Saturday, November 19, 2011

Cakap biar serupa bikin


Bukan mudah menjadi ketua disesebuah pejabat atau jabatan. Ketua merupakan "role model" , manusia yang sepatutnya mempunyai akhlak yang terbaik dan menjadi ikutan kepada mereka yang dibawah jagaannya Akan tetapi kalau ketua sendiri dah tak betul, pandai mengarah saje tanpa panduan dan bimbingan maka macamana kakitangan bawahan nak hormat. Keluarlah berpuluh-puluh pekeliling , surat pekeliling dan surat arahan, Kalau ketua sendiri tak patuh maka jangan salahkan mereka yang dibawah jagaan melanggarnya.

Janganlah sebab kita ketua lalu tidak terikat kepada peraturan dan undang-undang, mengarah ikut sedap mulut tanpa mengkaji buruk baik dan implikasi kepada pejabat dan kakitangan. jangan marah kalau kakitangan memonteng kalau kita sendiri selalu sangat tak nampak muka di pejabat.

Contohilah falsafah kepimpian Rasulullah S.A.W dan keempat-empat Khalifah baginda. Sesekali dengarlah pandangan atau buah fikiran kakitangan bawahan kerana walaupun tidak berpelajaran tinggi tidak bermakna mereka tidak punya idea yang bernas. Ingatlah sebagai ketua kita selalu diperhatikan jadi janganlah cakap tidak serupa bikin!

Monday, November 14, 2011

Kekurangan itu satu kelebihan

Pelukis ini belum tentu dapat melakarkan lukisan seindah itu sekiranya dia masih mempunyai kedua-dua tanganya.
Kita seringkali menganggap kecacatan merupakan musibah, kekurangan yang memalukan. Pernah seorang sahabat baikku menyembunyikan anaknya yang mengidap Down Syndrome dan selepas 15 tahun ku ketahui dari orang lain. Apa yang hendak dimalukan, hanya manusia yang rendah budi pekerti dan tidak memahami akan hikmah disebalik kejadian yang Allah cipta akan memandang serung kepada mereka yang cacat.

Tanpa kita sedar mereka yang buta telah terselamat dari melakukan dosa mata begitu juga mereka yg cacat pendengaran tidak perlu mendengar kata umpat yang membingitkan telinga saban hari, dan berbahagialah mereka yang bisu kerana tidak pernah menghamburkan kata-kata yang menyakitkan hati, tidak mengata tidak mencemuh.

Berapa ramai yang berjaya dalam kehidupan dan kerjaya walaupun dilahirkan cacat atau menjadi cacat akibat kemalangan dan sebagainya. Bersangka baiklah kepada Allah mudah-mudaha rahmatNYA akan melimpah ruah. Bertimbangrasalah kepada golongan yang sedemikian agar dengan berbuat begitu kualiti peribadi kita akan meningkat dan kemuliaan diri bertambah serta disayangi segala makhluk di dunia mahupun akhirat

Friday, November 11, 2011

Berhati-hati...


Terkejut betul mengalahkan beruk yang disergah tuannya bila mendapat tahu pasangan suami isteri beranak empat di kawasan kejiranan kami yang telah lebih 20 tahun bernikah bercerai gara-gara sang isteri telah tergoda dengan lelaki lain yang didakwa lebih romantis dan hebat berbanding dengan suaminya. Semuanya gara-gara perhubungan yang terjalin melalui laman sesawang Facebook. Dia sanggup meninggalkan anak-anak demi cinta yang belum tentu kesudahannya. Dia sanggup meninggalkan suami yang diberitakan amat pemalu dan jarang sekali bercakap dengan rakan sejawat yang perempuan apatahlagi yang tidak dikenali. Dia sanggup meninggalkan anak-anak dibawah jagaan suami demi cinta. Mudah-mudahan dia telah membuat keputusan yang betul dan Allah membimbingnya. Namun apa yang penting di sini kita harus memelihara diri dari menyalahgunakan teknologi yang ada. Apapun yang dilakukan sentiasa ingat sempadan adat, undangundang dunia apatahlagi hukum agama,, ikut hati mati, ikut nafsu lesu dan ikut nafas kan terbabas.

Thursday, November 10, 2011


Lihatlah betapa indahnya suasana di anjung rumah yang dilestarikan dengan pelbagai tanaman flora dan sayuran. Sejuk dimata damai dirasa. Tiada siapa dapat menafikan bahawa sukar sekali kita menemukan mereka yang memanfaatkan kawasan yang ada di sekeliling rumah. Walaupun tidak seluas seperti dalam gambar di atas namun jika bijak diolah dan rajin dijaga sudah tentu ia akan menggamit mata memandang dan menenangkan jiwa disamping menyumbang kepada memakmurkan alam yang semakin tua ini.

Wednesday, November 09, 2011

Pohon


Kata orang bijak pandai kalau mahu berjaya mesti buat betul-betul, dapatkan ilmunya, keperluannya, pohon petunjuk dan kekuatan dari Allah S.W.T. dan lakukan tanpa tanggug-tangguh sementara semangat masih meluap-luap macam buih nasi yang sedang menggelegak. Tak kiralah apa bidang sekalipun mesti yakin dan istiqamah. Kalau dah berusaha bersungguh-sungguh jarang sekali gagal, kalaupun gagal sudah tentu kita telah melakukan kesilapan maka kegagalan itu sebagai peringatan supaya kita lebih berhati-hati. Sentiasa berusaha menambah pengetahuan dalam bidang yang diceburi itu agar kita tidak ketinggalan apatahlagi dizaman teknologi yang serba pantas dna ganas. Kejayaan tidak dapat dijana sendirian, kita mesi berkongsi melakukannya dengan orang lain terutamanya keluarga dan mereka yang disekeliling kita. Sentiasa hidup di kalangan mereka yang berfikiran positif dan berwawasan serta jauhilah mereka yang hanya pandai memperlekeh dan memandang rendah kepada usaha kita. Mereka yang sentiasa memberi peransang dan galakan itu umpamanya pohon rendang ditengah padang yang luas, bukan saja manusia dapat menumpang teduh malah flora dan fauna turut merasa nikmatnya.