Thursday, December 10, 2009

Sepi seorang ayah...


Maka gemparlah seluruh desa berita seorang suami yang kematian isteri sejak 2 tahun lalu telah bernikah lagi. Jodoh keduanya anak dara umur 55 tahun 25 tahun lebih muda darinya. Berbagai pendapat dan pandangan pro dan kontra silih berganti, ada yang cakap perempuan itu adalah pilihan anaknya yang berkerja di Kuala Lumpur itu, ada juga yang memberitahu kononnya perempuan pilihan itu diperkenalkan oleh teman-teman yang sama bersembahyang di masjid kariahnya saban Subuh, Magrib dan Isya'

Yang tidak mengerti, marah dan mencaci, mencari pelbagai alasan bagi menyalahkan tindakan lelaki itu. Tidak mahu meletak diri di situasi lelaki itu.

Akan tetapi seorang lelaki yang terbiasa dimanjai oleh isteri, hampir segalanya diuruskan terutamanya makan minum, pakaian dan sakit pening. Pemergian isteri bukan saja telah meninggalkan dia kesorangan dalam sepi yang tidak siapa pun bisa mengerti kecuali yang pernah mengalaminya, tapi kehidupan yang dulu terurus tiba-tiba menjadi tidak karuan, hatinya rawan, jiwanya resah. Sudah tentu kesedihan menjenguknya dengan ramah sekali. Mengharapkan anak-anak, masing-masing dah besar dan ada tangungjawab serta bekerja dan tinggal jauh darinya. Kalau duduk serumahpun masih tidak akan dapat memenuhi keperluannya. Hari, minggu dan bulan pertama mungkin mereka akan cuba menemani dan menghiburkan hati bapa itu tetapi hidup harus diteruskan. Selepas itu lelaki yang kematian isteri akhirnya tinggal sendirian meneruskan hidup dalam kepayahan yang menyiksakan. Pilu hatinya bertambah parah bila malam menutup pintu siang, sukar melelapkan mata justeru tiada teman bicara sementara terlena. Duka seorang lelaki yang kematian isteri tak siapa bisa memahami.

Pernikahan baru sudah tentu sedikit demi sedikit akan menutup tirai kesedihan, memanaskan semangat yang hampir suam kuku dan hidupnya akan kembali ceria dan bermakna. Berbahagialah hendaknya.

Monday, December 07, 2009

Cerita anak dara ku yang manja...


Tiba-tiba saja anak daraku yang manja tu telefon mengadu sakit kepala dan bengang. Lama ku cuba mendapatkan jawapan sebelum dia memberitahu semua disebabkab rasa terkilan kecilhati dan sedih atas perbuatan kawan baik dia si K. K yang selama 3 tahun duduk serumah semasa di Medan Indonesia, K yang selama ini bersama berkongsi suka duka. K yang dulunya tidak pernah ssepatahpun anak dara ku bercakap buruk mengenainya. K yang kini tiba-tiba menjadikan anak dara ku yang manja tu sebagai seteru hanya sebab yang amat kecil iaitu terlambat mengambilnya untuk pergi kuliah, perkhidmatan yang diberi secara percuma sebab mereka tidak tinggal serumah lagi.

Dalam tangis anak dara ku yang manja terus menceritakan betapa pengorbanan yang dilakukan sejak mereka kembali belajar di Kepala Batas, Pulau Pinang. Aku melarang dia dari membebel menyenaraikan kebaikan yang telah diperbuat, aku minta dia menganggap semua itu sebagai suatu sumbangan dan tanggungjawab sosial yang mesti ditunaikan. Aku minta dia menghalalkan semuanya. Aku bagitau anak dara ku yang manja tu bahawa semua yang dilakukan mesti ikhlas agar hati tidak merasa kesal. Aku beritahu dia yang penting Allah tahu dia telah perbuat baik malah K juga tahu akan perbuatan yang baik-baik itu. Aku minta dia tetap menegur sapa K kalaupun dia akan bermasam muka sebab yang manis wajah dan baik tuturkata itu amat disukai Allah. Aku minta dia tetap bukakan pintu persahabatan andai K datang kembali mengetuknya. Aku ingatkan dia agar buat baik berpada-pada buat jahat sekalipun jangan. Aku katakan ia anak daraku yang manja anugerah Allah yang terbaik pernah ku miliki di dunia ini.
Di akhir perbualan anak dara ku yang manja itu memberitahu sakit kepala dan hilang dan perasaannya dah lega.

Lega sebab dia dah melepaskan beban yang tidak sepatutnya digalas oleh fikiran. Lega sebab dia telah memaafkan K walaupun hatinya luka. Dia lega sebab telah berbuat baik walaupun dibalas dengan demikian rupa.

Begitulah kehidupan ini kerapkali kita seperti melepaskan anjing yang tersepit, beri susu dibalas tuba malah ramai yang membuang tongkat setelah selamat sampai ke seberang. Mencari kawan bila-bila di manapun jua boleh namun mencari seorang sahabat kita mungkin memerlukan masa seumur hidup untuk menemukannya.