monday, April 06, 2009

Pantun lama


Kelip-kelip kusangka api
kalau api mana sumbunya
hilang ghaib kusangka mati
kalau mati mana kuburnya

Apa merayap di tengah sawah
anak kepiting di celah batu
apa diharap kepada saya
saya yang miskin lagi piatu

Thursday, April 02, 2009

Kenapa...


Ikatan persahabatan amat unik dan sukar dimengertikan. Pengaruh seorang kawan dalam kehidupan kita jauh lebih kuat dari ibubapa, suamisteri dan adik beradik.


Kebanyakan suami akan mengetepikan permintaan pertolongan dari isteri dengan pelbagai alasan tapi sanggup berkorban demi kawan

Kita akan dengan mudah memaafkan kesalahan kawan tapi ada yang mengambil masa paling minima seminggu bagi memberi kemaafan kepada pasangan

Kebanyakan dari kita akan dengan murahhati menghamburkan kata pujian kepada kawan tapi jarang-jarang sekali memuji pasangan walaupun kita perasan ada hari-hari tertentu dia nampak lebih menawan atau masakannya amat sedap dan menyelerakan

Kenapa terlalu berkira untuk mengembirakan hati pasangan, bukankah perkahwinan itu suatu perkongsian perasaan, bahagiakah kita kalau pasangan terdera jiwanya?

Kenapa sukar benar berterusterang dengan pasangan tentang perasaan dan masalah sedangkan kita bisa berbicara berjam-jam meluahkan rasa hati kepada kawan

Kenapa amat berhati-hati dan komited untuk menjaga perasaan kawan sedangkan jarang sekali kita mengambil peduli perasaan pasangan

Kenapa ini harus terjadi?

Tidak adil kalau kebanyakan kita memandang remeh perkera ini kerana apa saja yang berkaitan dengan perasaan impaknya amat besar kepada kualiti hidup pasangan kita. Rasa terpenggir dan kecilhati lambat laun akan memaksa pasangan mengintai pintu keluar yang sudah barang tentu tidak kita sukai dan kalau itu terjadi...jangan salahkan orang lain!