Monday, November 30, 2009

Cinta


Cinta memang hebat, kuasa cinta mengatasi segala. Lihatlah pasangan suami isteri ini, siisteri dilahirkan tidak berkaki sedangkan suaminya pula tiada bertangan. Kekurangan masing-masing itu melengkapkan antara satu sama lain. Disebalik kecacatan mereka saling berusaha mencipta kesempurnaan. Ternyata bahagia itu milik sesiapa saja di dunia ini asalkan saling bekerjasama mencapai satu matlamat.

Akan tetapi kenapakah ramai pasangan suami isteri yang sempurna sifatnya dan punya segala masih gagal menemukan kebahagiaan dalam rumahtangga mereka?

Wednesday, November 25, 2009

Selamat Hari Raya Qurban



Semoga pengorbanan mereka terdahulu yang taat, sabar, istiqamah dan tidak berputus asa kepada ketentuan Allah S.W.T menjadi landasan utama bagi kita meneruskan perjuangan hidup

Tuesday, November 17, 2009

Yang dulu yang baru


Aku baru saja bertukar ke pejabat baru mulai 29 Oktober 2009 yang lalu. Setelah kurang lebih dua setengah tahun menimba pengalaman bertugas di pejabat di bawah kerajaan negeri Perak kini aku kembali bekerja di bawah naungan Persekutuan.

Setiap kali bertemu rakan taulan yang tahu akan pertukaran ini pertanyaan pertama adalah samada aku seronok bertugas di tempat baru. Masih terlalu awal dan tidak adil bagiku memberi sebarang komen. Aku hanya berdoa yang aku telah membuat pilihan yang terbaik.

Kata orang tua tua yang lama sudah diketahui sepak terajangnya sedangkan yang baru entahkan baik entahkan tidak. Apapun ke mana kita pergi dengan siapapun kita bergaul, kita yang mesti pandai membawa diri, kita yang mesti sesuaikan diri dengan masyarakat dan persekitaran bukan memaksa orang lain mengikut rentak tari kita yang entah entah sememangnya sumbang.

Semua pengalaman pahit manis di tempat lama akan aku simpan dalam lipatan sejarah, menjadi kenangan seumur hidup, akan ku buka tatkala hati di gamit rindu. Kalau ada yang pernah menyakiti hatiku telah ku maafkan, begitu juga harapanku. Namun ikatan persahabatan yang telah terjalin akan terus dibajai agar terus subur mekar. Macam senikata sebuah lagu , kasih yang dulu simpan dalam mimpi kasih yang baru simpan di hati

Sunday, November 08, 2009

Gagasan 1 Malaysia Rakyat didahulukan Pencapaian diutamakan



Nampaknya harapan kakitangan awam untuk mendapat bonus hujung tahun hancur berkecai. Ini disebabkan kedudukan kewangan negara yang didakwa oleh kerajaan dalam keadaan yang tidak mengizinkan. Justeru kita yang berkenaan hendaklah bersyukur dengan wang ikhsan sebanyak RM500.00 yang telah diluluskan. Kalau boleh tidaklah perlu lagi meminta-minta seperti pengemis setiap menjelang pembentangan bajet tahunan untuk mendapatkan bonus sebulan gaji. Sedarlah bahawa Malaysia yang serba boleh dan punya satu-satunya menara berkembar tertinggi di dunia masih belum cukup makmur dan mewah untuk memenuhi permintaan kita itu. Kenalah cari jalan lain untuk menambah pendapatan asalkan jangan merompak, menyamun dan melakukan rasuah. Doa-doalah agar ekonomi negara terus berkembang dan bajet pada tahun 2011 ada habuan untuk kita.