Friday, December 31, 2010

Selamat datang Tahun 2011



Lip lap lip lap Tahun Masehi 2010 akan mengundur diri dan mahu tidak mahu kita akan menerima kedatangan 2011. Kedatangan tahun baru yang bermakna pertambahan usia dan semakin dekat kita kepada kematian. Semakin renggang kita dengan kehidupan dunia ini. Justeru apa sangatlah sebenarnya mengejar-ngejar kebendaan kalau akhirnya semua akan ditinggalkan. Namun takkanlah pulak nak hidup papa kedana sampai meminta-minta menyusahkan kerabat dan rakan taulan, hidup tak bertujuan dan bergelandangan. Maka itulah Islam menyarankan kesederhanaan dalan kehidupan dalam apa hal sekalipun agar kita tidak merasa sengsara dan dukacita semata-mata nak jadi kayaraya an berkuasa. Penyudahnya matlamat menghalalkan cara asalkan dapat apa dicita, musuh bertambah dan rakan menjauh.
Tahun 2010 tentu banyak meninggalkan kesan di hati, yang baik dipertingkatkan yang jelek diperbaiki. Tak perlu dikesali sebab setiap apa yang terjadi tanpa kita sedar memang ada hikmahnya. Kepada yang menang pada tahun ini beringatlah kita bahawa untuk menang itu tidaklah susah asalkan berusaha gigih dan dengan kehendakNYA tiada yang mustahil tapi untuk mempertahankan kemenangan tentulah lebih getir kerana banyak pihak yang usahanya berganda untuk merampas tahta. Maka waspadalah dalam berkata dan bertindak dan sentiasa berusaha menjadi yang terbaik.

Semoga persaudaraan kita semua saudara seblog akan lebih akrab!

Tuesday, December 14, 2010

Biar buruk kain dipakai


Biar buruk kain dipakai, asal pandai mengambil hati
- Biar miskin asalkan berbudi bahasa dan berhati mulia

Tapi apakah masyarakat di zaman ini akur dengan pernyataan itu. Berapa keratkah antara kita yang menghargai perilaku yang baik berbanding dengan kekayaan dan status seseorang. Terkadang terfikir betapa tidak adilnya kita kepada mereka yang tak punya harta tapi amat baik pekerti. Seringkali mereka dipinggirkan dan kehadiran seakan tidak disenangi atau dipedulikan. Sedangkan tanpa kita duga dalam keadaan tertentu merekalah yg akan segera datang membantu berbanding dengan mereka yang kononnya setaraf dengan kita.

Friday, December 10, 2010

Kerana nila setitik


Orang bijak pandai dulu-dulu pernah menyatakan Kerana Nila Setitik Rosak Susu Sebelanga. Namun wajarkah disalahkan nila yang setitik jika susu yang sebelanga besar tu masih tak terusik manis rasa dan putih rupanya. Kenapa yang setik itu juga diungkit-ungkit. Lagipun takkanlah sebab yang setitik tu susu bertukar menjadi biru seluruhnya.
Begitulah dalam kehidupan ini, segala kebaikan yang selama ini kita lakukan akan mudah terhakis dari ingatan hanya kerana kesilapan atau kesalahan yang sedikit. Adilkah itu?
Atau justeru sorang dua dari kaum kerabat yang berperangai buruk habis seluruh ahlinya kita hukumi.

Monday, December 06, 2010

Maal Hijrah 1432


Selamat menyambut Tahun Hijrah 1432. Mudah-mudahan hari-hari mendatang kita akan lebih matang dan berhati-hati dalam menjalani kehidupan seharian. Mudah-mudahan segala urusan kita dipermudahkan Allah S.WT. Mudah-mudahan hidup kita akan lebih berkasihsayang yang ikhlas dan murni. Mudah-mudahan kita sentiasa dalam RAHMAT, REDHA dan KEAMPUNANNYA.