Showing posts with label Ramadhan. Show all posts
Showing posts with label Ramadhan. Show all posts

Tuesday, September 14, 2010

Jumpa Lagi Ramadhan Al Mubarak, Insyaallah


Diam tak diam dah dah 5 hari Syawal bertandang. Sebulan bergelumang dengan Ramadhan saat sedang asyik serta ghairah mengutip pahala dan redha ia pergi tanpa dapat ditahan. Syawal disambut meriah, berbelanja lebih untuk membeli persalinan baru, menghias rumah dan menyediakan juadah. Ramai yang melepaskan keberangkatan ramadhan tanpa rasa sedih dan resah. Namun ramai juga yang pilu dan gundah manalah tahu kalau ini pertemuan yang terakhir bukankah Ramadhan setahun sekali saja. Apakah kekangan diri dari melakukan yang engkar dan mungkar akan terus diamalkan. Apapun mudah-mudahan ibadah berganda yang dilaksana itu akan diteruskan sampai bila-bila kalau tidak semuanya sebahagianpun Alhamdulillah.
Syawal juga sepurnama, apakah kita akan leka berkunjung untuk berpesta makanan sehinggakan memperbaharui tali silaturrahim bukan tujuan utama, cukup sekadar bersalaman dan mengucap selamat sedangkan pohon maaf sepatutnya diucapkan penuh ikhlas dengan harapan dari dasar hati nan murni. Semoga kita semua kembali kepada fitrah dengan keadaan yang lebih baik dan bererti dari sebelumnya.

Thursday, August 27, 2009

Berkat Ramadhan...

Hendaknya tiada sesiapa mencemari kemuliaan Ramadhan dengan berbuat maksiat di tempat-tempat sunyi dan penuh godaan seperti ini




Tanpa disedari sedikit sebanyak Ramadhan telah mengekang kita dari berbuat mungkar. Berhati-hati bila berbicara agar tidak terkeluar perkataan yang menyakitkan hati sesiapa, mengelak dari mengucap perkataan yang tidak baik dan yang paling penting tidak mengumpat. Masing-masing saling ingat-mengingati. Mudah-mudahan ia akan berterusan walaupun selepas puasa. Itulah berkat Ramadhan, bulan yang lebih baik dari seribu bulan.

Tuesday, August 25, 2009

Ramadhan bukan pesta makanan


Sejak bertahun-tahun lamanya membeli-belah di Bazar Ramadhan seakan telah menjadi satu kemestian atau tradisi di bulan puasa. Bukan sahaja kita yang bekerja, surirumahtanggapun ramai yang akan keluar berbelanja di sana. Melihat longgokan makanan pelbagai jenis dan rasa memanglah menggoda selera, kalau boleh semua nak dibeli sebab semua nampak sedap.

Persolannya adakah ia sesuatu yang betul-betul perlu, membeli lauk-pauk yg kaya dengan kolesterol serta tinggi kalori dan kuih-muih juga pelbagai jenis minuman
yang tepu kandungan gulanya, adakah ia menepati antara matlamat puasa iaitu untuk merasai betapa peritnya berlapar kerana kemiskinan. Sebaliknya kita seakan berpesta makanan setiap kali datang Ramadhan. Penyudahnya sistem penghadhaman bekerja lebih teruk dari biasa dengan sumbatan makanan yang melebihi keperluan badan dan akhirnya membawa kepada kemudaratan.

Justeru alangkan baiknya bulan ini kita belajar untuk mengamalkan cara pemakanan yang sihat dan amat sederhana kerana bukan saja ia baik untuk tubuh badan tapi juga kita dapat lebih berjimat. Wang itu bolehlah kita gunakan untuk bersedekah lebih kerap dibulan penuh barakah ini.

Friday, August 21, 2009

Tuesday, August 18, 2009

Marhaban Ya Ramadhan Al Mubarak


Akhir Ramadhan yang lalu ku lepaskan dengan berat hati. Sedih dan gembira bercampur-baur. Sedih kerana Ramadhan akan meninggalkan kita, bagaimana kalau ia adalah yang terakhir kali? Gembira kerana telah melaksanakan ibadah puasa seperti yang dituntut dan akan menyambut kedatangan Syawal yang mulia..

Alhamdulillah, syukur atas nikmat Allah S.W.T kerana kalau panjang umur dengan izinNYA kita akan menyambut kedatangan Ramadhan Al Mubarak lagi. Semoga kita akan dapat melaksanakannya dengan lebih baik.

Memandangkan negara sedang teruk dilanda H1NI, kenalah kita bertopeng mulut dan hidung kalau hendak mana-mana tempat tumpuan ramai terutama ke Bazar Ramadhan bagi mengelakkan sebarang jangkitan. jalan terbaik adalah dengan hadkan kunjungan ke tempat awam. Bukankah mencegah itu lebih baik dari mengubati.

Selamat berpuasa Ramadhan!

Tuesday, September 02, 2008

Ramadhan yang santai



Alhamdilillah, lip lap lip lap tak terasa sudah tiga hari Ramadhan mendampingi kita. Nampaknya bulan puasa tahun ini amat santai. Cuaca yang nyaman tidak terlalu panas dan hujan hampir setiap petang menyebabkan letih dan lapar tidak begitu terasa.
Apatah lagi kelonggaran bagi kakitangan kerajaan balik awal setengah jam dari biasa menambah seronoknya menjalani ibadat puasa tahun ini. Satu yang herannya ialah kenaikan harga makanan tidak mengurangkan pengunjung di Pasar Ramadhan. Apapun tiada yang lebih sedap dari juadah yang dimasak sendiri bukan saja murah, sedap malah terjamin kebersihan dan kualiti bahannya.

Ramadhan! bulan penuh barakah dan bulan kembali kepada diri!
ermmm nak rehatkan badan sat ..................................

Saturday, September 29, 2007

Nuzul Al Quran


Diam tak diam dah 17 hari kita menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan yang mulia ini, semalam sambuatan Nuzul Al Quran diadakan bukan saja di seluruh Malaysia malah seantero dunia Islam. Muslimin bersyukur dan berbangga kerana dengan kedatangan Nabi Muhammad S.A.W yang dianugerahkan Al Quran yang juga merupakan mukjizat terbesar, baginda telah meninggalkan kitab panduan iaitu wahyu dari Allah S.W.T dan Sunnahnya sebagai panduan untuk kebahagiaan kita dunia dan akhirat.

Marilah kita mempertingkatkan lagi amalan kita dengan penuh ketaqwaan dan tulus ikhlas kita kepada Allah Subhanahu Wataala lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan yang mubarak ini, dengan mengerjakan segala suruhanNya dan menjauhi diri kita dari segala apa jua yang dilarang. Semoga kita mendapat Inayah dan Hidayah dari Allah Subhanahu Wataala jua di dunia dan di akhirat.

Bulan Ramadhan adalah bulan membawa rahmat, bulan Maghfirah ( keampunan ) bulan yang membawa berbagai-bagai hikmah dan rahsia di dalam bulan-bulan ini banyak peristiwa-peristiwa penting telah berlaku. Di antaranya peristiwa yang maha agung dalam sejarah umat Islam, umat Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam iaitu tidak lain peristiwa turunnya kitab suci atau dikatakan sebagai “Nuzul Al-Quran”. Dan peristiwa itu dirakamkan di dalam Al-Quran sebagai memperingati kita semua sebagaimana Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqarah ayat 185 :-

Tafsirnya :

“Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran,
menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan- keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan di antara yang benar dan yang salah”.

Kita sebagai umat Islam memang sewajarnya memperingati peristiwa ini dengan rasa penuh syukur kepada Allah Subhanahu Wataala, kerana telah memilih kita di kalangan umat Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam untuk diturunkan kitab suci Al-Quran.

Dengan turunnya Al-Quran ke atas Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bererti memancarnya cahaya sinar wahyu Allah Subhanahu Wataala ke alam ini yang menerangi kegelapan dunia Jahilliah.

Al-Quran diturunkan di antaranya bertujuan untuk memperbaiki keadaan manusia dan juga sebagai petunjuk ke jalan yang lurus yang diredhai Allah Subhanahu Wataala sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah Subhanahu Wataala dalam Al-Quran Surah Ibrahim ayat 1 :-

Tafsirnya :

“Alif, Lam, Raa, ini adalah kitab Al-Quran kami turunkan dia kepada mu wahai Muhammad, supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap gelita ( kufur ) kepada cahaya iman dengan izin Allah yang kuasa lagi Maha terpuji.

Muslimin yang diberkati Allah,

Untuk keselamatan dan kebahagiaan umat manusia di dunia dan di akhirat, Al-Quran telah cukup lengkap dan sempurna memberikan panduan, asal saja kita mahu mengamalkan isi yang terkandung di dalamnya. Disamping itu juga Al-
Quran menjadi ubat penawar, sesungguhnya menjadi rugi dan binasalah sesiapa yang tidak mahu berpegang kepada Al-Quran dan beramal dengan ajaran Al-Quran. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al Israa’ ayat 9:-

Tafsirnya :

"Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul ( Agama Islam ) dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal salih, bahawa mereka beroleh pahala yang besar".

Muslimin yang diberkati Allah,

Disamping memperingati Nuzul Al-Quran ini, maka selaku orang yang mengaku beriman dengan kitab Allah itu, kita hendaklah berazam bukan sahaja untuk sama-sama memelihara Al-Quran akan tetapi kita hendaklah juga memepertingkatkan keimanan kita dengan menjadikan diri kita sebagai ahli Al-Quran. Jangan ianya dijadikan sebagai perhiasan di rumah-rumah sedangkan ianya tidak pernah dibaca.

Di antara kelebihan ke atas orang yang membaca Al-Quran itu ialah :-

1. Ganjaran satu huruf yang dibaca ialah bidadari di syurga, dan juga dikatakan akan mendapat ganjaran sebatang pokok di syurga.

2. Akan selamat dari api neraka, mendapat kedudukan yang tinggi dan mulia bersama malaikat.

3. Pada hari kiamat Al-Quran menjadi pembela.

4. Pembaca akan memperolehi keamanan di dunia dan kemuliaan di syurga.

5. Membaca sebelum tidur akan mendapat kawalan malaikat.

6. Pembaca akan dimasukkan ke dalam golongan Siddiqin, Syuhada dan
Salihin.

7. Jika dibaca di dalam rumah akan memberi cahaya kepada rumah itu.

8. Seutama-utama manusia ialah mempelajari, mengajar dan menghayati
ajaran Al-Quran.

9. Mempelajari dan membaca Al-Quran akan mendapat keberkatan dan
keharmonian hidup.

Oleh itu jadikanlah amalan membaca Al-Quran bukan sahaja di bulan Ramadhan ini akan tetapi sebagai amalan harian kita selaku umat Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam mudah-mudahan kita mendapat ganjaran dan kelebihan dari Allah Subhanahu Wataala sebagaimana yang pernah dijanjikan.

Tafsirnya :

“Sesungguhnya orang-orang yang selalu mambaca kitab Allah dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan dari apa yang kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara berterang-terangan, mereka dengan amalan yang demikian mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian”.


Dengan Ehsan dari Jabatan Hal Ehwal Masjid Brunai Darul Salam

Thursday, September 13, 2007

MARHABAN YA RAMADHAN

Alhamdulillah, akhirnya kita dapat bertemu lagi bulan Ramadhan Al Mubarak yang didalamnya ada malam yang lebih baik dari seribu bulan, bulan untuk kita mempertingkatkan amalan dan berbuat kebajikan. Bulan yang penuh dengan keredhaan, keampunan dan dijauhkan dari panasnya azab api neraka bilamana ibadat puasa kita sempurna.

Marilah bersama kita makmurkan Ramadhan ini dengan penuh keikhlasan dan kesedaran kerana siapa tahu tahun hadapan kita mungkin tidak dapat menjalankan ibadat ini, justeru berbuatlah yabg terbaik seolah-olah ini Ramadhan kita yang terakhir.

Alangkah seronoknya dapat bangun mendirikan sepertiga malam dengan sembahyang-sembahyang sunat, bersahur, bertadarrus, berbuka dan berterawih. Satu-satunya bulan yang menawarkan pakej ibadat yang terhebat. Justeru jom rebutlah peluang setahun sekali ini, rebutlah untuk meimarahkan RAMADHAN!

Thursday, September 28, 2006

Kalau boleh...



Pagi tadi bersahur dengan 2 ketul pegedil daging,segelas air ribena suam dan beberapa butir kurma. Alhamdulillah

Petang ni kalau boleh nak berbuka ala kadar saja barulah menepati salah satu matlamat puasa iaitu untuk merasakan keperitan mereka yang terpaksa berlapar kerana tidak mampu hatta untuk membeli makanan mengalas perut. Kalau masa berbuka bermewah-mewah dengan berjenis-jenis juadah yang lazat dan menggoda selera, kuranglah nikmat puasa jadinya. Insyaallah

Singgah Pasar Ramadhan kalau boleh nak beli seketul dua kuih je, seekor ikan panggang dan sayur cukuplah tu. Kalau rajin, balik nanti goring ikan selar garing-garing, masak sayur kobis lemak campur udang dan sambal belacan, sedap juga. Air suam dan buah kurma. Cukuplah tu.

Bulan puasa ni bukan makanan yang penting tapi melipatgandakan ibadah, menjaga percakapan dan perlakuan itu yang lebih utama. Tapi taklah dibulan ni saja kan!

Friday, September 22, 2006

Ramadhan datang lagi



REJAB telah lama meninggalkan kita, SYA'BAN sudah mendekati muka pintu dan RAMADHAN kelihatan melambai-lambai, kian hampir untuk memberi salam pertemuan yang kesekian kalinya. Berbahagialah bagi kita yang masih diberi peluang untuk menjalani ibadah puasa sekali lagi tahun ini.

Semoga tahun ini bukan terakhir kali kita berpuasa Ramadhan. Semoga kita dapat melakukan ibadat berlipatganda, sempurna dan diterima. Semoga kita dianugerahkan dengan ditemukan LAILATUL QADAR. Malam yang lebih baik dari seribu bulan.

Mudah-mudahan kita diberi kekuatan untuk mempertingkatkan kualiti diri. Menjauhi segala yang HARAM, MAKRUH maupun SYUBHAH. Mudah-mudahan Ramadhan ini menambah kecintaan kepadaNYA. Mudah-mudahan Ramadhan ini menyedarkan kita bahawa perjalanan kehidupan semakin pendik, tiada yang lebih abadi dari kehidupan setelah dibangkitkan dari kematian.

"Ya ALLAH, sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untukmu Tuhan sekelian Alam"
Aamiiiiiin

Wednesday, October 05, 2005

Marhaban Ya Ramadhan

Alhamdulillah kerana usia kita dipanjangkan lagi untuk menjalani ibadah puasa tahun ini, tak perlulah nak dipertikaikan kebaikan berpuasa sebab telah kita ketahui sejak di zaman persekolahan. Kepada yang sedang berpuasa Sabrun Kabir, Sabrun Kabir (bebanyaklah bersabar)sabar kerana kena bangun awal untuk bersahur. Sabarlah ketika menjalankan tugas di mana jua, maklumlah di awal bulan Ramadhan ini diri masih dalam tempuh penyuaian, nanti dah masuk minggu kedua berlaripun kita boleh.

Sabarlah ketika membeli juadah di Bazar Ramadhan petang nanti, belilah apa yang patut dan baik untuk tubuh, makanan halal, berkasiat, banyak serat, bersih dan rendah kalori serta kurang kolestrol adalah yang terbaik. jangan ikut nafsu mata nanti membazir. Sebaik-baiknya sejenis dua lauk atau kuih dimasak sendiri agar terjaminkualitinya.

Sabarlah ketika mengerjakan Sembahyang Tarawih lantaran imam yang amat tertib dan panjang berjela bacaan surahnya. Lagipun Ramadahan sebulan sahaja sekali setahun, kalau tak sanggup malam esok kita beralih masjid atau surau asalkan jangan diabai sembahyang Tarawih.

Kalau bolih bulan initak perlu nonton rancangan TV dan Astro yang menggoda tu sebab esok nak bangun awal untuk sembahyang sunat, sembahyang Subuh dan mengaji quran sebelum ke tempat kerja.
Bukan selalupun sebulan setahun kalau setiap hari tentulah lebih baik. Sabarlah ye

sabarlah ye sebab bulan Ramadhan ni bulan yang tebaik untuk mengasah bakat sebagai Jaguh Penyabar.