Friday, July 30, 2010

Sayangi diri

"Memang payah nak marah pada orang yang kita sayang. Jangan kata nak jumpa dengar suarapun hati jadi sejuk serta merta. Macamana nak bagitahu dia yang aku tahu dia telah menipu aku selama ini. Mereka cerita-cerita duka lara hanya untuk memenangi hatiku. Kenapa tiba-tiba saja aku tak sampai hati menyatakan yang sebenar dan menegaskan kepadanya yang aku nak hubungan kami diputuskan"

Aku biarkan seseorang itu meluahkan perasaan geramnya pagi tadi. Tanpa memberi sebarang komen aku senyum dan berkata "Itulah cinta".

Itulah sebabnya keskes penderaan mental dan fizilkal dikalangan pasangan kekasih dan suami isteri sukar dibendung sebab mangsa gagal membebaskan diri dari pautan cinta. Memang benar pelaku kebanyakannya juga cinta kepada mangsa namun bukan cinta sebenar jika membawa derita, bukan cinta suci kalau membuat pasangan merana.

Sekali kita memberi peluang kepada cinta yang tidak setia dan berdolakdalik, kita akan terus tertipu. Sayangi diri kita sebelum kita menyanyangi orang lain. Memang sukar untuk melupakan tapi percayalah suatu hari bernama esok pasti ada sidia yang akan menyintai kita sepnuh hati. Bila sudah mengambil keputusan bertindaklah dan bersedia menerima risikonya. Jangan terus memendam rasa kerana ia barah yang akan memakan diri. Janganlah bimbang, sesungguhnya Allah bersama kita di mana-mana setiap masa.

Tuesday, July 27, 2010

Cinta Suci


Kasihsayang yang sejati adalah suci. Bebas dari tipudaya dan pura-pura. Sentiasa sedia menerima kenyataan dan tidak mengada-ngadakan cerita hanya untuk mengambil kesempatan serta mendapatkan simpati dan cinta. Kalau ia terjadi maka percayalah lambat laun yang benar akan diketahui juga. Ketika itu kemaafan tidak berguna lagi.
Yakinlah pada diri dan percayalah jika sudah namanya cinta dia akan menerima kita seadanya.

Friday, July 23, 2010

Kurang upaya tapi berupaya


Dulu pokok ini macam yang lain juga pasunya menadah langit tapi disebabkan kesibukan aku lupa untuk mencantasnya, akibat dari itu pokok ini tumbang mendakap bumi. Bertahun menanamnya sayang pulak nak dibuang lalu ku biarkan ia terus tumbuh walaupun dalam keadaan terbalik. Ada menganggap pokok ini telah cacat tapi aku melihatnya penuh seni dan luar biasa indah.

Demikian juga dalam kehidupan sehari-hari seringkali kita memandang remeh keupayaan mereka yang kurang upaya. Tanpa memberi ruang dan peluang mereka segera diketepikan sedangkan yang cacat mungkin tubuh badan sahaja bukannya keupayaan akal fikiran. Kehebatan mereka kekadang diluar jangka.

Wednesday, July 21, 2010

Orang kita...

Semalam sebaik keluar dari rumah untuk ke Kuala Lumpur sesampai dipersimpang ke Changkat Larang kami dapati kenderaan macet tanpa diduga. Tidak pernah ianya berlaku sebelum ini, tentu ada sesuatu yang terjadi. Tepat dugaan kami, rupa-rupanya ada sebuah kereta Proton Saga merah rosak betul-betul di pertengahan simpang tiga. Kelihatan pemandunya terkial-kial membelik injin kereta namun jelas beliau tidak tahu apa sebenarnya punca kerosakan kereta itu.

Tiada seorangpun yang turun untuk membantu malah ada yang tanpa rasa bersalah dengan sombong bernada marah membunyikan hon. Masing-masing berlumba-lumba meloloskan kereta dari kesesakan itu untuk ke tempat kerja.

Kesihan dia! Kami mengambil keputusan untuk memberi bantuan suamiku A turun menolong menolak kereta itu ke seberang jalan bagi mengelakkan kesesakan berterusan.. Nampaknya pemandu lain masih membutakan mata. Malah A dimaklumkan telah hampir 10 minit beliau di situ mengharap pertolongan.

A menolak seorang diri tanpa bantuan pemandu lain




Kereta berjaya ditolak ke seberang jalan. Pemandu itu mengucap syukur berulang kali dan terimakasih yang tidak terhingga. kami meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur dengan perasaan lega dan rasa puas yang sukar digambarkan.

Inilah antara kelemahan sikap kebanyakan orang kita. Sukar menghulurkan bantuan kepada kecuali diminta berulangkali. Tidak pernah terfiki bahawa suatu hari bernama esok mungkin kita juga akan ditimpa musibah seumpama itu. Jadikanlah amalan setiap hari dengan memasang niat untuk membuat kebajikan sebaik saja keluar dari rumah hingga kembali. Hidup ini amat singkat jadi berbuatlah bakti sebanyak mungkin agar usia kita tidak terbuang begitu saja.

Thursday, July 15, 2010


Sukarnya untuk meninggalkan seseorang yang disayang, keterpaksaan amat menyiksakan namun kalau ia merupakan jalan yang terbaik maka jangan menoleh lagi. Demi mengembalikan hak dan kepentingan orang lain, agar terhindar dari dosa yang mengejar.
Sedih dan pilu bagai tersayat sembilu, dunia rasa gelap, langit kelabu dan mentari entah ke mana.

Semoga tuhan menambah kekuatan jiwa dan ketabahan hati. Percayalah luka itu akan beransur sembuh kalaupun parutnya akan kekal sampai kemati kita tidak akan menyesal kerana berjihad melawan nafsu. Sesekali mungkin kita akan tertewas oleh rasa rindu, belajarlah untuk menepis resah, berkorbanlah untuk kebahagiaan orang lain.
Cerita itu akan jadi sejarah cubalah untuk tidak membuka lipatannya agar hati tidak menjadi rawan dan gundah gulana. Cinta dan kasih sayang itu? Serahkan kepada Allah untuk menentu.

Wednesday, July 14, 2010

Kenangan


Ada ketikanya kita mahu lari dari keriuhan yang mengganggu fikiran dan membingitkan telinga. Bersendirian, tanpa sesiapapun. Mengintai jendela masa yang telah berlalu, memungut butiran peristiwa yang terdampar di pantai kenangan, yang indah dan yang pahit. Terkadang tanpa sedar kita tersenyum dan tanpa paksa kita menangis. Kita terantai oleh sejarah silam, kalaupun ianya telah berlalu anehnya tanpa diundang ia tetap datang menerjah sesuka hati. Tanpa bantahan kita melayaninya selagi-lagi.

Friday, July 09, 2010

Kepercayaan


Kadangkala kita jadi keliru dan terkilan bila kepercayaan atau keyakinan yang kita berikan kepada seseorang itu dikhianati. Seseorang yang pada fikiran kita adalah pilihan paling tepat dan terbaik pada masa itu. Seseorang kononnya yang amat rapat dan mengerti tentang diri dan perasaan kita. Lalu tanpa berfikir berulang kali lagi kita dengan putih hati menyerahkan rahsia diri untuk berkongsi cerita dan melepaskan tekanan jiwa. Tanpa curiga penuh percaya.

Justeru jadilah kita yang sebagaimana kita mahu seseorang itu berperilaku. Menyimpan amanah rahsia diri siapa saja yang menagihnya dari kita. Ia adalah satu penghormatan yang bukan semua dapat memilikinya. Kepercayaan dan keyakinan yang menuntut kepada keikhlasan hati dan menjaganya selagi hayat dikandung badan. Agar tiada sesiapa merasa betapa sakitnya dikhianati apatahlagi oleh kawan sendiri.