Tuesday, May 23, 2006

Agenda yang tergendala



Nampaknya hasrat untuk menghabiskan catatan kembara ke Uzbekistan (Bukhara, Samarkand, Shahrizabz dan Tashkent) terpaksa ditingalkan sementara, tuntutan kerja dan masa yang mesti mengutamakan perkara lain yang lebih afdhal menentukan segala.

Khamis ini 25 Mei 2006 aku akan berlepas ke Australia (Sydney dan Brisbane) sehingga 01 Jun 2006. Lepas tu kerja mesti melambak menunggu, konklusinya entah bilale pulak catatan itu akan sempurna...

Dan akupun termanggu
tahu tak tahu
mencari ruang mengejar waktu
yang hilang belum ditemu
yang ditemu ada yang perlu

Terhenti sebuah bicara
catatan suatu kembara
bagai agenda yang tergendala
entah sampai bila

Akupun merenung diri
pasrah dan patuhi
ketentuanmu Rabbi !

Monday, May 22, 2006

Istana sepi di kota Bukhara


Sejak dari mula-mula tiba di Bukhara, binaan yang satu ini menimbulkan tandatanya bukan sebab keindahan rekabentuknya tetapi kelainannya dari bangunan yang lain, ia nampak terasing namun jelas berdiri gagah dan sombong. Rupa-rupanya binaan seakan-akan sebuah kota itu adalah Istana Hinggap bernama Sitora I Mokhi Khoza milik Emir Bukhara yang terakhir iaitu Alim Khan. Baginda dan keluarga hanya akan ke sini untuk menikmati keseronokan musim panas sahaja.



Pandangan diserambi istana




Namun kini istana ini telah ditinggalkan, semakin usang dan menjadi tempat berjualan barangan kraftangan tembikar, sulaman, tembaga, ukiran kayu dan sebagainya oleh penduduk tempatan. Kami dikenakan membayar sebanyak 1000 sum (RM3.00) jika ingin mengambil gambar keadaan dalaman istana. Nampaknya kemiskinan memaksa mereka menggunakan apa saja peluang bagi mendapatkan wang.


Merakam kenangan di perkarangan istana yang sepi

Istana usang binaan penghujung kurun ke 19 itu kami tinggalkan untuk meneruskan kembara di kota Bukhara yang menyimpan kisah sukaduka masa silam, namun kota ini tidak peramah, penuh curiga dan sesekali seakan-akan menjeling kami dengan penuh rasa keliru.

Thursday, May 18, 2006

Bukhara Oh Bukhara


Kami meninggalkan masjid usang itu untuk meneruskan lawatan dengan melalui sekitar bandar Bukhara. Terasa seakan berada di kurun ke 18 kerana keadaan di sini amatlah jauh berbeza dengan di Malaysia. Jumlah kenderaan yang sedikit, deretan bangunan dan kedai dengan bentuk binaan lama serta pokok-pokok yang tidak bermaya jelas menunjukkan negeri ini masih dicengkam kemiskinan dan jauh ketinggalan dari segi kemajuan teknologi dan prasarana. Bersyukur kerana aku dilahirkan di bumi bernama Malaysia yang sentiasa menghijau, makmur dan mewah, kalaupun masih terdapat masalah namun tetap beratus kali baik jika dibandingkan dengan Uzbekistan ini. Di sini tidak ada kompleks membeli belah, tidak ada restoran makanan segera "KFC", "MD", Fizza Hut" dan berpuluh-puluh jenama macam di tempat kita, yang hanya hanya bazar-bazar yang bertempat di luar dan dalam bangunan yang suatu ketika dulu adalah sebuah masjid. Di sini hanya tinggal kenangan zaman kegemilangan Islam suatu ketika dulu...itu saja.

Leka melayan perasaan hingga tak perasan kami dahpun sampai di depan "Poi Kalon" atau "Foot of Great Minaret" yang merupakan kompleks yang merangkumi Madrasah dan tempat berjualan hasil tangan masyarakat Bukhara. Ia adalah tinggalan rekabentuk senibina kurun ke 16. Terkesima dengan kehebatan binaan kompleks ini terutama menara yang amat tinggi itu, satu keajaiban kerana dalam serba kekurangan bagaimana mereka dapat membinanya. apakah mereka dulunya lebih tinggi, gagah dan besar atau mereka mempunyai teknologi yang lebih canggih? namun pertanyaan tetap tinggal pertanyaan kerana pemuda pemandu pelancong kamipun tidak dapat memberi sebarang jawapan. Hanya Allah S.W.T jua yang Maha Mengetahui



Pandangan Menara Utama dan gerbang sebelah kanan
"Foot OF Great Minaret" waktu senja







Panorama bahagian dalam gerbang sebelah kanan




Rombongan kami di perkarangan Madrasah yang mempunyai 2 pintu gerbang, ini gerbang yang sebelah kiri



Di depan gerbang sebelah kiri yang juga pintu masuk ke madrasah

Monday, May 15, 2006

Kembara di bumi Bukhara

22 Mac 2006 (Rabu)

Bunyi alarm telefon bimbit menyentap diri yang asyik dibuai mimpi. Selepas bersarapan kami membelah dingin pagi yang mengigit tulang menaiki bas untuk memulakan kembara di bumi Bukhara yang amat terkenal sebagai pusat pengembangan agama Islam sebelum pemerintahan komunis dulu. Deretan bangunan lama serta pokok-pokok yang masih gondol baru mengeluarkan pucuk menghiasi kiri kanan jalan. Keadaan tanah yang kontang berpasir jelas menggambarkan bahawa Bukhara merupakan sebahagian dari padang pasir. Tiada apa yang menarik pandangan melainkan sebuah binaan lama yang menjadi fokus lawatan pertama kami hari ini iaitu Makam Ismail Samanty Maabarasi salah seorang ulama Islam yang terkenal di Bukhara. Apapun beliau tidaklah dikebumikan di situ melainkan pernah singgah sahaja. Didalam binaan ini terdapat aliran matair yang dipercayai boleh menyembuhkan pelbagai penyakit disamping sejarah ulama tersebut dan barangan peninggalan kurun ke 17.


Makam Ismail Samanty Maabarasi

Bedekatan dengannya pula adalah bangunan yang dinamakan Chashma Ayub iaitu berupa perpustakaan yang menyimpan khazanah lama terutamanya yang berkaitan dengan Nabi Ayyub Alaihissalam. Gambar tidak dapat disertakan kerana masalah laptop yang telah diberitahu terdahulu.

Kembara diteruskan sehingga sampai di hadapan sebuah binaan usang yang terdiri dari deretan sebanyak 18 batang tiang yang tinggi dan indah berukir hasil kerjatangan kurun ke 17 iaitu masjid yang dikenali sebagai Poi Kolon atau "Foot of Great Manaret" yang merupakan salah satu masjid dari dua buah sahaja yang masih digunakan di sini. Itupun hanya golongan warga emas yang tidak sampaipun 20 orang datang bersembahyang sedangkan golongan muda amat sedikit yang dapat dilihat. Malah Pemandu Pelancong kami dan 2 pembantunya lebih selesa menanti kami di dalam bas sambil bersembang dari turut sama menunaikan rukun kelima itu dengan penuh selamba tanpa rasa bersalah.

Sesuatu yang amat menyedihkan dan diluar dugaan, masyarakat di sini yang 90% berugama Islam rupa-rupanya hanya Islam pada nama saja, selain dari golongan tua (yang amat tua) yang masih mendirikan sembahyang, yang muda tidak menganggap sembahyang sebagai satu kewajipan. Namun bukanlah salah mereka semata-mata, dasar pemerintahan komunis yang mengharamkan semua amalan agama dan membunuh semua ulama dan ahli agama yang dikenalpasti telah mengakibatkan ajaran Islam semakin jauh dan terhakis terutama di kalangan generasi baru.

Kami merasa amat kasihan namun berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Selepas 18 tahun kemerdekaan dari cengkaman penjajah, kami diberitahu usaha untuk menyemarakkan api keislaman telahpun bermula sejak bebepara tahun kebelakangan ini. Sekali fikir di Malaysia yang mewah dengan segala macam maklumat mengenai Islampun berlambak muda mudi tua muda lelaki perempuan yang dengan sombong membelakangkan ajaran agama maka apatahlagi mereka di sini yang memang daif mengenainya.



Keistimewaan masjid ini terletak pada deretan tiang berukirnya yang indah



Pandangan dari pintu masuk masjid



Tulisan di tepi pintu masuk masjid, yang merah tu Wirid Muhasabah Diri tapi yang sebelah kiri tu kurang pasti le pula

Friday, May 12, 2006

Uzbek Citra Kembara II

Nampaknya hasrat untuk mencoretkan citra kembara ku ke Uzbekistan bukanlah sesuatu yang mudah, berbagai rintangan dan halangan silih berganti sehinggakan masa berlalu terlalu lama namun masih banyak yang belum ditulisi.

Ingattak janjiku untuk memberitahu sesuatu yang memeranjatkan pada malam pertama kami menjamu selera di salah sebuah restoran tempatan di Tashkent. Malangnya semua gambar-gambar yang dirakam tidak dapatku gunakan pada ketika ini kerana sebaik saja ianya dipindahkan dari telefon bimbitku tetiba jek "Laptop" tu tak buat hal, jadi kenalah tunggu dengan sabar. Apapun malam tu kami tidur dengan nyenyak sekali dengan harapan pengalaman perjalanan yang amat indah pada keesokan harinya.

Tanggal 22 Mac 2006


Aku di depan Lapangan Terbang Bukhara

Sekitar jam 6.15 pagi waktu Tashkent, kami minum pagi di hotel penginapan sebelum bertolak ke Lapangan Terbang semula untuk ke Bukhara dengan pesawat Uzbek 757 / 200.
Perjalan sejauh kurang lebih 300 km itu memakan masa sejam saja. Sesampai di Bukhara kami terus dibawa ke Hotel Semurg (sebut Simur) yang sengaja direka bentuk dalaman seperti kediaman penduduk tempatan.



Hotel Semurg di Bukhara

Lepas makan tengahari nanti baru kami akan dibawa melawat tempat-tempat bersejarah yang menjadi kebanggaan dan sumber pendapatan penduduk Bukhara, sesuatu yang juga diluar jangka namun itulah hakikatnya yang terpaksa diterima, pahit dan amat dikesali.

Thursday, May 04, 2006

Uzbekistan sebuah catatan kembara



Tanggal 21 Mac 2006 (Selasa)

Bermula dengan lafaz Bismillah serta doa Menaiki Kenderaan dan berbekalkan kamera digital Sony dan telefon bimbit jenama
Nokia 6600 aku terbang ke bumi Uzbekistan dengan separuh hati (kekadang tak reti-reti nak bersyukur). Pesawat Penerbangan MAS yang kami naiki meninggalkan landasan KLIA tepat jam 10.50 pagi. Setelah puas tertidur bangun dan tidur semula serta lenguh segala anggota badan akhirnya kami selamat mendarat jam 3.10 ptg waktu tempatan (lewat tiga (3) jam dari waktu Malaysia) di lapangan Terbang Tashkent, Uzbekistan. Alhamdulillah

Sebaik keluar dari pintu pesawat pipiku ditampar oleh hembusan angin Tashket yang amat dingin. Disinilah citra kembaraku bermula...

Mata kami liar memandang sekeliling, dikiri kanan depan dan belakang tiada sesiapa melainkan wajah-wajah tampan bergaya dan cantik jelita yang sesekali menjeling kearah kami tanpa senyum apatah lagi ucap selamat. Ternyata pengaruh semasa dibawah pemerintahan kerajaan Rusia masih tebal memenjara mentaliti rakyat Uzbek, penuh curiga jelas nampak kesombongan mereka. Di sini kami macam itik bercakap dengan ayam sebab kami tak reti bahasa mereka dan yang amat malang sukar sekali menemui kalangan mereka yang boleh berbahasa Inggeris, ermmmm tariknafas panjang, sabar je leee

Hampir sejam melangut di kaunter imigresen sebelum kami dibenarkan keluar menaiki bas. Kelelahan berjam-jam dalam pesawat membuatkan aku kurang memberi perhatian kepada pemandangan di kanan kiri jalan , namun aku perasan bahawa apa yang ku lihat adalah deretan bangunan-bangunan lama dan pokok pokok yang masih gondol kerana musin sejuk baru berlalu. Warna putih dan coklat cair menjadi pilihan utama di Tashkent ini. Kurang setengah jam kami telah berada di depan Hotel Grand Mir untuk bermalam sebelum berlepas ke Bukhara keesokan harinya.



Badan yang letih dan perut yang dah lama kelaparan membuatkan kami tak sabar-sabar untuk menikmati hidangan masyarakat Uzbek tapi apa yang terjadi adalah diluar dugaan dan semua kami terkejut kodok, terpinga-pinga tapi ada mata yang dah terbeliak tak berkelip-kelip. Ah! Tashkent, Uzbekistan...aku melihat Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Perak Dato' Seri Harussani menepuk dahi tapi dia tetap tenang...ada yang mengucap panjang, nak tau kenapa? Tunggukan Catatan Kembara II