Friday, March 19, 2010

Sedapnya...


Semalam kami bersepakat untuk membawa lauk pauk dari rumah dan makan di pejabat. Hari ini masing-masing membawa serba sedikit juadah masakan air tangan sendiri untuk dikongsi rasa. Macam-macam ada, kari telur, udang masak cili, acar buah, ayam goreng kunyit, ikan masin, air asam, rendang daging, ulam raja dan sandwich.

Lawaknya perancangan asal untuk menikmati makanan tengahari jam 11.00 pagi terpaksa dipercepat kerana bau harum tanakan nasi berdaun pandan pantas membuat kami kelaparan. Menjamu selera dengan makanan yang terjamin bersih dan sedapnya......alangkah nikmat. Petang jam 3.00 kami menikmatinya untuk kali kedua. Memang halal dan berbaloi!

Monday, March 08, 2010

Nikmat tuhan yang sering dilupakan...


Tak seperti adik beradikku yang lain, aku dilahirkan dengan mempunyai warna kulit yang gelap atau hitam. Masa kecil-kecil dulu aku sering merasa rendah diri dan kecil hati bila warna kulitku dipermainkan. Bila bergaduh pantas aku dipanggil dengan gelaran "Anak Keling" justeru perbedaan yang jelas antara kulit ayah ibu yang putih mulus dan kakak, abang dan adik paling tidakpun berkulit cerah.

Masa berlalu kedewasaan mengajarku agar bersyukur dan menerima segala ketentuan sebagai suatu anugerah yang punya keistimewaan tersendiri. Apa sangatlah dengan warna kulit yang hitam dibandingkan dengan mereka yang berpenyakit kulit, penuh kudis dan sopak. Bagaimana kalau lansung tak berkulit?

Sabtu lalu aku melakukan kerja-kerja mencabut dan memotong rumput di sudut laman yang sekangkang kera tu. Tanpa disedari entah apa sebabnya tiba-tiba saja terasa gatal-gatal di tangan. Menyangkakan ia hanya perkara remah aku tidak mengambil berat hinggalah rasa kurang menyenangkan itu menyerang kedua dua lengan dan kaki. Baru kusedari bahawa aku terkena alahan kulit. Bayangkan betapa siksa menahan rasa gatal dan miang dengan tidur malam yang terganggu. Mungkin disebabkan gigitan semut atau ulat bulu seperti kata rakan rakan di pejabat, cubaan sekecil itu sudah cukup membuat aku lemas dan resah. Semalam juga aku ke klinik dan mendapat Cuti Sakit serta ubat makan dan ubat sapuan luar kulit.

Namun apa yang lebih penting adalah aku bertambah syukur dengan apa yang aku ada, kulitku tidak putih mulus macam orang lain tapi sebelum ini ia tiada cacat celanya, tiada bermasaalah. Sementara alahan ini berakhir aku rindukan kulitku yang hitam tapi berseri itu.