Minggu-minggu kebelakangan ini kita dikejutkan dengan berita yang tak pernah terfikirkan sebelumnya. Kisah-kisah benar anak-anak yang didera, disimpah dengan asid, dipaksa minum racun malah dibunuh oleh ayah sendiri. Nilai kasihsayang seorang ayah semakin rapuh. Kerapkali suami isteri yang menghadapi konflik rumahtangga menjadikan anak sebagai bahan melepaskan geram. Justeru mengikutkan kata hati mereka melakukan perbuatan kebinatangan yang melupakan hakikat bahawa anak-anak yang menjadi mangsa itu adalah darah daging sendiri yang lahir dari rasa cinta kasih. Malah binatang pun hanya sedikit cuma yang tidak mengenal anak.
Pada hakikatnya adalah mustahil seseorang ayah sanggup berbuat demikian. Di sana ada sebab musabab yang mendorong terjadinya musibah tersebut. Perasaan cemburu, kegagalan menyara anak isteri dan sakit mental antara faktor yang membuat seseorang ayah hilang pertimbangan. Bertindak untuk melepaskan perasaan marah atau kecewa demi kepuasan hati sendiri sehingga terlupa bahawa yang disiksa itu anak yang suatu masa jangankan dijentik, digigit nyamukpun tidak direlakan.Apakah tuntutan kehidupan hari ini pantas membuat kita menjadi cepat resah dan marah. Siapakah sebenarnya sepatutnya bertanggungjawab akan kejadian-kejadian yang menyebakkan dada ini. Salah kitakah sebagai ahli masyarakat yang tidak peka dan ambil peduli kepada keperluan mereka yang tidak punya. Atau semua ini terjadi kerana pelaku tidak berpegang kepada agama, tidak yakin bahawa Allah adalah tempat mengadu dan sebaik-baik tempat untuk berlindung.






