Wednesday, April 22, 2009

Tenang-tenang air...


Kita biasa mendengar pepatah lama berbunyi air tenang jangan disangka tiada buaya. Persoalannya adake buaya yang tinggal di air yang berombak dan berarus deras. Kurang arifle pulak mengenai habitat sang bedal tu.

Begitulah indah khazanah bahasa datuk nenek kita dahulu sehinggakan peringatan dan amaran yang diberi dilafazkan dalam ayat yang amat bersahaja namun maksud yang tersirat nyata tegas. Maka sudah tentu akal yang jernih dan cerdik sahaja dapat mengerti akan maknanya.

Justeru sehingga sekarang turun temurun atau dari generasi ke generasi ungkapan itu terus subur dalam kehidupan masyarakat. Ingat, air tenang jangan disangka tiada buaya kerana hakikat kejadian manusia itu seandainya berjaya mempertingkatkan harkat, darjat dan martabat diri maka sering dia digelar malaikat hidup sedangkan jika perlakuan sentiasa menyalahi hukum agama dan peraturan sudah tentu pantas dia lebih mirip kepada perangainya haiwan.

Terpulang kepada kita mendefinisikan ungkapan tersebut secara positif atau sebaliknya. Namun apa yang lebih penting ialah kalau sudah tahu kemungkinan ada buaya di air yang tenang maka janganlah terlalu mendekat-dekatkan diri kerana ditakuti akan kena baham.

Tuesday, April 21, 2009

Biarkan.......


Kalau kebencian itu disebabkan perlakuan kita yang bersalahan dengan hukum agama atau undang-undang negara tidak boleh diterima kerana kita adalah memegang amanah di muka bumi ini sebagai khalifah, membantu dan membetulkan yang salah, dengan bimbingan atau hukuman yang setimpal. Apatahlagi sekiranya kebencian itu hanya kerana kebolehan atau kelebihan yang ada pada kita.

Segelintir dari kita kurang senang menerima khabar gembira orang lain, penuh cemburu dan rasa benci, mencari-cari kelemahan dan kekurangan mereka untuk meremehkan kehebatan yang tersersah. Puas hati bila rencana terlaksana sedangkan tiada apa untungnya melainkan bertambah rugi dan berkurang pahala yang ada.

Kepada kita yang pernah dan akan menerima nasib seperti ini, bersabarlah dan terimalah dengan senyum dan pohon pertolongan dariNYA kalaupun jauh di sudut hati terasa nak diterajang atau disepak aje makhluk itu. Kesianlah kepada mereka yang menderita sakit jiwa, jiwa yang tidak tenteram justeru terlalu memikirkan kebahagiaan orang lain sehingga terlupa untuk mempertingkat kualiti diri dan kehidupan. Kalaupun ada peluang untuk membalas dendam, biarkan saja kerana setelah ianya berlalu kita masih kan tersenyum sedangkan dia akan terus dibakar oleh kesumat seumpama api yang membakar sekam.

Sunday, April 19, 2009

Lupakan...


Ada sms respon dari seorang sahabat yang pernah terperangkap dalam kancah cinta terlarang dengan beberapa orang wanita yang jauh lebih muda darinya. Lelaki yang punya kedudukan, bijak dan masih gigih menjalankan perniagaannya. Dalam komen yang ringkas dia pohon aku beri jalan penyelesaian kepada mereka yang sewaktu dengannya. Apapun dia cepat sedar dan berjaya keluar dari penjara asmara duka namun ku kira masih gagal melupa kenangan lama.

Aku bukan seorang kaunselor atau pakar psikologi yang dapat memberi cadangan jalan keluar, apapun yang aku catatkan disini hanyalah pendapatku yang bisa dipertikaikan oleh sesiapa saja. Aku tidak akan menyalahkan sesiapa dalam soal cinta sebab siapapun kita perasaan untuk dicinta dan menyinta adalah lumrah.

Pertama bila kita telah mengambil keputusan untuk mengakhiri sebuah perhubungan, langkah selanjutnya adalah membuang segala sesuatu yang ada kaitan dan nastolgia dengan sidia. Surat-surat, hadiah dan gambar wajib dimusnah sebab dengan membaca dan membelek benda-benda itu kita hanya akan menggamit kenangan lama.

Kedua jangan sesekali berjumpa atau bercakap dengan telefon sebab dengan memandang dan mendengar suara dia hanya akan menggetarkan semula rasa cinta.

Ketiga if you are strong enough than change the relaetionship dari kekasih kepada seorang sahabat tapi masih tertakluk kepada larangan kedua cukup sekadar sms. Perhubungan tidak membicarakan kisah lama.

Keempat sentiasa pohon keampunan dan kekuatan dari Allah SWT agar kita tidak akan terpengaruh kepada bisikan syaitan yang menggoda. Lakukanlah dengan ikhlas Insyaallah semua perbuatan yang baik tu akan mendapat pertolonganNYA. Kalau sebaliknya yang terjadi itu hanyalah dugaan untuk menguji sejauh mana keimanan mengatasi kejahilan dan kelemahan kita. Hanya kita yang dapat membantu diri sendiri, hendak seribu daya tak hendak seribu dalih. Justeru kita yang membina penjara asmara lara maka sudah pasti kita ada kunci pintu keluarnya. Kalau tak bisa memadam kenangan lama jangan sesekali diselak lembaran itu. Biar ia semakin usang diarus masa.

Akhirnya percayalah bila kita ditakdirkan berpisah itu bermakna Allah SWT telah membuat keputusan yang terbaik untuk kita. Sayangilah isteri dan keluarga kita kerana mereka adalah dunia kita, bahagiakanlah mereka hingga kita menutup mata.

Aku harap sahabatku nan budiman lagi bijaksana bisa menerima pandangan ini dengan hati terbuka. memanglah mudah untuk bekata namun tiada yang mustahil dilakukan jika kita bersungguh. Bagai pepohon di musim luruh, biar semua daun-daun kering jatuh bertaburan...lupakanlah!

Thursday, April 16, 2009

Jangan menyanyi di dapur...

Dapat isteri muda, makan kat kedai hari-haripun takpe!


Kata rang tua
anak dara menyanyi di dapur
kalau dapat suami
boleh dipanggil ayah

Teringat di zaman remaja setiap kali ke dapur aku akan terlalak-lalak menynyikan lagu-lagu yang sedang top pada ketika itu. Biasanya nyanyian yang aku perasan begitu merdu mendayu akan terhenti tiba-tiba bila nenek mula menyergah "ooi anak dara jangan menyanyi kat dapur nanti dapat laki tua" Alahai punyalah takut kalau-kalau dapat suami begitu macam senikata lagu yg didendangkan oleh Allahyarham Datin Rafeah Buang tu.

Lama selepas itu baru aku faham apa sebenarnya hikmah dari tegahan orang tua-tua dahulu supaya tidak menyanyi ketika memasak antaranya supaya kita lebih fokus kalau dah terlalu menjiwai lagu yang dilaungkan tu dibimbangi akan rentunglah nasi yang dimasak atau ikan yang digoreng sebab masa tu manalah ada periok nasi elektrik kebanyakannya masih menggunakan dapur minyak tanah malah ada lagi yang menggunakan kayu atau arang.

Masa terus berjalan dan pandangan serta penerimaan masyarakat telah berubah. Mendapat menantu yang sebaya umur atau lebih tua bukanlah satu perkara yang pelik dan agak memalukan. Selain dari itu ada juga (segelintir) anak dara yang sengaja mencari suami yang berusia untuk jaminan masa depan terutama lelaki tua dari kalangan yang berkedudukan dan berduit. Lelaki-lelaki tua dahulu menganggap anak-anak dara seperti anak sendiri yang perlu dikasihi dan dibimbingi. Sedangkan (segelintir) dari mereka di zaman ini sengaja mengambil kesempatan terhadap remaja-remaja itu untuk kepentingan diri. Apapun kita tiada hak untuk menyalahkan sesiapa sementelah seperti yang pernah diperkatakan cinta itu tidak boleh dipaksa, ia datang tanpa diundang, kalau sudah terperangkap pandai-pandailah meloloskan diri kerana ia akan hanya melukakan perasaan insan lain yang dekat dengan kita - isteri dan anak-anak.

Tuesday, April 14, 2009

Pilihan

Agaknya berapa lamalah masa yang diambil untuk memilih glu yang terbaik. Lagi banyak pilihan menambah pening kepala sampai tak pasti mana yang hendak dipilih.














Samada kita suka atau tidak, sedar atau tidak sebenarnya kita tidak dapat lari dari terpaksa membuat pilihan untuk kelansungan hidup. Hatta memilih jenis beras yang sesuai dan terbaikpun sudah cukup membuat kita terdera kerana pilihan yang ada terlalu banyak sedangkan kita tidak pasti apakah kualiti dan kebaikan yang didakwa itu sesuatu yang benar.

Kebanyakan kita mudah terpedaya kepada pandangan mata, yang cantik, yang indah dan yang mahal seringkali dilabelkan sebagai pilihan terbaik. Hakikatnya bila dibawa pulang, diguna barulah kita tahu bahawa kita telah tertipu oleh kesilapan yang kita lakukan sendiri.

Begitulah juga dalam memilih teman hidup (suami atau isteri). Kita menyangka kita telah mendapat intan terpilih tatapi setelah habis musim asmara yang mengasyikkan barulah kita perasan bahawa dia tidak seperti yang kita harapkan. Namun terimalah hakikat jika pasangan kita berfikiran yang sama terhadap kita. Sebenarnya pasangan kita adalah pilihan terbaik yang ditentukan Allah SWT kepada kita. Kitalah sebagai suami / isteri wajib bekerjasama untuk membina sebuah perkongsian hidup yang bahagia tanpa rasa terkilan dan sesalan. Kata orang tak dapat apa yang dicinta maka cintailah apa yang kita dapat.

Friday, April 10, 2009

Sakat


Alangkah indahnya, beberapa jambak pokok sakat yang menumpang pada pokok induk yang tinggi menjulang langit. Seni taman semula jadi yang mengkagumkan. Pun begitu percayalah dalam beberapa tahun akan datang sudah barang tentu pokok induk itu akan merana sedikit demi sedikit sehinggalah ia jatuh menyembah bumi kerana jambak pokok sakat akan terus berkembang biak sehingga membunuh pokok itu.

Dalam alam manusiapun ada mereka yang macam pokok sakat, diberi muka nak kepala, diberi betis nakkan peha. Justeru berhati-hatilah dalam kehidupan. Akan tetapi apa yang lebih utama ialah jangan sampai kita sendiri berperangai macam pokok sakat!

Thursday, April 09, 2009

susu susu


Alangkah nikmatnya meneguk susu lembu atau susu kambing segar yang masih panas. Pagi atau petang segelas susu dengan sesudu kecil gula (jika suka) nikmatnya sukar digambarkan. Malangnya minuman ini hanya terjual di kedai India mungkin disebabkan budaya mereka yang gemar minum susu sejak dari kecil. Namun kalau sudah dimulakan meneguknya, percayalah kita akan merindui minuman penuh khasiat terutamanya kalsian dam protin itu jika tidak mendapatkan sekurang-kurangnya tiga gelas seminggu. Cuba dan rasailah keenakannya! Ia lebih baik dari minuman teh tarik atau teh susu yang bakal mengundang penyakit kencing manis jika diamalkan pada jangka panjang lantaran kandungan gulanya yang amat tinggi. Pengambilan susu sepatutnya diamalkan sepanjang hayat.

Monday, April 06, 2009

Pantun lama


Kelip-kelip kusangka api
kalau api mana sumbunya
hilang ghaib kusangka mati
kalau mati mana kuburnya

Apa merayap di tengah sawah
anak kepiting di celah batu
apa diharap kepada saya
saya yang miskin lagi piatu

Thursday, April 02, 2009

Kenapa...


Ikatan persahabatan amat unik dan sukar dimengertikan. Pengaruh seorang kawan dalam kehidupan kita jauh lebih kuat dari ibubapa, suamisteri dan adik beradik.


Kebanyakan suami akan mengetepikan permintaan pertolongan dari isteri dengan pelbagai alasan tapi sanggup berkorban demi kawan

Kita akan dengan mudah memaafkan kesalahan kawan tapi ada yang mengambil masa paling minima seminggu bagi memberi kemaafan kepada pasangan

Kebanyakan dari kita akan dengan murahhati menghamburkan kata pujian kepada kawan tapi jarang-jarang sekali memuji pasangan walaupun kita perasan ada hari-hari tertentu dia nampak lebih menawan atau masakannya amat sedap dan menyelerakan

Kenapa terlalu berkira untuk mengembirakan hati pasangan, bukankah perkahwinan itu suatu perkongsian perasaan, bahagiakah kita kalau pasangan terdera jiwanya?

Kenapa sukar benar berterusterang dengan pasangan tentang perasaan dan masalah sedangkan kita bisa berbicara berjam-jam meluahkan rasa hati kepada kawan

Kenapa amat berhati-hati dan komited untuk menjaga perasaan kawan sedangkan jarang sekali kita mengambil peduli perasaan pasangan

Kenapa ini harus terjadi?

Tidak adil kalau kebanyakan kita memandang remeh perkera ini kerana apa saja yang berkaitan dengan perasaan impaknya amat besar kepada kualiti hidup pasangan kita. Rasa terpenggir dan kecilhati lambat laun akan memaksa pasangan mengintai pintu keluar yang sudah barang tentu tidak kita sukai dan kalau itu terjadi...jangan salahkan orang lain!