Tuesday, October 27, 2009

Kasih ibu


Kebelakangan ini hampir setiap hari berita mengenai kegagalan wanita menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu semakin menjadi-jadi. Cerita bayi-bayi, mayat bayi serta janin dibuang merata-rata keluar didada akhbar dan di layar televisyen. Ada pula kisah sang ibu yang sanggup membiarkan anak didera sehingga mati semata-mata dikelabui oleh perasaan cinta membabi buta kepada teman lelaki.

Aduhai ke manakah perginya keagungan kasih ibu kepada anak-anak seperti yang telah kita dengar sejak zaman silam. Siapakah yang harus dipersalahkan? keluarga, masyarakat atau sistem yang diamalkan oleh negara! Agaknya memang benar ungkapan yang menyatakan kasih ibu membawa ke surga tapi si ibu nanti ke mana pula halanya? Sudah tentu keterlanjuran dan kesilapan yang dilakukan akan menghantui mereka hingga ke akhir hayat.

Thursday, October 22, 2009

Takdir


Ini adalah sahabat karibku sejak zaman kanak-kanak hingga menginjak remaja (sekolah rendah dan menengah) Esah Abu, seorang guru yang bercuti sakit barah sejak setahun sudah. Selasa lalu aku balik ke Melaka untuk menziarahinya. Esah mengidap barah rahim sejak tahun 2006 dan kini di tahap empat. Walaupun rahimnya telah dibuang, sel kanser datang kembali. Doktor mendapati organ dalamannya membengkak pembedahan tidak boleh dilakaukan lagi melainkan mengulangi rawatan kemotrapi. Kesakitan yang teramat sangat tatkala menjalani rawatan chemotherapy sebanyak 12 kali dulu menyebabkan dia enggan untuk mengulanginya lagi. Doktor memberi kata dua, tanpa chemotherapy sel kanser semakin mengganas sedangkan rawatan itu bukan saja membunuh sel kanser tetapi sel badan yang sihat. Jelas dia menahan sakit teramat walaupun untuk berkata-kata, sakit di bahagian abdomen ke bawah. Aku berdoa agar Allah akan meringankan tanggungan kesakitan itu dan dia dapat bertahan lebih lama.



Dan ini sahabatku semasa di tingkatan 4 dan 5. Naim Nordin yang mengidap barah hati sejak bertahun-tahun di tahap empat. Kehendak untuk terus hidup dan usaha melawan sel kanser membenarkan dia masih bertahan sehingga kini. Kalaupun sel kanser sudah mula menjalar menuju ke otaknya dia masih tabah dan beraksi seakan-akan tiada apa yang berlaku namun mata yang memandang dapat melihat penderitaan yang ditanggung. Kekuatan mental dan ketabahan hatinya mengagumkan. Mudah-mudahan dia akan terus cekal menerima ketentuan ini.

Jelas betapa berharganya nilai kesihatan. Harta benda dan kekayaan tidak pernah dapat membeli kesihatan atau usia. Bila mengenangkan takdir yang diterima kedua-dua sahabat aku ni, aku amat bersyukur dan sedar betapa hidup ini hanyalah sebuah persinggahan, betapa perlu berbuat kebajikan dan kebaikan sebanyak mungkin untuk mereka yang disekeliling kita sementara ada hayat yang dipinjamkan.

Sunday, October 18, 2009

Wajah


Perlukah dikorbankan rupa nan asli
kerana mahu menunjuk kehebatan seni

Meski yang dipersembah memukau mata
tak seindah ciptaan yang Maha Kuasa

Thursday, October 08, 2009

Muslim sejati


Sejak lama dulu aku perhatikan bila ada kenduri atau jamuan yang penajanya tidak menyediakan pembaca doa secara khusus maka akan terjadilah drama tolak menolak, saling mempersilakan dengan hormat dan sopan atau sebenarnya untuk melepaskan diri supaya tak kena membaca doa tu.

Payah sangatke nak hafal doa selamat,ada buku, makalah malah himpunan doa tatacara dan adabnya boleh didapatkan dengan mudah di laman sesawang. Lebih menghairankan bab menghafal lagu termasuk lagi inggeris boleh pula. Kalau sehari satu ayat dihafal cuba bayangkan dalam setahun berapa banyak yang boleh kita amal dan manfaatkan.

Antara ciri-ciri muslim sejati dan macho bukan saja bergantung kepada rupa tampan menawan, berpelajaran dan berkedudukan. Jauh lebih penting adalah mereka yang sentiasa bersedia apabila diminta memimpin bacaan doa walaupun sekadar doa selamat. Bayangkan lagi kalau semua lelaki Islam punya kemampuan yang sama maka akan bertambah kuatlah ikatan persadaraan kita dalam masyarakat.

Apakah yang boleh diharapkan kepada lelaki dalam perjuangan Islam kalau setakat disuruh membaca doapun dah menggeletar satu badan. Semoga teguran dan saranan ini akan menjadi titik tolak saudara-saudara yang berkenaan dalam mempertingkatkan jati diri sebagai muslim sejati.

Thursday, October 01, 2009

Disebalik topeng



Disebalik topeng
aku mengintaimu
terharu dan rindu

Di sebalik topeng
kau merenungku
bisu dan keliru

Disebalik topeng
ku kutip masa lalu
yang memisahkan kau dan aku
dekat tapi jauh


Ku dedikasikan sajak ini untuk seorang sahabat yang tidak mengenaliku ketika aku masuk bertopeng ke tempatnya. Lu kena beb!