Monday, December 12, 2005

Diambang 2006


Nampaknya di penghujung tahun ni jadual kehidupan agak sibuk dan tak dapat nak di elakkan lagi. Mana nak selesaikan sasaran tugas di pejabat, mana nak bereskan urusan di rumah dan mana nak pastikan keperluan diri tetap dilaksanakan. Sejak awal Disember ni tak habis habis ulang alik ke arah selatan tanahair, 2 kali mencari sebutharga tanaman hiasan di kebun bunga Sungai Buloh, 5 - 8hb laks kursus profesionalisma PPT di Air Keroh, semalam mesyuarat di Putrajaya, lusa lagi mesyuarat di tempat yang sama lepas tu Jumaatnya ke Sungai Buloh semula untuk mengambil rumput-rumput hiasan tu. 27-30hb lak Seminar R&D di Langkawi, sungguh memenatkan dan kekadang agak membosankan. Namun itulah hakikat menjadi pekerja maka kenalah buat apa yang diarahkan, suka tak suka mahu tak mahu itu sendiri punya masalah tiada yang nak ambil tahu.

Hari berlari minggu berjalan dan tetiba jek tahun 2006 tanpa disedari kita dah di ambang 2006, alangkah alangkah. Masih ada beberapa hari lagi untuk menyelesaikan perancangan dan tugasan yang masih tertangguh, masih belum terlambat selagi ada kemahuan dan usaha. Asalkan tidak berkira masa, asalkan sanggup berpenat lebih dari biasa dan asalkan tidak cepat berputus asa. Mudah-mudahan dapat membuka lembaran baru tahun 2006 dengan hati yang lapang dengan semangat yang lebih hangat dan usaha yang lebih gigih.

Sunday, November 27, 2005

Black Monday


Entah kenapa hari ni serba tak kena. Pagi tadi masa nak pergi minum baru perasan duit dalam purse cuma ada RM1.65 je jadi aku ajaklah ketua Kerani tu temankan aku ke bank dan cadangnye lepas tu aku nak belanja dia makan. Sampai kat Mesin ATM kat Kompleks membeli belah Greentown Mall tu, mesin tu laks "Out of service" jadi aku bergegas ke Maybank Greentown Ipoh tu tapi alangkah hampanya aku kerana semasa nak mengeluarkan Kad ATM baru aku sedar rupa-rupanya aku tertinggal beg duit atas meja. Nasib baik Ketua kerani tu pun keluarkan duitnya jadi penyudahnya dia yang belanja aku ish ish malunya.

Balik ke pejabat nak mula buat kerja aku tercari-cari kunci laci meja ermmm urut dada je le sebab kunci-kunci tu dah tertinggal kat rumahle pulak. Buka begtangan nak ambil gincu untuk touch up bibir ni nampak gaya gincu tu tak ikut aku gi kerja hari ni, jadiii kenalah sabau lagi.

Petang ni aku nak gi beriadah sat tapi malangnye lagi hari ni sebab aku dah tertinggal seluar senaman kat rumah. Agaknya inilah yang dinamakan Black monday atau Isnin yang hitam.

Apapun semuanya terjadi sebenarnya kerana aku terkocoh-kocoh dan kelamkabut masa nak ke pejabat tadi sebab dah terlewat bukan sebab terlewat bangun tapi sebab terlalai masa menyiram pokok bunga-bungaan tu, tau-tau je jam dah 7.40 pagi apa lagi tetiba je aku bertukar jadi lipas kudung yang merayap tak tentu hala.

Maka tak bolehlah aku menyalahkan hari Isnin ni melainkan menyalahkan diri sendiri le juga adanya serta beringat supaya berhati-hati dan merancang sesuatu kerja agar masa tidak terbuang begitu saja.

Monday, November 14, 2005


Diam tak diam dah 12 hari Syawal mendampingi kita, semoga Eidul Fitri ini adalah yang terbaik bagi kita. Mudah-mudahan kita sudahpun menunaikan Puasa Sunat Syawal atau Puasa Enam kata orang Melayu. Bagi yang perempuan kenalah qadha puasa yang terpaksa ditinggalkan masa Ramadhan lalu dan kalau rajin sambunglah Puasa Enam tu, apapun fadhilat Puasa Enam sebagaimana yang kita ketahui amatlah besar pahalanya.

Berdoalah kita agar dipanjangkan usia dan kita akan dapat bersua lagi dengan bulan Ramadhan tahun depan seterusnya bergembira dihari lebaran.

Diharapkan tiada antara kita yang dibebani dengan hutang hanya kerana hendak menyambut Syawal justeru dalam apa halpun kita sepatutnya melakukan mengikut kemampuan kita disamping sikap bersederhana yang amat dituntut dalam Islam.

Selamat bergembira dan menjadikan aktiviti ibadat membaca / bertadarus Al quran dan berpuasa sunat sebagai cara hidup kita sebab ajal kita entah hari ini, entah esok atau lusa.

Thursday, October 27, 2005

Selamat Menyambut Eidul Fitri


Walaupun kita jauh di mata
Bersahabat di maya tak pernah berjumpa
Namun kemesraan penuh bermakna
Tulus dan murni sepanjang masa

Kalau ada terkasar bahasa
atau pernah keterlaluan cara
ampun dan maaf juga dipinta
agar terhapus segala dosa

Ramadhan pergi meninggalkan barakah
Eidul Fitri datang membawa bahagia
Semoga kita diberkati Allah
Hidup sejahtera kejayaan berganda


Kak Lara

Wednesday, October 19, 2005

Inna Lillahi Wainna Ilaihi Rajiuun


Aku: Dr Ros, setau i le kalau dah diberi rawatan
Kemoterapi tu dah third stage kan

Dor Ros: Maksud u Datin Seri Hendon isteri PM ke

Aku: Yup

Dr ROs: Erm (Dia jawab selamba je)

Aku: Tapi rawatan kimoterapi yang diberi kat dia tu cara
rawatan terbaru kan

Dr Ros: Sama je cuma yang tu tak lah teruk kesan sampingan,
rambut tak gugur, tak sakit kepala tak muntah dan lelain
yang menyakitkan tapi badan jadi lemah, sistem immunisasi
badan merosot, ambil masa kalau nak kebahpun

Aku: Mudah-mudahan dia selamat

Itu adalah perbualan aku dengan Dr Ros Pegawai Perubatan di Pusat Rawatan Islan Ar Ridhwan semalam masa kami bertemu di majlis berbuka puasa semalam. Laporan akhbar yang kurang memberansangkan pada hari Ahad menjadi perhatianku.

Pagi ini pengisytiharan mengenai kematiannya berkumandang di radio, mungkin bukan berita yang mengejutkan tapi bukan itu yang kita harapkan.

Maka berakhirlah riwayat kehidupan seorang anak adam. Siapapun kita di dunia ini kita tidak akan dapat membawa harta, gelaran kebesaran dan mereka yang tersayang bersama melainkan 3 perkara:

Sedekah Jariah

Ilmu ajaran kita yang dimanfaatkan oleh yang masih hidup

Doa anak yang soleh /solehah yang sentiasa mendoakan ibubapanya


Itulah keadilan Allah S.W.T, maka nikmat tuhan yang manakah yang hendak kita dustakan.

Justeru itu untuk apa bersikap sombong dan ego taksub kepada kedudukan, kekayaan dan kuasa yang dipinjamkan Allah. Perlukan memandang rendah dan menganggap remeh keujudan orang lain hanya kerana mereka bukan siapa-siapa sedangkan di sisi Allah hanya ketinggian amal ibadah yang memisahkan kita.

Semoga kita terpelihara dari sifat-sifat Mazmumah itu dan selama hidup kita akan memberi guna kepada manusia lain adanya.

Al Fatihah buat Datin Seri Hendon
yang telah meninggalkan Alam Dunia, kini di Alam Bardzah bakal berangkat ke Alam Kubur sebelum dibangkitkan bersama kita nanti di Alam Akhirat. Berbahagialah bagi mereka yang masih di Alam Rahim.
Amin Aimin Ya Rabbal A'lamin

Monday, October 17, 2005

Cinta


Siapa pernah jatuh cinta
pada pandangan yang pertama
apakah memang sama
dengan ku punya cinta
yang kini ku alami sendiri ooo

Ingin aku bertanya-tanya
siapa pernah jatuh cinta
makan minum tak sudi
tidurpun apa lagi
suka dan duka silih berganti

masapun terlalu cepat berganti lagi
tak terasa tanbah umurku kini
siang malam kau selalu ku nanti nanti
rindu ku rasa tak tertahan lagi

Lirik lagu Indonesia

Thursday, October 13, 2005

Perempuan itu



PEREMPUAN itu

mudah tergoda
mudah percaya
mudah terima

PEREMPUAN tu

kasih nya luhur
cinta nya sejati
sayang nya murni
rindu nya abadi

PEREMPUAN itu

menganyam mimpi
menaruh harapan
menagih janji

PEREMPUAN itu

hatinya luka
dirinya ternoda
hidup nya musnah

PEREMPUAN itu

menyesali diri
menangis sendiri

hanya kerana ...
seorang LELAKI
yang durjana

Monday, October 10, 2005

Kisah Benar



Disuatu petang yang menyesakkan dalam perjalananku ke Puduraya untuk balik ke rumah

"Assalamualaikum cik adik" seorang jejaka yang memang tampan, berkulit cerah, tegap dan kemas menegurku dengan ramah.

"Waalaikumussalam' jawabku selamba

"Dik abang tengah kesusahan ni boleh tolong tak, sebenarnya tadik masa abang sedang sembahyang di masjid negara tetiba beg duit abang iambil orang, abang dah buat repot kat Balai Polis Jalan Bandar tu. Dia orang nasihatkan juga minta tolong dengan perempuan bertudung untuk dapatkan bantuan wang, abang nak balik ke Muar ni, ni ha gambo isteri dan anak-anak, tak banyak dik dalam RM20.00 cukuplah, nanti sampai Muar abang bayar balik duit tu" lancar sekali cik abang ni bercakap namun dari riak wajahnya aku tak nampak lansung kerut keresahan dan dukacita di matanya.

"Erm minta maaflah bang sebab adik tak bawa duit banyak, ni ha mak bagi RM2.00 je cukup-cukup untuk tambang balik ke Langat, sorry ye bang, abang minta kat orang lainlah" entah dari mana aku mendapat idea itu, entah kenapa juga aku lansung tak percaya dengan cakap cik abang tu sedangkan sebelum tu aku ni sangat mudah lembut hati bila dengar kesusahan orang.

"La tolonglah dik tak dapat RM20.00 RM10.00 pun bolehlah takkan adik tak ada banyak tu, nanti abang bayar balik, ni ha alamat abang, tolonglah dik" cik abang tu mengekori aku dan keep in merayu berkali kali.

"Saya dah bagitau kan tadi memang tak ada duit sebanyak tu, maaflah, abang minta tolongle kat orang lain ye, minta maaflah bebanyak" aku menjawab sambil melarikan diri dicelah celah kumpulan manusia yang ramai tu.

Esoknya aku ceritakan perkara itu kepada rakan-rakan di pejabat dan hendak dijadikan cerita rupa-rupanya rakan sebilik salah seorang rakan sekerjaku pernah kena tipu seorang pemuda yang menggunakan skrip yang sama.

Fuuuh, aku bersyukur kerana terselamat dari menjadi mangsa mamat tu dan sekaligus merasa lega kerana kalaulah benar dia dalam kesusahan dan memerlukan pertolongan tentu aku dah terlepas dari membuat kebajikan.

Inilah Kuala Lumpur juga kota kota besar yang lain, selagi ada kemahuan di situ ada jalan, manusia selain menggunakan tulang empat kerat untuk mencari nafkah, ramai juga yang menggunakan kecerdasan akal fikiran yang dipinjamkan oleh Ilahi untuk menipu manusia lain dan mendapat wang dengan begitu mudah.

Selagi kita bersedia untuk ditipu maka episod tadi akan sentiasa berlegar di lorong lorong kehidupan ini. Jadi berhati-hatilah bukan saja di jalanraya tapi juga dijalan-jalan kehidupan ini.

Tapikan, cuba teka kenapa aku tidak terpedaya dengan tipu helah mamat encem yg tak senonoh tu?

Wednesday, October 05, 2005

Marhaban Ya Ramadhan

Alhamdulillah kerana usia kita dipanjangkan lagi untuk menjalani ibadah puasa tahun ini, tak perlulah nak dipertikaikan kebaikan berpuasa sebab telah kita ketahui sejak di zaman persekolahan. Kepada yang sedang berpuasa Sabrun Kabir, Sabrun Kabir (bebanyaklah bersabar)sabar kerana kena bangun awal untuk bersahur. Sabarlah ketika menjalankan tugas di mana jua, maklumlah di awal bulan Ramadhan ini diri masih dalam tempuh penyuaian, nanti dah masuk minggu kedua berlaripun kita boleh.

Sabarlah ketika membeli juadah di Bazar Ramadhan petang nanti, belilah apa yang patut dan baik untuk tubuh, makanan halal, berkasiat, banyak serat, bersih dan rendah kalori serta kurang kolestrol adalah yang terbaik. jangan ikut nafsu mata nanti membazir. Sebaik-baiknya sejenis dua lauk atau kuih dimasak sendiri agar terjaminkualitinya.

Sabarlah ketika mengerjakan Sembahyang Tarawih lantaran imam yang amat tertib dan panjang berjela bacaan surahnya. Lagipun Ramadahan sebulan sahaja sekali setahun, kalau tak sanggup malam esok kita beralih masjid atau surau asalkan jangan diabai sembahyang Tarawih.

Kalau bolih bulan initak perlu nonton rancangan TV dan Astro yang menggoda tu sebab esok nak bangun awal untuk sembahyang sunat, sembahyang Subuh dan mengaji quran sebelum ke tempat kerja.
Bukan selalupun sebulan setahun kalau setiap hari tentulah lebih baik. Sabarlah ye

sabarlah ye sebab bulan Ramadhan ni bulan yang tebaik untuk mengasah bakat sebagai Jaguh Penyabar.

Thursday, September 29, 2005

Sabar

Sabar? Anda seorang yang penyabar atau panas baran? Siapa nak mengaku dia panas baran, semua orang dengan senyum simpul mengkarung akan perasan dirinya penyabar tahap wahid. Nak tahu sabar atau tidaknya kita, tunggulah waktu dah terlambat bangun tidur sebab semalam sibuk merayakan sesuatu atau baca buku cerita yang best giler atau menonton tv ke, wayang ke atau cd cerita box office, amacam? Dahlah mandi ala-ala P.Ramlee tu, pakai je apa yang tercapai tangan. Kalau gi kerja ngan kenderaan sendiri ada gak leganya tapi kalau dengan bas top top bas dah lepas, kenalah tahan teksi, sabar je le. Tapi kalau pandu kereta sendiri lagi haru, dahlah kita terlambat, kereta kat depan lak lembab macam kekura dah tu bawak sebelah kanan jalan, dia buat derk je, penyudahnya merungut sendirian. Kalau anda tak sabar dah tentu hon ditekan sekuat hati sambil jeling ke dia dengan muka macam kartun naga yang berapi tu. Kalau anda seorang yang penyabar maka berdoalah agar tuhan lambatkan perjalanan masa sehingga anda selamat sampai ke pejabat sambil baca doa permudahkan urusan tu. Kalau tak sabar tentulah anda pandu kereta macam anda sorang yang bayar Cukai Jalan, laju sampai pelumba kereta formula one pun kecut perut, semuanya gara-gara takut Kad Perakam Waktu berwarna merah.

Macamana? kesabaran anda dah teruji ke? Fikirkan dan kenalilah tahap kesabaran anda.

Aku pernah hilang sabar tahap mendidih bila video senamrobik yang dibeli tetau rakan serumah dah rakam drama Cina tapi apa nak kata sabar je le. Dia lak buat muka terkejut kodok le pulak. Apa lagi rasa nak pindah rumah jam jam tu jugak nasib hari dah malam. Esok tu bila hati dah sejuk aku mintak dia ganti je yang baru. Ikut hati mau je bagik dia seliang semalam tu.

Sabar, sabar, sabar je le, lebih mudah mengucapkannya dari mempraktikkannya. Apapun sabar itu saparuh dari iman, hanya dengan iman jiwa dapat dilatih agar bersabar dan redha, tak gitu?

Anda ada pengalaman hilang sabar tahap mendidih, meh le kongsi cerita untuk jadi teladan dan sempadan.

Friday, September 16, 2005

Pohon kasih sayang


Semenjak balik dari menghadiri Kursus Perancangan dan Rekabentuk Senitaman bulan sudah, aku sedari rupanya bukan mudah untuk mendapatkan sepohon pokok yang sihat dan berbunga / berbuah lebat, selain dari persediaan yang cukup diperingkat awal penanaman hinggalah kepada penyelenggaraan yang berkala dan sistematik , membaja, merumput, meracun perlu dititikberatkan bukan sekadar menyiram air sesaja.

Bila direnungkan kembali ia tidak ubahnya perhubungan dua insan, ikatan dua hati yang dimateri lewat pernikahan tidak terhenti pada saat itu sahaja. Kedua pihak mesti saling berusaha untuk memperkukuhkan hubungan, berusaha membina benting yang kebal agar dugaan apapun yang melanda bisa ditepis, membuang jauh-jauh prasangka dan sentiasa mengelakkan diri dari terperangkap oleh pesona dan gamitan cinta kedua. Kebahagiaan itu tidak datang bergolek, ia mesti dicari dan dipupuk saban ketika. Jangan menuntut sesuatu yang terbaik darinya kalau kita tidak pernah memberi apa-apa.

Mungkin dia boleh mendapat yang lebih cantik, tampan, berkedudukan dan muda dari kita, tapi pastikanlah bahawa dia tidak mungkin menemui seorang lagi yang sehebat kita dalam mendampingi dia menjalani khidupan. Kita mungkin bukan yang terbaik tapi berusahalah menjadi yang terbaik.

Minggu depan Isnin hingga Sabtu aku di MARDI, Serdang mengikuti kursus Pengurusan Landskap dan Simenfero Lanjutan, so kenkawang buatlah blog ni macam blog sendiri ye jangan segan-segan. Jumpa lagi

Wednesday, September 14, 2005

Payung Emas


Petang tu dalam perjalanan balik dari Johor Bahru ke Ipoh di KLIA aku duduk disebelah seorang kakak, sementara menunggu kapalterbang sampai kami sempat bersembang sumbang:

Aku: Assalamualaikum (sambil bersalaman dan terus duduk
disebelahnya)
Kakak tu: Waalaikumussalam, dari mana ni nak balik Ipoh jugak ke?
(Nampaknya dia ni over d peramah le pulak)
Aku: Ye, saya dari Johor Bahru ada kerja kat sana, sorang je,
akak sorang jugak ke ni
Kakak tu: Erm sorang jugak, ade laki pun tak guna, hidup
sorang lagik bagus tak sakit hati tak pening kepala
(Alahai akak tu dah bukak story dia le pulak, aku tanye
sejengkal dia jawab bermeter-meter, aku renung wajah dia
dengan penuh tanda tanya)
Adik nak tau adeke patut dia nikah senyap-senyap ngan
budak pompuan Indon yang kerja kat kedai makan kami tu,
budak tu pun tak sedar dia, akak yg pungut dia masa dia
merempat top-top dia kebas laki akak, akak lansung tak
sangka laki akak sanggup buat macam tu. (kakak tu terus
mengomel tanpa dapat aku mencelah dan memang aku lebih
suka mendengar saja)
Aku: Sekarang ni mana suami akak tu (Aku bertanya dan
simpati mula bertapak di hati)
kakak tu: Kami dah cerai dah dekat setahun, pasal apa lak akak
nak bodohkan diri makan hati, lagipun kedai tu akak yg
punya, akak dah jualkan, anak-anak pun dah beso
panjang, sekarang akak meniaga kain kongsi ngan kawan
kat Kuantan (kakak tu terus bercerita tanpa diminta)

Engko kalau dah kawin jangan harus percaya habis kat
laki ko tu, orangg lelaki ni tak pernah nye nak
bersyukur dengan satu isteri, makan minum kita bagi pun
masih nak menggatal tak sedar diri (kakak tu menyambung
dengan nada marah dan meluat dan aku terkulat-kulat
sambil mengiakannya)

Perbualan terhenti di situ bila panggilan untuk menaiki kapalterbang bergema diudara, kami bersalaman lagi dan berpisah.

Ini adalah peristiwa benar yang aku alami, lihatlah betapa tekanan jiwa menyebabkan kakat tu melakukan sesuatu tanpa sedar iaitu memberitahu siapa saja yang dia temui demi meluahkan gejolak di hatinya. Dari kejauhan aku dapat merasakan kesedihan dan kedukaan yang ditanggungnya walaupun dia nampak ceria akan tetapi butir bicaranya memberitahu yang dia tak ok. Hatinya amat terluka dan terkilan.

Pada sahabat yang bernama lelaki dan bergelar suami, ambillah iktibar, jadilah suami yang terbaik, isteri anda mungkin bukan yang terbaik namun andalah yang bertanggungjawab mencorakkannya mengikut kehendak anda berlandaskan kepada hukum islam yang sempurna. Jadilah payung emas kepada isteri di dunia ini bukan sibuk nak mencarikan payung emas untuk mereka di akhirat. Cinta terlarang memanglah mengasyikkan tapi risikonya bukan saja kepada kehidupan sendiri tapi anak-anak dan isteri. Macam mencabut paku di papan, walaubagaimana anda cuba memperbaiki papan itu semula namun ia tak akan kembali seperti asal untuk selamanya.

Thursday, September 08, 2005

LOVE


Love !

is like a piece of glass
if u hold it too tight
it will break in your hand

If u hold it too loose
it will fall down
and break it's self

Only few know it
how to hold it right
and they are the one
who succeed


p/s terjumpa sajak ni dalam perjalanan di laman webs

Monday, September 05, 2005

Kemerdekaan


Sambutan sempena ulangtahun kemerdekaan tanahair kita yang tercinta telah berlalu, 31 ogos 2005 tarikh genap 48 tahun bumi bertuah ini bebas dari cengkaman penjajahan British. Bertuah sebab bumi ini jauh dari rantaian gunung berapi, tidak terdedah dari dilanda taufan yang menggila kecuali sedikit tempias Tsunami di utara sana dan bertuah kerana tidak terlibat dalam mana-mana kancah peperangan. Bersyukurlah setiap masa kerana kelebihan yang diberikan Allah itu.

Apapun semakin meningkat usia kedewasaan negara ini nampaknya semakin banyak masalah sosial yang timbul, kejayaan pencapaian remaja dalam pelajaran nampaknya setanding dengan kejatuhan moral yang melimpahruah, memeningkan kepala banyak pihak. Tak terkecuali juga kematangan dalam politik yang memperlihatkan pertandingan yang benar-benar mencabar dan berani dalam usaha menjatuhkan lawan, tak kiralah, UMNOke MCAke, MICke malah parti lawan. Semakin berpendidikan dan pintar ahli maka semakin bertambah masalah dan konflit justeru masing masing telah sedar akan hak dan peluang.

Mencapai kemerdekaan adalah lebih mudah dari mengisi erti kemerdekaan itu sendiri. Dan nampaknya lagi, kita semakin jauh dari akar umbi dan lebih menghargai apa yang menjadi milik dan identiti bangsa yang satu ketika dulu amat dibenci oleh datuk nenek kita. Lalu udah merdekakah kita dari belenggu penjajahan atau sememangnya kita sendiri yang memberi laluan kepada mereka untuk terus menjajah minda kita.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini rakyat dikerah untuk mengibarkan bendera sempena menyambut ualangtahun kemerdekaan dan seperti tahun-tahun dulu juga kita diseru, dipujuk, dirayu malah diberi bendera percuma semata-mata untuk melihat bendera yang cantik lawa tu berkibar megah di kereta kita. Anihnya semakin disuruh dan dileteri semakin degille pulak kita, apakah yang terirat disebalik kedegilan itu kita sendiri saja yang tahu, yang jelas mengibarkan bendera adalah antara cara memeriahkan sambutan bulan kemerdekaan. Manusia ini memang tabiat dah semula jadi pantang dipaksa atau disuruh sarah, tahun depan lebih baik katakan saja "jangan kibar bendera tu, buang duit je, nyemak je dan buat apa nak susah-susah ngotorkan kereta yang cantik" amacam setuju tak?. Apapaun seperti diperkatakan di atas tadi bahawa seiring dengan kedewasaan negara ini dan rakyatnya yang semakin berpelajaran dan matang maka sudah tentu kita tahu apa yang perlu dan tidak perlu diperbuat. Mana ada rakyat yang tak sayangkan negara Malaysia yang hebat Cemerlang, Gemilang dan Terbilang ni.
Apa yang cemerlang apa yang gemilang dan apa yang terbilang carilah sendiri! Tidak mengibarkan bendera tidaklah bererti kita tidak menghargai kemerdekaan negara ini tapi alangkah berertinya jika kita macam satu ketika dulu berlumba-lumba memasang bendera di kereta dan di premis memasing tanpa disuruh tanpa dikerah, ia lahir dari keikhlasan hati dan kerelaan yang murni. Kemanakah perginya semangat itu? maka persoalannya di sini, semangat itulah yang mesti ditiupkan kembali, semangat itulah yang mesti dihidupkan semula...

noorlara : Masih simpan bendera free yang dapat masa kerja
kat MITI dulu

Sunday, August 28, 2005

Rahsia Cinta


Maka
runtuhlah tembok itu
lewat bicara

Lalu terbungkarlah
rahsia cinta
yang lama terpendam
membara diminda
membakar dijiwa

Berabad lamanya
menjeruk rasa
bergelung bagai ombak
resah dan gelora
menghempas pantai rindu
ragu dan malu

Wednesday, August 24, 2005

Cinta Tak Kenal Siapa


Beberapa hari lalu ada tersiar berita pernikahan seorang lelaki berumur 27tahun dengan janda yang telah bercucu pada usia 47 tahun. Apapaun wanita itu nampak lebih muda dari usianya. Rata-rata kritikan terdengar di sana sini. Kekadang tu akupun hairan sebab kita bukannya bersama mendoakan agar rumahtangga mereka bahagia dan kekal tetapi sebaliknya seakan-akan mahu melihatmye segera roboh.

Tidak lama sebelum itu heboh diperkatakan seorang suami disimbah asid oleh isteri yang juga jauh lebih tua darinye akibat dari berterus terang untuk bernikah lagi.

Kekadang tu hairanle pula bila lelaki tua menikahi remaja perempuan yang berpuluh puluh tahun muda darinya kita taklah kisah sangat, walaupun ada juga kritikan negatif namun tidaklah sehebat mana.

Justeru kita lupa bahawa cinta tak pernah kenal siapa, dia datang tanpa diundang, tanpa dirancang dan tanpa dapat ditepis. Bila dilamun cinta yang tua lupa akan hakikat sebenar dirinya, baik lelaki mahupun perempuan. Cinta anugerah dari Allah S.W.T. Cumanya alangkah tragisnya bila cinta kita turut membuat insan lain terluka.

noorlara - Sekali jatuh cinta tak mungkin ada kedua kali

Monday, August 15, 2005

Mencari Cinta


Entah macamana tertengoklak rancangan realiti stesen tv mengenai beberapa orang pemuda yang beradu nasib untuk menjadi pilihan seorang gadis manis adanya. Rupa-rupanya itulah rancangan Mencari Cinta yang sedang hangat diperkatakan kini, apapun tulisan ni taklah bertujuan untuk mengulas mengenai rancangan tu. Namun
ada satu segmen yang menarik hati ni ialah bila mana abang ipar sigadis membuat lawatan mengejut untuk mengejutkan pemuda-pemuda yang terkezut al kodok pepagi subuh gajah tu. Maka ketiga-tiga abang ipar itu lagile terkezut al badak kerana pemuda-pemuda tu tidak bangun tidur lagik kecuali seorang walaupun jam dah 7.00 pagi. Ertinya mereka tidak atau tertidur atau terlupa atau memang begitulah kebiasaannya tidak sembahyang subuh. (Sembahyang lain tak tahulah pulak)

Persoalannya di sini, pemuda-pemuda itu mewakili entah berapa ramai lagi umat islam tak kiralah pemuda, pemudi, makcik, pakcik datuk dan nenek yang tidak mengambil berat tang bab sembahyang. Justeru penatlah tok-tok guru agama nak terkeluar tekak memberitahu perkara yang sama berulangkali bahawa sembahyang itu tiang agama samada di kelas-kelas, diradio dan tv malangnya makin ramai yang tak peduli jangankan kata tiang ditakuti tapaknya pun belum tentu ada.

Lantaran itu apakah daya kita untuk menangani semua ini, tak adil nak harapkan pihak lain, cikgu, masyarakat atau kerajaan. Kekuatan sebuah negara bermula di setiap rumah, maknanya kewajipan kitalah untuk mempastikan anak-anak dan keluarga menjadikan ibadat sembahyang amat penting lebih penting dari makan dan minum, setelah di ajar cara sembahyang maka sudah menjadi tanggungjawab juga untuk mengingatkan mereka sembahyang walaupun terpaksa bertanya puluhan kali sehari sebabnya bak kata Cik Det dulu Melayu mudah lupa, lupa diri tu islam, bila islam mesti sembahyang kalau tak mahu sembahyang kenelah tanya diri sendiri "aku ni islam ke apa ke?".

Kalau dedulu bila sebab Melayu sinonim ngan islamnya sekarang ni kalau Melayupun belum tentu islam. Ni tak sebut lagi bab murtad di kalangan umat Islam.
Kita ni kekadang berebut-rebut mencari cinta di dunia sedangkan cinta Allah S.W.T yang telah terbukti sejak azali seringkali kita lupa untuk mensyukuri malahan ada yang kufur nikmatNYA. Berdaoalah agar kita sentiasa terpelihara dari pesona dunia yang mengasyikkan ini.

noorlara - Udahke mendoakan ibubapa kita hari ni pada yang masih hidup apalagi yang telah meninggal dunia

Wednesday, August 10, 2005

Lepaskan aku...


Lepaskan aku
dari masa silammu
kerana semalam sudah berlalu

Lepaskan aku
dari mimpi-mimpimu
kerana realiti adalah jitu

Lepaskan aku
dari rasa cintamu
kerana takdir telah begitu

Lepaskan aku
dari tugu harapanmu
kerana kita
tak mungkin bersatu

Kembalilah
kembalilah
pada dia yg menunggu

Monday, August 08, 2005

Perjalanan


Awal pagi Ahad lalu aku dah memulakan perjalanan memandu ke Terengganu untuk menghadiri Kursus Perancangan dan Pengurusan Landscap. Dari Ipoh aku membelah lebuhraya Utara Selatan tembus ke Bukit Beruntung untuk ke Batangkali seterusnya ke Genting Hinglands turun dan memasuki Lebuhraya Karak. Lepas tu terus meredah Lebuhraya Pantai Timur yang baru tu, masyaallah punyalah hebat permandangan di kiri kanan jalan, bukit bukau, hutan dan belukar menghijau sejuk mata memandang. Kenderaanpun kurang namun dek takutkan ditahan pak polisi maka akupun memandu dengan penuh kesopanan dan kesusilaan adanya.

Sendirian memandu dan perjalanan yang terasa amat jauh tu, hati sesekali merasa sayu dan terasa sepi. Pemandangan yang luas melaut adakalanya membuat hati takut. Bertanya-tanya kepada diri betulkah keputusan yang ku ambil ini pergi seorang ke destinasi yang asing jauh dan terpinggir di tengah belantara Terengganu, Pusat Latihan Veterinar, Cermin kiri, Bukit Besi Terengganu. Dengan doa yang bertali arus dan kekuatan diri akhirnya aku selamat sampai, menghadiri kursus dan kembali kepangkuan keluarga.

Anihnya aku tidak merasa serik untuk berpergian seorang sendiri lagi, justeru yang sukar dan mencabar itu seringkali menguji keutuhan peribadi dan menyerlahkan jatidiri sebenar. Kekadang kita perlukan masa hanya untuk diri sendirian merentasi benua hidup yang penuh mistri ini. Namun aku tidak menafikan peranan mereka yang tersayang yang telah memberi semangat, dorongan dan bantuan selama dalam kembara nan sarat dengan onak duri, tangis tawa, suka duka, cinta dan dusta.

Monday, July 25, 2005

Setinggi-tinggi Terbang Bangau


Sehari dua ini aku sering terjerempak dengan kawanan bangau dengan sekumpulan kerbau. Kawanan bangau yang putih melepak tu kelihatannya mengekori dan mengganggu kerbau-kerbau yang sedang asyik meragut rumput di tengah bendang. Lebih menghairankan lagi kerbau-kerbau tersebut tidak pula menyepak atau menentang bangau-bangau itu. Sang bangau menemani sang kerbau dengan sabar, sesekali terbang ke sana sini dan kembali semula. Betullah pepatah rangtua bahwa setinggi-tinggi terbang bangau akhirnya pulang ke belakang kerbau juga akhirnya. Bangau dan kerbau, antara mereka terjalin hubungan yang amat akrab. Di mana ada kerbau di situ pasti ada bangau. Dan sawah bendang adalah dunia mereka yang amat indah.

Bangau-bangau itu lazimnya memagut kutu dan parasit yang bermastautin di badan kerbau dan berpuashati dengan cara begitu. Patutlah sehingga ke hari ini kita masih bertanya dan melagukan "bangau oh bangau kenapa engkau kurus". Rumput panjang kerbau yang baham, tapi bila rumput tu dah pendek kenapa bangau tak mencari ikan atau udang di dasar paya tersebut.

Bangau adalah perlambangan segelintir kita yang malas berusaha dan tidak nampak potensi diri.

Thursday, July 21, 2005

Lelaki itu...


Lelaki itu...
sesuatu di matanya menyatakan kepadaku
harapan adalah bintang yang tinggi
tak mungkin tergapai tangan

Lelaki itu...
masih dikejar mimpi silam
terperangkap dalam kenangan
terdera oleh perasaan

Lelaki itu...
dalam kekeliruan
resah dan rawan
tak ketentuan

Lelaki itu..
telah ku tinggalkan
telah ku lupakan
kerana dia
bukan lelaki pilihan

Wednesday, July 20, 2005

Sekeras-keras kerak nasi....


Dedulu aku marah le juga bila ada kaum Adam yang mempermainkan kami kaum Hawa kununnya kami ni taklah setabah dan setegas mereka. Kena pujuk, kena ugut dan kena provok habis berderai, mengalah dan menangis.

Namun sejak melihat Datuk Seri Rafidah Aziz menangis kesedihan sesangat hari tu dalam tv, aku kenalah menerima kenyataan tu dengan berat hati. Ye le kita semua tahu Rafidah Aziz adalah lambang kehebatan wanita Malaysia juga terkenal dengan jolokan "Iron Lady", aku tahulah sebab pernah kerja di bawah naungan dia, sikap ketegasan dan berani sukar ditandingi. Tapi hari tu dia benar-benar menjadi seorang wanita...., hati dia amat terluka....

Apapun sebagai manusia mana bisa kita lari dari sifat yang dibekalkan sejak lahir. Kita ni sekuat manapun mesti ada kelemahannya dan sebaik manapun mesti ada nakal / jahatnya. Justeru kita adalah manusia, kejadian paling indah, unik dan terbaik pernah dicipta oleh Allah S.W.T di alam ini.

noorlara: Tingat masa kekecik makan kerak nasi ngan air panas campur gula, seeeedaaap - cubalah

Monday, July 18, 2005

Perjalanan ini




Perjalanan ini
atas bara merah dan duri ranjau
yang dulu
selalu ku ragukan
destinasinya

Namun...
akukan terus melangkah
biar luka mendarah
biar peluh membasah
kerana ku yakini
janjimu pasti

posted by noorlara at 1:07 AM July 19

Friday, July 15, 2005

Di mana ada kemahuan ....



Benarlah kata orang tetua "Manakan dapat sagunya kalau tidak dipecahkan ruyung:. Semalam aku benar-benar mengerah otak dan keringat untuk memperbaiki setting blogs ku ini, cemburu le juga bila lihat blog adik,kakak dan abang bermacam-macam rupa dan ragam, naik geram dan seram pun ada.

Alhamdulillah setelah menemui berpuluh-puluh kesilapan dan membuat pembetulan tanpa rasa jemu maka dapatlah aku menambah "links" dan "counter" dalam blog ini walaupun masih amat minima tapi sekurang-kurangnya dah ada peningkatan.

Dan betullah sekali lagi kata orang tetua bahawa dimana ada kemahuan di situ sentiasa ada jalan. Betulle jugak pendapat ahli sains dan cerdikpandai bahawa kebanyakan kita hanya menggunakan sedikit saja dari keupayaan dan potensi otak. Kita masih malas untuk mengerah otak untuk melakar dan mencipta sesuatu yang hebat.

Wednesday, July 13, 2005

Kitakah itu


Kitakah itu
yang tersesat
dibelantara kenangan
dihanyutkan arus rindu
di sungai lara

Kitakah itu
yang memegang obor cinta
nan kian malap
lalu teraba-raba
menjejak jalan pulang
ke mahligai percintaan
yang usang

Kitakah itu
yang terperangkap
oleh mimpi indah
mengayam harapan
yang sirna

23052002 khamis

Tuesday, July 12, 2005

Lorong Sepi


Di lorong sepi itu
kita sendirian mencari cari
sesuatu yang hilang
lewat perpisahan
yang tak dirancang

Di lorong sepi itu
kita ketemukan
erti sebuah cinta
lewat pertemuan yang
yang tak diundang

noorlara

Wednesday, June 15, 2005

Erti Sebuah Kekecewaan

Hari ini keputusan untuk ke IPTA bagi lulusan SPM dan semasa dengannya keluar, dari pagi tadi nampak kekawan yg anak baru lepas SPM sibuk melayari laman webs kementerian Pendidikan.

Sorang ni susah hati sebab anak kembar perempuan dia terpaksa berpisah justeru si adik je dapat tawaran ke Uitm, wajahnye sekejap cerah sekejap sugul, ada riak kekecewaan di sudut hatinya

Sana tu seorang ayah mengeluh anaknya tak dapat tawaran kemana-mana lagi sejak kuar result SPM, resahnya bertali arus, kekecewaan tak dapat disembunyikan.

Bila balik nanti mereka akan melihat kekecewaan yang berlipat ganda di wajah anak-anak pulak.

Namun hakikat harus diterima, keputusan adalah berlandaskan apa yg telah diusahakan oleh anak-anak tersebut, belum ada pelajar yg malas belajar mendapat keputusan yg cemerlang begitu juga sebaliknya. Kekecewaan selepas kegagalan atas tindakan sendiri sesuatu yg harus dicegah bukan ditangisi bila dah terjadi.

Apapun janganlah lupa bahawa apa yg kita fikirkan terbaik untuk kita sebenarnya adalah sebaliknya, hanya Allah S.W.T saja yang mengetahuinya. Itulah ujian dan cabaran yg mesti ditempuhi dan disambut dengan tekad dan usaha yg lebih gigih

Pada yg kecewa, jgnlah bersedih jgnlah berdukacita sebab Allah sentiasa bersama kita. Sekali gagal tak bermakna selamanya kecewa. Kita seharusnya menjadi lebih matang dan kuat dari kekecewaan masa lampau

Monday, May 30, 2005

Terima Kasih PM

Semalam PM telah memberi persetujuan supaya anggota Perkhidmatan Awam diberi Elaun Sara Hidup dan bekerja 5 hari seminggu sahaja dengan masa tambahan setengah jam setiap hari, kenalah ucap terima kasih kepada beliau lantaran akhirnya dia setuju juga dengan cadangan CEUPACS tu.

Elaun Sara Hidup atau C.O.L.A tu memanglah wajar terutama kita yang bertugas di bandar-bandar besar, semuanya duit malah bergerak sejengkalpun duit. Apapun janganlah terkejut dengan mendapatnya kemudahan elaun tu nanti harga barang keperluan akan naik dengan tanpa segan silunya. Bersedialah untuk membelanjakan elaun yang diterima nanti. Apa-apapun syukur Alhamdulillah.

Kerja 5 hari seminggu memang lumayan justeru kekadang tu hari Sabtu kita jarang dapat bekerja dengan tekun, selain dari masa yang singkat dan aktiviti sampingan sesetengah jabatan, kerja hari Sabtu sebenarnya membuka ruang kepada setengah dari yang setengah anggota kerajaan datang hanya untuk bersembang keluar minum dan asyik tengok jam bila nak balik.

Bagi anggota wanita dapatlah lebih masa untuk mengemas rumah dan melayan keluarga pada Sabtunya sementara esok hari ahad barulah dapat berehat dengan puas dan bersedia ke tempat kerja pada pagi Isnin dengan bersemangat. Bagi yang berwang (bukan beruang) sudah tentu berita ini adalah bonus sebab tak perlu pohon cuti lagi untuk keluar melancong dalam negeri. Mudah-mudahan cuti Sabtu juga akan memberi peluang kepada anak-anak di perantauan untuk menjemguk ibu bapa di kampung dengan lebih kerap lagi sebab dah tiada alasan untuk berkata tak ada masa dan cuti dah habis.

Dengar je rungutan member kaki golf sebab balik jam 5 petang peluang main golf waktu petang dah terjejas

Thursday, May 12, 2005

Persaraan

Semalam aku bersama Majikan dan warga kerja yang lain meraihkan persaraan seorang kakitangan.
Lazimnya khalayak menganggap bahawa persaraan merupakan titik noktah dalam kehidupan seseorang yang bekerja, sebenarnya bagi aku memasuki alam persaraan bermakna melangkah ke alam baru yang amat asing dan kehidupan baru bermula.

Apapun alam persaraan sepatutnya lebih memenangkan fikiran dan santai justeru tidak payah bergegas ke pejabat untuk mengetik Kad Perakan Waktu dan membuat kerja harian atas arahan pegawai atasan.
Bersyukurlah jika kita dapat menginjak ke usia persaraan dan menggunakan masa tersebut untuk tujuan memperhebatkan dan mempertingkatkan amalan agama dan terus memberi sumbangan kepada masyarakat supaya hari hari bergelar warga emas dilalui dengan ceria dan yakin tanpa rasa kesunyian dan terpinggir.

Siapapun kita, berapapun usia kita selagi masih memberi manfaat kepada keluarga dan masyarakat sekeliling, kita sebenarnya tidak pernah bersara.


khabarnya usia bersara akan dilanjutkan ke 58 tahun, ish ish ish

Monday, May 09, 2005

Selamat Hari Ibu


Anakda semua,

Nampaknya minggu ini sibuk dengan sambutan hari ibu, seperti kebanyakan ibu-ibu lain di zaman ini akupun pun tidak terlepas dari menerima Kad Ucapan yang cantik penuh madah, janji dan pernyataan kasihsayang dari anak-anak aku tu, harap-harap apa yang tertulis dalam kad-kad tersebut adalah lahir dari hati anak-anak yang ikhlas dan bersungguh-sungguh bukan sekadar untuk mewarnai dan memeriahkan sambutan Hari Ibu sahaja.

Kasihsayang seorang ibu sentiasa mengalir tanpa henti macam air di kali, sentiasa hangat membakar bak mentari. Semoga kasihsayang dan ingatan anak-anak kepada ibu tidak cuma setahun sekali tetapi setiap denyutan nadi sehingga ke akhir hayat.

Berbaktilah kepada ibu sementara dia masih hidup walau hanya dengan menyediakan secawan milo namun itu sudah cukup untuk membuat ibu merasa amat terharu dan bersyukur. Bayangkan tiba-tiba esok kita ibu telah tiada, meninggalkan kita untuk selama-lamanya. Maka tiada siapa yang akan dapat menggantikan peranan seorang ibu.


Terasa betapa hebat pengorbanan dan kasihsayang ibu sebaik saja melahirkan anak pertama

Thursday, May 05, 2005

Cecair Vitamin C

Sebelum ini bonda perkatakan mengenai suntikan kecantikan berupa Botox, cecair Vitamin C dan sebagainya. 2 hari sudah bonda terbaca kenyataan di akhbar betapa kerajaan nmelalui bahagian Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia sendiripun belum meluluskan import cecair vitamin C yang sekarang sedang hangat diperkatakan.

Kerajaan merasa perlu untuk membuat kajian dan pengesahan bahawa penggunaannya adalah selamat tanpa sebarang risiko. Katanya lagi ditakuti cecair Vitamin C itu bercampur dengan raksa yang dalam jangka panjang boleh mempertingkatkan risiko mendapat penyakit kanser, jadi kenalah kita fikirkan perkara ini, bagi yang telah mencubanya bawalah bertangguh sehingga kajian selesai. Biar nampak tua sikit asal jauh dari penyakit kanser tu.

Bondaseri - pakai bedak sejuk jek ngan jamu