Kelahiran seseorang anak itu adalah anugerah dariNYA yang tidak ternilai dan menambah sempurnanya kehidupan berumahtangga
Tanggungjawab bapa adalah membimbing anak-anak berpandukan Al Quran dan Al Hadis agar anak itu terjamin kebahagiaan dan keselamatnnya di dunia dan akhirat
Ayah tempat bermanja dan berkongsi suka dan dukaAhad lepas 20 Jun 2011 yang juga diisytiharkan sebagai Hari Bapa Sedunia, aku sempat menghadiri Majlis Walimah anak kenalan di Batu Gajah. Seorang lelaki separuh umur membelek telefon bimbitnya sambil dengan bangga memberitahu "HP i ni sejak semalam tak henti-henti terima sms dari anak menantu ucap Selamat Hari Bapa". Seorang lelaki lain yang sebaya denganya mencelah "ermmmm anak i yang 2 orang tu belum lagi hantar ucap selamat, lupe le agaknya".
Bagiku yang kematian ayah sejak umur lima tahun hanya mendengar tanpa sebarang komen, aku tiada kesempatan untuk mengucapkannya kepada ayah, namun setiap kali lepas sembahyang 5 waktu aku tidak pernah lupa berdoa dan membacakan Al Fatihah dan Surah Al Ikhlas untuknya. Begitu juga saban Khamis malam Jumaat selepas solat Magrib pasti bacaan Yassin buatnya. Justeru setiap kali selepas itu aku seakan terbayang ayah tersenyum manis penuh kasih memandangku. Ayah, aku rindu dan sayang padamu.
